Salam perjuangan…

Memandangkan Kelantan telah di perintah oleh PAS selama 22 tahun bermula 1990 hingga 2012 dan pernah memerintah 18 tahun sebelum ini iaitu bermula 1960 hingga 1978.  Jika di campur dalam dua zaman pemerintahan PAS di Kelantan maka ianya berjumlah 40 tahun.  Satu tempoh yang agak panjang dan penuh dengan pengalaman serta karenah rakyat terhadap Kerajaan dan Parti yang memerintah.  Tempoh pemerintahan sesuatu parti bagi sesebuah kerajaan menunjukkan tahap penerimaan rakyat kepada parti yang menguasai kerajaan pada sesuatu masa.  Sepanjang tempoh pemerintahan PAS pelbagai ragam rakyat ditemui sehingga rakyat Kelantan diisytiharkan sebagai guru politik kepada rakyat seluruh Malaysia dan Kelantan sendiri dinobatkan sebagai Universiti Terbuka di Malaysia. Pasang surut kerusi Pakatan Rakyat di Kelantan di sepanjang tempoh 22 tahun PAS memerintah sepatutnya menjadi pengajaran yang amat berguna kepada semua pemimpin PAS dalam menentukan strategi bagi memastikan PAS terus di terima oleh rakyat sepanjang zaman. Sesungguhnya orang muslim tidak patut di patuk oleh ular pada tempat yang sama sekali lagi.

PRU 13 memerlukan pendekatan baru dan strategi baru untuk menguasai politik baru di Malaysia. Rakyat Malaysia khasnya golongan muda dan pertengahan mempunyai akses yang tinggi kepada maklumat media baru bagi mengikuti perkembangan dan pendekatan yang di ambil oleh semua parti dalam menghadapi PRU 13 nanti.  Rakyat sekarang sudah cerdik dan boleh menilai sendiri sejauh mana keikhlasan dan kesungguhan pemimpin mereka untuk memikul amanah dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan mereka.  Jika silap strategi yang di atur maka Parti akan mengalami natijah yang tidak baik kelak.  Antara pendekatan baru yang perlu di ambil kira oleh Tok Guru Nik Aziz (TGNA) semasa menurunkan calon-calon PAS dalam pru 13 nanti ialah calon yang dipersetujui oleh akar umbi di dun dan parlimen. Terimalah kajian dan kehendak rakyat sepenuhnya. Jangan ulangi kesilapan 2004 di mana PAS menolak kajian yang di buat oleh pelbagai pihak tentang prestasi PAS di waktu itu dan meletakkan calon yang tidak sesuai dengan kehendak rakyat. Bagi YB yang sedia ada yang uzur dan tidak perform maka inilah masa yang terbaik untuk berkorban dan berundur secara terhormat dan beri laluan kepada muka baru demi kelangsungan PAS untuk memerintah Kelantan.  Bagi saya PAS perlu meletakkan 40% muka baru di seluruh Kelantan bagi memastikan kelangsungan pemerintahan PAS di Kelantan jika tidak maka tunggulah kemarahan rakyat sekaligus menghukum PAS yang syok sendiri.  Keberanian inilah yang perlu ada kepada TGNA untuk membariskan calon yang diterima oleh rakyat nanti.  Pengorbanan semua pemimpin dan wakil rakyat PAS adalah cukup penting. Tidak ada gunanya kita bertanding dan tidak boleh membantu PAS untuk terus memerintah Kelantan.  Ingatlah kedegilan kita untuk merasai kehendak rakyat akan merugikan semua pihak. Yang menang akan jadi arang dan yang kalah akan jadi abu.  Akhirnya kebimbangan saya ialah di saat negeri lain menaiki gerobak keretapi menuju putrajaya tetapi Kelantan telah terputus gerobaknya dan ketinggalan dari gerobak lain ke putrajaya.  Marilah semua pimpinan PAS meletakkan kepentingan Parti dan Rakyat didahulukan sesuai dengan motto perjuangan NEGARA BERKEBAJIKAN