Sabtu, 16 Februari 2013

di negeri kelantan - Google Blog Search

di negeri kelantan - Google Blog Search


Keunikan ekonomi <b>Kelantan</b>, satu tinjauan

Posted: 25 Jan 2013 03:38 PM PST

"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya." (Al-A'raf: 96)

Corak ekonomi rakyat Kelantan, sepintas lalu

Sebagai anak Kelantan yang membesar di perantauan, pasti banyak keunikan dan keistimewaan di negeri Serambi Mekah yang dapat dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Kedudukan geografi negeri Kelantan yang terletak di timur laut Semenanjung Malaysia, terpisah dengan Banjaran Titiwangsa, berhadapan dengan Laut China Selatan dan bersempadan dengan negara Thailand, banyak mempengaruhi keunikan sosio-budaya dan sosio-ekonomi rakyat Kelantan yang berjumlah hampir dua juta tersebut.

Kaya dengan pelbagai sumber asli, baik di daratan mahupun di lautan, Kelantan yang dianggap sebagai sebuah negeri agrarian (pertanian) menyaksikan aktiviti ekonomi rakyatnya berkait-rapat dengan aktiviti
perniagaan, pertanian dan perikanan yang banyak bergantung pada tahap aliran Sungai Kelantan dan alunan ombak di pesisiran pantainya.

Persepsi dari kaca mata pihak luar terhadap tahap ekonomi negeri Kelantan sering dikaitkan dengan kemunduran, kemiskinan, dan pengangguran, namun rakyat Kelantan turut disinonimkan dengan daya berdikari dan sifat bermuafakat, menjadikan mereka mempunyai dayatahan dan kekuatan tersendiri dalam mengharungi kehidupan.

Keunikan ekonomi rakyat Kelantan, satu pemerhatian

Memetik ucapan Belanjawan Negeri Kelantan Tahun 2013 oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Hj. Nik Abdul Aziz Bin Hj. Nik Mat:

"KDNK Negeri Kelantan pada tahun 2012 dijangka meningkat kepada RM11.14 bilion dengan kadar pertumbuhan 6.9%, manakala pertumbuhan KDNK Malaysia pada 2012 dijangka pada kadar 4.0% sehingga 5.0%. Sektor Perkhidmatan, Pertanian dan Pembuatan dijangka akan terus menjadi penyumbang utama KDNK Negeri Kelantan bagi tahun 2012 iaitu masing-masing sebanyak 80.4%, 17.9% dan 4.%.

Bagi menyokong hasrat kerajaan, Bajet 2013 turut meliputi penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas bagi menggalakkan aktiviti perniagaan dan keusahawanan.

Kerajaan akan terus menyediakan bantuan ekonomi dan peluang pekerjaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat."

Jika disorot pengalaman negeri Kelantan yang telah ditadbir selama 22 tahun berteraskan dasar Membangun Bersama Islam, selayaknya untuk negeri Kelantan diiktiraf sebagai model mini ke arah pembentukan sebuah Negara Berkebajikan di Malaysia.

Ini terbukti apabila Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan model ekonomi yang mengutamakan pembangunan seiring di antara aspek material dan rohani, meskipun berhadapan dengan kekangan kewangan dan penafian hak oleh pihak kerajaan Persekutuan, termasuklah hak terhadap royalti minyak untuk dinikmati oleh anak jati negeri Kelantan.

Selain peranan pihak Kerajaan Negeri sebagai penggubal dasar dan pengawalselia aktiviti pembangunan dan kebajikan, kerancakan dan dayatahan ekonomi negeri Cik Siti Wan Kembang ini turut disokong oleh kekuatan kuasa beli (purchasing power) dan permintaan tempatan (domestic demand) di kalangan rakyat negeri Kelantan, khususnya dalam aspek perniagaan kecil dan sederhana, ditambah pula dengan budaya sedeqah, zakat dan waqaf yang sinonim dengan rakyat negeri Kelantan.

Kekuatan kuasa beli dan permintaan domestik di negeri Kelantan dapat dilihat daripada beberapa pemerhatian terhadap aspek sosio-ekonomi yang melatari kehidupan harian rakyat Kelantan seperti berikut:

1. Tunai dan Emas – Urusniaga jualbeli dalam bentuk tunai yang tinggi adalah petanda utama dalam mengukur kekuatan ekonomi rakyat Kelantan dan turut menyumbang kepada merancakkan aktiviti perniagaan kecil dan sederhana di Kelantan.

Amalan berhutang di kedai runcit amat jarang diamalkan di Kelantan, apatah lagi transaksi jual-beli menggunakan kad kredit sebagaimana menjadi amalan biasa warga kota yang dihimpit beban sara hidup yang tinggi.

Transaksi tunai yang rancak ini sekaligus menjadi pemangkin kepada budaya berniaga di kalangan rakyat Kelantan apabila permintaan terhadap barangan sentiasa tinggi, samada barangan runcit mahupun makanan.

Di samping itu, budaya pemilikan emas di kalangan wanita Kelantan bukan sekadar untuk tujuan perhiasan dan kecantikan, tetapi turut menjadi perantara nilai ekonomi sesama mereka, khususnya dalam urusniaga pajak-gadai dan pinjaman modal.

Ini dibuktikan dengan prestasi perniagaan pajak-gadai Islam oleh Ar-Rahnu, di samping rekod jualan dinar dan dirham Kelantan yang kian meningkat, malah menjadi pemandangan biasa untuk melihat peraihperaih emas berniaga di pasar-pasar, duduk sebaris dengan penjual kuih-muih dan sayur-sayuran.

2. Tanah dan Rumah – Rakyat Kelantan secara umumnya lebih mengutamakan perbelanjaan untuk pemilikan aset kekal.

Daripada urusniaga pembelian tanah (atau pecah lot) yang amat popular di Kelantan serta aktiviti pembinaan dan pembelian rumah di kawasan bandar mahupun di luar bandar, sehinggalah kepada sekecil-kecil pemilikan aset seperti haiwan ternakan yang biasanya akan dijual untuk menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak.

Aset-aset utama seperti rumah banglo dan premis perniagaan menyaksikan lebih 70% pemilikan di tangan anak jati negeri Kelantan, situasi yang jarang berlaku di negeri-negeri lain.

3. Bank dan Tabungan – Kewujudan banyak cawangan bank di daerah kecil seperti Bachok, Kuala Krai dan Gua Musang adalah menarik untuk dikaji dan dibandingkan dengan situasi di daerah kecil yang setaraf di negeri lain.

Ini kerana, bagi daerah sebegini yang aktiviti ekonomi di kalangan penduduknya adalah terhad dan sering disinonimkan sebagai daerah termiskin, kewujudan lebih daripada tiga cawangan bank komersial utama seperti Maybank dan CIMB, mahupun bank berorientasikan masyarakat seperti BSN dan Bank Pertanian di daerah 'mundur' sebegini menjadi penanda aras terhadap tahap tabungan dan simpanan modal di kalangan rakyat Kelantan.

Situasi yang lebih rancak pula dapat dilihat di bandar utama seperti Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah yang menyaksikan urusniaga dan transaksi perbankan di kalangan rakyat adalah amat tinggi, di tambah dengan pembukaan cawangan bank yang menawarkan perkhidmatan perbankan Islam, tumbuh bak cendawan selepas hujan.

4. Infaq dan Sedeqah – Tidak perlu dihurai lebih lanjut akan budaya infaq, sedeqah, zakat dan waqaf di kalangan rakyat Kelantan.

Pembinaan surau (balasoh) dan masjid yang banyak di Kelantan semuanya ditampung oleh sumbangan derma dan zakat yang dikumpul sedikit demi sedikit.

Pendidikan merupakan institusi utama yang mendapat manfaat daripada budaya infaq dan sedeqah, baik dari segi pembiayaan pondok, madrasah dan sekolah agama rakyat, sehinggalah kepada pembiayaan pendidikan anak-anak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Hasil bantuan zakat dan sedeqah yang dihulur jiran sekampung dan saudara-mara ini merupakan pelaburan jangka masa panjang yang telah membuahkan hasilnya pada masa sekarang apabila tahap ekonomi warga kampung secara umumnya meningkat selepas anak-anak kampung ini menamatkan pengajian dan mempunyai kerjaya dan pendapatan yang lebih kukuh.

Inilah sebahagian daripada pemerhatian ringkas terhadap aspek sosio-ekonomi yang telah menjadi budaya di kalangan rakyat Kelantan, dan ia merupakan pemangkin utama kepada kekuatan kuasa beli dan dayatahan ekonomi negeri Kelantan.

Rezeki yang diperolehi biarpun nampak sedikit, tetapi ia lebih dari mencukupi untuk menampung kehidupan sehari-hari, buat bekalan di kemudian hari.

Kebaikan dan kebajikan yang bertambah-tambah, itulah barakah, dan inilah kekuatan dan keunikan ekonomi negeri Kelantan Darul Naim.


"Artikel ini dipetik dari majalah Qiadah edisi ke 12 terbitan Perbadanan Menteri Besar Kelantan".
Syahir Sulaiman adalah Pengarah Kajian Polisi DPPM. Beliau mendokong agenda Membangun Negara Berkebajikan.
26 Januari 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads