Khamis, 24 Februari 2011

Edisi Nasional

Edisi Nasional


Utusan Online - Keluarga

Posted: 24 Feb 2011 01:39 PM PST

Utusan Online - Keluarga


Kartun pun boleh berdakwah

Posted:

Kartun pun boleh berdakwah

Kartun pun boleh berdakwah

Oleh ZUARIDA MOHYIN
Gambar MOHD. NOOR AMIN dan NOOR ASREKUZAIREY SALIM


Muliyadi Mahamod bersama sebahagian daripada buku-buku tulisannya.


SEBUT nama Jaafar Taib, Lat, Cabai, Ujang, Nudin, Zainal Buang Hussein, Rejabhad, Nan, Rossem, Don, Aloy, Rasyid Asmawi, Fatah dan ramai lagi nama yang seangkatan mereka, tentu ada yang sudah tergelak atau kalau tidak pun, tersenyum sendirian.

Ingatan kita sepantas kilat akan terbayang kembali kepada kartun-kartun jenaka, lawak maut dan tidak kering gusi seperti Jungle Joke, Kampung Boy, Aku Budak Minang, Ayop Anak Tulakang, From Taiping With Love, Pendekar Mata Tiga, Tiga Gadis Pingitan, Lagak A. Mahmud dan banyak lagi.

Inilah barisan kartunis popular tanah air yang cukup sinonim dengan kemunculan majalah Gila-Gila pada 1 April 1978.

Gila-Gila melakar pelbagai sejarah penting dalam landskap perkembangan seni lukis kartun dan penerbitan tanah air dengan menjadi perintis, pencetus, penggalak, trend setter, melahirkan tokoh dan kartunis baru dan mengangkat martabat dan kedudukan seni lukis kartun dan komik secara umumnya.

Pensyarah Sejarah dan Kritikan Seni di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Profesor Dr. Muliyadi Mahamod dalam buku tulisannya berjudul Dunia Kartun: Menyingkap Pelbagai Aspek Seni Kartun Dunia dan Tempatan ada menjelaskan dalam salah satu bab di dalam buku ini bahawa Gila-Gila lahir tepat pada waktunya ketika negara ketandusan bahan bacaan berasaskan kartun, komik dan karikatur yang kukuh.

Ia beracuan konsep formal kartun global seperti dalam majalah popular Amerika Syarikat (AS), Mad serta berlatarbelakangkan masyarakat, dunia hiburan dan komik tanah air.

Kata Dr. Muliyadi, penerbitan majalah ini ibarat pemangkin yang mencetuskan semacam kebangkitan kartun Melayu. Apabila Gila-Gila terbit ketika itu, kelihatan kartunis ada ruang untuk menyalurkan hasil karya mereka.

"Selepas itu, kita lihat penerbitan majalah-majalah lain seperti Gelihati, Mat Jenin, Batu Api, Humor, Ujang sehinggalah sekarang telah muncul majalah seperti Gempak, Utopia, Starz, Jom, G3 dan banyak lagi.

"Tahun 1980-an pula dilihat era kecemerlangan kepada dunia kartun Melayu kerana kemunculan lebih banyak penerbitan majalah, pelbagai pameran dan seminar. Kemuncaknya pada tahun 1990 ditubuhkan Persatuan Kartunis Malaysia (Pekartun) dan diikuti International Gathering of Cartoonist, anjuran oleh Datuk Lat dengan Kampung Boy Sdn. Bhd. yang berjaya menghimpunkan para kartunis seluruh dunia seperti Filipina, Perancis, China, Belanda," katanya kepada Mega, Utusan Malaysia, di pejabatnya, baru-baru ini.

Menurut Dr. Muliyadi, seni lukis kartun mempunyai sejarahnya yang panjang. Bermula daripada lukisan pada gua, wang kulit dan media cetak sehinggalah kepada media digital.

Kata beliau, dalam tahun 30-an kartun banyak menyentuh hal berkaitan semangat kebangsaan Melayu, kritikan terhadap penjajahan, isu kedatangan bangsa dagang, perjuangan kemerdekaan dan menegur orang Melayu.

Selepas merdeka, kartun-kartun adalah berkaitan polisi kerajaan yang mahu menekankan perpaduan bangsa, konsep muhibbah, menunjukkan kesatuan antarabangsa Melayu dengan bangsa-bangsa lain dan ada juga kartun di Utusan Zaman yang fokus kepada isu konfrantasi dengan Indonesia.

"Ini membuktikan kartun sangat berkait dengan perkembangan politik, keadaan ekonomi, sosio-politik negara, pemilikan akhbar, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan penapisan diri sendiri," jelasnya.

Dalam konteks ini kata Dr. Muliyadi, kartun terus digunakan sebagai 'senjata' untuk memperbaiki sikap Melayu.

Selain itu, kartun terus berperanan sebagai senjata mengkritik, menyindir serta mendedahkan pelbagai kepincangan dalam isu-isu setempat dan sejagat.

"Kalau dahulu, selepas merdeka kita melihat kebanyakan akhbar didominasi oleh media arus perdana. Sekarang, kita melihat sudah adanya akhbar-akhbar alternatif.

"Ini mempengaruhi bentuk kartun agar menjadi lebih terbuka. Maksudnya, tidak semua kartun memberi sokongan kepada dasar-dasar kerajaan," terang Muliyadi kartun bukan hiburan semata-mata.

Menurut beliau lagi, peranan kartun itu memang sentiasa ada dan sentiasa konsisten. Cuma mungkin kita mempunyai banyak pilihan sama ada melihat dalam bentuk yang bagaimana?

Contohnya, kekuatan animasi Upin & Ipin adalah pada unsur hiburan, pengajaran dan unsur jenaka yang dipersembahkan dalam watak-watak yang agak universal. Ia sesuai bukan hanya kepada masyarakat Malaysia tetapi masyarakat global.

Sebenarnya, kata Dr. Muliyadi, kartun-kartun sebelum merdeka di akhbar sudah mencerminkan unsur-unsur dakwah, contohnya mengkritik orang Melayu yang kebaratan.

"Begitu juga dengan kartunis Lat sendiri iaitu pada tahun 2001, beliau membuat siri kartun di Berita Harian bertajuk, Ayuh Ke Masjid'.

"Contohnya mengajak kanak-kanak ke masjid, cara sembahyang dan cara berwuduk. Ini sudah jelas sifat dakwah yang cuba disampaikan oleh Lat. Agak unik juga kerana sebelum ini Lat banyak menghasilkan kartun yang agak simbolik.

"Rossem pula hasilkan kartun Kristian vs Islam, Kartun Lanun, karya Ujang dan kawan-kawannya juga banyak menekankan aspek dakwah yang ketara.

"Begitu juga dengan majalah Ana Muslim dan Sayang Muslim," kata Dr. Muliyadi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Nantikan

Posted:

Nantikan <i>Adik Muslim</i>

Nantikan Adik Muslim

Oleh ZUARIDA MOHYIN
Gambar ZAKARIA IDRIS


Othman Mohamed dan Saadah Taib masih terus berusaha mendekati serta menjentik jiwa halus anak-anak Muslim menerusi penerbitan mereka.


MELENTUR buluh biarlah daripada rebung. Peribahasa yang paling tepat bagi menggambarkan kesungguhan dan matlamat empunya Blue-T Communications Sdn. Bhd., Othman Mohamed dan Saadah Taib dalam penerbitan, Sayang Muslim dan Ana Muslim kira-kira lima tahun lalu.

"Memang matlamat utama kami pada adalah mendidik masyarakat dan memberi alternatif bacaan kanak-kanak secara santai. Pada masa sama, dapat menyuntik nilai-nilai Islamik di dalam jiwa kanak-kanak selaras dengan tagline Sayang Muslim iaitu Asas Peribadi Mulia manakala Ana Muslim, Membentuk Peribadi Mulia," kata Othman.

Beliau bersyukur kerana mereka adalah yang terawal dalam penerbitan berasaskan Islam secara keseluruhannya.

Menurut beliau, sebab itu, walaupun dihasilkan dalam bentuk Islam tetapi kualitinya dipastikan yang terbaik supaya anak-anak ada minat membaca dan bukan membaca kerana terpaksa.

"Kita hendak sentuh hati mereka. Jadi, kena ada kreativiti agar ia seiring dengan kehendak kanak-kanak masa kini yang ada banyak pilihan.

"Dari situ baru kita tekankan pengisian yang luar daripada format sekolah yang mana ia lebih kepada akademik.

"Sebenarnya, kita mahu proses pendidikan itu tidak sahaja berlaku di rumah dan di sekolah, tetapi daripada pembacaan seperti inii," kata Othman.

Ekoran sambutan semakin memberangsangkan, beliau bercadang menerbitkan satu lagi majalah berjudul Adik Muslim, yang mana sasarannya adalah kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun.

Katanya, penerbitan baru itu adalah respons daripada ibu bapa dan pembaca setia.

Adik Muslim adalah untuk mengisi jurang antara Sayang Muslim dengan Ana Muslim.

Ini kerana, menurut maklum balas itu, pembaca a merasakan terdapat jurang luas antara Sayang Muslim dan Ana Muslim.

"Daripada situlah kami berusaha menghasilkan Adik Muslim. Insya-Allah akan berada di pasaran dalam tempoh terdekat," jelasnya.

Othman berkata, melihat perkembangan dunia multimedia masa kini seperti kartun dalam bentuk animasi, pihaknya juga telah mengambil langkah menerbitkan animasi nasyid.

Malah katanya, mereka ada membuat kerjasama dengan kumpulan nasyid popular tanah air Raihan.

"Sehingga kini telah diterbitkan Ana Muslim Mari Berdoa (dalam bentuk VCD), Ana Muslim Intisari daripada al-Quran (Vol 1) dan Ana Muslim Intisari daripada al-Quran (Vol 2) dengan penampilan istimewa bersama Raihan (dalam bentuk DVD & VCD).

"Kami yakin usaha pendidikan dan dakwah menerusi bahan bercetak ini akan terus bersinar dan tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas, walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran," tambahnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kosmo Online - Varia

Posted: 24 Feb 2011 11:49 AM PST

Kosmo Online - Varia


Bertemu Ronaldo di Madrid

Posted:

Bertemu Ronaldo di Madrid

Bertemu Ronaldo di Madrid


RONALDO (dua dari kanan) turut turun padang melihat pemenang peraduan beraksi.


TUAH BADAN. Itu mungkin pepatah terbaik kepada tiga orang yang bertuah apabila Castrol, pakar pelincir premium baru-baru ini memberi hadiah hebat berupa kunjungan yang tidak akan dilupakan ke Madrid.

Di Madrid, mereka bertemu Duta Global Castrol, Cristiano Ronaldo dan berlatih di kompleks latihan terkenal Real Madrid di Valdebebas.

Lawatan penuh kenangan itu adalah hasil kempen bersepadu Castrol untuk para pengguna dan rakan dagangan mereka.

Pemenang yang bertuah itu ialah Goh Su Chin daripada peraduan Castrol EDGE Kick it Like Ronaldo yang dianjurkan untuk pengguna, Tan Haan Chiang yang memenangi Cabaran Perdagangan Castrol, Meet Ronaldo in Madrid yang dianjurkan untuk para Pengedar dan Tan Geok Heng daripada peraduan Castrol Power 1 Pour & Win yang diadakan untuk mekanik bengkel motosikal.

Selain pengalaman sekali seumur hidup bertemu Pemain Bola Sepak Terunggul FIFA Tahun 2009, Castrol juga mengaturkan beberapa lawatan di Madrid.

Ini termasuklah lawatan ke Las Rozas iaitu kawasan beli-belah yang masyhur dan kunjungan ke Istana Biara Escoril.

Satu jamuan makan malam khas juga dianjurkan pada hari terakhir bertempat di La Moreria yang terkenal seantero dunia iaitu sebuah restoran tapas klasik Sepanyol yang menampilkan persembahan Flamenco yang masyhur sedunia.


PEMENANG-PEMENANG peraduan Castrol EDGE Kick it Like Ronaldo bergambar di Pusat Latihan Real Madrid FC, Valdebebas, Sepanyol.


Lawatan tersebut sampai ke kemuncaknya apabila ketiga-tiga pemenang berpeluang bersemuka dengan Cristiano Ronaldo di Valdebebas dan berlatih dengan tenaga jurulatih Real Madrid.

Latihan itu bercorak kemahiran dan ketahanan yang menyeronokkan, berlangsung dalam suasana yang sejuk. Semua peserta dihadiahkan dengan kit latihan eksklusif Castrol dan mereka berpeluang ke tempat menyimpan barang pemain untuk menyalin pakaian.

"Bertemu Ronaldo dan berlatih di Valdebebas memang di luar impian kami sama sekali. Saya cukup seronok bermain bersama jurulatih Real Madrid di padang dan dapat bercakap dengan Ronaldo secara peribadi.

"Kami juga berjaya mendapatkan tandatangannya pada kit latihan kami," ujar Pengedar Castrol dari Kedah, Tan Haan Chiang.

Bagi Tan Geok Heng, seorang pemilik bengkel motosikal dari Pagoh, kesempatan menyaksikan permainan Real Madrid adalah sesuatu yang kekal dalam ingatan.

Pengalaman tetamu Castrol

"Berada dalam bilik Trofi Real dikelilingi segala piala yang telah dimenangi pasukan dan para pemain sungguh di luar dugaan sama sekali.

"Saya sendiri amat menghargai pengalaman sebagai tetamu Castrol kerana diberi layanan orang kenamaan dari mula hingga akhir. Daripada jamuan ringan sebelum perlawanan hingga kepada tempat duduk istimewa yang dikhaskan untuk kami," katanya.

Paling istimewa, menurut Goh Su Chin pemenang daripada peraduan Castrol EDGE Kick it Like Ronaldo dari Pulau Pinang apabila Ronaldo menjaringkan hatrik pertama bagi musim ini untuk Real Madrid.


PARA pemenang bertuah dilatih cara-cara menangkap bola dengan betul.


"Saya sungguh teruja dapat mengecapi saat-saat bersejarah bagi Ronaldo di Real Madrid. Lawatan ke Madrid ini memang di luar jangkaan saya sama sekali. Daripada bola sepak dan makanan hingga kepada sejarah dan budaya Sepanyol, lawatan ini adalah satu pengalaman peribadi yang sungguh mengagumkan," ujarnya.

Castrol telah sekian lama menggunakan warisan analisis, teknologi dan inovasi untuk menjana prestasi kemenangan dalam bidang sukan di darat, laut dan angkasa sejak lebih 100 tahun yang lalu.

Dengan menerapkan pendekatan yang sama terhadap bola sepak, Castrol telah mencipta beberapa daya usaha inovatif untuk memberi para peminat cara-cara yang lebih mendalam dan lebih berwawasan untuk menikmati permainan bola sepak berbanding masa-masa sebelumnya.

"Peraduan ini adalah kesinambungan daripada perkongsian Castrol's 2010 FIFA World Cup yang merupakan penajaan terbesar dan paling berprestij yang pernah dilakukan oleh Castrol dalam sejarah penuh warna-warni selama lebih 100 tahun," kata Pengarah Pemasaran Castrol Malaysia dan Singapura, Mark Ng.

Bahkan apa yang sukar dilupakan adalah pengalaman meraikan jaringan hatrik Duta Global Castrol Cristiano Ronaldo untuk Real Madrid di Santiago Bernabeu.

Kempen Castrol EDGE Kick It Like Ronaldo juga memberi para pengguna bertuah hadiah-hadiah hebat seperti Apple iPad, Kamera Digital Canon IXUS dan Apple iPod Shuffle.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Utusan Online - Johor

Posted: 24 Feb 2011 09:27 AM PST

Utusan Online - Johor


Sarang buaya di Pasir Gudang

Posted:

Sarang buaya di Pasir Gudang

Sarang buaya di Pasir Gudang

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my


Kolam buaya diasingkan mengikut peringkat umur di Santuari Buaya Tembaga, Pasir Gudang. – UTUSAN/Nasirruddin Yazid


JOHOR BAHRU 23 Feb. – Siapa sangka di sebalik deretan kilang di kawasan perindustrian Pasir Gudang, dekat sini terdapat sebuah tempat menempatkan spesies buaya paling besar dan ganas antara 23 spesies yang terdapat di dunia iaitu buaya tembaga.

Sarang Buaya atau turut dikenali sebagai Santuari Buaya Tembaga yang dibangunkan di dalam kawasan hutan paya bakau berhampiran Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang seluas 3.237 hektar itu mula didirikan pada 2008.

Tempat yang dibangunkan dengan kos RM2.9 juta merupakan satu-satunya santuari seumpama itu yang diwujudkan di negara ini dan ia mula dibuka kepada orang awam sejak Februari 2009.

Lebih menarik, Sarang Buaya yang merupakan produk eko-pelancongan baru di negeri ini memberi tumpuan kepada konsep pembelajaran, konservasi, rekreasi dan penyelidikan mengenai buaya tembaga kepada pengunjungnya.

Menurut pengurus pusat tersebut, Abdul Malek Ab. Aziz, kini terdapat sebanyak 144 ekor buaya tembaga pelbagai saiz dan warna ditempatkan di enam daripada 12 kolam yang dibina mengikut bentuk tapak kaki di situ.

Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun mengendalikan buaya memberitahu, di santuari buaya tembaga itu orang ramai dapat melalui pelbagai pengalaman menarik dan berbeza berbanding di lokasi lain.

"Pengunjung boleh melihat pelbagai aksi buaya ketika diberi makan, cara pemindahan buaya selain dibenarkan mengambil gambar bersama anak buaya sebagai kenang-kenangan," katanya semasa ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Buaya tembaga yang hidup di dalam air masin dan tawar merupakan spesies buaya tempatan yang hampir pupus serta dilindungi sepenuhnya oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Buaya merupakan haiwan prasejarah yang telah wujud lebih 200 juta tahun. Daripada 23 spesies buaya di dunia, hanya dua spesies terdapat di Malaysia iaitu buaya tembaga dan jenjulung.

Mengulas lanjut, Abdul Malek yang juga pengasas pertunjukan manusia dan buaya di negara ini memberitahu, buaya-buaya yang diletakkan di dalam kolam di santuari itu dibeli daripada penternak yang berlesen di Muar.

"Buaya-buaya di sini diberi makan daging ayam dua kali setiap minggu bagi buaya dewasa dan seminggu sekali bagi anak buaya dan jangka hayatnya boleh mencecah sehingga 90 tahun," katanya.

Ditanya bagaimana mula meminati dan mendampingi buaya, Abdul Malek memberitahu, beliau sememangnya seorang pencinta haiwan.

Semua ilmu yang diterima termasuk teknik-teknik untuk mengawal buaya dipelajari daripada seorang penternak buaya yang juga sifunya, Ng Chong Seng.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) juga bakal memasukkan Sarang Buaya dalam pakej pelancongan Pasir Gudang sekali gus membantu mempergiatkan lagi promosi tempat tersebut.

"Malah, satu program dikenali sebagai Program Titian Kasih Yang Dipertua MPPG, A. Rahim Nin bakal diperkenalkan kepada semua sekolah di kawasan Pasir Gudang.

"Menerusi program ini, 40 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terpilih akan dibawa melawat santuari ini dengan percuma sebagai satu tanggungjawab sosial korporat MPPG," katanya.

Justeru, beliau mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke Sarang Buaya yang dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan bayaran RM4 untuk dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Setiap hari hidu bau busuk

Posted:

Setiap hari hidu bau busuk

Setiap hari hidu bau busuk

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my


KAMARUDIN Mustakin menunjukkan sampah yang lama tidak diangkat di Projek Perumahan Rakyat Taman Desa Mutiara Tebrau, Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 23 Feb. – Kira-kira 6,000 penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara Tebrau, di sini memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) menyelesaikan segera masalah sampah yang tidak dipungut sejak sekian lama.

Mereka melahirkan rasa kecewa dan tidak puas hati dengan perkhidmatan penyelenggara sampah-sarap itu kerana ia tidak diangkat mengikut jadual sehingga menimbulkan bau busuk.

Wakil penduduk, Kamarudin Mustakin, 55, berkata, masalah sampah yang tidak dikutip mengikut jadual itu bukan masalah baru, malah ia semakin meruncing apabila cuti umum kerana sampah-sarap terbiar sehingga berminggu-minggu dan berulat sehingga menimbulkan bau busuk.

"Sebenarnya penduduk sudah buat aduan tentang masalah sampah ini. Kita juga sudah buat aduan kepada pihak yang berkenaan. Saya amat berharap perkara ini dapat diselesaikan segera kerana ia bukan sahaja melibatkan bau busuk tetapi juga faktor kesihatan kerana bimbang ia jadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kamarudin berkata, tong besar yang disediakan di setiap rumah sampah tidak mencukupi untuk menampung jumlah sampah yang dibuang penghuni kerana hanya satu tong besar disediakan di setiap rumah sampah.

Beliau berkata, apabila tong berkenaan sudah penuh, penduduk tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membuang di sekitar rumah sampah dan ia mewujudkan keadaan yang kurang menyenangkan.

Musbah Bajuri, 40, pula berkata, sisa sampah yang bertaburan di atas jalan dan sekitar rumah sampah juga tidak dibersihkan oleh pekerja yang bertanggungjawab menyelenggara bahan buangan tersebut.

Malah, tindakan mereka mengangkut sampah pada waktu malam iaitu kira-kira pukul 1 hingga 2 pagi juga mengundang rasa kurang menyenangkan kerana ia mengganggu tidur segelintir penduduk.

"Sudahlah mereka mengambil sampah lambat, buat kerja pula waktu malam hingga awal pagi. Ia sedikit sebanyak mengganggu lena penduduk setempat dengan bau yang kurang menyenangkan dan bunyi bising. Harap selepas ini pihak terbabit mengambil kira faktor sebegini," katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia turut mendapati rumah sampah di PPR yang menempatkan 22 blok kediaman itu dipenuhi sampah-sarap yang tidak diangkat dan berselerak.

Seorang lagi penghuni, Syarifah Malihan, 34, mengakui, bau busuk dan sampah bertaburan memberi kesan kepada kehidupan masyarakat di kawasan berkenaan.

"Ini kerana sampah yang sudah lama tidak dipungut membiakkan ulat dan kadangkala 'menyerang' rumah yang paling hampir dengan tempat pembuangan tersebut.

"Ia sedikit sebanyak mengganggu kehidupan seharian kami. Jadi, saya berharap pemantauan secara berterusan perlu diambil bagi memastikan perkara ini tidak berterusan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Berita Harian: Ratu

Posted: 24 Feb 2011 01:37 AM PST

Berita Harian: Ratu


Teh penawar penyakit

Posted: 23 Feb 2011 05:38 PM PST

Ratu

Mengandungi 1,001 khasiat tingkatkan kesihatan

ADA yang kata, tidak elok minum teh, kerana ia mengandungi kafein. Ada juga yang tidak minum teh kerana kononnya ia 'angin', boleh menyebabkan perut kembung dan ada juga yang tidak minum teh kerana dakwanya, teh menyebabkan cirit-birit.

Apapun pandangan segelintir individu, tidak dapat dinafikan teh adalah antara minuman paling popular - paling banyak dan kerap dinikmati - tidak kira sama ada di rumah, restoran mewah mahu pun gerai. Diminum panas atau sejuk, berserta susu atau hanya gula, mungkin juga `kosong' (tanpa gula dan susu), tidak keterlaluan jika dikatakan teh adalah minuman universal. Ramai yang paginya tidak akan bermula atau harinya tidak lengkap tanpa secawan atau segelas teh hanya kerana sukakan rasa, kesegaran dan aroma.

Hakikatnya, minuman yang mula ditemui di benua Asia, iaitu sekitar India, Utara Burma, China dan Tibet ini, banyak khasiatnya.

Mengikut sejarah, teh mula digunakan di China sejak kurun ke-10 sebelum Masihi dan dari awal, ia digunakan sebagai antara ramuan dalam ubat-ubatan. Teh bertindak sebagai penawar dan berkhasiat mencegah penyakit. Secara saintifik, teh mengandungi kira-kira 700 bahan kimia dan kebanyakannya mempunyai hubung kait dengan kesihatan tubuh badan manusia.

Malah, kandungan kafein dalam teh juga kopi, yang disalah anggap ramai tidak elok untuk kesihatan sebenarnya amat baik untuk tubuh badan.
Kafein dalam kuantiti yang berpatutan membawa kebaikan pada tubuh kerana ia merangsang metabolisme serta meningkatkan fungsi otak dan rangsangan pada persekitaran sekali gus memberi kesegaran pada tubuh. Secawan kopi mengandungi 125-185 miligram (mg) kafien manakala secawan teh hitam mengandungi 45-60 mg kafein, teh oolong (35-45 mg) dan teh hijau (15-20 mg).

Mengikut kajian, kesan kafein dalam teh merangsang dan memberi kesegaran pada tubuh badan secara perlahan berbanding kopi.

Memetik laporan di internet, Archives of Internal Medicine menyebut, kajian ke atas 500 lelaki dan perempuan di China yang mengamalkan minum teh selama 10 tahun mendapati mereka mempunyai kesihatan tulang yang optimum.

Kajian pada 2001 yang dijalankan oleh saintis Amerika Syarikat, Taiwan dan Jepun mendapati teh berupaya melambatkan proses penuaan. Kajian terhadap tikus mendapati tikus yang diberikan teh menunjukkan jangka hayat yang lebih lama berbanding tikus yang diberikan air biasa.

Kajian saintis Jepun pula mendapati teh berupaya menentang alahan. Kandungan antioksida dalam teh hijau mampu menghalang proses biokimia, yang bertindak balas pada pembentukan alahan. Teh hijau amat mujarab bagi mereka yang alah pada persekitaran berhabuk.

Pengarah Strong Cancer Preventation Center di New York, Mitchell Gayor, berkata teh adalah satu sumber terbaik untuk menentang serangan barah.

Menurut kajian beliau, kandungan antioksida yang terdapat dalam teh boleh membantutkan perkembangan enzim yang membantu perkembangan sel barah. Beliau juga menasihati supaya meminum teh empat cawan sehari.

Penulis bukan penggemar tegar teh. Penulis lebih menggemari kopi berbanding teh, tetapi tidak menolak hakikat, badan rasa segar sesekali menikmati minuman itu, lebih-lebih lagi jika badan berasa lesu.

Pengalaman menikmati minum teh di Restoran St James, di gedung beli-belah elit Fortnum & Mason di kota London, baru-baru ini, membuatkan penulis kini semakin menggemari teh. Diatur oleh Visit Britain, penulis dan rakan sekerja, Shaidah Shafie, sesi minum petang itu memberi pengalaman minum teh yang amat menarik buat kami berdua.

Dalam suasana mewah sambil santai, hidangan teh yang menyegarkan, berserta pelbagai jenis sajian ringan seperti kek, sandwic dan skon yang dihidangkan dengan krim serta dua pilihan jem, strawberi dan beri biru amat menyelerakan. Semuanya berharga kira-kira RM175, untuk seorang!

Dikhabarkan skon di situ adalah antara yang terenak di kalangan penggemarnya di London. Ternyata skon berwarna kuning keemasan itu amat berharga untuk disia-siakan lantaran keindahan warnanya adalah simbol kepada keenakan rasa.

Lebih teruja kami apabila diberitahu restoran itu dan sajian minuman petang di situ adalah antara kegemaran Ratu England, membuatkan kami berasa sangat bertuah berpeluang menjejakkan kami di situ.

Justeru, bagi penggemar teh, jika berpeluang ke London, jangan lupa untuk ke Restoran St James dan menikmati keenakan teh serta sajian iringannya.

INFO: Khasiat teh

  • Teh mengandungi phytochemicals yang berfungsi untuk membantu tubuh menentang serangan beberapa jenis barah.
  • Teh berfungsi mengekalkan tahap kolesterol dalam darah dengan menyingkir oksidasi LDL atau dikenali dengan `kolesterol jahat'.
  • Catechins yang terdapat dalam teh berfungsi sebagai antioksida.
  • Teh juga mengandungi fluorida, yang penting dalam menghalang pertumbuhan kaviti pada gigi.
  • Teh kaya dengan sumber antioksida, dikenali sebagai polyphenol atau flavonoids pada teh hijau dan teh putih manakala pada teh hitam pula dikenali sebagai theaflavin.
  • Flavonoids dalam teh juga memberi khasiat membina dan menguatkan otot.
  • Polyphenol mengesan sel penyebab kanser dan punca arteri tersumbat.
  • Teh hitam dikatakan berupaya menurunkan risiko penyakit jantung kerana ia mampu menghalang darah daripada berkumpul, yang boleh menyebabkan darah terhenti. Menurut kajian yang dilakukan oleh Boston's Beth Israel Deaconess Medical Center, seramai 1,900 pesakit jantung hidup lebih lama secara puratanya 3.8 tahun selepas mengamalkan meminum teh dua cawan sehari.
  • Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    Probiotik perang bakteria jahat

    Posted: 23 Feb 2011 05:34 PM PST

    Ratu

    Hospital di seluruh dunia jadikan hidangan menu pesakit

    KEPENTINGAN probiotik tidak dapat disangkal untuk mewujudkan keseimbangan, membantu sistem penghadaman serta banyak lagi manfaatnya bagi memastikan kesihatan yang baik kepada manusia.

    Probiotik ialah bakteria baik, yang ada pada dinding usus untuk menjadikan usus sihat dan kuat. Ia mengawal pembiakan bakteria jahat yang boleh mengganggu gugat keseimbangan sistem kesihatan. Justeru, beberapa hospital di dunia menjadikan minuman probiotik sajian dalam menu hidangan pesakit. Di Jepun khususnya, minuman susu kultur Yakult diberikan kepada pesakit. Begitu juga di Malaysia, kira-kira 15 hospital kerajaan dan swasta menjadikan minuman ini sajian untuk pesakit. Antaranya, hospital rangkaian KPJ Healthcare Berhad seperti Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri dan Hospital Pakar KPJ Ipoh.

    Hospital PAkar KPJ Ampang Puteri yang mempunyai 218 katil menggunakan hampir 2,000 botol Yakult Ace setiap minggu untuk pesakitnya.

    Ketua Jabatan Pemakanan hospital itu, Wong Wen Yin, berkata semakin banyak bukti saintifik yang menyokong konsep mengekalkan mikroflora usus yang sihat, berpotensi memberi perlindungan terhadap masalah gastro usus dan penyakit radang usus.

    Katanya, probiotik menggalakkan pertumbuhan mikroorganisma terpilih, mengekang pertumbuhan bakteria berbahaya dan mengurangkan masalah cirit-birit.
    "Oleh itu, kami memasukkan Yakult sebagai sebahagian daripada pilihan hidangan pelanggan dan ia salah satu minuman yang paling kerap dipilih antara semua pilihan tengah hari serta malam," katanya.

    Selain itu, Hospital Pakar KPJ Ipoh yang mempunyai kapastiti 200 katil pula memasukkan Yakult dalam hidangan pesakit premier dan pesakit lain, lain berdasarkan arahan pegawai pemakanan. Ketika ini, pihak pengurusan hospital berkenaan dalam perancangan memperluaskan pengambilannya kepada pesakit kanak-kanak.

    Pegawai Pemakanan hospital itu, Nazlinda Mohd Razi, berkata pihaknya menyedari satu cabaran bagi pembekal makanan hospital untuk menyediakan makanan berkhasiat dan menyelerakan buat pesakit berdasarkan keadaan mereka serta mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

    "Menggunakan probiotik dalam hidangan pesakit penting untuk membantu menambahkan bakteria berfaedah dalam usus supaya penyerapan zat makanan ditingkatkan. Yakult digunakan kerana kebaikannya disokong oleh bukti klinikal.

    Ia senang diambil kerana didatangkan dalam botol, rasanya sedap serta mempunyai Indeks Glisemik (GI) yang rendah dan sesuai untuk pesakit diabetes," katanya.

    Beliau menjelaskan, di Jepun, Yakult biasa digunakan dalam hidangan pesakit di hospital bagi sesetengah kes dan menjadi ejen pencegahan, meningkatkan sistem imun pesakit dan mengurangkan risiko jangkitan selepas pembedahan.

    Yang jelas, minuman susu kultur itu tidak saja dinikmati oleh 30 juta orang di 32 negara di seluruh dunia, malah ia minuman kesihatan digunakan oleh pakar perubatan seperti doktor, pakar pemakanan dan bedah.


    Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    Utusan Online - Pendidikan

    Posted: 23 Feb 2011 11:26 PM PST

    Utusan Online - Pendidikan


    12 sekolah di Sungai Burung guna e-tutor, ADaP

    Posted:

    12 sekolah di Sungai Burung guna e-tutor, ADaP

    12 sekolah di Sungai Burung guna e-tutor, ADaP


    Shamsudin Lias menunjukkan sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran yang akan digunakan oleh murid di 12 sekolah di Sungai Burung, Tanjong Karang, semalam.


    SHAH ALAM 23 Feb. - Pakej pembelajaran keluaran Kumpulan Utusan akan dijadikan model untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam peperiksaan terutama di kalangan murid-murid luar bandar.

    Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sungai Burung, Datuk Shamsudin Lias berkata, penggunaan e-tutor serta Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) diyakini mampu mencapai keseimbangan pendidikan melalui pendekatan pembelajaran terkini di samping bertindak membentuk minda para pelajar.

    Katanya, pembelajaran dalam talian dan ADaP merupakan cara berkesan melonjakkan pencapaian pelajar kerana ia menyediakan pengetahuan tambahan kepada mereka.

    Katanya, melalui cara ini, kualiti serta peratusan kecemerlangan pendidikan akan mudah dipantau di samping mendorong mereka berjaya dalam kehidupan dan masa depan.

    "Saya tidak mahu pelajar luar bandar tertinggal dalam aspek pembelajaran kerana pengetahuan yang tinggi dapat melahirkan anak bangsa yang profesional seperti menjadi seorang doktor, jurutera, arkitek, peguam dan sebagainya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Shamsudin akan menaja e-tutor kepada tiga sekolah menengah dan ADaP kepada sembilan sekolah rendah dalam DUN Sungai Burung, Tanjong Karang yang dijangka memberi manfaat kepada 480 orang pelajar.

    Menurutnya, dengan pembelajaran secara dalam talian dan ADaP, ia akan menimbul minat lebih mendalam di kalangan pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh.

    Beliau yakin, dengan cara itu juga, jumlah pelajar cemerlang bagi tiga peperiksaan akan meningkat berbanding sebelumnya.

    "Saya berharap dengan pemberian 60 ID e-tutor dan naskhah ADaP ini sekurang-kurangnya 15 peratus daripada setiap sekolah dalam DUN ini mampu melahirkan pelajar cemerlang.

    "Saya juga yakin sekurang-kurangnya 480 pelajar yang menghadapi peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tahun ini akan mencatat keputusan lebih baik kerana mereka akan berkongsi pendekatan pembelajaran terbaik," katanya.

    Di samping itu, beliau bersama pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah juga bercadang untuk menganjurkan program motivasi pelajar.

    Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    ads