Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Salam kebahagiaan buat sahabat yang sudi membaca blog ini. Alhamdulillah pada 28 Oktober 2012 hingga 1 November 2012 saya berkesempatan ke Pasir Mas, Kelantan bercuti di rumah keluarga sahabat berniqab di samping menghantar sahabat berniqab menyambung pelajaran di sekolah pondok di sana. Post ini adalah sambungan daripada Hijrah Di Pasir Mas, Kelantan 1/2.
Hari Ketiga, 31 Oktober 2012
Oleh sebab baru selesai Hari Raya Aidiladha, sepanjang minggu itu, Mak masak masakan berdaging. Sup daging, dan daging masak kicap. Saya suka masakan sahabat ubi kentang ala-ala wedges dihias dengan kubis, dan tomato dicicah sos, mayonis dan sos berlada hitam. Memang sedap, alhamdulillah.
Mak juga hidangkan kami dengan susu kambing, oh saya suka susu kambing! Keluarga mereka juga turut membekalkan susu kambing secara kecil-kecilan ke pekan. Sedikit sebanyak membantu ekonomi keluarga. Saya suka hidup keluarga mereka yang bersederhana, paling saya suka tanpa berhutang.
Kadang-kala saya terfikir, bagaimana mereka boleh merancang kewangan keluarga begitu baik sehingga mampu bela hampir 10 ekor kambing, ada tanah sebagai aset yang ditanam dengan tanaman-tanaman sayur tanpa perlu membeli sayur di pasar serta dapat membina rumah yang direka sendiri tanpa perlu membuat pinjaman, subhanallah. Such inspiring Muslim family.
Pada hari itu, kami berenam pergi ke Rantau Panjang untuk melihat apa perkara yang menarik di sana. Kami mula bertolak sekitar pukul 11.30 pagi. Bagi melaksanakan solat Zuhur, sahabat berniqab saya yang tinggal di Kelantan itu menyarankan kami ke Masjid Beijing. Sejujurnya sudah lama saya tidak ke Rantau Panjang. Seingat saya, keluarga saya pergi ke sana sewaktu saya masih kecil.
Alhamdulillah sekitar 2.30 petang kami sampai ke sana. Ketika itu alhamdulillah hujan hanya renyai dan permudah kami untuk bersiar-siar ke sana. Kebanyakkan barang di situ sesuai untuk suri rumah kerana banyak barang-barang dapur seperti periuk, bantal, toto, bantal bertilam versi Thailand pun ada juga dijual di situ.
Makanan yang menarik
Apa yang menarik bagi saya di situ adalah Ice Cream Baba. Aiskrim itu dijual dalam cup bersaiz sederhana dengan campuran pulut, ceri, kacang dan bahan-bahan lain. Rasanya sedap dan merupakan aiskrim yang sangat jarang didapati di tempat lain. Harganya hanya RM2. Tempatnya di tengah-tengah lorong antara kedai.
Selain itu makanan menarik di situ adalah makanan seperti yong taufu (hotdog, sotong gulung) yang dibakar secara langsung di situ. Pelanggan hanya perlu pilih makanan bercucukkan batang satay dan boleh lihat sendiri bagaimana penjual bakar makanan itu di atas tempat bakar BBQ.
Rasanya tidak kurang sedapnya. Keropok lekor bercucuk juga tidak terkecuali dijual di situ tetapi tidak dibakar. Setelah itu makanan itu dimasukkan dalam plastik dan disertakan sos yang agak manis. Kami turut membeli air cendol untuk menghilangkan dahaga.
Pulut Ayam
Petang itu juga alhamdulillah kami dapat merasa pulut ayam. Kalau pulut biasa berwarna kuning tetapi pulut ayam ini berwarna putih beserta ayam goreng biasa dan sos. Sangat sedap. Pertama kali saya mencubanya.
Petang itu, Mak ajak kami melawat ke rumah kenalan Mak yang baru melahirkan anak dalam masa terdekat. Sekitar pukul 3.45 petang, kami bertolak ke Tumpat. Mak pergi dengan keluarga abang sahabat berniqab saya dengan adik beradik perempuan yang lain, kami bertemu di suatu kawasan di Tumpat dan bergerak bersama ke rumah kenalan Mak itu.
Nasi Komok
Setelah melawat kenalan Mak, kami berpeluang pergi ke pasar malam di Tumpat yang ada menjual Nasi Komok. Makanan yang pertama kali saya rasa dan sedap rasanya. Alhamdulillah. Kemudian kami meluangkan masa ke rumah abang sahabat berniqab saya berdekatan dengan rumah Mak untuk makan bersama.
Setelah selesai solat Maghrib, kami makan bersama. Mak makan awal bersama abangnya oleh sebab selepas itu abangnya akan pergi solat di luar bagi menghormati muslimat yang ramai di situ oleh sebab keluarga mereka sangat menjaga pergaulan.
Memerhati amalan keluarga sahabat berniqab
Jadi saya makan bersama sahabat lain. Sempat saya mengerling Mak yang sudah solat Maghrib. Kelihatan Mak membaca sebuah kitab kecil. Saya pasti itu adalah antara amalan yang Mak amalkan. Ingin bertanya tetapi masih belum ada kesempatan kerana dahulu saya pernah berniat, saya ingin melihat amalan muslimah berniqab. Alhamdulillah apabila bersama mereka, saya dapat melihat sedikit sebanyak amalan mereka.
Yang saya ingat selepas solat Maghrib, mereka akan ulang bacaan Al Quran oleh sebab mereka adalah hafizah yang sedang dan sudah menghafal Al Quran. Mereka tidak baca kuat tetapi boleh dapat didengar pada bisikan ayat Al Quran yang saya dapat dengar.
Ada juga amalan yang mereka baca di kala selepas Maghrib cuma masih belum berkesempatan untuk tanya. Begitu juga sebelum tidur, mereka turut membaca surah mungkin Surah Al Mulk oleh sebab mereka sudah menghafal jadi tidak perlu buka Al Quran.
Beramah mesra dengan adik bongsunya
Selesai makan kami mengemas untuk pulang ke rumah Mak, tinggal isteri abang sahabat berniqab saya bersama anaknya. Ketika itu, saya dihampiri oleh adik perempuan bongsu sahabat berniqab saya. Agak kelakar apabila dia kata, dia ingin berkawan dengan saya. Kami menemu duga antara satu sama lain.
Ada juga saya bertanya kenapa dia suka dan ingin berkawan dengan saya, katanya sebab saya menarik. Allahu akbar, segala puji bagi Allah. Entah mana menariknya. Dia baru sahaja berumur 13 tahun tetapi sudah memakai niqab dan mula menghafal beberapa juzuk Al Quran. Subhanallah. Rasa kerdil diri jika dibandingkan dengan dia.
Di kala itu saya mengambil masa untuk berkenalan dengan adik bongsunya. Suka saya melihat wajahnya. Subhanallah comel. Rasa rugi kami tidak meluangkan masa bersama bagi hari sebelumnya.
Setelah pulang, saya merehatkan diri sebentar. Adik bongsu sahabat saya mencari saya untuk berborak. Setelah membersihkan diri, saya mengajaknya berbual di ruang tamu namun apa yang dirancang, lain yang jadi.
Ada Mak di ruang tamu, Ayah sudah berada di bilik atas. Jadi saya dan adik bongsu duduk di ruang tamu. Hajat hati nak berbual dengan adik bongsu sahabat berniqab saya tetapi saya terbual pula dengan Mak sehinggakan adik bongsu mengantuk menuggu saya berbual dengan Mak. Kesian dia. Saya juga turut hampa sebab tidak dapat meluangkan masa dengan adik bongsunya.
Tips hidup tanpa hutang dan mendidik anak-anak oleh Mak
Kesempatan dan waktu terakhir pada malam itu sebelum saya bertolak pada esok paginya, saya ambil peluang untuk tanya Mak tips-tips hidup dalam keadaan tidak berhutang dan cara mendidik anak-anak. Antara yang Mak kongsi, simpan duit, pelbagaikan sumber pendapatan. Mak berkongsi Ayah turut terlibat dengan projek tender untuk masjid bagi saham Akhirat. Ayah hanya ambil tender berkaitan masjid kerana ingin menjana pahala untuk saham Akhirat.
Mak juga turut berkongsi agar kumpul duit beli kambing secara sedikit demi sedikit di samping ada tanah agar kita tidak bergantungan pada satu sumber pendapatan sahaja.
Bagi tips mendidik anak-anak, kata Mak, apabila kita perbaiki diri, kita juga secara langsung akan mudah mendidik anak-anak. Mak juga menekankan apabila kita hidup bersyariat, ikut dan amalkan amalan yang telah ditetapkan oleh Islam seperti asingkan tempat tidur lelaki dan perempuan, belajar agama, insyaAllah mudah mendidik anak-anak. Hanya ikut apa yang Islam tetapkan.
Nasihat sebagai seorang ibu
Pada malam itu juga, Mak berbual dengan saya sebagai seorang ibu. Mak nasihatkan saya agar kurangkan pakai seluar oleh sebab saya bukanlah muslimah feminin yang suka pakai jubah dan seluar sebenarnya menampakkan susuk kaki.
Mendengar nasihat Mak buat saya tersentap dan menyedari bahawa masih banyak perlu diperbaiki tambahan lagi saya dalam proses tekad untuk berniqab. Jadi perkara seperti itu sangat perlu saya ambil serius. Saya bersyukur ditegur Mak, yang sangat mudah saya hadam kerana Mak nasihat dalam nada yang lembut dan menyenangkan hati saya.
Hari Keempat, Terakhir 1 November 2012
Seawal 6.30 pagi saya sudah bersiap untuk menaiki bas pada pukul 9 pagi. Berat rasa hati hanya Allah yang tahu walau tak terefleksi melalui pancaran wajah. Mak, sahabat berniqab saya, adik bongsunya, susu kambing, kambing, dan segala kenangan pasti akan terpahat di hati dan minda buat selamanya.
Paling akan saya rindu, perbualan saya dengan Mak. Sungguh hati ini impikan Mak sepertinya, keluarga seperti itu, rumah seperti itu yang sangat menekankan syariat dalam segenap kehidupan. Saya sangat berharap generasi yang akan lahir daripada keluarga saya suatu hari nanti hidup dalam kehidupan sebuah keluarga Islam.
Walau nampak ketinggalan zaman tetapi biarlah hidup dalam keadaan aman, damai dan bahagia tanpa hutang, ada kediaman yang menenangkan.
Kata Mak,
"Hidup dalam kawasan ini, kehidupan begini buat Mak rasa sejahtera."
Membela kambing yang mendidik diri menjadi orang yang sabar, pendapatan yang sentiasa memberikan untung bersih yang sentiasa meningkat daripada pelbagai jenis sumber pendapatan/perniagaan, anak perempuan dan lelaki yang belajar di pondok menjadi hafiz dan hafizah.
Kediaman yang mengasingkan kawasan perempuan dan lelaki yang akan membuatkan keluarga sahabat berniqab saya selesa untuk datang ke rumah saya.
Terima kasih Allah atas nikmat yang tak ternilai ini, saya sangat menghargai dan gembira berpeluang ke rumah mereka. Sebelum ini saya pernah berniat datang ke rumah sahabat yang juga kakak yang sangat saya sayang. Ingin sekali berkenalan rapat dengan keluarganya namun Allah sebenarnya menetapkan sesuatu yang lebih baik, saya dapat mengenali dan merasai hidup dalam keluarga yang sangat menekankan syariat Islam dalam segenap kehidupan. Subhanallah. Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah.
InsyaAllah pada masa akan datang saya akan kembali sebagai Insyirah yang lebih bahagia, kaya dan berjaya serta yang paling menggembirakan saya sudah berniqab. Aamiin.
Kalau dulu agak kerap memikirkan jodoh tetapi kini visi saya berubah kepada perbaiki diri, perbetulkan penutupan aurat yang mengikut syariat. Perbanyak pakai jubah yang gelap berbanding seluar. Setelah itu mula berniqab secara sedikit demi sedikit.
Di samping itu saya ingin mengusahakan bisnes saya menjadi RM300/bulan, RM3000/bulan sehingga RM30 000/bulan agar dapat berzakat dan membantu sekolah-sekolah pondok yang perlukan penaja. Itulah visi saya sebelum saya graduate agar apabila saya graduate ketika itu saya sudah menjadi usahawan wanita yang lebih bahagia, kaya dan berjaya dengan izin Allah. Aamiin.
Related posts:
- Ceritera 18 Jam Di Gua Musang, Kelantan Part 1/2
- Ceritera 18 Jam Di Gua Musang, Kelantan Part 2/2
- Hijrah Di Pasir Mas, Kelantan 1/2