Khamis, 15 September 2011

03 di demit kelantan - Google Blog Search

03 di demit kelantan - Google Blog Search


Malaysia Zoom » Pack aktif promosi kegiatan kayak

Posted: 14 Sep 2011 04:01 PM PDT

KOTA BHARU 14 Sept. – Siapa sangka, di sebalik hiruk-pikuk Kota Bharu, sungai-sungai yang mengalir di pinggir bandar dan dalam kawasan kampung berdekatan dimanfaatkan segolongan insan berhati waja dengan kegiatan berkayak sejak 28 tahun lalu.

Persatuan Kenu Kelantan (PKK) telah sekian lama giat menjalankan aktiviti untuk ahli dan orang ramai bagi menikmati keindahan alam sekitar di sepanjang sungai di sini dan juga di daerah lain seperti kawasan jeram Sungai Nenggiri di Gua Musang.

Setiap petang, Pusat Aktiviti Kenu Kelantan (Pack) di bawah Jambatan Pulau Melaka di Panji akan dipenuhi tidak kurang 20 anak muda, lelaki dan perempuan, menunggu giliran menaiki kayak yang disediakan pihak persatuan.

Mereka tidak sabar untuk turun berada dalam cockpit kayak dan mendayung menyelusuri Sungai Pengkalan Datu dengan gigi air berada tidak sampai sekaki dari badan, seolah-olah bersatu dengan aliran sungai yang mengalir tenang.

Deretan pokok nipah yang menghijau dan kicauan burung sesekali menerjah suasana selain pemandangan rumah-rumah kampung yang masih tersergam mewujudkan landskap indah.

Secara jujurnya, mungkin tidak seindah pemandangan sepanjang sungai terkenal lain, namun keadaannya yang belum tercemar teruk memberi bonus kepada peminat untuk merasai ketenangan apabila berada di tengah sungai.

Presiden PKK, Johary Idris, 58, bertanggungjawab menubuhkan persatuan itu sejak 1983 adalah seorang pesara guru pendidikan jasmani yang meminati sukan air dan aktif berkongsi minatnya itu bersama generasi muda.

Beliau yang terkenal dengan panggilan 'Cikgu Jo', pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, SMK Kubang Kerian (1), SMK Dato' Ahmad Maher, Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Jedok dan terakhir di SK Sultan Ismail (1) sebagai Penolong Kanan (Pentadbiran).

Johary berkata, pihaknya gembira kerana usaha mereka menumpukan aktiviti persatuan di bawah Jambatan Pulau Melaka telah sedikit sebanyak membantu mempromosikan kawasan yang dahulunya semak samun menjadi sibuk dengan aktiviti kayak.

Menurutnya, aktiviti kayak bukan sahaja boleh menyihatkan badan tetapi juga memupuk rasa cintakan sungai dan alam sekitar di kalangan ahli yang rata-rata terdiri daripada golongan remaja semuda usia 15 tahun dan juga dewasa bekerjaya seperti ahli perniagaan, guru, doktor, jurutera dan sebagainya.

Beliau memberitahu, pada awal penubuhan PKK, mereka hanya mempunyai tiga buah kayak gentian kaca yang lebih dikenali dengan nama kayak 'tongkang' untuk kegunaan ahli persatuan berkayak di Sungai Demit, Kubang Kerian.

"Dahulunya, kami berpengkalan di Sungai Demit tetapi sejak 10 tahun lalu kami berpindah ke tempat yang lebih sesuai iaitu di bawah Jambatan Pulau Melaka yang merentangi Sungai Pengkalan Datu.

"Kami ambil inisiatif sendiri bersihkan kawasan semak di bawah jambatan dan membina pelantar kayu dan stor untuk menyimpan kelengkapan kayak persatuan.

"PKK bukanlah satu organisasi mencari untung tapi kami hidup dengan semangat dan tenaga sukarela ahli lebih 100 orang dengan 30 daripadanya aktif membantu kegiatan persatuan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bermodalkan sedikit yuran yang dikenakan kepada peminat yang menyewa kelengkapan mereka dan juga kursus serta ekspedisi yang dianjurkan setiap bulan, mereka mengumpul dana sendiri untuk membeli kayak, pendayung dan kelengkapan lain.

Pada hari ini, mereka mempunyai 21 kayak dancer yang khusus digunakan untuk berkayak di kawasan cerun dan jeram, 37 kayak tongkang dan 14 kayak lumba.

Beliau berkata, tidak kurang RM10,000 setahun dibelanjakan untuk membeli kelengkapan baru serta penyelenggaraan dan mereka berusaha mengurangkan kos dengan membaiki sendiri kayak yang bocor.

"Harga setiap kayak adalah berlainan mengikut jenis masing-masing; kayak dancer yang diimport dari Australia misalnya agak mahal iaitu melebihi RM3,000 setiap satu kerana diperbuat daripada material yang kukuh tetapi ringan.

"Kayak lumba dan kayak tongkang pula berharga antara RM1,500 hingga lebih RM2,000 setiap satu dan didapati daripada pembuat bot dan kayak tempatan di Pahang dan Johor.

"Peralatan yang kita guna sudah ketinggalan zaman tetapi atas penjagaan yang betul kayak yang dibeli sejak tahun 1980-an masih dapat digunakan dengan selamat," katanya.

Justeru beliau berharap, pihak seperti Jabatan Belia dan Sukan negeri serta Majlis Sukan Negeri (MSN) dapat membantu persatuan dalam pembelian peralatan berkayak dan sebagainya.

Johary yang menggemari selam skuba berkata, aktiviti kayak untuk ahli dan peminat diadakan pada setiap petang selepas waktu asar hingga maghrib kecuali pada hari Jumaat.

Jelasnya, tiada halangan untuk sesiapa pun merasai pengalaman berkayak meskipun mereka tidak tahu berenang kerana latihan dan jaket keselamatan akan diberi.

"Kami akan selitkan slot di mana pendayung yang baru pertama kali mahu berkayak akan dipastikan tidak panik dengan air dan berasa yakin dengan jaket keselamatan mereka. Setiap orang akan diajar cara menggunakan alatan dengan betul seperti gerakan pendayung yang sesuai untuk masa dan keadaan tertentu," katanya.

Dengan bantuan kewangan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, mereka berusaha menyertai pertandingan kayak di luar Kelantan seperti di Sungai Sedim, Kedah; Danga Bay, Johor; Labuan Round Island Kayak Race, Labuan dan yang terbaru ke Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya pada Mei lalu apabila menghantar wakil seramai 45 orang.

"Ekspedisi terpanjang pernah kita lakukan adalah dari Jeli ke Pantai Seri Tujuh, Tumpat selama lima hari dan empat malam pada tahun 1990 melibatkan 20 peserta.

"Paling mencabar pula adalah pada tahun 2008 sejauh 60 kilometer (km) dari Kota Bharu ke Panji melalui bandar Tumpat dan Laut China Selatan di mana kami berhadapan dengan ombak laut ganas sehingga ada peserta wanita pengsan dalam kayak kerana mabuk laut," katanya.

Selain berkayak, PKK juga aktif mengadakan ekspedisi mendaki gunung, jungle treking, berkhemah dan sebagainya dan sering menjadi pilihan pelbagai pihak termasuk institut pengajian tinggi awam dan swasta, untuk bekerjasama mengadakan program.

Dipetik dari Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads