Hayati konsep sains dan inovasi IslamHayati konsep sains dan inovasi Islam
Oleh ZUARIDA MOHYIN
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN
|
LEBIH 40 artifak yang dipamerkan sepanjang berlangsungnya Pameran Al-'Ilm: Sains dan Inovasi dalam Dunia Islam di MKIM.
|
UMAT Islam sudah lama mendahului zaman. Ketika bangsa-bangsa Eropah masih berada dalam kegelapan, Islam telah melangkah ke hadapan dengan pelbagai penemuan dalam bidang sains dan teknologi.
Malahan, hasil penemuan dan kajian ilmuwan Islam kekal dikaji dan dikagumi serta menjadi perintis kepada penghasilan teknologi yang kita gunakan hari ini.
Sekitar abad kelapan hingga abad ke-13 bukan sahaja merupakan zaman kegemilangan tamadun Islam. Ketika itu juga merupakan zaman di mana bercambahnya idea-idea baru yang memberi manfaat kepada manusia sejagat.
Ketika itulah munculnya barisan ilmuwan hebat seperti Ibnu Sina, al-Biruni, al-Khawarizmi, al-Idrissi, al-Kindi, al-Razi, Ibnu Khaldun, Ibnu al-Haitham, al-Farabi, al-Ghazali dan beratus-ratus tokoh yang menyumbang idea dan tenaga kepada dunia sains dan teknologi.
Al-Biruni, contohnya seorang yang pakar dalam bidang astronomi, matematik, fizik, perubatan, geologi dan sejarah. Malah beliau juga menguasai banyak bahasa seperti bahasa Yunani, Hebrew dan Sanskrit.
Malah, Al-Biruni adalah orang pertama yang menerangkan fenomena gerhana dan yang pertama mengetahui bahawa bunga mempunyai tiga, empat, lima, enam dan 18 kelopak, bukannya tujuh atau sembilan kelopak.
Tidak ketinggalan juga Ibnu Sina yang menulis buku al-Qanun fit Tibb (Peraturan Perubatan) yang meninggalkan kesan yang besar kepada dunia perubatan Eropah masa kini dan dunia amnya.
Ibnu Sina merupakan doktor perubatan pertama pada zamannya yang mencatatkan penyakit paru-paru adalah suatu penyakit berjangkit. Beliau turut mencatatkan dengan tepat tanda-tanda penyakit kencing manis dan masalah yang timbul daripadanya.
Ibnu Sina juga amat berminat dengan kajian kesan akal ke atas jasad dan banyak menulis mengenai gangguan psikologi.
Perlu difahami bahawa tokoh-tokoh ilmuwan ini berjaya bukan semata-mata keilmuan di dada tetapi turut disokong dengan daya kreativiti dan keberanian mereka berinovasi.
Apatah lagi tunjang usaha dan kerja mereka bukan bermatlamat memperoleh pujian, anugerah atau habuan wang ringgit. Sebaliknya, bagi membantu menyelesaikan masalah umat Islam pada waktu itu.
Misalnya, penerokaan dalam bidang astronomi adalah untuk membantu umat Islam dalam soal ibadat solat dan puasa. Pada masa yang sama, bidang astronomi juga sangat penting untuk aktiviti pertanian ketika itu.
Hakikatnya, kemahuan untuk berkreativiti dan berinovasi di kalangan ilmuwan terdahulu itu didorong oleh keinginan dan keperluan untuk mengkaji al-Quran dan hadis.
Hasil pengkajian itulah, mereka berjaya membongkar pengetahuan dalam pelbagai bidang ilmu, sekali gus menunjukkan betapa aspek kreativiti dan inovasi tidak bertentangan dengan Islam.
Meskipun keperluan berkreativiti dan berinovasi tidak disebutkan secara langsung di dalam al-Quran mahupun sunnah. Hal ini boleh dilihat daripada sifat Allah SWT iaitu Maha Pencipta.
Firman Allah yang bermaksud: ...dan Dialah Pencipta yang tidak ada bandingan-Nya, lagi yang Maha Mengetahui. (Yasin: 81)
Maka jelas di sini, saranan untuk berkreativiti dan berinovasi tidaklah bertentangan dalam kerangka pemikiran Islam. Namun, ada di kalangan umat Islam yang tidak memahami tuntutan ini.
Anggapan mereka, mengubah perkara lama yang jumud adalah satu kesilapan atau bertentangan dengan agama, apatah lagi norma masyarakat.
Justeru, pameran Al-'ilm: Sains dan Inovasi dalam Dunia Islam anjuran Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) dengan kerjasama Yayasan Albukhary, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Petrosains yang berlangsung sejak 25 Februari sehingga 29 Mei ini dilihat cuba menonjolkan sains sebagai cabang ilmu yang melangkaui pandangan biasa terhadap sains sebagai terasing.
Pengurus projeknya, Zulkifli Ishak berkata, dengan pendekatan yang tersendiri, pameran itu memperlihatkan bagaimana teknologi baru yang ditemui pada zaman dahulu telah dicipta dengan serba indah dan bagaimana kedua-dua aspek ini tidak dapat dipisahkan.
Pada pameran ini, lebih 40 artifak akan dipamerkan dan diketengahkan kepada para pengunjung.
Uniknya pada pameran kali ini, ada antara artifak tersebut adalah tulen dan asli.
"Pihak MKIM cuba mewujudkan satu kelainan menerusi pameran-pameran sains Islam yang pernah wujud sebelum ini.
"Kami menekankan penciptaan dan inovasi dari wilayah-wilayah Islam yang berbeza. Dari Barat ke Timur yang melibatkan Sepanyol, Tamadun Islam Andalus, kemudian ke Timur Tengah, termasuk Turki dan Istanbul. Kemudian ke Asia Tengah, India dan berakhir di alam Melayu.
"Pameran ini berbeza sebab ia cuba mengetengahkan subjek-subjek yang berbeza seperti inovasi dalam pertanian, penciptaan pelayaran atau navigasi dunia Melayu kerana ia bukan semata-mata sains tetapi melibatkan inovasi para ilmuwan Islam," kata Zulkifli.
Katanya, idea tentang pameran itu telah muncul sejak dua tahun lepas, tetapi kajian dan penyelidikan yang lebih mendalam bermula dalam tiga atau empat bulan lepas.
Menurutnya, pameran yang dibuka kepada umum itu akan meninjau pengetahuan Islam bersandarkan pada panduan al-Quran dan hadis. Malah pengunjung berpeluang mengamati bagaimana umat Islam berjaya menghasilkan pelbagai inovasi melalui pengetahuan tersebut dan teori klasik di bawah beberapa empayar Islam yang popular dalam sejarah dunia.
Antaranya adalah ketika Empayar Abbasiyah di Iraq, Umaiyyah (Sepanyoh), Fatimiah (Mesir), Uthmaniyah (Turki) dan Mughal (India) yang menyaksikan pelbagai idea asas dalam seni bina, seni visual, perubatan dan kejuruteraan dilahirkan, sehingga dikagumi, dipelajari dan dibangunkan semula oleh saintis barat.
"Mungkin kalau kita lihat sekali lalu, pameran ini nampak atau anggap konsepnya seperti agak serius dan berat. Namun kita cuba imbangkan dengan aktiviti-aktiviti dan kerjasama yang dapat melibatkan pihak pelajar.
"Alhamudlillah, kita berkerjasama dengan Pusat Penerokaan, Petrosains yang memang terkenal dengan program capaian luar, program pendidikan interaktif kepada kanak-kanak dan kita mengadakan beberapa aktiviti bengkel, khususnya pada cuti sekolah tidak lama lagi.
"Setakat ini, kita ada tiga bengkel yang dibuka kepada pelajar berusia antara 10 hingga 15 tahun. Contohnya, Geometrik Pattern and Design, Bengkel Interaktif Sains dan ketiga di mana pihak Petrosains bersetuju untuk meminjamkan Makmal Bintang.
"Ia adalah sebuah terowong gelap yang berfungsi sebagai material pendidik untuk menerangkan tentang buruj-buruj. Ia satu peralatan interaktif yang memberi peluang kepada para pengunjung merasai pengalaman melihat bentuk-bentuk buruj di dalam terowong," kata Zulkifli.
Maklumat itu akan mula dipasang pada sambutan Hari Muzium Antarabangsa pada 18 Mei ini.
Tarikh tersebut katanya, juga sempena dengan Hari Muzium. Pada hari tersebut kehadiran para pelajar dan kemasukan ke semua muzium di Malaysia atau di seluruh dunia adalah percuma.
Menurut Zulkifli, bagi peminat ilmu yang matang, MKIM telah merencanakan sesi bual bicara berkenaan ilmu kartografi yang akan berlangsung pada bulan April ini bertempat di Auditorium MKIM.
"Ia berbentuk ceramah syarahan oleh Dr. Geogios Liakopoulos dari Universiti of Athens, Department of Turkish & Modern Asian Studies dengan tajuk syarahan beliau, An Introduction to Ottoman Chartography.
"Walaupun ia tidak bertepatan dengan dunia hari ini tetapi ia menerangkan tentang Ottoman kartografi adalah asal inovasi Islam kartografi. Contohnya Al-Idrisi ialah seorang ilmuwan Islam yang terawal membuat atau menghasilkan sebuah peta yang paling lengkap di dunia," katanya.
Pameran ini dirasmikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim yang mewakili Perdana Menteri pada 24 Februari lalu.
Walaupun baru seminggu berlangsung, akui Zulkifli, pameran ini mendapat sambutan yang menggalakkan, khususnya daripada para pelancong kerana muzium ini cukup dikenali oleh masyarakat luar dan sudah tersenarai sebagai destinasi yang mesti dikunjungi.
Bagi pengunjung tempatan, majoritinya adalah para pelajar sekolah yang mengikuti rombongan, pelajar institusi pengajian tinggi, institusi agama dan sebagainya.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan