PAS membidas kenyataan Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang menuding jari kepada ibu bapa dalam isu tahap jenayah juvana di negeri pimpinan parti Islam itu yang dikatakan membimbangkan.

Naib presidennya Datuk Mahfuz Omar berkata, walaupun menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membuat laporan, pihak polis tidak patut mengeluarkan kenyataan itu kerana ia berlaku bawah pengetahuan mereka.

NONE"Kalau sudah tahu (wujud jenayah), polis boleh ambil tindakan, kenapa nak salahkan (ibu bapa).

"Betullah, ibu bapa (kena buat aduan), tetapi polis dah tahu (menjadi) pihak berkuasa untuk menguatkuasa undang-undang, dia boleh ambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

"Polis tak boleh kata, 'kami tidak dapat nak selesaikan kerana ibu bapa tak buat laporan," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Jalaludin kelmarin yang dilaporkan berkata, pihaknya kecewa dengan sikap ibu bapa dan sekolah yang tidak melaporkan kesalahan melibatkan remaja walaupun tahap jenayah juvana negeri itu membimbangkan.

Katanya, banyak kesalahan juvana melibatkan kes rogol, perbuatan sumbang dan kecurian dalam keluarga tidak dilaporkan bagi menjaga air muka dan nama baik keluarga.|

Menurut Jalaluddin, sebanyak 186 kes juvana dilaporkan pada 2010 dengan 305 pelajar ditahan kerana melakukan kesalahan itu.

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat penurunan sebanyak 151 kes tahun lalu, dengan seramai 229 pelajar ditahan. Manakala tahun ini terdapat 68 kes juvana.

Beliawanis MCA: Kaji semula dasar berkaitan Wanita

Sementara itu, Pengerusi Beliawanis MCA Tee Hooi Ling pula dalam kenyataannya mendesak Kelantan menilai semula dasar berkaitan wanita susulan pelbagai laporan yang mendakwa peningkatan kes rogol dan perlakuan sumbang di negeri itu.

Tee mendakwa kes rogol di negeri itu tertinggi di Malaysia dan sejak dahulu lagi ramai wanita yang menjadi mangsa pencabulan seksual dipaksa berdiam diri.

"Inilah masanya kerajaan negeri yang diterajui PAS untuk mendengar rintihan wanita dan memberi mereka keadilan terhadap apa yang mereka lalui," katanya