Salam perjuangan…
Seperti yg dijangkakan bahawa kerajaan persekutuan menang di dalam kesnya. Inilah hasil dari mahkamah yg tidak mempunyai kebebasan yg hakiki di dunia dan di akhirat. Hakim yg bertindak mengikut nafsu pemerintah tanpa berlandaskan prinsip kehakiman yg sebenar akan menerima balasan yg setimpal samada di dunia atau di akhirat.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan kerajaan Kelantan berhubung permohonan mencelah oleh kerajaan Malaysia dalam prosiding saman yang dikemukakan negeri itu berhubung tuntutan royalti minyak.

Mahkamah turut menolak permohonan rayuan kerajaan Kelantan untuk membicarakan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Bahagian Perdagangan dan bukannya di Bahagian Sivil.

Mahkamah juga memerintahkan Kelantan membayar kos sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua permohonan berkenaan kepada kerajaan persekutuan.

Kelantan juga diperintahkan membayar kos dalam kausa kepada Petronas sekiranya pemohon berkenaan kalah dalam kesnya yang akan bersambung di Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh anggota panel Mahkamah Persekutuan – Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Tan Sri Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Suriyadi Halim Omar.

Kerajaan Kelantan yang diwakili peguam Thommy Thomas mengemukakan hujah bahawa tuntutan royalti itu bukan dibuat ke atas kerajaan persekutuan, maka ia tidak berhak untuk menjadi defendan kedua.

Kelantan juga memohon supaya kes berkenaan dibicarakan di bahagian perdagangan memandangkan kes berkenaan merupakan kes pecah kontrak.

Kes tuntutan royalti minyak oleh Kelantan ini akan kembali didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Disember.

Perbicaraan kes berkenaan sebelum ini ditangguhkan sehingga dua permohonan tersebut diputuskan di Mahkamah Persekutuan hari ini.