KOTA BHARU – Pelbagai reaksi timbul kini apabila tindakan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang didakwa menawarkan tanah balak lebih 4,000 hektar di Gua Musang kepada dua pemimpin DAP dengan ramai menyifatkan ia sebagai pengkhianatan kepada negeri dan anak-anak Kelantan.
Presiden Persatuan Anak Kelantan Darul Naim (Pakatan Darul Naim), Datuk Noordin Razak berkata, dakwaan itu juga amat memalukan dan mengaibkan anak-anak Kelantan.
Beliau berkata, dakwaan itu sekiranya benar menunjukkan kerajaan Pas terdesak untuk mendapatkan sokongan sekutunya DAP bagi memperkuatkan pakatan mereka dalam usaha merampas kuasa pemerintahan negara pada pilihan raya akan datang.
"Saya percaya jika tidak ada pakatan pembangkang, perkara ini tidak berlaku, mesti ada muslihat dan agenda politik," katanya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung isu pemberian tanah bernilai puluhan juta ringgit di Gua Musang kepada dua pemimpin DAP Perak.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, transaksi yang berlaku menimbulkan keraguan dan memerlukan siasatan segera bagi mengetahui perkara sebenar di sebalik pemberian tersebut.
Dua pemimpin DAP yang didakwa terlibat ialah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausahanya, Nga Kor Ming.
Isu itu timbul apabila sebuah blog,pisau.net yang mendakwa Nik Abdul Aziz telah menawarkan tanah seluas 4,259.9 hektar di Relai, Chiku, Gua Musang kepada Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausahanya Nga Kor Ming untuk menerima Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada 2008.
Penulis blog itu mendakwa tawar menawar itu berlaku ketika polemik pemilihan Menteri Besar berlaku ketika pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya umum pada tahun tersebut.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas bagaimanapun telah menafikan perkara itu dan menganggap ia sebagai fitnah.
Kata Mohd. Hilmi, selain Koo Ham dan Kor Ming, SPRM wajar menyiasat Nik Aziz yang merupakan individu bertanggungjawab terhadap hal ehwal tanah di Kelantan.
"Saya tidak mahu tuduh secara melulu, tetapi sebagai sebuah NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dari Perak, saya juga mahu tahu perkara sebenar. Bagaimana transaksi itu boleh berlaku? Ini bukan isu kecil tetapi membabitkan tanah pembalakan yang bernilai puluhan juta ringgit," katanya.