Isnin, 8 Ogos 2011

03 di galas kelantan - Google Blog Search

03 di galas kelantan - Google Blog Search


LAMAN KL-TODAY.COM » Blog Archive » BN <b>Galas</b>: PRK paling telus <b>...</b>

Posted: 12 Oct 2010 09:19 AM PDT

Shaharul Shafie

Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tengku Razaleigh Hamzah di atas penerimaan beliau untuk menjadi Pengarah Pilihanraya Kecil bagi DUN Galas yang bakal dilangsungkan pada 4 Oktober nanti. Perlantikannya merupakan satu titik penting di dalam melahirkan satu pilihanraya kecil yang dijangka lebih selamat, tersusun dan lebih telus jika dibandingkan dengan beberapa siri pilihanraya kecil sebelum ini.

Awal-awal lagi semalam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed mengumumkan semasa di Universiti Malaysia Kelantan bahawa rakyat negeri Kelantan terutamanya di kawasan Galas supaya tidak mengharapkan projek-projek segera sepertimana yang pernah digula-gulakan sebelum ini semasa pilihanraya kecil yang lalu oleh Barisan Nasional (BN). Persoalannya ialah adakah penarikan taktik tegar BN ini adalah hasil kesepakatan dengan Tengku Razaleigh supaya beliau bersetuju menjadi Pengarah jentera pilihanraya Umno-BN di Galas? Mungkin ya, mungkin tidak.

Bagi pendapat penulis, ia berkemungkinan ya. Bagi yang mengenali aspirasi Tengku Razaleigh yang selama ini kurang gemar dengan taktik gula-gula dan janji-janji yang diamalkan oleh jentera BN sebelum ini pastinya ini merupakan syarat untuknya bersetuju menerima jawatan tersebut. Walaupun Mustapa atau Tok Pa adalah Ketua Perhubungan Umno Kelantan yang juga ketua kepada Tengku Razaleigh apabila pilihanraya DUN Galas rancak berkempen, Tengku Razaleigh telah diberikan kad super VVIP sementara untuk membuat keputusan besar mengenai hala tuju jentera kempen mereka nanti.

Tahukah anda selain dari ketiadaan gula-gula manis BN kali ini di Galas, apakah lagi bentuk kesepakatan atau syarat yang menyebabkan Tengku Razaleigh menerima jawatan itu untuk tempoh singkat itu? Kita boleh mengandaikan bahawa Tengku atau nama gelaran politiknya, Ku Li mungkin memberi peringatan kepada pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) supaya tidak campur tangan atau membantu jentera kali ini. Dengan hubungan yang akrab yang boleh dilihat di antara Tok Pa dan Ibrahim Ali (atau Tok Him) pastinya persetujuan itu dicapai bagi menghormati Ku Li bagi memberi laluan kepadanya untuk memeta strategi bagi menawan kerusi DUN Galas dengan cara yang profesional lagi telus.

Tok Him awal-awal lagi semalam juga membuat kenyataan bahawa beliau akan turun meninjau Galas atas nama Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas dan ahli-ahli Perkasanya akan membantu sama ada Umno atau PAS atas kapasiti diri mereka di dalam parti itu sendiri. Nasib baiklah, masalah komunikasinya yang baru-baru ini dengan tiga pemimpin utama Umno iaitu Setiausaha Agungnya, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin boleh dijadikan alasan sebagai menutup bentuk 'persepakatan' dengan Ku Li. Walaubagaimanapun, apa yang penulis katakan di sini hanyalah andaian semata-mata tetapi suatu andaian yang boleh dikira menepati dengan suasana di sebalik tabir politik Umno dan Perkasa pada ketika ini yang tidak dilihat dengan mata kasar kita.

Penulis mengandaikan Umno dapat mengurangkan belanja pilihanraya terutamanya di dalam menyenaraikan senarai gula-gula atau projek kepada penduduk Galas kerana keperibadian Ku Li sendiri yang menolak strategi-strategi berkenaan. Memang satu kerugian kepada penduduk Galas sendiri yang mungkin sesetengahnya sudah pun berkira-kira atau berharap untuk mendapat sesuatu daripada 'peluang' pilihanraya kecil sebegini sepertimana pengundi-pengundi di dalam PRK yang lalu. Mungkin rakan-rakan pengundi di Batu Sapi, Sabah yang lebih beruntung kerana bakal menerima 'peruntukan' di Galas dan ditambah lagi dengan peruntukan gula-gula yang sudah disediakan BN semasa di Batu Sapi nanti.

Mengenai Perkasa, Ku Li juga tidak suka Perkasa menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu di Galas terutamanya kaum Cina yang bimbang dengan sikap perkauman yang dilihat menjadi-jadi di dalam pertubuhan NGO Melayu itu. Jangan kita lupa jumlah pengundi Cina di sana adalah yang terbesar di dalam mana-mana DUN di negeri Kelantan. Apabila gula-gula dan Perkasa dapat dielakkan, pastinya akan mengurangkan ketegangan pilihanraya kecil yang bakal berlangsung ini dan akhirnya ketelusan di dalam kempen BN pimpinan Ku Li kali ini akan menjadi contoh kepada kita semua.

Sungguhpun demikian, di masa Ku Li ingin memastikan pilihanraya kecil ini menjadi lebih satu pertandingan yang penuh profesional dan telus, beliau perlu bimbang dengan hasil daripada pilihanraya itu nanti. Sepanjang proses kempen yang sudah pun bermula sekarang secara tidak rasminya, sehinggalah jam 12 tengah malam 3 November nanti, Ku Li pastinya tiada masalah untuk memimpin sekumpulan jentera Umno tanpa tangan-tangan Umno pusat yang mengganggunya. Tetapi nasibnya dalam politik BN bakal ditentukan dengan keputusan yang bakal diumumkan bila-bila masa antara jam 8 ke 9 malam keesokan harinya pula di Pusat Sivik Gua Musang.

Ku Li tidak dinafikan seorang pemimpin tempatan dan nasional yang dihormati oleh kawan tetapi lebih disegani oleh lawan. Faktor kekuatan Ku Li yang sudah menjadi ahli Parlimen Gua Musang hampir 36 tahun itu sejak tahun 1974 selain dari taraf kebangsawanannya di Kelantan merupakan faktor penting yang perlu digeruni oleh lawannya terutamanya dari PAS. Hanya memakai baju BN tetapi Ku Li lebih mesra dengan kebanyakan polisi-polisi dan agenda perjuangan Pakatan Rakyat (PR) khususnya PAS di negeri Kelantan sejak beberapa tahun ini.

Sokongan padunya kepada kerajaan PAS pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menuntut royalti petroleum daripada Petronas dilihat sebagai satu titik pertemuan di antara aspirasi perjuangannya dan juga perjuangan PAS di negeri itu yang bersandarkan kepada pembangunan rakyat. Malah, Ibrahim Ali sendiri yang mempunyai Perkasa hari ini tidak mengendahkan urusan royalti petroleum walaupun sebagai anak negeri itu sendiri. Malah Tok Him lebih nampak setuju dengan konsep wang ihsan dari kerajaan pusat yang disalurkan melalui Tok Pa dan kakitangannya di negeri itu.

Detik ini amatlah sukar bagi Ku Li tetapi bernasib baik kerana pimpinan Umno pusat dijangkakan akan membiarkan beliau mengetuai jentera Umno mengikut acuannya sendiri. Namun begitu, masa masih begitu awal untuk menganggapnya sedemikian. Ini kerana macam-macam boleh berlaku bila sudah tiba musim berkempen. Walaubagaimanapun, baik buruknya keputusan pilihanraya nanti bakal memberi kesan kepada Ku Li sendiri.

Saya yakin Ku Li tidak bersetuju pada awalnya atau pun berkira-kira untuk menerima pelawaan ke jawatan pengarah pilihanraya itu yang pada lazimnya diberikan kepada Timbalan Presiden Umno atau kepada salah seorang Naib Presiden Umno. Bagi menunjukkan kesetiaannya kepada Umno, Ku Li terpaksa tidak menolak jemputan khas tersebut. Walaupun beliau berada lama di Ireland dan United Kingdom sejak penyandang kerusi DUN Galas, Allahyarham Che Hashim Sulaima pulang ke Rahmatullah, namun dengan dunia serba moden dengan komunikasi hebat membolehkan Ku Li berhubung dengan pimpinan Umno atau dihubungi oleh mereka untuk berbincang syarat-syarat penerimaannya untuk jawatan tersebut.

Penulis sekali lagi menjangkakan pilihanraya kecil ini bakal berjalan dengan lancar dan penuh profesional hanya jika jentera BN diketuai oleh Ku Li dan jentera PAS pun dilakukan dengan penuh telus. Mungkin ada sedikit kekecohan yang akan berlaku semasa keadaan semakin memuncak semasa di penghujungnya. Namun, pilihanraya kecil ini bakal dilihat untuk menjadi PRK yang terbaik lagi tersusun yang tidak pernah disaksikan oleh SPR sendiri dan juga orang ramai selama ini terutamanya siri-siri PRK selepas tsunami politik 2008.

Jika ditanya tentang andaian keputusan PRK Galas kelak kepada penulis, dari pengamatan di peringkat awal ini, biarlah penulis berkata begini iaitu PAS kena bekerja keras untuk mempertahankan DUN Galas dan tidak terlalu yakin untung menang. Faktor calon, sokongan orang Asli dan ketokohan kepimpinan Nik Aziz bakal memainkan peranan besar bagi mengekalkan kerusi tersebut. DUN Galas baru sahaja diperolehi oleh PAS semasa pilihanraya umum lalu selepas berada dengan selamatnya di bawah Umno. Semuanya kerana ketokohan Ku Li sendiri sebagai pemimpin setempat yang disayangi ramai.

Hanya faktor tsunami politik 2008 yang sedikit mencalar rekod tanpa kalah Umno di Gua Musang di DUN Galas. Namun, kerusi-kerusi DUN yang lain di bawah Gua Musang iaitu Nenggiri dan Paloh terus kekal dibawah penguasaan Umno. Tidak dinafikan majoriti semasa PRU 2008 di Nenggiri, Paloh dan juga untuk kerusi parlimen yang disandang oleh Ku Li sendiri menurun kerana mendapat tempias tsunami 2008. PAS pula jika meletakkan calon dari masyarakat Orang Asli mampu setidak-tidaknya mengekalkan kerusi DUN tersebut dengan majoriti yang kurang.

Semasa PRU 2008, peti-peti undi Orang Asli walaupun menampakkan kenaikan 20 peratus tambahan undi mereka kepada PAS tetapi secara keseluruhannya masih lagi majoritinya menjadi milik Umno. Jika calon PAS datangnya dari Orang Asli benar-benar menjadi, kekalahan PAS di peti-peti undi Orang Asli sebelum ini mungkin dapat ditebus dan ini sekurang-kurangnya dapat mengisi kehilangan beberapa undi daripada pengundi Melayu di peti-peti undi Melayu yang pernah diterima PAS dahulunya.

Kehilangan ini perlu diambil kira dengan trend penurunan undi Melayu kepada PAS dan PR seperti yang dilihat dalam dalam siri-siri PRK selepas PRU 2008. Malah, petunjuk kemenangan tipis ataupun majoriti PAS yang berkurangan semasa PRK DUN Manek Urai wajar diambil sebagai teladan. PAS dijangka tidak akan menghadapi masalah dengan undi orang Cina terutamanya di peti undi Bandar Baru dan Bandar Lama Gua Musang.

Selepas dua tahun sejak PRU 2008, banyak isu-isu nasional berkaitan kaum, agama dan ekonomi telah menjadi pertaruhan kedua-dua gergasi BN dan PR termasuklah isu bersifat perkauman yang dimainkan oleh Perkasa bagi memainkan sentimen rakyat. Walaupun trendnya masih status-quo atau tidak berubah, tetapi faktor sokongan Ku Li ke atas tuntutan royalti petroleum itu dilihat mampu mengubah semula kecenderungan pengundi di Galas yang pernah menyokong PAS sebelum ini untuk kembali kepada Umno.

Walaubagaimanapun, faktor calon juga penting bagi Umno. Sungguhpun begitu, penulis tidak nampak Ku Li sendiri akan turun menjadi calon. Ini kerana tindakan berkenaan akan menunjukkan kepada orang ramai bahawa Umno ketandusan pemimpin baru yang boleh diketengahkan dan persepsi ini amat buruk kepada Umno. Malah, jika Ku Li sendiri memenangi DUN tersebut, ini bakal menyusahkannya kerana beliau terpaksa menjadi 'pembangkang' yang kuat di DUN Kelantan kerana jumlah pembangkang di Kelantan dari Umno hanyalah 6 orang sahaja.

Di peringkat nasional atau di Dewan Rakyat, Ku Li tiada masalah menjadi ahli Parlimen BN kerana di dalamnya sudah ramai ahli Parlimen BN yang bersedia untuk berbahas dan berinteraksi dengan pembangkang yang dari PR. Malah, kerusi Ku Li sebagai ahli Parlimen Gua Musang pun terletak di tengah-tengah antara lengkungan pelantar tempat duduk ahli Parlimen yang sebelah kanannya adalah BN dan kirinya ialah PR jika dilihat dari tempat duduk Speaker. Dengan itu, menjadi mereka yang duduk di 'tengah-tengah' itu adalah lebih mudah untuk sekadar melihat dan mendengar usul dan perbahasan bersama-sama mereka yang sudah pencen dari kerajaan seperti mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, para mantan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Ong Tee Keat dan juga bekas-bekas menteri seperti Datuk Paduka Rafidah Aziz, Datuk Azmi Khalid dan Datuk Syed Hamid Albar.

Jika jentera Ku Li mampu menawan Galas, ini bermakna Ku Li mempunyai peluang untuk menguatkan semula sokongan ke atasnya dalam politik. Namun begitu, penulis yakin bahawa Ku Li tidak lagi berminat untuk ke pentas politik utama Umno lagi seperti masa-masa lampau apabila bertanding dengan Tun Mahathir dan Tun Abdullah dalam beberapa siri pemilihan Umno.

Tetapi jika Ku Li gagal menawan Galas, dengan pemberian kuasa sementara menjadi Pengarah jentera Umno, musuh-musuhnya dalam Umno bakal menggunakan peluang ini untuk menjatuhkannya terutamanya mereka di dalam Umno Kelantan sendiri. Sungguhpun begitu, penulis yakin sekiranya musuh-musuh dalam selimut Ku Li di dalam BN itu berfikiran demikian bagi menggunakan alasan kekalahan tersebut, penulis meminta mereka berfikir dua kali sebelum membuat kesilapan lebih besar.

Ini kerana Ku Li sudah sinonim dengan penduduk Gua Musang. Jika Ku Li bertanding dalam PRU ke 13 pada umurnya yang mungkin mencapai 74 tahun ketika itu sekalipun sebagai wakil Bebas seandainya Umno yakin untuk menggantikannya kelak, penulis yakin Ku Li masih boleh menang. Ini berbeza dengan Ibrahim Ali yang ingat dirinya sinonim dengan penduduk Pasir Mas tetapi kalah sebagai calon Bebas pada PRU 2004 dan perlu menggunakan lambang PAS yang kini terpacul sebagai musuhnya sebaik sahaja memenangi kerusi tersebut. Memang satu perkiraan yang salah jika Umno menganggap kekalahan di Galas merupakan pengakhiran untuk Ku Li. Seperti nila setitik rosak susu sebelanga, jika Ku Li membuat pilihan menjadi calon Bebas nanti, bukan sahaja Ku Li mampu menang tetapi ketiga-tiga kerusi DUN dibawahnya bakal melayang kepada kerajaan PAS yang dilihat semakin kuat. Namun begitu, penulis yakin Ku Li sendiri akan bersara dari dunia politik menjelang PRU akan datang. Ayuh kita lihat dan saksikan ramalan penulis sama ada menjadi atau tidak.

Shaharul adalah seorang perunding pakar Modal Insan Strategik dan program pembangunan organisasi. Pernah berkhidmat lama di sektor awam dan swasta dalam bidang pendidikan, kepimpinan organisasi, penyuntingan dan latihan. Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KL-Today.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Komen

ads