BACHOK – Kira-kira 1,000 penduduk setempat yang asyik menyaksikan persembahan nyanyian dikir di Kampung Kemasin malam Sabtu lalu dikejutkan dengan kehadiran sepasukan penguat kuasa.

Akibatnya, persembahan nyanyian dikir itu terpaksa diberhentikan sebaik saja anggota polis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Pejabat Agama Islam Bachok dan Tanah Merah serta pegawai Majlis Daerah Bachok tiba di lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, melalui Ops Cantas Khas Total Enforcement/ Ops Noda bersepadu, pasukan yang diketuai anggota dari Unit D7 telah ke lokasi tersebut iaitu hadapan sebuah rumah tanpa  nombor di Kampung kemasin pada jam 11.30 malam.

Menurutnya, setibanya di situ, terdapat seorang penyanyi lelaki berusia 24 tahun sedang membuat persembahan.

"Persembahan terpaksa dihentikan untuk membolehkan pemeriksaan dilakukan. Siasatan mendapati seorang lelaki berusia 37 tahun beralamat di Kampung Guntung, Permaisuri, Terengganu bertindak sebagai penganjur tetapi tidak mempunyai permit.

"Ujian urin dilakukan ke atas tujuh lelaki terlibat dalam persembahan itu negatif. Siasatan akan dilengkapkan untuk pertuduhan di bawah Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan Negeri Kelantan. Semua peralatan yang digunakan untuk persembahan tersebut dirampas," katanya.

Oleh itu, Abdul Hamid memberi amaran kepada orang ramai agar tidak mengadakan persembahan nyanyian dikir di khalayak ramai sewenang-wenangnya tanpa mohon permit.
"Permit perlu dipohon dari pihak berkuasa kerana tanpa persembahan tanpa permit adalah menyalahi enakmen ditetapkan," katanya.