03 di kuala krai - Google Blog Search |
BN Akan Turunkan Siapa <b>Di</b> Kerusi Parlimen <b>Kuala</b> <b>...</b> - Dialog Rakyat Posted: 19 Dec 2012 08:53 PM PST MSO Kedai roti payan (tempayan) Jali yang terletak bersebelahan setesen minyak Shell atau Petronas di Kuala Krai merupakan "setesen" persinggahan saya terakhir dalam hampir setiap kali perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke kampung saya di Gual Nibong, Rantau Panjang. Selalunya sesampai di Lata Rak kira-kira 35 km dari Kuala Krai saya akan menghubungi beberapa orang rakan untuk sama-sama pekenakan roti payan Jali. Roti payan Jali bagi saya istimewa disebabkan gulai kambingnya berawahkan awah asli Kelantan cukup memecahkan selera saya. Nyangkut. Itu sebab pertama, sebab kedua kenapa saya akan singgah di situ kerana di kedai roti payan itu juga menjadi sumber maklumat politik di Kuala Krai. Bagi mereka yang celik IT akan duduk sambil minum di situ untuk memantai blog ataupun memasukkan status politik dalam Facebook. Di situ nanti menerusi beberapa orang rakan akan dapat mengetahui perkembangan terkini mengenai politik Kuala Krai di kedua belah pihak Pas dan juga Umno. Adakalanya maklumat politik setempat yang dibicarakan di situ lebih terkini dan telus daripada sumber-sumber rasmi dari kedua buah parti.Ternyata harapan saya petang itu tidak sia-sia. Di kedai itu sudah menanti tiga orang (informer) untuk memberi maklumat mengenai politik di Kuala Krai. Kesemua informer kali ini cenderung atau lebih dekat dengan politik dalaman Umno. Kebetulan juga informer dari pihak Pas tidak ada petang itu. Tajuk yang menjadi tumpuan petang itu satu saja mengenai kerusi parlimen Kuala Krai. Siapakah bakal dipilih oleh Umno untuk bertanding di kerusi parlimen? Sememangnya ada beberapa nama yang menjadi sebutan atau memang berhajat untuk bertanding di kerusi berkenaan. Mungkin kenapa kerusi parlimen lebih diminati memandang peluangnya lebih cerah berbanding dengan kerusi Dewan Undangan Negeri. Di parlimen Kuala Krai terdapat empat kerusi state; Guchil, Mengkebang, Manik Urai dan Dabong. Kesemua kerusi ini dimenangi oleh Pas, kecuali Guchil oleh wakil PKR. Selain itu kenapa ramai yang berminat untuk bertanding di kerusi parlimen disebabkan wakil parlimen kini Dr Mohd Hatta Ramli adalah orang luar Kelantan. Dengan mengambil kira dalam pilihan raya umum akan datang Pas akan mengkekal Mohd Hatta menyebabkan ada perkiraan kerusi parlimen itu lebih mudah. Ini ditambah lagi dengan keyakinan bekas calon Umno Prof Che Musa Che Omar yang tewas tidak akan dicalonkan lagi. Che Musa sendiri khabarnya sudah kurang minat dan kurang percaya dengan Umno, sebenarnya pucuk pimpinan Umno Kelantan. Beliau khbarnya sudah mirip kepada Pas dan pernah menghadiri di beberapa majlis anjuran Pas dan duduk-duduk bersama pemimpin Pas. Terdengar juga khabar dari pihak Pas untuk menawarkan sesuatu kepada bekas calon Umno itu menjelang pilihan raya nanti. Menjadi rebutan Lantaran itu kerusi Parlimen Kuala Krai menjadi rebutan. Ada empat nama disebut-sebut atau diperkirakan layak dengan memiliki kelebihan masing-masing. Mereka ialah Tuan Aziz Tuan Mat dan Ramzi Abdul Rahman. Kedua-dua mereka merupakan pemimpin Umno peringkat bahagian, Tuan Aziz selaku Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, manakala Ramzi adalah Ketua Bahagian dan bekas Adun Dabong 2004 - 2008. Manakala dua nama lagi ialah Junaidi Abu Bakar dan Nik Sepia Nik Yusuf. Junaidi tidak mempunyai apa-apa kedudukan di dalam Umno Kuala Krai begitu juga Nik Sepia. Junaidi ketika ini adalah Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, manakala Nik Sepia bekas ahli Umno dan kini merupakan ahli tertinggi Parti Progresif Rakyat (PPP). Itulah empat nama yang mengidam kerusi parlimen Kuala Krai. Peringkat awal Nik Sepia dikatakan beriya-iya dan melakukan gerak kerja sosial di Kuala Krai dengan tujuan mempengaruhi rakyat. Namun sejak kebelakangan ini kegiatan beliau mendekati rakyat sudah terhenti apabila dia menyedari tidak mungkin BN dan Umno memberi laluan kepadanya untuk bertanding di Kuala Krai. Begitu juga dengan Tuan Aziz. Bekas calon pilihan raya kecil Manik Urai ini telah mengemukakan percaturan politiknya dan membuat andaian bahawa dia mampu untuk mngugat Pas di kerusi parlimen Kuala Krai. Alasan diberikan kerana dia dikatakan mempunyai ramai rangkaian, saudara mara di Kuala Krai. Bagaimana pun hasrat itu juga sudah menumpul dan kini tidak kedengaran berita lagi dia akan bertanding di kerusi parlimen. Boleh jadi juga kerana Tuan Aziz sudah hampir pasti akan bertanding sekali lagi di Manik Urai menyebabkan dia melupai kerusi parlimen. Dengan ternafinya kedua orang itu, kini dua nama saja yang menjadi sebutan di Kuala Krai dan diramalkan akan diletakkan oleh Umno Kelantan bertanding di parlimen Kuala Krai; Ramzi dan Junaidi. Dipercayai Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed sedang menghalusi dua nama ini saja untuk kerusi parlimen Kuala Krai. Semasa saya di setesen persinggahan (kedai roti payan Jali) itu dua nama inilah yang diperkatakan dan diakui oleh sebahagian besar ahli dan penyokong Umno Kuala Krai. Menurut informer Umno sudah hampir pasti akan menurunkan salah seorang daripada mereka memandang kedua-dua nama ini saja yang sedang diperkatakan serata Kuala Krai. Menurut sumber itu pula kedua-dua tokoh ini ada kelebihan tersendiri untuk dicalon atau dipilih BN untuk diletak di kerusi Kuala Krai. Mereka juga sedang berusaha menunjukkan kemampuan dan wibawa bagi memastikan diri mereka dipilih oleh parti. Secara logiknya Ramzi dilihat mempunyai kelebihan berbanding dengan Junaidi kerana dia adalah ketua bahagian. Lazimnya ketua bahagian jarang diabaikan dan akan diberikan keutamaan. Manakala bagi Junaini pula dia hanya berharap kepada ehsan sebagai calon boleh menang (winnable candidate). Sebagai 'orang luar' Umno Junaidi menggunakan kedudukanya di UPSI untuk mengombakkan dirinya di Kuala Krai. Katanya beberapa program pendidikan dilakukan bagi mendekati masyarakat Kuala Krai. Junaidi menggunakan fasalitis yang ada untuk menjaja dirinya. Bagaimana pun program itu yang lebih kepada bidang kependidikan tidak dilibatkan oleh ramai pihak di Kuala Krai. Program dianjurkan oleh beliau lebih sesuai untuk kanak-kanak sekolah dan kurang berkesan dari sisi politik. Manakala sikapnya yang dikatakan ego dan suka membangga-banggakan kedudukannya serta kuasa dan pangkat kurang disenangi oleh rakyat Kuala Krai. Misalnya cara beliau menaikkan papan iklan menayangkan gambarnya dianggap sebagai berlebihan-lebihan. Orang juga mermpertikaikan untuk apa dan di mana relevensinya dia memaparkan gambarnya dipapan iklan sebesar gajah di sepanjang jalan utama menuju ke Kuala Krai. Nampak sangat cara Junaidi mempromosikan dirinya seperti peniaga mempromosikan barang baru yang belum tentu baik dan buruknya. Kata sumber lagi, peringkat awal penurunan beliau ke Kuala Krai mendapat sambutan dan diberi perhatian oleh umum. Tetapi apabila dia tidak dapat mengawal diri dan terlalu syok sendiri menyebabkan rakyat terutamnya ahli Umno mula membuat penilaian dan mengenali siapa dia Junaidi ini. Kehebatan Junaidi dengan sendirinya berinsut apabila orang membandingkannya dengan gaya dan juga sikap Ramzi yang humble dan tidak begitu menunjukkan diri walaupun dia adalah ketua Umno Kuala Krai di mana lebih berhak untuk menaikkan gambarnya lebih besar dari Junaidi. Begitu juga kalau dibandingkan dari segi pengaruh di dalam kepimpinan Umno Kuala Krai, Junaidi tertolak ke belakang. Orang Kuala Krai tidak melihat beliau sebagai pemimpin, orang yang berusaha untuk memenangkan Umno sebaliknya ingin mencari kesempatan dan ruang. Hakikat itu menyebabkan orang nampak yang bekerja keras untuk memastikan Umno menang ialah Ramzi. Demikian dari segi pengalaman politik, jauh ia berpihak kepada Ramzi. Ramzi bukan saja pernah menjadi Adun Dabong tetapi yang penting beliau adalah bekas Setiausaha Politik kepada Abdullah Badawi semasa Pak Lah menjadi perdana menteri. Dan perkara paling penting sebagai ketua bahagian Ramzi menguasi jentera parti kalaupun tidak sepenuh 90 peratus berpihak kepadanya. Manakala belum tentu jentera parti akan bergerak aktif kalau Junaidi dipilih menjadi calon. Pengalaman dan realiti itu memberi kelebihan kepada Ramzi apa lagi wataknya yang sedarhana, mudah mesra dan senang didekati. Cuma kalau pun ada sedikit masalah Ramzi bukan asal anak Kuala Krai kerana kampung halamannya di Kubang Batang Tumpat. Pun begitu kalaulah ini dijadikan perbandingan, Junaidi juga bukan anak Kuala Krai jati kerana beliau adalah orang Terengganu. Dari segi geografi ternyata tanah air asal Junaidi lebih jauh dan tidak bercantum pun dengan Kuala Krai jika dibandingkan dengan tanah air asal Ramzi yang satu negeri dengan Kuala Krai. Menyimpulkan semua maklumat, percakapan dan hakikat yang ada ternyata Ramzi lebih relevan untuk dipilih oleh Umno bagi bertanding di kerusi parlimen Kuala Krai. Cuma persoalannya apakah Ramzi mampu menumbangkan Dr Hatta, ataupun beliau akan mengalami nasib sama dengan Prof Che Musa yang tertumus di hadapan rumah sendiri. Persoalan itu juga tidak penting kerana kata orang "anak pari dalam perahu" kalau tak beri tak tahu". |
You are subscribed to email updates from di kuala krai - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |