KUALA KRAI - "Mek, kenapa Along jadi gini (Mak, kenapa Along jadi begini)." Itu luahan ibu pelajar Tingkatan Empat, Mohamad Amirfitri Nazri yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Gertak Kangkung, dekat sini, kelmarin.

Perkara itu diceritakan nenek mangsa, Rahmah Awang, 57, ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Kuala Krai (HKK), di sini, malam kelmarin.
Rahmah berkata, pertanyaan menyentuh hati itu dibuat ibu mangsa sebaik sahaja mengetahui kejadian menimpa anak sulungnya yang lebih mesra dengan panggilan Along.
"Saya hanya mampu jawab, nak buat macam mana, perkara dah nak jadi dan memintanya supaya banyak bersabar," katanya kepada Sinar Harian.
Pada kejadian kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, Mohamad Amirfitri maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas di jalan menghala ke Sungai Pas, dekat Kampung Gertak Kangkung, di sini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkebang dan anak sulung daripada lima beradik itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Turut hadir menziarahi jenazah di Bilik Mayat HKK, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah dan datuk mangsa, Mohammad Yunus, 68.
Ibu bapa Mohamad Amirfitri bagaimana pun hanya menunggu jenazah anak mereka di rumah di Kampung Peria dan tidak dapat datang ke hospital kerana terlalu sedih.
Rahmah berkata, dia mengetahui kejadian menimpa cucunya itu ketika sedang bersiap untuk menunaikan solat Maghrib kira-kira jam 7 malam selepas dimaklumkan bapa saudara mangsa.
Katanya, sebaik sahaja mengetahui kejadian itu, dia yang baru siap menyimpan peralatan menjual goreng pisang yang diusahakannya terus bergegas ke tempat kejadian.
"Masa saya sampai di tempat kejadian, cucu saya sudah tidak ada (meninggal dunia) dan mayatnya sudah ditutup dengan kertas surat khabar.
"Kali terakhir saya berjumpa dengan Along dua hari lepas ketika keluar menoreh kerana rumahnya terletak dalam kebun getah datuk dia," katanya yang menyifatkan Mohamad Amirfitri sebagai seorang cucu yang baik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rahman Ja'apar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.