GUA MUSANG – Dua pemandu maut dalam kemalangan jalan raya, membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 7.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kem Semor, dekat sini, pagi semalam.
Mangsa yang maut itu dikenali pemandu kereta sewa, Abdullah Abdul Ghani, 64, berasal dari Tanah Rancangan Fela Chiku 1 dan Che Zamri Che Long, 40, berasal dari Kampung Beta Pohon Buluh, Pasir Mas, manakala seorang lagi berusia 20-an tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi, ketika Abdullah dalam perjalanan dari rumahnya ke Bandar Gua Musang, manakala Che Zamri dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.
Kereta Proton Wira dipandu Che Zamri dipercayai pecah tayar depan, sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta sewa dipandu Abdullah.
Dalam keadaan kelam-kabut itu, sebuah kereta lagi yang datang dari arah Gua Musang ke Kuala Krai merempuh belakang kereta Che Zamri menyebabkan kereta mangsa terputus dua.
Abdullah yang mengalami kecederaan parah dan tersepit dalam kereta sewanya meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Che Zamri yang tercampak dalam longkang selepas kereta dipandunya terputus dua meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM).
Anak Abdullah, Haslan, 25, berkata, sebelum itu dia berhasrat untuk bersama ayahnya keluar ke bandar Gua Musang bagi membaiki mesin rumput yang rosak.
Dia berkata, bagaimanapun arwah ayah melarang ikut bersama ke bandar bagi tujuan itu, dan menyuruhnya menjaga ibu yang sakit di rumah selepas dibawa menerima rawatan di Pusat Kesihatan Besar Bandar Chiku.
"Saya tidak sangka larangan ayah agar dia tidak ikut bersama ke bandar Gua Musang merupakan larangan terakhir sebelum kejadian itu dan saya sedih bila teringat kata-kata ayah itu.
"Bagaimanapun, saya terima takdir Tuhan kerana hilang orang tersayang," katanya.
Haslan berkata, keadaan arwah juga berlainan sebelum bertolak ke bandar Gua Musang hingga tidak mahu lagi naik ke rumah, dan terus memandu kereta sewa bersendirian.
"Saya yang menerima panggilan mengenai kejadian itu terus bergegas ke tempat kejadian dan sedih melihat kenderaan yang dipandu arwah remuk teruk," katanya.
-sinar harian online