SHAH ALAM - Susulan laporan Pas akan menggunakan pentas Muktamar ke-59 parti itu untuk mendesak negeri-negeri di bawah PR untuk melaksanakan hudud, dinafikan oleh Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim menerusi satu kenyataan media berkata, artikel berjudul "Negeri pentadbiran PR akan didesak laksana hudud" - merujuk kepada usul muktamar Pas - telah disalah lapor.

"Usul yang diterima dengan pindaan untuk perbahasan ialah untuk mendesak kerajaan Malaysia agar melaksanakan undang-undang Syariah dan membantu mana-mana negeri yang inginkan perkara yang sama untuk melaksanakannya.

"Ia bukanlah usul yang fokus pada negeri-negeri PR semata-mata. Umum mengetahui, halangan kepada terlaksananya undang-undang Islam ada di tangan kerajaan pusat yang diterajui Umno," katanya.

"Oleh itu, tidak munasabah untuk Pas mendesak negeri-negeri PR sahaja untuk melaksanakan undang-undang Syariah tatkala Kelantan masih menghadapi pelbagai cabaran perundangan yang menjadi penghalang selama ini," tambahnya lagi.

Tuan Ibrahim turut memetik kenyataan Adun Umno dari Kemelah, Datuk Ayub Rahmat yang pernah menyatakan hasratnya untuk melihat undang-undang Syariah dilaksanakan di negeri Johor.

"Seperti kata Ahli Parlimen Ketereh dari Umno, Tan Sri Annuar Musa umat Islam wajib berusaha untuk memastikan hukum Syariah ini berjaya direalisasikan," ujar beliau lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Tuan Ibrahim sebagai berkata, usul supaya negeri-negeri di bawah PR melaksanakan hudud akan dibentang pada Muktamar ke-59 parti itu yang akan bermula malam ini.

Menurutnya, usul tersebut akan terus dibahas di peringkat Pas Pusat sehingga menemui resolusi sekali gus akan dibawa ke peringkat Dewan Rakyat.

"Dalam muktamar itu juga kita akan desak negeri-negeri yang dikuasai PR melaksanakan undang-undang itu, " katanya kepada Sinar Harian.