Ahad, 5 Januari 2014

03 di jeli kelantan - Google Blog Search

03 di jeli kelantan - Google Blog Search


Mohd Noor Mamat Online: Berkeliling <b>di</b> 5 negeri : <b>Kelantan</b>- Perak <b>...</b>

Posted: 16 Dec 2013 02:39 AM PST

Pada 6-13 Disember lepas, kami sekeluarga berkesempatan berkeliling di 5 negeri iaitu Kelantan, Perak, Selangor, Pahang dan Terengganu. Perjalanan ke 5 negeri itu mengambil masa seminggu dan jarak sejauh 1492.8 km. Perancangan untuk berkeliling ke 5 negeri tersebut sebenarnya sudah lama dibuat, cuma saya menunggu dan mengintai masa yang sesuai untuk melakukannya. Masa yang sesuai akhirnya tiba iaitu pada 6-13 Disember yang lepas iaitu sempena cuti persekolahan. Tujuan perjalanan tersebut adalah untuk menziarahi dan bersilaraturrahim terutamanya dengan kedua ibubapa, adik-beradik, sanak-saudara dan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu mata. Selain itu ianya juga untuk membolehkan kami sekeluarga menghabiskan masa berkualiti bersama-sama dan peluang melihat serta melawat tempat-tempat yang menarik di 5 negeri tersebut.
Pelan perjalanan yang kami pilih untuk Berkeliling di 5 negeri ini adalah melalui daerah-daerah utama iaitu Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli (Kelantan), Lenggong, Gerik, Kuala Kangsar, Ipoh, Tapah, Gopeng, Bidor, Sungkai, Trolak, Slim River dan Tanjung Malim (Perak), Rawang, Kota Damansara, Shah Alam, Subang Jaya dan Kuala Langat (Selangor), Bentong, Temerloh, Karak, Chenor, Kg. Awah, Sg. Leng, Maran, Kuantan (Pahang), Kemaman, Kerteh, Manir, Wakaf Tengah, Batu Rakit, Permaisuri, Kuala Besut dan Kg. Raja (Terengganu).

Setelah persiapan dilakukan, pada 6 Disember (Jumaat), pukul 11.15 pagi, kami memulakan perjalanan dari rumah menuju ke rumah keluarga adik perempuan di Taman Bunga Raya Indah, Kuala Kangsar, Perak. Adik perempuan saya, Siti Khalijah  mengajar di SMK Tun Perak, Padang Rengas manakala suaminya Mohamad bertugas di SK Ulu Ribu, Enggor. Mereka mempunyai empat anak perempuan iaitu Auni Syahirah (17), Nur Anisa (16), Nur Alia (11) dan Arisya (4). Sungguhpun banjir telah melanda sebahagian besar daerah di dua negeri iaitu Pahang dan Terengganu tetapi di Kelantan hanya 2 daerah yang terlibat iaitu Jeli dan Pasir Mas. Jalan yang kami pilih dari rumah kami ke Kuala Kangsar melalui Bukit Bunga di Tanah Merah seterusnya ke Jeli masih boleh dilalui oleh semua kenderaan. Hatta begitu di sepanjang jalan terdapat kawasan di mana sebahagian rumah penduduk yang ditenggelami air.










Selepas sejam perjalanan, saya singgah solat Jumaat di Masjid Bukit Bunga yang terletak dalam mukim Jedok, Tanah Merah Kelantan. Masjid ini menjadi pilihan kerana ianya terletak di laluan lebuhraya timur-barat. Sesuatu yang ketara mengenai masjid ini adalah tahap kebersihannya terutama bilik air dan tandasnya yang agak bersih dan patut diberi pujian. Selain itu penyampaian khutbah dan bacaan dalam solat oleh imamnya (saya anggarkan umurnya dalam 30 an) begitu baik dan lancar. Tajuk khutbah pada hari Jumaat tersebut adalah berkaitan dengan wang dalam akaun simpanan bank di Malaysia yang tidak dituntut, terutamanya oleh orang Islam. Tajuk yang sebegini jarang benar di utarakan oleh khatib terutama dalam khutbah Jumaat. In Sha Allah saya akan menulis berkaitannya dalam entri akan datang jika diberi ingatan yang baik oleh Allah SWT.

Selepas singgah hampir sejam di Masjid ini, kami meneruskan kembali perjalanan ke destinasi yang dituju. Semasa melalui daerah Jeli, kami menelusuri lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan daerah Jeli, Kelantan dengan Gerik, Perak. Lebuhraya ini sepanjang 123 km menelan kos sebanyak RM296 juta dan mula dibuka pada 1 Julai 1982. Sepanjang perjalanan dari Jeli menuju Gerik Perak melalui lebuhraya Timur-Barat ini, kami menikmati pemandangan hutan hujan tropika yang hijau dan indah. Cuaca yang sering bertukar daripada terang menjadi redup, ada ketikanya gerimis, berkabus dan kemudian berubah menjadi terang semula mengiringi sepanjang perjalanan kami.

Di pertengahan perjalanan, cuaca yang sebelumnya terang menjadi berkabus menyebabkan kami terpaksa berhenti sekali lagi. Kali ini tempat yang menjadi pilihan adalah Perhentian Titiwangsa, Gerik Perak. Suasana berkabus dan sejuk menyelubungi Perhentian Titiwangsa mungkin kerana altitud kedudukannya yang berada di Banjaran Titiwangsa. Hanya ada sebuah restoran sahaja beroperasi di sini iaitu Restoran Amiza Titiwangsa tetapi tempat duduk yang disediakan mampu menampung jumlah pengunjung yang ramai. Pengunjung agak ramai, kerana pada masa tersebut adalah musim cuti sekolah. Masing-masing ingin mengambil peluang membawa keluarga bercuti ke tempat-tempat menarik seperti kami juga atau setidak-tidaknya dalam perjalanan pulang ke kampung halaman bertemu sanak-saudara dan taulan.

Di Perhentian Titiwangsa ini kami tidak singgah makan tetapi untuk menunaikan keperluan hajat masing-masing dan membeli ais krim untuk anak-anak. Setelah cuaca beransur terang kami meneruskan kembali perjalanan. Perjalanan seterusnya berlansung dengan lancar dan dalam cuaca yang terang. Kami menyusuri lebuhraya Timur-Barat yang berada di bahagian negeri Perak sambil menikmati panorama alam sepanjang jalan yang cantik dan unik.

Perjalanan kami seterusnya melalui Jambatan Temenggor yang merentangi Tasik Temenggor.Tasik Temenggor merupakan empangan janakuasa hidroelektrik bagi negeri Perak. Empangan ini di bina pada tahun 1970 dan siap 1974. Air dari empangan ini disalurkan sebagai bekalan air minuman bagi penduduk negeri Perak dan Pulau Pinang. Empangan ini seluas 152 km persegi. Selepas melewati Tasik Temenggor, kami melalui Bandar Gerik dan Lenggong sebelum sampai ke destinasi yang di tuju iaitu Kuala Kangsar. Kami selamat sampai ke rumah keluarga adik perempuan saya lebih kurang pukul 6.30 petang setelah melalui perjalanan sejauh 320 km.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads