Sabtu, 11 Jun 2011

03 di rantau panjang - Google Blog Search

03 di rantau panjang - Google Blog Search


shameel iskandar: Masjid Beijing <b>di Rantau Panjang</b> Kelantan

Posted: 28 Mar 2011 07:47 AM PDT



Rasanya ini adalah bicara kedua saya tentang Kelantan. Sebelum ini saya berbicara tentang WAT SIAM DI KELANTAN dan kali ini, saya ingin berbicara tentang masjid pula. Masjid yang unik lambang kesyumulan islam yang merentasi sempadan bangsa dan budaya. Jika ke kompleks bebas cukai Rantau Panjang, pasti sahaja anda akan terlihat sebuah masjid yang reka bentuk-bentuknya seolah-olah rumah ibadat penganut Budha. Itulah MASJID BEIJING , bukti islam adalah agama untuk semua kerana ciri-cirinya yang bersifat sejagat atau universal.





Sungguh mengagumkan dan Tahniah kepada Kerajaan Kelantan. Percayalah usaha yang sebegini amat berperanan untuk mengikis dan menghakis salah faham masyarakat bukan islam terhadap agama islam. Selama ini, rata-rata masyarakat bukan islam di Malaysia menganggap islam adalah agama untuk orang Melayu dan Arab sahaja









Di Malaysia, terdapat 6.5 juta penduduk berbangsa Cina. Tapi sayang, hanya satu peratus (1%) sahaja yang beragama islam. Iaitu, sekitar 60 ribu orang sahaja daripada 6.5 juta masyarakat Cina di Malaysia yang memeluk islam. Namun, yang anehnya agak ramai pula antara mereka yang memeluk agama Kristian. Mengapa ini terjadi, sedangkan islam dan Cina amat rapat dan akrab dari sudut sejarah. Di negara China yang merupakan tempat asal masyarakat cina di Malaysia, umat islam amat mudah untuk diketemui dan restoran makanan halal juga senang dijumpai. Malah jumlah UMAT ISLAM DI CHINA juga di anggarkan lebih kurang 200 juta dari pelbagai etnik seperti Uyghur, Tajik, Uzbek,Salar, Dongxiang, Khirgiz, Kazakh, Hui. Mengapakah jarak antara islam dan orang Cina di Malaysia begitu jauh. Ada beberapa faktor sebenarnya yang akan saya perincikan dalam entry yang akan datang.





Saya percaya pembinaan masjid bereka bentuk pagoda ini mampu 'menjual' islam dengan lebih luas dan global. Masjid berseni bina Cina ini juga dapat merungkaikan salah faham yang membelit masyarakat Cina di Malaysia selama ini. Apatah lagi ia turut melibatkan imam berbangsa Cina yang dibawa khas dari China terutamanya untuk mengimamkan solat Tarawih. Moga-moga dengan ini, jarak antara masyarakat Cina dengan islam dapat didekatkan. Sedikit sebanyak masjid ini, juga masjid Cina lain yang bakal didirikan oleh Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA). akan menyerlahkan islam sebagai agama yang merentasi bangsa dan budaya. DAN inilah yang ingin kita laungkan ke seluruh dunia. Sesungguhnya Islam adalah risalah yang panjangnya meliputi semua zaman, lebarnya mengatur segenap aspek hidup manusia dan dalamnya merangkumi setiap persoalan dunia dan akhirat.






Di sini saya paparkan maklumat ringkas tentang Masjid Beijing yang terletak di Rantau Panjang Kelantan ini. Masjid ini yang juga dikenali sebagai Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra ( tapi lebih dikenali sebagai Masjid Beijing) mula dibina pada 12 September, 2005 dan akan dirasmikan bulan Ogos 2009. Namun sejak 2007 lagi, ia sudah mula digunakan untuk bersolat tarawih dengan seorang imam yang didatangkan dari Republik Rakyat China. Kos keseluruhan pembinaan masjid ini dianggarkan sejumlah RM8.8 juta. Masjid ini mampu memuatkan seramai 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa. Senibina masjid ini amat unik kerana menggabungkan senibina Cina dan Islam dan menyerupai Masjid Niujie yang berusia lebih daripada 1,000 tahun di Beijing China. Lebih hebat, cerita tentang masjid ini turut diperkatakan di dalam Berita Indonesia. (Silalah ke laman yang saya maksudkan itu untuk maklumat lanjut ,tapi dalam bahasa Indonesia)



Moga-moga Pembinaan Masjid Berseni bina Cina ini dapat dipertingkatkan lagi terutamanya di kawasan yang mempunyai ramai penduduk berbangsa Cina seperti di Ipoh dan Kuala Lumpur. Sebenarnya, idea pembinaan masjid berseni bina Cina telah dikemukakan sejak tahun 1984 lagi , iaitu serentak dengan penubuhan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA). Tapi sayang ia terhalang kerana salah faham masyarakat. Ada yang berpendirian islam di Malaysia mestilah 'berwajah' Melayu. Ada juga yang berpendapat jika diwujudkan masjid Cina, perpecahan akan berlaku di kalangan umat islam. Ada juga yang mempersoalkan bahasa Mandarin (atau lain-lain dialek Cina) yang akan digunakan di masjid untuk kuliah dan khutbah Jumaat nanti. Fakta-fakta tentang bantahan ini saya perolehi dari rakaman kuliah agama (VCD) oleh Dr Asri Zainul Abidin. Dan Dr Ridhuan Tee Abdullah juga ada menyatakan tentang salah faham masyarakat terhadap pembinaan masjid berseni bina Cina ini dalam media cetak









p/s = ada pihak tertentu yang mendakwa pembinaan Masjid Beijing yang berseni bina Cina sekali gus menyalahi tradisi Melayu ini melambangkan kekacauan minda MB Kelantan (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat). Bagi mereka, islam mestilah berwajah Melayu dan bercirikan kemelayuan. Tapi, bagi saya, orang yang mempertikaikan pembinaannya merupakan orang yang mengalami kekacauan minda. Sebab Masjid berseni bina Cina ini dibina bagi membuktikan kepada semua sesungguhnya islam merentasi sempadan bangsa dan budaya. Bagi, saya orang Cina Islam seperti Ustaz Hussin Yee dan India Muslim seperti Ustaz Farid Ravi, jauh lebih berguna berbanding 3 orang anak Melayu yang suka menonton filem lucah secara berjamaah (maaf, ini bukanlah entry tentang politik)


www.tips-fb.com Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads