Riuh rendah dan gegak gempita jadinya dalam kem pakatan pembangkang khususnya PAS apabila laporan oleh Kajian Demokrasi Dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) yang didedahkan pada umum menunjukkan penurunan keyakinan respondan terhadap PAS di Kelantan.
Dalam laporan terbaru kaji selidik yang dijalankan bermula 1 hingga 16 September 2012 itu, hasil kajian mendapati populariti PAS telah merudum 3% berbanding 44% yang direkodkan semasa kajian sebelumnya yang diadakan pada 31 Mac hingga 15 April 2012.
Di masa yang sama, tahap keyakinan umum terhadap BN pula telah meningkat naik dari 27% kepada 32%. Seimbas lalu kelihatan cuma kecil sahaja kenaikan keyakinan umum pada BN dan hanya sedikit penurunan untuk PAS, namun agak dipandang penuh kerisauan oleh ramai pemimpin PAS.
Hakikatnya di Kelantan suasana lokal agak berbeza dengan negeri lain, sedikit undi berubah banyak kerusi DUN bakal berpindah tangan. Ditambah pula dengan jumlah peratusan respondan yang tidak jelas pendirian yang memberikan jawapan tidak pasti masih agak tinggi mencecah 27%, ia tambah merunsingkan PAS.
PAS amat maklum dalam apa jua situasi, golongan yang dikenali sebagai pengundi atas pagar itu memainkan peranan penting dan biasanya sebahagian besar golongan ini lebih cenderung memilih BN berbanding parti lain.
Sebetulnya, PAS sendiri pun tahu kajian sedemikian tidak semestinya tepat malah banyak pertikaian boleh diperdebatkan, namun senario semasa yang jauh lebih menakutkan sedang marak di kalangan rakyat Kelantan memaksa PAS untuk ambil cakna laporan UMCEDEL itu sebagai sesuatu yang serius.
Tika ini banyak program dan majlis ceramah PAS serta keraian anjuran kerajaan PAS Kelantan semakin kurang mendapat sambutan ramai. Jelas tampak berbeza bila dibandingkan dengan suasana dan mood khalayak sebelum PRU 2008.
Malah dalam satu kajian yang dilakukan oleh PAS sendiri sebagaimana pernah didedahkan oleh beberapa orang pemimpin PAS negeri, juga selari dengan senario masakini apabila laporan culaan oleh PAS itu menunjukkan mereka hanya benar-benar selamat di 17 kerusi DUN sahaja.
Baki kerusi selebihnya daripada 45 kerusi DUN, dilihat condong kepada BN malah sekurang-kurangnya 25 kerusi DUN sudah utuh sebagai kubu kuat BN. Hasil kajian itu juga tidak jauh bezanya dengan kajiselidik skala besar yang beberapa kali dilaksanakan oleh UMNO Kelantan.
Di pihak UMNO dan BN pula, mereka hanya perlu menggandakan usaha dan penerangan supaya momentum kebangkitan sama ada berkekalan ataupun terus mendaki tinggi supaya kelak bila tiba hari mengundi trend semasa ini diterjemahkan kepada sokongan jitu untuk BN kembali memegang tampuk pemerintahan negeri.
Bak kata seorang pemimpin kanan PAS, sesaat pemimpin BN lagho bermakna itu peluang terbaik untuk PAS mematikan momentum sokongan rakyat terhadap BN.
Lebih menarik, perubahan dan kebangkitan gelombang penolakan rakyat Kelantan terhadap PAS semakin terasa selepas Pilihanraya Kecil Manek Urai dan terus meluas selepas BN berjaya menawan semula DUN Galas dari PAS tidak berapa lama dulu.
Ditambah pula dengan rentak songsang yang kerap diambil oleh kepimpinan PAS dalam menhadapi kebiadapan DAP dan acapkali pula PAS menjadi keldai tunggangan untuk kepentingan PKR dan DAP, semuanya itu menjadi rempah ratus yang mengganggu gugat pasak kekuatan parti itu di negeri yang pernah dikenali sebagai kubu kuatnya.
Sementelah lagi sejak beberapa bulan kebelakangan ini bekas naib presiden PAS, Hasan Ali kerap mengunjungi Kelantan dalam menjayakan roadshownya yang mendapat sambutan hangat, tidak sedikit impaknya mengakibatkan keyakinan khalayak terhadap PAS semakin suram.
Jika semua perkembangan ini kekal atau terus meningkat kemudian diterjemahkan dalam bentuk undian untuk BN, nescaya benarlah tanggapan ramai bahawa Aidilfitri 1433 yang baru sahaja berlalu merupakan Aidilfitri terakhir untuk PAS Kelantan.
22 tahun PAS merajai singgah sana tampuk perintahan negeri tanpa membawa perubahan besar yang memberi manfaat untuk rakyat, kini tibalah masanya untuk PAS menerima kenyataan, PRU 13 ini kekalahan untuknya sedang menanti.
Leave a Reply