Khamis, 16 Jun 2011

03 di wakaf che yeh - Google Blog Search

03 di wakaf che yeh - Google Blog Search


Pondok Rahmat: Menjenguk Pasar Minggu <b>Wakaf Che Yeh</b> KB

Posted: 04 Jun 2011 01:50 AM PDT

Menjenguk PASAR MINGGU Wakaf Che Yeh KB

Pagi Jumaat lepas saya ikut pergi ke Pasar Mingggu Wakaf Che Yeh yang terletak di jalan besar, Kuala Krai-Kota Bharu. Sudah beberapa bulan saya tidak berkesempatan pergi ke pasar itu. Tidak ada apa-apa tujuan saya pergi ke pasar, hanya sekadar ikut-ikut anak dan menantu untuk membeli barang-barang keperluan harian.

Sebenarnya kami dalam perjalanan pulang daripada menziarahi pusara bonda dan isteri saya di tanah Perkuburan Pohon Rambai, Kg.Salor. Seperti biasalah, kalau tidak ada apa-apa halangan besar. setiap pagi Jumaat kami akan berkunjung ke perkuburan mereka. Mendoakan untuk orang-orang yang kami kasihi yang telah terlebih dahulu mendahului kami kembali ke hadarat Ilahi.

Seperti biasa, kami masuk dari arah belakang pasar, kerana di situ kawasan parkir berbayarnya luas, walaupun keadaannya tidak begitu comel, tapak yang tidak berminyak tar yang ditabur dengan batu-batu bukit, berlopak-lopak yang ditakungi air bila hujan, ada sampah-sampah sarap yang baru dan yang lama.

Seperti biasa, di kiri kanan lorong dalam kawasan pasar didirikan khemah-khemah tempat orang berjualan. Dengan itu bererti bilangan peniaga-peniaga kecil, para peraih kian meningkat. Ruang untuk mereka mencari rezeki bertambah. Berpaling ke sebelah kanan ada orang berjual, dan berpaling ke kiri pun ada orang berjual juga.

Namun begitu, ada suatu yang kurang betul, bila di hadapan tangga besar untuk naik ke pasar itupun di buat khemah tempat berjual. Buat khemah itu memang baguslah, dapat melindungi pengujung dari hujan dan panas. Tapi yang tidak bagusnya bila di hadapan tangga itu digunakan untuk berjualan. Hari itu digunakan sebagai tempat parkir kereta dan beberapa buah motosikal yang menghalang kelicinan laluan orang untuk naik turun ke pasar itu.

Saya harap pihak berkuasa, kiranya terletak di bawah MPKB atau ejensi-ejensi lain akan mengkaji semula keeadaan tersebut. Tangga-tangga lain yang bukan merupakan tangga pintu besar tidaklah mengapa digunakan oleh para peniaga seperti biasa, asalkan ada laluan kecil di antara kawasan seseorang peniaga dengan seorang peniaga yang lain sebagaimana yang ada itu.

Ada berbagai-bagai barang keperluan dipasarkan di Pasar Minggu itu. Ada berbagai-bagai jenis kueh tradisi, akok, jala emas, tepung pelita dan sebagainya, ada sayur-mayur, buah-ketuah, bunga-bungi, lauk-pauk yang mentah dan sudah dimasak, pakaian dan sebagainya. Dan berbagai-bagai jenis barangan lagi, seumpama pinggan-mangkuk, barang-barang permainan kanak-kanak, pisau dan golok dan sebagainya.

Harga kebanyakan barangan yang dijual di situ hampir sama dengan tempat-tempat lain juga. Ada yang mahal dan ada yang murah. Tergantunglah kepada kebijakksanaan masing-masing pembeli untuk memilihnya.

Di dalam pasar, di antara gerai menjual barang-barang makanan itu terdapat sebuah gerai akhbar dan majalah, tapi tidak banyak jenisnya majalah di situ. Laris juga jualannya.

Saya nampak semua penjual wanita Islam berpakaian sopan dan bertudung kepala, menutup aurat. Baik orang tua, orang muda dan juga orang yang telah lebih tuanya tapi masih aktif berniaga. Kebanyakan mereka berniaga barang-barang hasil pertanian, seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Pengunjung-pengunjungnya terdiri daripada berbagai-bagai peringkat usia dan beragam-ragam. Kebanyakan pengunjung wanita, saya lihat berpakaian sopan, dan bertudung kepala.

Namun begitu ada sebahagian kecil dari pengunjung wanita, tidak menutup kepala, terutama di kalangan anak-anak muda, dengan pakaian yang ketat dan sendat, terdedah di atas, terbuka di bawah. Kalau bukan Islam tidak apa juga, ini wanita Islam.

Tandas berbayar di pasar itu boleh tahan, walau pun tidak sebersih tandas yang dinilai bersih. Tapi alat pam najisnya ada yang telah rosak dan tercabut entah ke mana. Sebelum itu, sebuah daripada pintu bilik tandas itu telah rosak, tercabut, enselnya telah tanggal, tapi hari ini tidak ada lagi, sudah dibaiki.

Walau bagaimana pun tandas di pasar itu jauh lebih baik daripada tandas sebuah restoran jualan masakan panas yang terletak di jalan Wakaf Che Yeh yang kami masuk pada suatu malam itu. Kalau saya masuk tandas itu belum makan, kemungkinan besar, saya tak akan berselera untuk makan makanan-makanan yang dipesan, apa lagi khidmat pelanggannya kurang memuaskan.

Alangkah baiknya, kalau sekali sekala pihak berkuasa memantau restoran-restoran itu ketika mereka beroperasi di waktu malam untuk mempastikan semuanya berada dalam keadaan yang baik.

Dalam perjalanan menuju ke kereta untuk pulang, dua orang cucu saya singgah di sebuah gerai air jambu. Saya menunggu mereka dan menumpang berdiri di bawah sebuah khemah di seberang laluan dan di belakang tiga orang wanita yang berkongsi tempat untuk menjual buah-buhan dan sayur-sayuran.

Masa itu tidak ada pembeli. Ketiga-tiganya rancak berbual. Saya sempat menangkap sebahagian daripada perbualan mereka. Sebahagian daripadanya saya perturunkan untuk dikongsi bersama oleh para pembaca yang saya hormati.

Cerita ini adalah cerita wanita ynag paling tua daripada mereka bertiga. Katanya semalam, anak perempuannya menyediakn sebanyak 300 biji solak lada [sejenis masakan yang bahan utamanya ikan dan kelapa yang disumbat ke dalam lada hijau dan dikukus] kerana ada tempahan. Dengan suara kecewa, dia memberitahu, bahawa anaknya itu tidak menyimpan sebiji solak lada pun untuk beliau. Semuanya habis dijual

Katanya dengan nada kesal "Tidak sebiji solak pun yang ditinggalkan untuk kita. Terliur [keluar air liur] kita untuk merasanya".

"Tidak sebiji pun disimpan untuk emaknya? Sungguh tak patut", balas rakan wanita di sebelah kirinya.

Temannya di sebelah kanan pula terus membakarnya, "Tulah budak-budak hari ini tak ingat langsung kepada ibu bapa. Kalau mereka membahagi-bahagikan makanan, habis segala makanan diberikannya keapada orang lain, tapi sedikit pun tidak disimpan untuk emak dan ayahnya yang masih belum merasainya".

"Itulah". Sambung wanita di sebelah kiri, "beli lada banyak-banyak ini.Nak buat solak sendirilah tu. Kasihan!".

Dibakarnya lagi wanita tua itu. Tercetus kebimbangan dalam hati saya, takut-takut terkeluar sumpah seranah dari mulut wanita itu terahdap anaknya kerana kes sebiji solak lada yang beberapa sen sahaja nilainya.

Tapi mujurnya, dia hanya ketawa terkekeh-kekeh melihat rakannya melambung-labung tumpukan ladanya itu.

Saya tidak percaya anak perempuannya itu sengaja untuk melukakan hati emaknya itu. Ia mungkin tidak disenghajakan.

Tapi demikianlah perasaan orang tua, mudah terusik, mudah tersiggung. Kadang-kadang benda yang tidak jadi kudis gatal pun diperbesar-besarkannya, macam dosa yang tidak berampun.

Oleh itu kepada anda yang masih mempunyai ibu bapa, hendaklah bersyukur kerana anda masih lagi mempunyai wadah untuk mencari keredaan Allah dengan jalan mencari keredaan kedua ibu bapa yang amat berjasa kepada anda itu.

Kami merasa telah kehilangan sesuatu yang amat berharga bila ayahanda saya pulang ke rahmatullah, dan kemudiannya disusuli oleh bonda saya yang membuat kami sekali lagi merasa telah kehilangan sesuatu yang tidak ternilai harganya. Kami reda dengan pemergian mereka. Tapi kehilangan kedua-duanya bererti kami telah kehilangan gedung rahmat yang dikurniakan Allah kepada kami selama ini.

Saad bin Abi Waqash adalah salah seorang sahabat Nabi SAW yang terkenal. Beliau sangat sayangkan ibunya. Tapi ketika beliau menerima hidayat memeluk agama Islam, ibunya merasa amat kecewa dan tidak senang hati dengan tindakannya itu. Maka merajuklah bondanya itu, dan langsung tidak mahu menjamah sebarang makanan.

Walaupun ibunya masih belum Islam, keadaan ini amat menggusarkan hati Saad bin Abi Waqash. Tidak sampai hati beliau untuk membiarkan ibunya merana kerananya. Maka beliau pun segera dengan lemah lembut, memujuk, merayu dan membelai ibunya, hingga menyebabkan hati ibunya menjadi cair, dan bersedia untuk makan.

Dan ini menggembirakan hati Saad, kerana tidak ada lagi halangan besar kepadanya untuk memeluk agama Islam.

Sesungguhnya Allah berfirman, "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan [dari awal mengandung hingga akhir menyusunya], dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, [dengan yang demikian], bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan [ingatlah], kepada Akulah jua tempat kembali [untuk menerima balasan].Luqman:14.

xxxxxxxx

Bisik Pondok Rahmat:

Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung harmoni.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen

ads