ads

Jumaat, 30 September 2011

di negeri kelantan - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

di negeri kelantan - Google Blog Search


<b>Negeri</b> Berkebajikan – Model <b>Kelantan</b> | Blog Tok Guru

Posted: 11 Sep 2011 06:45 AM PDT

Bermaksud: "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di Dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." – Surah al-Baqarah, ayat 185

Segala puji bagi Allah SWT selaku Pencipta, Pemerintah dan Pemelihara alam semesta. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda dan para pengikut setia baginda hingga ke akhir zaman. Atas limpah kurnia dan izin-Nya maka Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden tahun 2011 kali ini berjaya diadakan.

Justeru, rakaman terima kasih dan tahniah, pertamanya diucapkan kepada Dato' Seri Tuan Guru Presiden atas ucapan dasar Muktamar PAS kali ke-57 pada 3 Jun 2011 bertempat di Dewan Dato' Fadhil Noor ini. Atas tema MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN maka boleh disifatkan sebagai satu anjakan paradigma pemikiran politik PAS selaku sebuah gerakan politik-dakwah yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan. Ternyata, di sebalik tema ucapan dasar tersebut adalah mengandungi mesej yang jelas untuk dijadikan panduan gerak kerja ke arah menjaya misi PAS dan tuntutan politik semasa serta bersifat massa.

Tuduhan terhadap PAS
Apabila istilah Negara Berkebajikan ini ditimbulkan semula di dalam Ucapan Dasar Presiden, bukan sedikit mata yang terbeliak dan merasa pelik dengan apa yang diutarakan. Maka telah timbul tohmahan dan pelbagai kata-kata kurang enak. Malah ada yang mengeji PAS, kononnya sudah mengubah dasar perjuangan. PAS kononnya sudah meninggalkan perjuangan menegakkan Negara Islam. Lebih jauh lagi, ada yang menuduh PAS sudah menggadaikan prinsip demi mengejar kekuasaan. Apa yang peliknya, ketika PAS disebut sebagai berjuang menegakkan Islam, mereka ini juga yang ke depan melawan PAS habis-habisan. Jika sekarang PAS dikatakan sudah meninggalkan perjuangan untuk menegakkan Negara Islam, maka kenapa pula mereka terus menentang PAS?

Hakikatnya mereka yang menentang itu adalah tidak lebih dari bayang-bayang, akan ke Barat apabila matahari berada di Timur, dan sebaliknya akan ke Timur bila matahari berada di Barat!

Sesungguhnya, asas negara berkebajikan yang diketengahkan oleh PAS adalah berbeza dengan apa yang dilaksanakan di Barat. Dalam hal ini, sewajarnya semua pihak hendaklah membaca huraian buku yang ditulis oleh Dato' Seri Presiden bertajuk Konsep Negera Kebajikan yang menggariskan maklumat lengkap tentang apa yang dimaksudkan Negara Berkebajikan. Oleh kerana itu, harus difahami bahawa asas penting Negara Berkebajikan ialah percaya pada hari akhirat, sementara pemimpinnya yang mempercayai hari akhirat, dan barisan pentadbirnya turut beriman dengan hari akhirat. Kerana itulah, ayat al- Quran di atas ada menegaskan bagaimana Allah SWT mengingatkan setiap manusia akan kematian dan selepas itu akan diberikan upah atas apa jua amalan yang dilakukan di dunia. Dua bentuk upah, iaitu upah pahala untuk amalan baik dan upah dosa untuk amalan jahat.

Begitu juga Nabi Muhammad SAW seringkali menyebut di dalam hadis berkenaan sifat orang-orang beriman dengan mendahulukan sebutan yang bermaksud "sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat." Sekalipun rukun iman itu enam perkara, tetapi dua perkara inilah yang sering disebut dan diulang-ulang memandangkan kepentingannya nilai keimanan itu di dalam diri setiap muslim.

Justeru, negara kebajikan ialah negara yang ditadbir berpandukan kepada ajaran Allah SWT. Hanya pemimpin yang patuh kepada Allah SWT dan mengingati Rasulullah SAW sahaja akan melaksanakan amanah dengan sebaiknya. Sabda baginda SAW :

Bermaksud: "Tidak ada seorang hamba yang diberi tugas oleh Allah untuk memelihara segolongan rakyat, lalu ia tidak melakukan sesuai dengan petunjuk, melainkan ia tidak memperoleh bau Syurga." – Hadis riwayat Bukhari

Pemimpin bertaqwa
Pemimpin yang takutkan Allah SWT tidak akan menyeleweng sama sekali apatah lagi untuk berlaku khianat, kerana yang akan menghukumnya bukan polis, bukan hakim dan juga bukan SPRM tetapi yang menghukumnya ialah Allah SWT. Demikian pula, pemimpin bertaqwa akan mendididik rakyatnya supaya bertaqwa kepada Allah SWT, akan memberikan hak-hak fakir miskin, hak-hak anak yatim dan mereka yang berkeperluan.

Kesemua amalan kebaikan ini akan melahirkan suasana masyarakat yang harmoni dan tolong menolong. Justeru, Rasulullah SAW pernah bersabda kepada para sahabatnya :

Bermaksud: "Siapa di antara kamu yang telah menghantar jenazah pada hari ini? Abu BakAr menjawab; 'Saya.' Rasulullah bertanya lagi; 'Siapa di antara kamu yang telah memberi makan orang miskin pada hari ini? ' Abu BakAr menjawab; 'Saya.' Rasulullah bertanya lagi: 'Siapa di antara kamu yang telah menjenguk orang yang sakit pada hari ini? Abu BakAr menjawab lagi; 'Saya.' Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 'Tidaklah semua amalan tadi dilaksanakan oleh seseorang kecuali niscaya dia akan masuk syurga."– Hadis riwayat Muslim

Oleh yang demikian, negara yang ditadbir tidak dengan syariat Allah SWT tidak akan mencapai taraf Negara Berkebajikan yang sebenar bahkan sebenarnya negara itu masih terjajah. Sama ada yang menjajah itu namanya Inggeris, Jepun, komunis atau sosialis. Bahkan nasionalis Melayu sekalipun, jika undang-undang Islam diketepikan, maka semuanya tidak bernilai di sisi Allah SWT.

Hari ini, ramai yang mengecam komunis yang disifatkan sebagai ganas dan kejam. Hakikatnya semua penjajah adalah ganas dan kejam. Inilah fakta yang kelihatan cuba dinafikan oleh sesetengah pihak pada hari ini. Tidak hairan jika ada yang melenting seperti cacing kepanasan apabila disebut 'Inggeris itu penjajah' sebagaimana komunis dan Jepun yang juga penjajah. Bahkan, hakikatnya Melayu Nasionalis juga penjajah apabila mengenepikan al-Quran.

Bukankah Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah apabila Mekah dijajah oleh Abu Jahal dengan akidah berhalanya. Sedangkan Abu Jahal merupakan orang yang sebangsa dengan baginda? Ini menunjukkan merdeka dari penjajah bukan bermakna lepas bebas dari pemerintahan bangsa lain dan bertukar kepada bangsa sendiri. Justeru merdeka itu sebenarnya adalah bebas daripada penjajahan undang-undang dan sistem ciptaan manusia kepada mengamalkan undang-undang Allah SWT.

Pengalaman Kelantan
Jika merujuk kepada pengalaman Negeri Kelantan yang telah ditadbir selama 21 tahun berpandukan dasar Membangun Bersama Islam, maka boleh katakan Negeri Kelantan adalah mini model untuk Negara Berkebajikan yang wujud masakini. Meskipun berlaku kekangan kewangan dan hak royalti petroleum dinafikan, namun sedaya upaya pelbagai dasar yang mesra syariat dan memberikan kebajikan kepada rakyat Kelantan telah berjaya dilaksanakan.

Di Kelantan, telah diperkenalkan skim kebajikan berpandukan syara' seperti Pinjaman Perumahan, Kenderaan dan Komputer tanpa dikenakan sebarang bunga. Natijahnya bila dibandingkan dengan pinjaman PPTN yang jelas membebankan peminjam kerana dikenakan kos perkhidmatan sebanyak 4 peratus.

Demikian lagi, Kelantan merupakan pihak yang pertama memperkenalkan skim pajak gadai Islam Al-Rahn pada tahun 1992. Sehingga kini, cawangan Ar-Rahn telah berjumlah 25 cawangan di seluruh negara. Apa yang nyata, sistem dipelopori di Kelantan ini dikatakan berkebajikan berbanding pajak gadai konvensional yang mengenakan 'bunga' dan akan melesapkan barang yang digadai apabila pemilik gagal melunaskan gadaian. Meskipun nampak remeh, tetapi ia menjadi peneraju yang bermakna di dalam memacu pembangunan ekonomi ummah. Malah kemudiannya program pajak Islam itu telah dikembangkan oleh pelbagai pihak. Hakikatnya ini tidak pernah difikir oleh pihak yang telah diberi kuasa mentadbir negara selama lebih setengah abad.

Selain itu untuk kebajikan golongan ibu, Kelantan perkenalkan cuti bersalin selama 60 hari daripada 40 hari yang diamalkan sebelum ini. Tidak lupa cuti dua hari seminggu yang kita perkenalkan di Kelantan yang pada mulanya ditohmah sebagai memupuk budaya pemalas. Rupanya budaya pemalas itu ditiru tanpa segan silu pada hari ini. Semuanya beralasan untuk berkebajikan kepada seluruh warga perkhidmatan awam mahupun berkanun. Mustahaknya, langkah cuti itu amat bermakna bagi memberi lebih banyak masa bersama keluarga dan seterusnya membawa kesan kepada dengan mutu kerja yang lebih baik.

Seterusnya Kelantan memperkenalkan Skim Armalah dan Bantuan Anak Yatim yang pastinya diberikan bantuan sosioekonomi atau bantuan kewangan kepada yang layak. Khusus untuk golongan ibu tunggal atau armalah pula, turut disediakan Skim Takaful Armalah iaitu skim perlindungan insuran untuk armalah. Maka kebajikan golongan armalah sedia diurus dengan lebih terurus. Justeru kerajaan Negeri Kelantan telah melantik Pegawai Pembangunan Armalah di peringkat Negeri dan Dun bagi memastikan apa jua bantuan dapat diusahakankepasda armalah yang layak. Inilah skim khusus untuk ibu tunggal (armalah) yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Selain itu, diwujudkan pula Skim Kesihatan Sakit Kronik bagi membantu para pesakit kronik yang terbeban dengan tanggungan kos rawatan secara berterusan. Maka skim ini disediakan untuk menampung kos kewangan pesakit mendapat rawatan ataupun pembedahan serta ubatan.

Seterusnya program berkebajikan untuk warga emas trurut dilaksankan menerusi Skim Takaful Kifalah warga emas. Kini, lebih 80 peratus atau seramai 114,485 peserta warga emas di Kelantan telah mendaftar sehingga 30 Jun 2011. Jumlah yang telah dibayar melebihi RM47 juta dengan memanfaatkan 20,539 wasi yang telah menerima sumbangan daripada Kerajaaan Negeri Kelantan melalui Kifaalah. Meskipun begitu, ada pihak yang cuba meniru langkah ini dengan memperkenalkan Takaful Merdeka, sayangnya Takaful Merdeka kini hanya tinggal nama sahaja, berkubur tanpa dapat dikesan nisannya.

Selain itu, terbaru kita perkenalkan Skim al-It'am iaitu agihan beras percuma kepada rakyat yang tidak berkemampuan. Skim ini diasaskan dengan permulaan seramai 100 rakyat miskin yang dikenal pasti tanpa mengira fahaman politik di setiap Dun diberi sekampit beras 10kg pada setiap bulan dengan melibatkan kos permulaan sebanyak RM1.5 juta. Namun bermula bulan Julai lepas, peruntukan telah diluluskan oleh Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan sebanyak RM1juta lagi untuk membolehkan penerima di setiap Dun ditambah kepada 180 orang di setiap Dun. Keseluruhan penerima skim ini ialah 8,100 orang di seluruh Kelantan. Ia berbeza dengan sesetengah pihak yang juga melancarkan skim agihan beras percuma pada tahun lepas tetapi sehingga ke hari ini tidak ada sebutir beraspun sampai ke pinggan nasi rakyat.

Perlu diingatkan, Kelantan sentiasa dianaktirikan dari pelbagai peruntukan yang sepatutnya disalurkan melalui kerajaan negeri. Semenjak tahun 1990, diwujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang lebih berperanan seolah-olah kerajaan dalam kerajaan. Namun, dengan berkat jimat cermat dan perbelanjaan berhemat Kelantan mampu menguruskan kewangan dengan baik sekalipun pernah diramalkan hanya akan kekal selama tiga bulan sahaja.

Contohnya, peruntukan untuk membina rumah kos rendah untuk rakyat Kelantan telah disekat sejak awal lagi. Namun kerajaan negeri Kelantan terus berusaha untuk menjadikan impian rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah tercapai. Sekadar rekod kejayaan, dalam tempoh 2006-2010, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai projek perumahan kos rendah yang melibatkan kos mencecah RM50 juta. Kini, perumahan mampu miliki pula mula diperkenalkan untuk golongan berpendapatan rendah.

Selanjutrnya, Kelantan komited melaksanakan program merakyatkan hasil Negeri kepada golongan rakyat dengan memperkenalkan Skim Ladang Rakyat. Skim ini bertujuan ke arah meningkatkan sosioekonomi Negeri dan taraf hidup penduduk serta berusaha membebaskan peserta dari belenggu kemiskinan. Semenjak ditubuhkan pada tahun 2006, ia telah membantu sedikit sebanyak di dalam mengurangkan kadar kemiskinan rakyat Negeri Kelantan melalui sektor perladangan dan mengurangkan kadar penerokaan haram Tanah Kerajaan. Sehingga bulan Mei 2011, Ladang Rakyat mempunyai 4,767 orang peserta termasuk 292 orang dari komuniti Orang Asli. Menerusi skim ini, Kerajaan Negeri telah mengagihkan sebanyak RM44.7 juta dividen kepada para peserta.

Namun begitu, masih ada pihak yang dengki dengan orientasi berkebajikan di Kelantan ini. Mereka itu tidak kering gusi, sentiasa melemparkan pelbagai tohmahan memandangkan skim ini menjadi sebutan di bibir rakyat. Apa pun tohmahan tanpa bukti itu akhirnya senyap begitu sahaja.

Sebenarnya, apa yang nukilkan ini hanyalah sekelumit dari pelbagai program Negeri Berkebajikan 'cara Kelantan'. Maka timbul keyakinan, jika di Kelantan dengan kekangan yang begitu rupa, sudah tentu parti PAS secara amnya boleh melaksanakan dasar-dasar yang menepati syariat Allah SWT jika dapat berkuasa bersama Pakatan Rakyat. Hatta, tatkala menguasai Putrajaya nanti, rakyat pasti diberi ruang menikmati aspek berkebajikan yang ditawarkan nanti.

Bina keyakinan
Memenuhi impian itu, semua pihak harus optimis membina keyakinan, kerana saat kemenangan semakin dekat. Ribut petir, taufan dan kilat yang berdentuman pada hari ini tidak lain hanyalah tanda bahawa hujan yang akan turun. Apa yang perlu ialah bersabar sejenak, teruskan istiqomah dalam perjuangan dan jangan lari meninggalkan bahtera. Sekalipun bahtera dipukul ombak ganas, pantang terjun ke laut. Sesiapa yang terjun akan mati kelemasan. Maka hendaklah terus kekal bersama kepimpinan parti dan pasangkan ikhlasan niat dalam berjuang. Tetapkan pendirian, untuk terus menjadikan perjuangan Islam ini sebagai wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, bukannya wadah untuk menambahkan harta dan kuasa serta kepentingan diri. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada semua pejuang yang melayari perjuangan ini sehingga ke akhir hayat, Insya-Allah.

Akhir kata, terima kasih sekali lagi atas peluang diberikan bagi menyampaikan ucapan pada penutup Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden kali ini.

*Tanggal 12 Syawal 1432/10 September 2011 bertempat di Dewan Dato' Fadhil Noor, KUIZM, Taman Malewar, Gombak, Selangor.

0 ulasan:

Catat Komen

 

BLOG KELANTAN

Copyright 2010 All Rights Reserved