KOTA BHARU – Polis Kelantan berjaya menahan 109 lelaki dipercayai terbabit dengan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah di empat lokasi sekitar Kota Bharu di sini, awal pagi semalam.

Kesemua yang berusia antara 18 dan 35 tahun itu ditahan dalam tempoh sembilan jam Ops Tapis Bersepadu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisoner Azham Othman berkata, hasil operasi berkenaan, pihaknya merampas 461 dadah jenis pil kuda dan wang tunai berjumlah RM8,460 dipercayai hasil jualan barang larangan itu.

"Operasi bermula jam 12 tengah malam dan berakhir sekitar 9 pagi membabitkan 20 pegawai serta 113 anggota. Operasi melibatkan kawasan sekitar Kota Bharu, Badang, Binjai dan Kubang Kerian.

"Selain pil kuda, polis turut menjumpai 9.5 gram heroin dan ganja dengan tangkapan tertinggi dilakukan di Binjai," katanya pada sidang media di IPD di sini, petang semalam.

Menurutnya, dalam operasi sama, 96 penagih berjaya diberkas dengan lapan daripadanya adalah penagih tegar.

"Dua kes turut membabitkan jenayah memiliki senjata pisau dan sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran palsu turut dirampas.

"Kesemua mereka akan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(2), 39A(1), 12(2) dan 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azham berkata, seorang suspek berusia 35 tahun sudah dikenal pasti dipercayai terbabit melarikan kereta jenis Nissan Grand Livina milik seorang doktor di Kampung Demit, Kubang Kerian di sini, Selasa lalu.

"Pihak kami dalam usaha menjejaki lelaki berkenaan dan saya percaya dengan kekuatan anggota yang ada, penjenayah itu akan dapat dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.