Rabu, 14 Mei 2014

03 di pasir mas - Google Blog Search

03 di pasir mas - Google Blog Search


Gerbang KBBRI: Asal usul Kg. To&#39; Uban <b>di Pasir Mas</b>

Posted: 04 May 2014 02:54 AM PDT

Menurut Mohd Yasin atau lebih mesra dengan panggilan Pak Cu Mat Sin nama To' Uban ini diabadikan oleh penduduk sebagai menghargai sumbangan seorang tokoh yang bertanggungjawab membuka tanah di kawasan ini pada zaman dahulu iaitu Tok Sulaiman.
Cerita Pok Su Mat Sin lagi, dahulunya kawasan ini merupakan hutan tebal serta tidak mempunyai penduduk dan Tok Sulaiman merupakan orang pertama menetap di situ bersama dengan isterinya.
"Jadi selepas dia buka tanah dan tinggal di kawasan ini barulah ada beberapa penduduk mula menetap dan tinggal bersama dengan Tok Sulaiman," katanya.
Menurutnya, Tok Sulaiman berasal dari Pattani dan merupakan seorang panglima perang kerajaan berkenaan namun melarikan diri ke negeri ini selepas kalah dalam peperangan dengan kerajaan Siam ketika itu.
"Tempat tinggal pertamanya di negeri ini ialah Kampung But di Kok Lanas, dan kemudiannya berpindah ke Kampung Kangkong, Pasir Mas," katanya.
Katanya, selepas itu Tok Sulaiman mengambil keputusan untuk berpindah sekali lagi dan menetap terus di Tok Uban serta bersemadi di situ.
Menurut Pok Su Mat Sin, ketika menetap di kawasan ini Tok Sulaiman sering menjadi tempat rujukan di kalangan penduduk dalam semua perkara.
Pok Su Mat Sin berkata, gelaran To' Uban itu diberikan oleh penduduk kepada Tok Sulaiman disebabkan rambut lelaki berkenaan dipenuhi dengan uban putih.
Katanya, bukan itu sahaja, To' Uban turut mempunyai janggut serta bulu roma putih yang memenuhi lengannya. "Maka dari situlah gelaran itu diberikan kepada Tok Sulaiman," katanya.
Menurutnya, sebagai menghargai sumbangan dan jasa yang telah diberikan oleh Tok Sulaiman kawasan tersebut dinamakan dengan To' Uban sempena mengambil nama gelarannya.
Pok Su Mat Sin berkata, sejarah To' Uban yang diceritakan olehnya ini adalah hasil dari maklumat diperolehi secara lisan dari generasi keempat waris Tok Uban iaitu Hassan Yasin.
Katanya, maklumat tersebut akan terus disampaikan kepada generasi To' Uban agar sejarah asal usul kampung ini terus terpahat dalam ingatan mereka.
Nama To' Uban jadi tarikan
Bagi penduduk mukim To' Uban, keunikan nama itu menjadi satu kebanggaan apabila mereka tidak malu atau segan silu untuk mengaku berasal dari kawasan berkenaan.
Malah mereka cukup bangga menjadi anak kelahiran To' Uban kerana nama tersebut cukup unik dan mudah untuk diingati.
Bukan itu sahaja, ada penduduk yang berasal dari kawasan bersebelahan sanggup mengaku sebagai anak mukim To' Uban disebabkan oleh keunikan nama tersebut.
Perkara itu diakui sendiri oleh salah seorang anak kelahiran To' Uban iaitu Shukri Ibrahim, 47, yang menyifatkan nama kampungnya itu cukup unik.
"Setiap kali memperkenalkan diri dan memberitahu saya berasal dari To' Uban, ramai yang akan bertanyakan tentang asal usul nama Kampung To' Uban," katanya.
Menurutnya, pada mulanya ramai yang beranggapan kampung ini dibuka oleh seorang lelaki tua memandangkan namanya To' Uban, namun sebaik sahaja diceritakan perkara sebenar barulah mereka memahaminya.
"Secara ringkasnya, apa yang saya tahu gelaran To' Uban itu diberikan kerana rambut lelaki berkenaan dipenuhi dengan uban putih, maka dari situlah namanya diambil.
"Selain itu, kampung ini diabdikan dengan nama ini sebagai menghormati sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan oleh Tok Uban atau nama sebenarnya Tok Sulaiman," katanya.
Tok Uban merupakan salah satu mukim yang terdapat di jajahan Pasir Mas dan berkeluasan 30 kilometer persegi serta dihuni oleh lebih 5,000 penduduk.
Antara kampung berada di mukim ini ialah Kampung Chat, Nibong, Rasal, Sila, Gong Dayak, Mok Kalut, Bechah Kida, Batu Hampar, Padang Mulong dan beberapa buah lagi.
Selain itu, keunikan nama To' Uban turut menyimpan pelbagai khanazah yang masih belum terungkai antaranya sejarah pembinaan Danau To' Uban.
Bukan itu sahaja, stesen kereta api yang terdapat di kawasan berkenaan turut mempunyai nilai sejarah yang harus dirungkai untuk tatapan generasi masa hadapan.
Hal ini penting dalam usaha mengukuhkan jati diri mereka agar menjadi insan yang mengenal sejarah dan asal usul mereka.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 3 Mei 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads