Khamis, 15 Mac 2012

03 di perupok - Google Blog Search

03 di perupok - Google Blog Search


.: Susupan Petang

Posted: 14 Mar 2012 10:07 PM PDT

Bukan Senang Untuk Awang Adek
Menang Di Bachok

Banyak orang mengira apabila Nasharudin Mat Isa yang mesra Umno tidak lagi diletak untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok, Awang Adek Hussein akan gampang merampas kerusi berkenaan. Perkiraan ini dibuat kononnya Pas tidak ada tokoh selayak Nasharudin yang boleh mempertahankan kerusi Parlimen Bachok.

Seorang setiausaha politik Najib Razak sendiri mengakui kalau Nasharudin bertanding di Bachok sukar untuk Awang Adek menang di kerusi itu. Tetapi sayangnya Nasharudin tidak lagi menjadi sandaran Pas kali ini disebabkan ulahnya sendiri. Walaupun ada bisik-bisik Nasharudin untuk dibawa sekali lagi ke Bachok tetapi harapannya senipis kulit bawang.

Tokoh-tokoh Pas Bachok yang ada kini termasuk dua orang Adun seperti Hassan Mahmod, (Tawang) Abdul Azziz Kadir (Jelawat) tidak mampu untuk mengatasi ketokohan dan kehebatan Awang Adek Hussein sebagai pakar ekonomi yang memiliki kekayaan melimpah ruah.

Hanya Omar Mohamad (Perupok) dikatakan boleh memberi cabaran kepada timbalan menteri itu. Omar pernah mengecewakan harapan Awang Adek untuk jadi MB Kelantan apabila menyembamkan Awang Adek di Perupok.

Sehingga saat ini seakan sudah pasti Omar akan dijadikan sandaran oleh Pas untuk mempertahankan kerusi parlimen Bachok. Jadi dengan ketiadaan Nasharudin, Omar tokoh yang dikatakan sesuai untuk bertanding dikerusi Parlimen. Dalam masa sama ada seorang ahli politik diluar Pas dan PKR dikatakan boleh diharap untuk berdepan dengan Awang Adek. Awang Adek sendiri katanya takut kalau orang ini diletak untuk berdepan dengannya kerana dia tahu akan pengaruh dan sokongan peribadi tokoh ini.

Dia dimaksudkan ialah Zayadi Awang Nuh bekas tokoh pemuda Umno Bachok. Zayadi kini dikatakan tidak lagi berkeyakinan dengan Umno. Keberadaanya di dalam Umno kini hanya kerana menghormatinya ibu (Mak Su Limah) yang merupakan bekas ketua Wanita Umno Bachok yang berpengaruh.

Dia juga dilaporkan bersedia untuk diletak berdepan dengan Awang Adek. Zayadi dikatakan mempunyai keluarga besar di Bachok. Ibunya adalah bekas Ketua Umno Umno Bachok seorang tokoh wanita dimalui di Bachok.

Keluarga Zayadi sejak dari dulu lagi tidak begitu 'nggam' dengan stail dan pembawaan politik Awang Adek Hussein. Atas dasar itulah kalau Zayadi berdepan dengan Awang Adek, boleh simpul tali Awang Adek akan menangis tidak berlagu. Soalnya apakah Zayadi akan diturunkan?

Sekiranya Pakatan Rakyat mahu pastikan kerusi Bachok kekal, formula terbaik ialah meletakkan Zayadi untuk berhadapan dengan Awang Adek Hussein. Bagi merealisasikan ini Pas terutamanya perlu mengamalkan politik terbuka dan understanding.

Usaha sedang dilakukan untuk membawa Zayadi diturunkan ke parlimen Bachok. Sekiranya Pas merasakan mereka tidak berkupayaan untuk berdepan dengan Awang Adek kemungkinan Zayadi akan dijadikan sandaran. Bagai Zayadi sendiri beliau tidak kisah sama ada bertanding atas tikit PKR atau Pas. Namun hati kecil Zayadi dia lebih berminat dengan Pas, apa lagi keluarganya juga dikatakan ramai menjadi penyokong Pas.

Ketika membuat tinjauan ke Bachok dua tiga hari lepas saya berbicara dengan seorang pegawai Kemas, jabatan yang dikenali sebagai mata telinga Umno. Menurut pegawai berkenaan kedudukan Awang Adek di Bachok tidak begitu menyelesakan. Katanya kalaupun bukan Zayadi yang dibawah turun pun, Awang Adek akan kalah. Bagaimana pun kalau benar Zayadi diturunkan ia makin mudah Awang Adek dikalahkan.

Pegawai Kemas itu memberi dua faktor kenapa Awang Adek akan bersungkur sekali lagi. Pertama katanya Awang Adek tidak mendapat sokongan ahli jawatan kuasa bahagian. Sikap Awang Adek yang sombong, agah tidak bertempat menjadikan orang Bachok tidak berapa senang dengan bekas bakal MB Kelantan itu. Meskipun Awang Adek anak nelayan tetapi lagaknya lebih bangsawan dari golongan bangsawan.

Kedua ialah isu rasuah yang dikaitkan dengan Awang Adek. Isu wang derma untuk parti berjumlah RM100,000 yang dimasukkan ke dalam akaun tiga orang pegawainya menjadi perbualan hangat di Bachok. Gara-gara wang itu menyebabkan timbul persepsi buruk ke atas Awang Adek. Ada yang menganggap wang itu sebagai komisyen atas kelulusan projek.

Orang Bachok mempertikaikan mungkin wang derma yang dimasukan ke dalam akaun khas itu bukan setakat itu sahaja, ia mungkin banyak lagi. Kata pegawai itu Awang Adek dikatakan menutup tuduhan itu dengan membawa cerita dia sudah menyaman pihak yang mendedahkan cerita berkenaan.

Selain itu, faktor lain ialah kesepaduan ahli jawatankuasa bahagian menyokong Awang Adek tidak berlaku. Kebanyakan ahli jawatankuasa bahagian tidak mempedulikan Awang Adek, sebaliknya mengemas dan menjaga kedudukan masing-masing. Misalnya timbalan beliau Dr Alias Hussein katanya asyik tumpu ke kawasannya di Jelawat sahaja tetapi tidak untuk seluruh Bachok.

Alias sendiri katanya belum tentu akan dapat merampas kerusi Jelawat. Adun Pas kini, Abdul Azizz Kadir (foto) yang lawprofil disenangi oleh rakyat Jelawat. Azizz katanya tidak banyak cakap tetapi kerajinannya menemui rakyat menyebabkan ia menjadi Adun yang disenangi.

Kata pegawai Kemas itu lagi, tiga orang ahli jawatan kuasa bahagian Bachok tidak tinggal dalam kawasan. Mereka berada di Kuala Lumur dan pulang sekali sekala bila mana ada program besar yang dihadiri menteri sahaja. Keadaan ini menyebabkan gerak kerja untuk menguatkan jentera parti tidak begitu ampuh.

Apa yang berlaku hari ini Awang Adek bergerak menerusi aktiviti yang diaturkan oleh agensi kerajaan termasuk juga JPP Kelantan. Selain itu beliau juga banyak menumpang kegiatan diaturkan oleh Wanita. Jentera peringkat bahagian menurutnya langsung tidak bergerak, seakan-akan ada sebotaj dalaman ke atas Awang Adek.

Berdasarkan hakikat itulah apa yang boleh disimpul harapan Awang Adek untuk menang di Bachok kemudian dilantik menjadi menteri penuh (kalau UBN menang) masih berada dalam mimpi diigauan siang hari. [wm.kl.1:38 t/hari 15/03/12]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads