Rabu, 25 Julai 2012

03 di galas kelantan - Google Blog Search

03 di galas kelantan - Google Blog Search


UMNO Online - Syukur, BN Menang Besar – Tengku Adnan

Posted: 04 Nov 2010 12:12 PM PDT

Kategori Dari Setiausaha Agung

Syukur, BN Menang Besar – Tengku Adnan

Oleh : Ropikah Ahmad.

SANDAKAN, 4 Nov. – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersyukur atas kemenangan yang telah diperoleh dalam dua pilihan raya kecil iaitu di Parlimen Batu Sapi, Sabah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan.

Katanya, kemenangan besar BN ini adalah satu petanda gelombang rakyat yang menolak manipulasi dan janji-janji palsu parti-parti lain di negara ini.

"BN melaksanakan sebagaimana yang dimahukan rakyat dan kita tidak memberikan janji-janji palsu seperti mana yang dilakukan oleh pembangkang dan kerajaan Pas di Kelantan sendiri," katanya.

Menurut beliau, kejayaan BN ini adalah sangat bermakna yang membuktikan bahawa rakyat telah kembali memberi sepenuh sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Gagasannya, 1Malaysia Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.

"Inilah hadiah yang sangat bermakna diberikan oleh rakyat kepada Perdana Menteri dan kita semua berdoa agar beliau akan segera sembuh dan diberikan kesihatan dan dapat kembali bertugas serta membawa negara ke arah kecemerlangan," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada semua pengundi di kedua-dua tempat tersebut dan yakin bahawa BN akan memberikan perkhidmatan sebagaimana yang diharapkan rakyat iaitu untuk kesejahteraan dan kesinambungan pembangunan.

"Sokongan yang diberikan oleh masyarakat memberi perangsang kepada BN sebagai sebuah kerajaan untuk terus memperbaiki khidmat kepada rakyat.

"Kita sedar bahawa parti-parti pembangkang telah cuba menimbulkan pelbagai spekulasi dan fitnah terhadap kerajaan tetapi dengan kebijaksanaan rakyat khususnya para pengundi di kedua-dua tempat ini, terbukti mereka ditolak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam mengulas kemenangan calon BN di Batu Sapi yang diwakili oleh Datin Linda Tsen Tau Lin dengan memperoleh majoriti besar iaitu 6, 359 dan di Galas meperoleh majoriti 1,190.

Dalam masa yang sama, beliau turut melahirkan penghargaan terhadap anggotan jentera parti yang telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh sembilan hari berkempen bagi memastikan gerak kerja dan calon yang mewakili BN beroleh kemenangan.

"Berdasarkan kepada apa yang telah kita lakukan dan juga kejayaan yang kita capai ini terbukti bahawa parti-parti pembangkang tidak mendapat tempat di hati rakyat dan ini ibarat sebagai satu suntikan kepada BN untuk terus meningkatkan khidmatnya selaras dengan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan," ujarnya. -MediaUMNO

Berita Bertarikh Pada 3:12 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads