Isnin, 02 Apr 2012 23:43
Written by Mohd Sayuti Omar27
Kelantan memang unik dalam serba serbi. Keunikan ini disebabkan kesedaran dan komitmen tinggi mereka dalam semua aspek. Orang Kelantan mendahului orang di negeri lain. Dalam dunia politik hanya orang Kelantan yang berani membuat tindakan dan tidak mudah terpesona dengan segala janji molok dan pujuk rayu mendayu politik. Orang Kelantan dikenali mempunyai sifat dan pembawaan yang kontras dan sukar diurus.
Satu ketika orang Kelantan dikenali sebagai samseng atau 'gedebe'. Dalam masa sama juga orang Kelantan dikenali sebagai warak atau kuat beragama. Orang Kelantan bengkeng, tetapi ia juga baik serta pemurah dan ramah tamah.
Begitu dalam dunia politik, orang Kelantan boleh menerima Umno dan menolak Pas. Dan boleh menolak Umno untuk menerima Pas. Tidak mustahil juga orang Kelantan boleh menolak kedua-duanya kalau ianya sudah tidak berlaga angin dengan budaya dan sosialnya.
Dalam Umno menawarkan wang, pembangunan kebendaan orang Kelantan mengingininya, tetapi tidak sedih dan kecewa kalau tidak dipenuhinya. Orang Kelantan bukan bangsa pelahap dan mengemis. Mereka tidak sedih dan merasa kekurangan tanpa pembangunan dan kemudahan asas lain. Orang Kelantan boleh hidup mendiri tanpa bantuan luar. Sikap dan sifat ini perlu dipelajari dan dikenali oleh orang negeri lain. Menteri Besar mereka, Nik Aziz menekan agar orang Kelantan bersikap qanaah dan sedarhana.
Mengenai politik sebagai wadah perjuangan mereka ia tidak ada tolak banding. Orang Kelantan jaguh dalam politik dan bijak menggunakan instrument politik untuk menentukan nasib dan masa depan mereka. Orang Kelantan tidak 'berbaih' dengan satu parti, Pas atau Umno... tetapi semua parti. Neraca penilaian orang Kelantan senantiasa adil dan seimbang.
Sebab itulah bila diadakan program politik mereka akan datang beramai-ramai. Tanpa diupah dan dibayar minyak kereta mereka datang sendiri. Bagi mereka politik adalah hiburan, adalah perjuangan dan adalah ruang untuk mereka memajukan diri. Kalau pun diupah mereka ambil tetapi tidak sedia mengikut apa yang dikehendaki oleh si pengupah. Inilah kebebasan dan keterbukaan serta keberanian demokrasi orang Kelantan. Orang Kelantan bukan pemakan rasuah!
Hakikat ini diketahui oleh sesiapa juga. Maka itu Anwar Ibrahim mengakui dia datang ke Kelantan bukan apa, melainkan untuk cas beteri politiknya - menambah semangat dan keberanian yang ada kepada orang Kelantan. Datang ke Kelantan untuk menumpang kekuatan perjuangannya. Betapa tidak puluhan ribu akan menyambut dan mendengar ucapannya. Jumlah itu agak sukar untuk beliau perolehi hatta di kawasan dan negerinya sendiri. Kelantan tidak semena-mena menjadi kubu dan penyokong kuat kepada dirinya.
"Saya datang sini untuk mengecaskan diri saya," begitulah kata Anwar jujur dan terharu di hadapan lebih 35,000 di Padang Perdana Kota Bharu malam Sabtu lalu. Siapa tidak teruja kalau dihadapan kita ada puluhan ribu pendengar dan penyokong yang datang bertepuk dan bersorak memberi gambaran menyokong kita?
Keberanian dan sikap terbuka orang Kelantan tidak dapat disembunyikan. Orang Kelantan juga jauh lebih ke depan dalam menilai dan mentasir politik serta membuat tindakan. Kenapa saya kata begitu, kerana apa yang orang tidak katakan dan lumurkan kepada diri Anwar; peliwat, agen Amerika, Israel dan berbagai-bagai lagi tetapi orang Kelantan tetap menyokongnya. Tetap datang mendengar pandangan dan kupasan politiknya. Orang Kelantan seolah-olah tidak mempercayai apa sahaja dilemparkan kepada Anwar. Buktinya kalau mereka terpengaruh dengan tuduhan dan fitnah mereka akan kosong Padang Perdana.
Malam itu ada dua tiga ekor budak-budak liar - mungkin cicit kepada pemuda tahan lasak Umno yang mengganas di Kelantan tahun 1959 dulu cuba membuat kacau dan menghalang orang ramai. Beberapa buah kereta dikhianti dengan menyembur cat. Kereta Anwar sendiri 'ditagur' - dilontar dengan batu dan kayu. Kereta Anwar turut kemek. Gejala budak jahat dan liar Sembrong turut berlaku di Kelantan. Siapa yang bertanggungjawab mengimport budak liar Sembrong? Inchek Ibrahim Ali ke?
Namun itu sikit pun tidak melemahkan semangat orang Kelantan. Bagi mereka itu hanya cabaran kecil saja. Perbuatan khiant itu akan menjadi baja untuk menyemarakkan lagi kebencian dan kemarahan kepada Umno. Kejahatan itu adalah pembuka semangat dan dendam untuk menghebatkan lagi majlis. Mengenai kejahatan itu elok kalau ketua Umno Bahagia Kota Bharu Fatmi Che Salleh memantau perkara ini untuk tidak memberi kesan buruk kepada dirinya. Kota Bharu adalah kawasan Fatmi.
Beliau tidak boleh melindungi muka dari menerima tanggungjawab atas perbuatan itu.
Kejadian sembur kereta dengan cat kalau tidak silap kali kedua berlaku di Kota Bharu. Tidak berlaku di Machang atau Tanah Merah. Apabila ia berlaku di Kota Bharu tentulah ketua penjahat itu ada di situ. Fatmi tidak boleh lari kerana ia dilakukan dalam kawasan Kota Bharu. Dibimbingi kalau gejala liar dan 'beruk-beruk' ini tidak dibendung ia akan merebak kepada kejadian lebih besar dan buruk lagi. Selagi orang yang hadir ke ceramah Anwar dan Pas boleh sabar ia boleh dielakkan tetapi kalau tahap kesabaran sudah hilang, padah jadinya.
Mengesalkan juga malam itu tidak ada banyak kelibat polis beruniform yang mematau keadaan. Di luar Padang Perdana tidak ada kelihatan polis trafik yang bertugas melicinkan lalu lintas. Apakah kerana majlis itu tidak mendapat permit polis maka ia tidak perlu dikawal? Atau pun polis menyangka perbuatan jahat begitu tidak akan berlaku di Kelantan. Atau tidak sangka budak-budak jahat itu diimport dari Sembrong?
Hendaknya di masa akan datang Polis Kota Bharu mengambil berat keadaan ini, mengawal apa-apa juga majlis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Api menjadi kawan atau teman gurauan waktu kecil tetapi bila sudah besar ia boleh membakar hangus bukan saja orang Pas dan Umno tetapi topi anggota polis juga akan turut terbakar.
Saya bersetuju ulasan Pengerusi PKR Kelantan Abdul Aziz Kadir. Perbuatan jahat melontar kereta Anwar dan menyembur cat memalukan rakyat Kelantan. Orang Kelantan yang cukup sporting dalam politik tidak boleh menerima perbuatan itu. Ia memalukan rakyat Kelantan seluruhnya. Katanya sudah lama kerja-kerja jahat tiada di Kelantan dan kini kembali semula.
Sebab itu saya katakan tidak mungkin orang Kelantan melakukan itu. Kalau mereka benar anak Kelantan yang bengkeng tetapi berbudi bahasa tidak akan tergamak untuk melumur najis ke muka sendiri kerana perbuatan itu seperti lumur muka sendiri dengan tahi. Melainkan orang Kelantan yang gila, tidak bersekolah atau pun 'dedel' sahaja sanggup melumur najis ke muka sendiri. Orang jahat sudah lupus deria bau dari hidungnya.
Perbuatan jahat dan khinat ini sudah lama berlalu di Kelantan. Tetapi bila ia muncul kembali adalah sesuatu yang sungguh menyesalkan. Boleh jadi yang buat jahat itu adalah benih pemuda tahan lasak Umno yang sebelum ini terjatuh dalam jambtan tahi dan diberikan Allah peluang untuk tumbuh bagi memperbaiki diri. Boleh jadi.
Umno tidak payah merestui perbuatan seperti itu kerana kejahatannya akan terpulang juga kepada mereka. Tindakan sebegitu akan menguatkan lagi semangat orang ramai untuk memberi sokongan kepada Pas. Zaman politik gua dan bersenjatakan keris sudah pun berlalu. Zaman ini zaman politik akal. Apakah kerana Umno merasakan kedudukkan mereka semakin terhimpit maka kerja-kerja jahat terpaksa dilakukan. Mereka perlu kembali ke zaman edan semula?
Usaha untuk menjatuhkan dan menakut Anwar tidak akan berjaya dengan cara sebegitu. Anwar tidak akan gentar. Beliau sendiri telah teruji dengan segala macam kejahatan ke atas dirinya. Yang melakukan bukan budak-budak makan cacing tetapi perdana menteri dan ketua polis negara sendiri. Yang belum dirasai Anwar ialah tembakan saja lagi. Kalau setakat 'tagur' kereta, sembur cat kepada kereta orang yang hadir ia tidak memberi apa-apa kesan sedikit pun.
Malahan perbuatan itu tidak bermanfaat dan menguntungkan orang Cina yang dibenci oleh Umno. Bila kereta rosak dan cat rosak yang dapat untung ialah orang Cina. Kerana bengkel dan juga kerja mengecat kereta semuanya dimiliki orang Cina. Kan bodoh? Bodoh....
Mengenai himpunan di Padanag Perdana malam itu, ia memberi petunjuk makin jelas bahawa Kelantan sukar ditawan oleh Umno. Pemberian wang BR1M juga tidak membawa apa-apa hasil. Saya berani mengatakan lebih separuh dari lebih 35,000 yang hadir menerima wang rakyat BR1M RM500 ringgit itu. Dan saya juga berani mengatakan hampir separuh wang derma yang dikutip malam itu adalah wang BR1M. Kehadiran orang ramai pada majlis Pakatan Rakyat mendadak ke belakangan ini selepas menerima bantuan wang rakyat RM500.
Untuk memastikan Umno akan tertumus di Kelantan berdasarkan sambutan kepada majlis ceramah Pas, Pakatan Rakyat perlu mengadakan himpunan seperti itu di peringkat kawasan Parlimen dan tidak tertumpu ke Kota Bharu sahaja. Setakat ini himpunan di Tanah Merah, Machang dan Kota Bharu sudah menyakinkan. Untuk masa akan datang Pas perlu membawa himpunan persis itu ke Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tumpat. Sekiranya jumlah kehadiran dalam himpunan mengikut jajahan itu mencecah 20,000 sudah pasti Umno Kelantan akan bungkus.
Kekalahan Umno kali ini akan membawa kehancuran kepada parti itu. Dan sekiranya kerajaan UBN tumbang maka hayat Umno akan berakhir setakat tahun 2012 sahaja. Selepas ini Umno tidak akan tertinggal apa-apa lagi hatta kubur dan batu nisan pun tidak akan sanggup dicacak oleh rakyat kerana takut terkena 'kuong' (badi) jahat dan berbau busuk Umno.
Untuk waktu terdekat ini elok kalau Pakatan Rakyat menganjurkan ceramah perdana di Bachok atau Pasir Puteh. Kita mahu tengok Awang Adek Hussein yang kini sedang menggeletar biar jatuh pangsan dan tergolek di pasir pantai Melawi.
Manakala sebaik parlimen dibubarkan satu himpunan mega perlu diadakan di stadium Sultan Mohamad Ke IV. Dalam himpunan ini rakyat teringin untuk melihat tiga orang tokoh dan negarawan Anwar Ibrahim, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tengku Razaleigh Hamzah ini duduk di atas satu pentas. Kita mahu tengok macam mana gabungan tiga pengaruh peribadi tokho-tokoh ini menyedapi stadium Sultan Mohamad Ke IV.
Saya rasa kalau ini berlaku tidak cukup stadium Sultan Mohamad Ke IV itu dan memerlukan dua buah stadium lagi. Jika ini menjadi kenyataan ia akan mencatat sejarah dalam politik Kelantan khasnya. Kehebatan sambutan itu nanti juga boleh menjadi pembuka semangat kepada negeri-negeri lain untuk menghukum Umno.
Saya bersetuju dengan tagline Takiyuddin Hassan bahawa Kelantan akan menjadi detik permulaan atau langkah pertama untuk menuju ke Putrajaya. Bukan saja kerana ketokohan tiga juara agama dan bangsa itu tetapi kerana keterkenalan rakyat Kelantan yang berani membawa perubahan. Di Semananjung ini hanya rakyat Kelantan sahaja berani mencipta sejarah menukar kerjaan dan parti politik. Selepas itu baru ia diikuti oleh negeri-negeri lain.
Duhai negeri-negeri yang belum berani melakukan perubahan dan masih taksub dan berjiwa abdi dengan Umno; Johor, N Sembilan, Melaka dan Pahang serta Perlis, nah bangkit dan bangunlah melakarkan muril sejarah baru di negeri masing-masing. Tinggallah Umno... kita mahu merayakan kejayaan bersama secara serentak. - http://www.msomelayu.blogspot.com/