Pergorbananya masih dikenang
Terkenang Hj Nordin Yaacob
Setiap kali melewati daerah Tumpat apa lagi melangkah kaki lembah pesisiran itu roda ingatan akan berputar mengimbau kepada Allahyrham Haji Nordin Yaacob bekas Adun Kelaboran. Ketika itu juga terpasang niat dihati untuk singgah di rumahnya bagi menjenguk balunya Kak Yah dan anak-anak.
Malangnya niat itu tidak pernah menjadi kenyataan, tidak tersinggah pula di rumah itu. Semacam "Umno" menyekat saya. Entah kenapa tidak tahu. Allahyarham ialah Adun Kelaboran Tumpat selama dua penggal (1995 - 2004). Allahyarham adalah antara Adun yang rapat dan sangat mesra dengan saya. Beliau memenangi kerusi berkenaan atas tikit Parti Melayu Semangat 46 tahun 1995 dan atas tikit Pas 1999.
Ketika itu Pas berkerjasama dengan Semangat 46 menerusi perpaduan ummah. Hasil kerjasama itulah satu sejarah dicatat di Kelantan dimana Pas dan Semangat 46 berjaya menyapu semua kerusi Dun dan Parlimen pada tahun 1990.
Apabila Semangat 46 kembali semula untuk bersama induknya Umno, setelah presidennya Tengku Razaleigh Hamzah tidak lagi yakin parti yang diasasnya itu mampu berhadapan dengan Umno, bersetuju kembali ke dalam parti asalnya. Alasan digunakan ialah demi perpaduan Melayu. Bagaimana pun Nordin tidak ikut bersama dengan Tengku Razaleigh. Beliau mengambil keputusan untuk bersama Tokguru Nik Aziz sebagai MB kemudian menyertai Pas dan diberi peluang bertanding atas tikit Pas, menang.
Pendirian Haji Nordin itu kurang disenangi oleh pimpinan Semangat 45 sehingga mendatangkan sedikit masalah kepadanya. Beliau menerima berbagai tekanan dan ugutan ekoran ketegasan dan keputusan luar dugaan itu termasuk untuk ditangkap dan mendakwanya ke mahkamah atas kesalahan kononnya melakukan salahguna kuasa semasa berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah sebelum itu.
Bagaimana pun Haji Nordin tetap dengan keputusannya. Halangan dan tekanan tidak bisa merubah nekadnya untuk memilih Pas sebagai wadah perjuangan hingga ke akhir hayat. Hasil bersama Pas dan bergaul dengan pemimpin Pas khasnya Nik Aziz, beliau mendapat tarbiah dan memahami bahawa parti yang benar-benar susai memperjuangankan Islam ialah Pas.
Pada saya Haji Nordin bukan saja pejuang yang ditekan dan berjaya menghadapi tekanan, tetapi beliau tidak bernasib baik. Semasa Tok Guru Nik Aziz hendak membentuk barisan Exconya dan mengisi beberapa kekosongan apabila ahli Semangat 46 keluar dari kerajaan, nama Haji Nordin salah seorang dicalon untuk mengisi kekosongan itu. Malangnya kerana tidak mendapat perkenan dari istana menyebabkan beliau tidak dapat dilantik menjadi Exco. Cadangan namanya ditolak. Sebagai ganjaran serta berpandukan kepada pengalamannya sebagai bekas pegawai tadbir kerajaan negeri beliau dilantik menjadi Yang Dipertua MPKB dan beberapa agensi kerajaan lain.
Sebagai orang yang rapat dan pengkalan tempat beliau meluahkan perasaan, mengadu hal dan sebagainya saya sangat memahami segala pencaroba dan pengorbanan dilakukannya. Banyak rahsia yang diluahkan kepada saya untuk saya jadikan kenangan. Semasa beliau menerima rawatan di Hospital Selayang akibat sakit kencing manis kronik saya beberapa kali menziarahinya dan memberi semangat. Hubungan itu jugalah merapatkan saya dan isteri dengan isteri Allahyarham, Kak Yah.
Semua kenangan bersamanya masih tertampal dalam mata dan terladum di hati. Kebaikan budi, keramahan dan nilai persahabatan dengan beliau masih dikenang hingga kini. Kerana itu walaupun sudah enam tahun beliau meninggalkan kita semua, saya merasakan beliau masih ada. Kerana itu juga setiap melewati daerah permukimannya hati jadi terkenang dan kalbu meronta untuk bertanya khabar mengenai keluarganya sebagai tanda saya masih ingatkan kepadanya.
Kebetulan kepulangan saya ke Kelantan dua tiga hari lepas disertai sama isteri. Jadi hari Jumaat itu saya sudah 'khosab' di dalam hati akan menjenguk isteri Allahyarham, Kak Yah di rumahnya di kampung Sedar Tumpat. Walaupun kesibukan saya rejamkan masa saya sebelum Jumaat itu untuk ke rumah Kak Yah.
Alhamdulilah hajat dan niat lama itu terkabul juga. Selepas Jumaat saya ke rumah Allahyarham dan disambut oleh Kak Yah. Saya tidak dapat membayangkan saking gembiranya Kak Yah dengan kedatangan yang tidak diguga itu. Apa lagi dalam kesempatan itu beliau banyak menceritakan denai-denai kehidupan beliau selepas ketiadaan suaminya yang penuh sepi berbaur dengan rindu.
Hanya mendengar beberapa kelumit saja cerita Kak Yah saya faham dan dapat menghayati kesepian dan rindu dialaminya. Sementelahan pula dikala bersendirian di rumah, sepi mengepong seluruh hidupnya. "Kak Yah tidak berbuat apa-apa sekarang, pergi masjid dengar kuliah agam atau mengaji Quran..itu saja," cerita Kak Yah.
Kesepian makin terasa apabila semua anak-anaknya sudah berumah tangga dan bekerja dan berada di rumah sendiri. Setengahnya ada di Kuala Lumpur dan yang lain berada di luar Tumpat. Ada kalanya berhari-hari dia bersendirian di rumah dan saat inilah kesepian merupakan senjata senyap paling berkesan yang mengundangnya mengenangi arwah suami semahunya.
"Kak Yah tidak dapat melupai abang Din... kenangan kehidup dengannya lama dan kami menghadapi segala kesusahan. Beliau orang politik, Encik Sayuti... sendiri tahu akan kerenah dan dugaanya... semua itu kami hadapi bersama. Mengenang itulah menyebabkan Kak Yah senantiasa mengenangnya..." ujarnya lagi tidak dapat meneruskan kata-kata bila mana air mata sudah bersekang di kelopak matanya.
Sebagai janda Kak Yah mengakui dia tidak lagi aktif didalam parti. Hanya sesekali kalau ada jika diundang dia akan pergi dengan ditemani muhrim. "Kekok bagi Kak Yah untuk memenuhi jemputan apa-apa majlis kerana status Kak Yah. Jadi janda bekas pemimpin Pas berbeza dengan bekas isteri pemimpin Umno.." tuturnya jujur.
Dalam pertemuan ringkas itu banyak juga yang kak Yah meluahkan mengenai beberapa perkara terutamanya terkilan kepada pihak tertentu. Paling mengilankannya ialah bagaimana susahnya beliau untuk meminta tolong selepas ketiadaan suaminya. "Biarlah kak Yah tidak sebut tetapi Encik Sayuti, fahamlah sendiri bila abang Din sudah tidak ada... perhatian orang kepada Kak Yah tidak seperti dulu lagi," katanya menyembunyikan sesuatu yang terlekat di tali hatinya.
Ditanya apakah ada pemimpin tempatan atau wakil rakyat Pas menjenguknya, Kak Yah seakan tidak mahu menjawab bimbang ia menimbulkan persepsi tidak baik. Namun dari gerak badannya saya dapat faham kekerapan pemimpin Pas atau rakan-rakan seperjuangan suaminya dulu baik dalam politik maupun dalam kerajaan seakan jarang malahan ada yang tidak pun bertanya khabar langsung.
Tetapi itu semua tidak menjadi masalah kepada Kak Yah. Dari dulu saya mengenali beliau, masalah begitu bukan menjadi titik bengit kepadanya. Apa lagi Kak Yah sendiri cukup faham perjalanan hidup pejuang politik seperti arwah suaminya perlu banyak sabar, insaf dan memahami masalah orang lain juga.
Namun begitu kalau boleh, para pemimpin Pas terutamanya wakil rakyat sesekali jengoklah armalah ini bukan untuk membantu dari segi kehidupan tetapi untuk menyegarkan semangat dan kecintaannya kepada Pas. Jangan jauhkan dia dengan wadah Pas.
Saya yakin dengan harta dan wang pencen ditinggalkan arwah Haji Nordin sudah lebih dari cukup untuk Kak Yah menyara hidunya kini. Hanya apa yang sulit ialah bagaimana untuk beliau menghalau sepi yang sesekali datang menyerang dirinya. Jika ada kunjung ziarah sudah pasti sedikit sebanyak kesunyian dan rindunya kepada arwah suaminya terubat juga dan semangatnya kepada perjuangan juga tetap menghijau. [wm.kl.7:23 pm 10/06/12]