MOHD Zaki Ibrahim menjadi wakil rakyat di Dun Kelaboran sejak tahun 2004 iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11).

Ketika itu beliau bertanding menentang calon BN, Datuk Wan Johanis Wan Husin.

Pada PRU12, Mohd Zaki sekali lagi dipilih rakyat di Dun Kelaboran menjadi wakil rakyat mereka.

Pada PRU tersebut, beliau menentang calon BN, Wan Hanapi Wan Yaakob.

Sikap cakna Zaki berjaya memenangi hati rakyatnya apabila pada PRU 13, beliau sekali lagi diberi mandat untuk terus menjadi wakil rakyat di Dun Kelaboran buat penggal kali ketiga berturut-turut.

YB dipilih sekali lagi sebagai wakil rakyat Dun Kelaboran, bagaimana penerimaan rakyat yang tidak menyokong YB?

Selepas selesai pilihanraya semua rakyat sama ada Pas atau BN akan kembali bertaut dan mereka semua berlapang dada serta menerima saya sebagai wakil rakyat mereka terutama dalam urusan dengan jabatan atau agensi kerajaan negeri.
Ini antara keunikan rakyat Kelantan.

Pada PRU 13, ada kemerosotan undi majoriti, apa puncanya?

Punca kemerosotan undi (100 undi) pada PRU 13 yang lalu adalah disebabkan rakyat terpedaya dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), rakyat disogok dengan duit di saat hampir pilihanraya dan dijanjikan akan diberi lagi BR1M dengan jumlah yang lebih kalau BN menang.

Keduanya adalah kaedah pengundian awal kepada anggota keselamatan yang memberi 'milage' pada BN.

Bagaimana YB menangani kemerosotan itu nanti?

Saya akan memberi kefahaman berterusan pada rakyat bahawa BR1M atau apa jua sumbangan kerajaan  adalah dari duit rakyat dan menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyatnya. Ia bukan duit parti atau mana-mana pemimpin parti.

Keduanya, akan guna saluran tertentu agar pihak SPR mengubah kaedah pengundian awal yang memperlihatkan seperti mahu menakutkan pengundi yang terlibat serta tiada jaminan keselamatan tong undi kerana tidak melibatkan ejen parti menjaganya selama tiga  malam sebelum dikira.

Dun Kelaboran sebagai kubu kuat Pas sejak tahun 1999 lagi, bagaimana YB mempertahankan?

Ia, saya akan mempertahankan Dun Kelaboran ini agar tidak jatuh ke tangan BN.
Saya akan menambahbaikkan lagi program pemantapan Islam kepada masyarakat supaya memahami Islam secara menyeluruh.

Program kebajikan akan berjalan sepanjang masa bukan bermusim hanya pada pilihanraya saja. Pendekatan saya juga, saya mendekati pengundi sebagai rakan bukan sebagai musuh.

Apakah langkah masa pendek dan panjang YB untuk rakyat Dun Kelaboran apabila tiga penggal menjadi YB di Dun ini?

Program agama berjalan berterusan dan akan diperhebatkan lagi. Begitu juga program kebajikan akan berjalan sepanjang masa.

Selaku YB di Dun Kelaboran saya berusaha untuk menarik pelabur dalam membangunkan beberapa kawasan tertentu dalam Dun Kelaboran terutama pusat perniagaan yang boleh menjana peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.