Oleh Mohd Zul-Idzham
Dalam membicarakan kemelut politik Pas di Kelantan, baik pemimpin, ahli, penyokong mahupun pemerhati politik tidak pernah menyebut nama Datuk Haji Ahmad Bin Haji Yakub. Padahal beliau adalah Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan. Orang nombor dua selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ahmad Yakub yang juga ADUN Pasir Pekan dilantik menggantikan Abdul Halim pada tahun 2004 selepas bekas TMB itu dipindahkan bertanding ke peringkat parlimen pada pilihan raya umum ke-11. Parlimen Pengkalan Chepa.
Tetapi yang menimbulkan kehairanan, kenapa nama Ahmad Yakub tidak pernah disebut-sebut sebagai pengganti Nik Abdul Aziz? Adakah kewujudannya dalam parti dan pentadbiran kerajaan negeri tidak penting?
Atau beliau hanya dianggap sebagai patung atau tiang semata-mata? Dan sekali sekala kudrat dan khidmatnya digunakan juga oleh parti, tetapi untuk dijadikan benteng bagi mempertahankan Nik Abdul Aziz daripada serangan pihak lawan?
Sepanjang 22 tahun Pas memerintah Kelantan, selama itu jugalah Nik Abdul Aziz menduduki takhta nombor satu kerajaan negeri sebagai Menteri Besar (MB). Sedangkan dalam tempoh itu, kerusi TMB sudah dua kali bertukar tangan. Daripada Abdul Halim kepada Ahmad Yakub.
Bagaimanapun, dalam pentadbiran kerajaan Pas Kelantan, jawatan TMB dilihat tidak begitu penting. Ia bagaikan melukut di tepi gantang. Ada tidak mengapa, tidak ada pun tidak mengapa. Janji menepati perlembagaan negeri iaitu kalau ada menteri besar, mesti ada timbalannya.
Namun, disebabkan kerusi TMB dipegang oleh Ahmad Yakub, antara pemimpin Pas yang tidak pernah ada rekod kontroversi, maka ia tidak sepanas kerusi MB. Dan sehingga kini, tidak ada seorang pun dalam kalangan Exco terliur dengan kerusi TMB. Masing-masing mengintai dan memasang hajat mahukan kerusi MB.
Alangkah dayusnya sesiapa yang memegang jawatan nombor dua dalam kerajaan negeri itu. Ini kerana, kewujudannya atau kehadirannya dalam pentadbiran atau politik sama taraf seperti ADUN-ADUN lain yang tidak ada jawatan dalam biro politik.
Malah jawatan Exco nampak lebih besar daripada jawatan TMB. Begitu juga jemputan ke majlis anjuran kerajaan negeri, NGO dan program ceramah politik, nama Ahmad Yakub tenggelam terus. Seolah jasadnya dibenam dalam lumpur di dasar Jurang Mariana.
Tidak adakah dalam kalangan pemimpin Pas, termasuk ahli dan penyokongnya merasa belas kasihan kepada Ahmad Yakub? Sekurang-kurangnya dalam kemelut siapa pengganti Nik Abdul Aziz, sebutlah juga namanya sebagai pengganti. Ini langsung tidak disebut. Seolah-olah beliau tidak wujud sama ada dalam parti mahupun pentadbiran kerajaan negeri.
Mengikut hieraki, kalau menteri besar uzur, sepatutnya TMB yang memangku jawatan itu. Tetapi kerajaan Pas Kelantan melantik Datuk Husam Musa sebagai pemangku. Kenapa tidak lantik timbalannya? Sedangkan timbalan lebih tahu tanggungjawab ketuanya. Kenapa diberikan tanggungjawab itu kepada seorang Exco?
Alangkah malangnya Ahmad Yakub. Memegang jawatan timbalan menteri besar sekadar pegang sahaja. Fungsi dan tanggungjawabnya tidak ada. Tidak diberikan oleh pentadbiran Nik Abdul Aziz. Sama ada kerajaan negeri tidak yakin atau tidak percaya dengan kebolehan Ahmad Yakub, hanya Nik Abdul Aziz dan beberapa Exco kanan sahaja yang tahu.
Namun, kenapa Ahmad Yakub masih kekal dengan jawatannya sebagai TMB? Kenapa Abdul Halim tidak lama di kerusi nombor dua kerajaan negeri itu? Sebaliknya dipindah ke peringkat parlimen kerana semata-mata hendak membawa balik Husam ke negeri?
Sepatutnya, Ahmad Yakub sudah tahu perancangan ketuanya itu. Itu tandanya Nik Abdul Aziz tidak mahu jawatan MB diberikan kepada TMB. Nik Abdul Aziz seorang yang pakar. Beliau ada rancangan dan impian hendak memberikan jawatan itu kepada anak emasnya, Husam.
Sungguhpun siapa bakal pengganti menteri besar terletak di tangan Nik Abdul Aziz, selaku penasihat Pas. Tetapi peralihan kuasa itu tidak semudah disangkakan. Nampaknya MB sedar, beliau ada kuasa, tetapi kuasa yang dimiliknya itu tidak boleh menjamin kata-katanya, "Aku nak Husam ganti aku sebagai menteri besar…" menjadi kenyataan.
Kenapa proses pelantikan Husam sebagai penganti berhalangan sehingga kini? Kenapa impian tok guru tidak termakbul sehingga sekarang? Kerana yang disebut-sebut bakal menteri besar ialah Abdul Halim.
Usaha Nik Abdul Aziz hendak membawa balik Husam adalah bukti beliau tidak mahu Abdul Halim menjadi MB. Berita itu bukan suatu khabar yang menggembirakan bagi semua pihak. Ada seorang dari kalangan Exco yang ketika itu namanya turut disebut-sebut sebagai menteri besar terpaksa makan hati berulam jantung dengan kepulangan sahabatnya dari persekutuan ke negeri.
Keadaan reda seketika. Tiada lagi isu atau kemelut mengenai siapa pengganti Nik Abdul Aziz diuar-uarkan selepas pilihan raya 2004. Pas bijak menutup krisisnya. Pemimpinnya dengar. Ahlinya patuh dan penyokongnya akur. Mereka membekam dan memendamkan isu serta kemelut itu dalam hati masing-masing.
Namun, pada pilihan raya umum 2008, selepas Nik Abdul Aziz mengalami kesihatan yang teruk, ura-ura siapa penggantinya diputarkan semula. Nama itu bukan Ahmad Yakub. Bukan Husam dan juga bukan bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan.
Yang disebut-sebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Nama ADUN Panchor itu tiba-tiba meniti dan menjadi sebutan kebanyakan pemerhati politik, termasuk para penyokongnya sendiri.
Ternyata nama Mohd Amar juga tidak disenangi, terutama oleh bekas-bekas nama yang pernah disebut-sebut selama ini. Ini yang memeningkan kepala Nik Abdul Aziz. Disangkanya, apa saja yang beliau sebut dan cadang akan diterima bulat-bulat.
Tetapi nyata sekarang ini pemimpin Pas bukan bodoh lagi. Ini juga membuktikan rasa hormat mereka kepada Nik Abdul Aziz sudah hilang. Tidak sebagaimana sebelum ini, apa saja tok guru cakap semua tunduk patuh. Tetapi sekarang, tidak lagi.
Krisis kepimpinan Pas di Kelantan bagaikan api dalam sekam. Di luar nampak elok, di dalam, hanya Tuhan yang tahu. Menunggu dan menanti masa untuk meletup. Dari situ baru rakyat tahu siapa sebenarnya Pas.
Dalam keghairahan pemimpin-pemimpin Pas menjalankan gerakan mencari sokongan untuk mendapat undi majoriti siapa bakal pengganti menteri besar, tiba-tiba muncul nama yang tidak pernah ada dalam senarai barisan kepimpinan Pas yang popular.
KJ atau Datuk Kamaruddin Jaafar adalah Ahli Parlimen Tumpat. Di saat awal beliau melompat parti dari Umno ke Pas, beliau adalah seorang orang kanan Anwar Ibrahim yang lantang bersuara. Suaranya diterima pakai oleh kebanyakan pihak kerana beliau adalah pakar strategi dan pakar fikir.
Selaku Setiausaha Agung Pas dari tahun 2005, namanya sentiasa terpapar di dada-dada akhbar dan media letronik memberi kenyataan menyokong Anwar, mengecam kerajaan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, setelah khidmatnya sebagai Setiausaha Agung Pas ditamatkan pada tahun 2009, Datuk Kamaruddin Jaafar yang lebih dikenali dengan panggilan Datuk KJ terus menyepikan diri.
Ramai tertanya-tanya ke mana hilangnya Datuk KJ ketika ketuanya, Anwar sedang berhadapan dengan tuduhan baru, meliwat bekas pembantu peribadinya dan isu melanggan pelacur sebagaimana dalam rakaman klik video. Adakah beliau kecewa? Putus harap atau sudah insaf?
Persoalan itu berterusan sehinggalah minggu lalu apabila blogger prokerajaan mendedahkan bakal MB Kelantan ialah Datuk KJ. Pendedahan itu tentu sekali mengejutkan semua pihak terutama pemimpin, ahli, penyokong dan pemerhati politik. Ketika nama Datuk KJ sudah tenggelam, tiba-tiba ditimbulkan semula. Dihidupkan kembali.
Umum tahu, nama seperti Husam, Takiyuddin, Abdul Halim, Ahmad Yakub dan Mohd Amar adalah ahli Pas tulen. Sedangkan Datuk KJ ialah bekasan Umno. Adakah pemimpin Pas tulen bersetuju dengan Datuk KJ sebagai menteri besar? Apa kata Husam, Takiyuddin dan Mohd Amar? Dua senarai sudah ditolak, iaitu Abdul Halim dan Ahmad Yakub. Relakah mereka menerima Datuk KJ sebagai menteri besar? Nampaknya mereka terpaksa senyum dalam pahit.
Analisis pemerhati politik dan blogger kononnya Datuk KJ akan menggantikan Nik Abdul Aziz boleh dikatakan 45 peratus tepat. Tidak mungkin pemimpin Pas lain akan menerimanya. Lagipun, adalah mustahil Nik Abdul Az
iz nak bertanding di peringkat Parlimen. Nak berulang alik dari rumahnya Pulau Melaka ke pejabat pun tidak larat. Inikan pula hendak berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.
Walau macamana sekali pun, Nik Abdul Aziz akan tetap kekal di DUN Chempaka. Soal sama ada mahu terus menjadi menteri besar atau sebaliknya, tunggulah sehingga beliau menerima 'wahyu'. Begitu juga dengan Datuk KJ, kalau benar beliau nak dijadikan pengganti Nik Abdul Aziz, tidak salah beliau bertanding di dua kerusi. Satu kerusi kekal di Parlimen Tumpat dan satu kerusi lagi di DUN Kelaboran atau DUN Pengkalan Kubor.
Pas tidak perlu meletakkan Datuk KJ di DUN Pasir Pekan, walaupun Datuk KJ berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat. Kekal di DUN dalam Parlimen Tumpat pun boleh. Untuk menjadi MB tidak semestinya bertanding dalam DUN berhampiran dengan pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri.
Nanti apa kata Ahmad Yakub pula. Dahlah beliau disisihkan daripada senarai calon bakal MB, tempatnya pula nak digantikan oleh orang lain. Mentang-mentang Ahmad Yakub seorang yang baik, wajarkah dia diperkotak-katikkan? Di tending ke sana ke mari sewenang-wenang dan sesuka hati?
Like this:
Be the first to like this.