Kuala Krai – Seramai 134 pelajar YIK menerima bantuan zakat dan pakaian seragam sekolah dalam majlis yang diadakan di SMU (A) As-Saadah Batu Mengkebang pada 31 Disember lalu. Majlis yang julung-julung kali diadakan dapat meringankan bebanan keluarga dan kurang berkemampuan di sekolah YIK di Zon Selatan,iaitu jajahan Kuala Krai dan Gua Musang.

     Zakat sumbangan Bank Islam Malaysia Berhad diberi untuk YIK mengagihkan kepada pelajar-pelajar sekolah. Perasmian telah disempurnakan oleh YB Hj. Mohamed bin Awang, ADUN Gual Periuk mewakili YB. Dato' Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan.

     Pengarah YIK dalam ucapan aluan menyatakan bahawa idea penubuhan Tabung Pendidikan Yayasan Islam Kelantan dicetuskan dalam satu Mesyuarat Pengurusan dan sentiasa bergerak mendapatkan sumbangan dari pelbagai pihak untuk menyalurkan bantuan kepada pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik.

     Menurut beliau, majlis hari ini adalah perintis kepada program-program yang akan dipanjangkan kepada zon-zon lain di seluruh Kelantan. Keprihatinan ini dijangka dapat merapatkan jurang kemiskinan dan bukan halangan untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar luar bandar.

     Sementara itu, Yb Mohamed bin Awang menggesa agar pihak-pihak yang berkenaan terus menyalurkan zakat masing-masing untuk kepentingan bersama. Semangat kerjasama ini seharusnya menjadi teras dalam membawa negeri kea rah Membangun Bersama Islam.

     Hadir sama dalam program berkenaan YB Abdul Latif Abdul Rahman, ADUN Mengkebang, YB Mohd Fauzi Abdullah, ADUN Manik Urai, penolong-penolong pengarah dan pegawai-pegawai Yayasan Islam Kelantan