Platform terbaik pereka baruPlatform terbaik pereka baru
Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
SETIAP tahun industri fesyen tempatan menerima kehadiran ramai pereka muda berbakat besar. Namun, malangnya jumlah pereka yang bertahan akhirnya boleh dihitung dengan jari. Kenyataan itu diakui sendiri oleh pengasas Young Designers Arena (Yoda), Baizura Tazri, 30.
Berdasarkan statistik yang diperoleh daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Baizura mengeluh panjang kerana secara purata dalam setahun Malaysia melahirkan 350 graduan fesyen dari pelbagai universiti dan kolej. Namun, dalam setahun hanya sekitar 50 graduan yang kekal terlibat dalam bidang itu.
Tambah Baizura, separuh daripada graduan itu mula mengisi kekosongan pekerjaan dalam jawatan kerani, setiausaha, pegawai bank ataupun guru.
"Kadangkala masalah ini timbul kerana tindakan sesetengah pihak seperti penganjur pertunjukan fesyen yang lebih selesa menjemput pereka yang popular untuk acara mereka. Bagi saya, pereka muda juga berhak berkongsi pentas peragaan yang sama. Jika tidak diberi peluang pada hari ini, bila lagi tempoh yang ideal?" soal Baizura, lulusan akauntan sistematik di salah sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.
Enggan situasi tersebut berterusan, gadis genit yang pernah terlibat dalam acara fesyen terbesar seperti Malaysian International Fashion Alliance (MIFA) dan Festival Fesyen Islamik (IFF), menubuhkan Yoda.
Organisasi yang ditubuhkan pada tahun 2009 itu bukanlah untuk mencari keuntungan, sebaliknya objektif utamanya adalah untuk memperkenalkan pereka muda tempatan kepada pencinta fesyen. Pada masa yang sama, berusaha mencari ruang dan peluang buat pereka yang berdaftar di bawah naungan Yoda menunjukkan koleksi produk mereka.
"Kami berbesar hati membantu mengangkat barisan pereka muda yang bersemangat waja memajukan diri, label dan rekaan fesyen dalam industri fesyen.
"Pada pengamatan saya pereka baru yang memiliki keazaman dan berdaya saing cuma memerlukan landasan yang betul. Paling penting perlu bijak mencari signatur rekaan peribadi," ujar Baizura kepada Stailo.
Tatkala diaju soalan berkaitan permasalahan yang sering dialami pereka baru, Baizura yang dibantu tujuh ahli jawatankuasa menyenaraikan tiga masalah utama. Pertama, aspek kewangan. Sebaik saja graduan menamatkan pengajian, mereka akan berhadapan dengan masalah kewangan yang serius terutamanya bagi memulakan perniagaan. Antaranya untuk membeli peralatan jahitan dan fabrik.
Kedua, pereka muda mudah mengaku kalah untuk meneruskan perjuangan dalam bidang fesyen atas alasan tidak mempunyai kenalan terutamanya dalam kalangan pencinta fesyen dan pihak media. Seterusnya, kurang mendapat sokongan ahli keluarga terutamanya dalam kalangan graduan lelaki.
"Dengan wujudnya Yoda kami cuba meringankan masalah yang dihadapi. Setiap bulan kami merangka sebuah pertunjukan fesyen buat pereka muda mempamerkan koleksi bagi tujuan promosi," kata Baizura.
Dari segi kewangan pula, Baizura menyatakan kumpulan pereka baru berpeluang memohon pinjaman Dana Industri Kreatif yang ditadbir oleh Bank Simpanan Nasional (BSN). Dana tersebut merupakan inisiatif Kerajaan Malaysia sebagai pemangkin industri kreatif di Malaysia.
Rekaan berkualiti
Sementara itu pereka muda Mohammad Zarrieff Nasir, 23, memberitahu, dia menyertai Yoda kerana tertarik pada misi dan visi organisasi berkenaan yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pereka baru.
"Meskipun Yoda tidak mengaut keuntungan tetapi, mereka sanggup berhempas-pulas bagi memastikan ahli Yoda diletakkan pada landasan yang betul. Sebab itu, pengasas Yoda, Baizura berkali-kali mengingatkan supaya setiap rekaan yang kami hasilkan haruslah berkualiti dan trendy.
"Walaupun pereka baru tetapi, ia bukan tiket bagi kami mengambil sikap sambil lewa. Yoda cukup menitikberatkan soal standard," terang Mohammad Zarrieff atau Zaf yang merupakan graduan Ijazah Rekaan Fesyen dari Universiti Middlesex, London.
Tambah pereka berketinggian 178 sentimeter itu, setiap nasihat dan teguran daripada pihak Yoda dijadikan panduan untuk berjaya dalam industri fesyen tempatan dan seterusnya, melakar nama di peringkat antarabangsa.
Kini Zaf bersama beberapa pereka muda naungan Yoda sedang menyiapkan koleksi fesyen yang bakal dipersembahkan dalam slot Yoda di Festival Fesyen Stylo Grand Prix KL 2011. Festival fesyen yang dianjurkan sempena musim Formula Satu (F1) tersebut dijangka berlangsung dari 3 hingga 10 April depan.
BAIZURA (tengah) memastikan barisan pereka muda di bawah naungan Yoda diberi peluang mempamerkan bakat dan produk mereka termasuklah pereka Zarrieff (kiri) dan Zulfadli.
"Saya teruja kerana terpilih untuk mempamerkan koleksi fesyen pada acara fesyen tersebut. Pada Festival Stylo itu nanti saya akan tampil dengan himpunan pakaian yang diinspirasi daripada filem Amadeus," jelas Zaf yang pernah mereka busana buat Datuk Siti Nurhaliza dalam program bual bicara Siti yang disiarkan menerusi saluran Astro.
Peluang semakin cerah
Dalam pada itu, Zulfadli Nasir, 25, yang sibuk membetulkan dres putih rekaannya yang membaluti tubuh model dalam sesi fotografi dengan Stailo turut mengakui kewujudan Yoda memberi impak positif terhadap perjalanan kelompok pereka muda.
Jelas anak jati Kuala Lumpur itu, inisiatif Yoda wajar dicontohi kerana ia bukan sahaja mempromosi malah, berusaha mencari ruang buat pereka muda mempamerkan kreativiti koleksi busana.
"Pada fasa awal menuntut dalam jurusan fesyen di Pusat Latihan Fesyen Antarabangsa (IFTC) Kuala Lumpur, saya berasa bimbang sekiranya tamat saja pengajian cita-cita bergelar fesyen tidak dapat diteruskan.
"Bukan mudah bagi pereka muda seperti kami untuk menambat hati pencinta fesyen tempatan sekiranya nama dan rekaan kami tidak diperkenalkan kepada khalayak. Namun, segala permasalahan yang dihadapi dapat diatasi selepas menyertai Yoda. Organisasi ini membantu mencari ruang yang ideal bagi kami mengetengahkan bakat," tutur Zulfadli yang sedang menghasilkan busana Muslimah konsep moden, ranggi dan chic.
PERTUNJUKAN fesyen ahli Yoda pada Hari Belia Negara 2010.
Menyoroti cintanya terhadap bidang fesyen semuanya bermula gara-gara beg galas. Biarpun sebelum ini pernah bergelar pengurus makanan dan minuman serta chef masakan Melayu di beberapa buah hotel tetapi, bidang tersebut belum mampu memberikan kepuasan maksimum kepada Zulfadli.
Dia ingin memperoleh pendapatan hasil kreativiti, usaha dan idea sendiri. Lantas, jejaka yang lahir pada 14 Mac 1986 itu, tegar berhenti kerja dan menganggur hampir sebulan.
"Sewaktu memerap di dalam bilik saya asyik membelek-belek beg galas yang tergantung di dinding. Saya lihat dengan teliti, bagaimana beg dihasilkan sehingga memaksa saya menetas benang pada beg berkenaan.
"Beg yang telah ditetas itu saya tekap pada helaian kertas dan melukis pola. Kemudian, saya mengambil inisiatif menjahit semula beg galas tersebut dengan menumpang mesin jahit di salah satu butik berhampiran rumah. Di sana pemilik butik mengajar saya teknik asas menjahit dan mengendalikan mesin jahit dengan betul," bicara Fadli yang kini mampu mereka dan menjahit seunit beg dalam tempoh sejam.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan