Sabtu, 23 Julai 2011

03 di dabong - Google Blog Search

03 di dabong - Google Blog Search


Keringat Guru <b>Dabong</b> - Menabur bakti <b>di</b> pendalaman | MY ADHA <b>...</b>

Posted: 15 May 2011 11:50 AM PDT


Setiap hari Azhar Mat Daud, 38, akan bangkit daripada lenanya tepat pukul 3 pagi. Lengkap berpakaian sesuai dengan imej seorang guru, dia menuju ke stesen kereta api Wakaf Bharu dengan menaiki motosikal.

Cerita Azhar, dia tidak boleh bangun lewat atau tidur selepas pukul 11 malam. Jika itu berlaku, dia akan lewat ke sekolah. Hal itu juga boleh mencalarkan imejnya sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Dabong.

Meskipun perjalanan dari rumahnya di Kota Bharu, Kelantan ke stesen berkenaan hanya mengambil masa kurang setengah jam, Azhar sentiasa berwaspada. Cikgu Matematik itu memberitahu, dia sering menoleh kiri kanan jalan dan pada masa sama, mulutnya terkumat-kamit membaca doa pelindung diri.

"Dalam waktu-waktu sebegini ramai yang masih tidur cuma 'orang-orang tertentu' saja yang masih berjaga dan bekerja," ujarnya yang membawa maksud yang tersirat.

Ketibaan tren di stesen Wakaf Bharu lazimnya tepat pukul 4 pagi. Dengan langkah lemah longlai sambil bertemankan suara cengkerik dan unggas yang ditenggelamkan oleh bunyi bingit kereta api, Azhar mengambil tempat duduk. Untuk seketika, dia menjadi penumpang pertama tren itu.

Suasana yang masih gelap membuatkan Azhar tidak berupaya melakukan apa-apa kecuali melelapkan mata. Barangkali itu perkara terbaik yang dilakukan kerana sebelum sampai ke Dabong, kereta api akan melalui 20 stesen dengan jarak melebihi 200 kilometer (km). Perjalanan adakalanya memakan masa lebih tiga jam. Pernah sekali, akibat terlena, dia dibawa kereta api hingga ke stesen Kemubu.

"Inilah yang saya lalui selama tiga tahun berturut-turut. Pemeriksa tiket pun dah kenal kerana saya ialah pelanggan setia yang membeli tiket tiap-tiap hari.

"Percaya atau tidak, perjalanan saya ke tempat kerja lebih lama daripada waktu saya mengajar," seloroh Azhar. Namun sepanjang wawancara berlangsung, dia tidak pernah menunjukkan sekelumit pun rasa kesal. Sebaliknya, Azhar menganggap ia adalah satu pengorbanan tulus untuk membantu murid-murid di pendalaman.

Menceritakan latar dirinya, Azhar sebelum ini merupakan guru di SK Jalan Pasar 1, Pudu, Kuala Lumpur selama lapan tahun. Penyakit strok yang dihidapi oleh ibunya mendorong Azhar membuat permohonan untuk bertugas di negeri kelahirannya supaya hampir dengan orang tuanya.

"Walaupun berasal dari Kelantan, saya tak pernah ke Dabong. Pada asalnya, saya duduk di asrama, tetapi selepas kejadian rumah saya dirompak, saya khuatir untuk meninggalkan isteri dan dua anak saya," terangnya.

Adakah rutinnya yang sangat memenatkan memberi impak kepada kesihatan Azhar? Lelaki itu mendiamkan diri sejenak. Daripada bebola matanya, barangkali Azhar enggan berkongsi rasa. Namun, apabila diasak, akhirnya dia mengaku.

"Saya ada hipertensi dan setiap tiga bulan saya mendapatkan rawatan di Klinik Pakar Otorinolaringologi kerana mengalami masalah pernafasan.

"Jika dulu berat badan saya 110 kilogram (kg), kini 80kg setelah bertugas di Dabong," katanya yang masih lagi boleh mengukir senyuman.

Barangkali masalah kesihatan bukan satu isu besar kepada Azhar. Ada kisah yang lebih meruntun perasannya.

Kematian ibu

"Saya sanggup berpindah ke kawasan pedalaman kerana ibu saya tetapi pada 3 Mac 2009, ibu saya meninggal dunia ketika saya sedang mengajar kelas tambahan.

"Saya dapat tahu berita kematian agak lewat kerana talian telefon di Dabong pada ketika itu kurang memuaskan, setengah jam kemudian barulah saya terima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan berita sedih itu," katanya menahan perasaan ketika menitipkan cerita.

Gambaran perjalanan seorang guru di sekolah yang sama iaitu Noor Azainab Abdullah, 32, persis Azhar. Bezanya, hentian Noor Azainab bermula dari Kuala Krai. Azhar turut berada dalam tren yang sama.

Ujar guru pendidikan khas yang menetap di Kampung Pek, Machang, Kelantan itu, dia bukanlah individu yang gemar menaiki kereta api. Namun, wanita ini tidak menyangka kereta api menjadi pengangkutan utamanya ke tempat kerja.

Jadual Noor Azainab bermula pada pukul 4.20 pagi. Tepat 4.50 pagi, dia bergerak dan memakir keretanya di stesen kereta api Kuala Krai. Noor Azainab berkata, dia membiarkan wajahnya polos tanpa sebarang solekan.

"Biasanya, bila azan bergema saya berada dalam kereta api, jadi saya mengambil wuduk dan bersolat (dengan cara duduk) dalam kereta api," kongsinya yang pernah sampai ke sekolah pada pukul 12 tengah hari disebabkan berlaku tanah runtuh dan kemalangan antara kerets api dan haiwan di landasan.

Ketika ditanya mengapa dia tidak tinggal di asrama yang disediakan oleh pihak sekolah, jawab bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu: "Saya seorang guru yang mengajar kanak-kanak istimewa, jadi saya perlu sentiasa mencari material terbaik untuk mereka daripada Internet, tapi malangnya di Dabong liputan jalur lebarnya sangat lemah."

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tugas Noor Azainab bukan saja menuntut pengorbanan masa, malah ketahanan mental kerana dia mengendalikan pelajar lembam.

"Saya pernah terfikir untuk tukar sekolah. Mula-mula kerja oleh ibu saya kerap merayu supaya saya berbuat demikian tapi lama-kelamaan, saya rasa sayang kerana saya suka persekitaran di Dabong yang tenang.

"Perjalanan yang panjang ketika pergi dan pulang dari sekolah membolehkan saya menanda buku pelajar dan buat persediaan untuk mengajar," ujarnya yang menempuh pengalaman yang sama pada bulan puasa.

Noor Azainab mengambil tren pukul 2.30 petang untuk pulang ke rumah. Pada waktu itu, selain menyaksikan gerabak kereta api dipenuhi pelajar sekolah, suasana pelajar mengulangkaji pelajaran dalam tren merupakan satu pemandangan yang cukup berharga bagi dirinya.

Mahir dialek Kelantan

Melewati kelas murid prasekolah di SK Dabong, Norazlina Abd. Aziz, 32, dilihat sedang mengajar pelajar-pelajarnya dengan penuh ketekunan. Dia sangat petah bertutur dialek Kelantan. Sangkaan penulis dan jurufoto, Hafiz Johari, dia sememangnya anak jati Kelantan, tetapi telahan itu ternyata silap besar.

"Saya orang Perak, tapi bila dah beberapa bulan mengajar di Dabong, secara automatik saya pandai bertutur dialek Kelantan," katanya sambil tertawa kecil.

Siswazah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Datuk Razali Ismail, Terengganu itu tidak perlu disoal lanjut. Dia memberitahu, keputusannya untuk ke Dabong kerana suaminya bekerja di Pengkalan Chepa.

"Saya tak pernah tahu ada kawasan bernama Dabong, puas mencari maklumat dan apabila saya sampai di Dabong, saya sangat cuak sebab saya tengok jalan-jalannya sangat kecil," ujarnya yang merasakan nasibnya lebih baik berbanding kepayahan yang dilalui oleh Azhar dan Noor Azainab.

Tidak seperti kedua-duanya, Norazlina tinggal di asrama bersama dua anaknya yang masing-masing berusia empat dan enam tahun. Dia hanya berkesempatan bertemu suaminya pada hujung minggu.

Pertemuan kami diakhiri dengan luahan kata-kata yang penuh bermakna daripada Norazlina: "Di Dabong, saya belajar erti dan tanggungjawab sebagai pendidik yang sebenar. Saya mengakui jiwa saya semakin dekat dengan kampung ini dan masyarakat Dabong yang penuh berhemah."

- KOSMO!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads