KUALA KRAI – Kerja merobohkan sebuah balai raya bagi membolehkan akses ke tanah milik persendirian di Kampung Batu Jong, dekat sini, semalam, terpaksa ditangguhkan separuh jalan selepas dibantah keras penduduk.
Susulan bantahan penduduk bersama beberapa pemimpin masyarakat di kampung itu, kerja merobohkan balai raya terbabit dihentikan tidak sampai satu jam selepas ianya dimulakan buat kali kedua, kira-kira jam 3 petang.
Biarpun agak terlambat kerana bahagian belakang balai raya itu telah dirobohkan dan banyak bumbung zink ditanggalkan di sebelah pagi, tindakan pemimpin dan penduduk terbabit berjaya menyelamatkan premis berkenaan buat sementara.
Bantahan dibuat apabila penduduk difahamkan, balai raya itu terletak di atas rezab jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tidak ada kena mengena dengan lot tanah milik persendirian terbabit.
Mereka bagaimanapun terkejut apabila pemilik tanah itu mendakwa sudah berbincang dan dapat kelulusan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Batu Jong bagi merobohkan balai raya berkenaan.
Terima notis kosongkan rumah
Sebelum itu, kerja meroboh di sebelah pagi turut menimbulkan kebimbangan penduduk yang tinggal sebaris dengan balai raya itu selepas ada antara mereka sebelum ini menerima notis daripada pemilik tanah berkenaan supaya mengosongkan rumah.
Menerusi notis bertarikh 11 September 2012, pemilik tanah itu mendakwa beberapa rumah di kawasan setinggan terbabit dibina atas tanahnya tanpa kebenaran dan selaku tuan tanah, dia berhak mengeluarkan notis supaya berpindah.
Penggerak Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Mengkebang, Mohamed Nawi Mohd Noor berkata, dia akan minta pihak berkenaan membaiki semula balai raya itu jika terbukti kerja merobohkan premis itu dibuat secara salah.
"Tanah milik persendirian yang nak dimajukan terletak di belakang balai raya dan tidak ada kena mengena dengan premis ini, jadi mengapa perlu dirobohkan semata-mata untuk buat jalan masuk ke tanah tersebut.
"Saya hubungi Penyelaras Dun Mengkebang, Azizzuddin Hussein dan difahamkan, beliau minta supaya kerja meroboh ditangguhkan dulu untuk pastikan sama ada betul balai raya ini atas rezab jalan JKR.
"Kalau kata balai raya ini dibina secara haram atas tanah rezab, setiap rumah di tepi jalan dari simpang tiga Batu Jong sampai ke dalam kampung, semua atas tanah rezab, jadi semuanya penempatan haram," katanya.
Difahamkan, biarpun nampak terbiar, balai raya itu masih digunakan terutama bila tiba musim pilihan raya dan tempat perpindahan sementara penduduk pinggiran sungai di kampung itu bila banjir.
Selesaikan masalah penempatan
Mengulas notis diterima penduduk, Ketua Daerah Mengundi Batu Jong, Rozali Zakaria pula menggesa pihak berkenaan termasuk wakil rakyat supaya tampil membantu lapan keluarga yang dikatakan terlibat.
"Rata-rata penduduk kawasan setinggan ini orang miskin dan tidak ada tempat lain nak pergi jika rumah mereka dirobohkan dan terpaksa berpindah.
"Mewakili penduduk, saya minta selesaikan dulu masalah penempatan baru penduduk terlibat, baru fikir masalah nak bawa pelabur asing untuk bina kilang bata di kawasan ini," katanya.
Beliau turut menggesa pihak berwajib dan pemimpin masyarakat setempat agar memberikan keutamaan dan mengambil kira kepentingan rakyat sebelum meluluskan sesuatu projek di kampung itu.
"JKKKP Mukim Batu Jong sepatutnya memaklumkan penduduk mengenai kerja merobohkan balai raya ini dan beri penjelasan jika benar mereka beri kelulusan.
"Tiba-tiba datang roboh balai raya tanpa notis dan kebetulan pula penduduk ada terima notis pindah, tentulah mereka marah bila dapat tahu JKKKP beri kelulusan tetapi mereka tidak dimaklumkan," katanya.- Sinar Harian
Like this:
Be the first to like this.
Leave a Reply