Jumaat, 17 Februari 2012

di negeri kelantan - Google Blog Search

di negeri kelantan - Google Blog Search


<b>Kelantan</b> dapat banyak pembelaan daripada kerajaan pusat <b>...</b>

Posted: 06 Feb 2012 04:22 PM PST

Posted on February 7, 2012, Tuesday

KOTA BAHARU: Status sebagai pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak menghalang Umno dan Barisan Nasional (BN) daripada terus membela rakyat dan membawa pembangunan di negeri ini, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, hakikatnya ialah rakyat dapat melihat sumbangan kerajaan pusat kepada Kelantan tetapi fitnah dan pembohongan pihak tertentu mengubah persepsi rakyat bahawa UMNO dan BN menyekat projek pembangunan dibawa ke negeri ini.

"Bagi orang yang memfitnah menyatakan kita menyekat kerajaan pusat…mereka lalu (jambatan dan jalan raya), mereka guna lapangan terbang; tidak nampakkah mereka.

"Rakyat semakin melihat semua sumbangan kerajaan pusat tetapi malangnya fitnah terlalu banyak, maka (wujud) persepsi rakyat Kelantan (bahawa) kita menyekat. Itu tidak benar sama sekali," katanya kepada Bernama.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPN) Kelantan, berkata antara projek untuk kesejahteraan rakyat Kelantan ialah pembinaan 14 masjid baru dan usaha membaik pulih masjid dan surau dengan kos lebih RM40 juta sejak 2005.

Mustapa berkata, pembinaan jambatan kedua Jambatan Sultan Yahya Petra sepanjang 800m berharga hampir RM150 juta menghubungkan Kota Baharu dan Pasir Pekan, Tumpat, yang dijangka siap hujung tahun ini, serta jalan bertingkat Pasir Pekan-Jalan Hamzah-Wakaf Siku, akan dapat mengatasi masalah kesesakan.

Jambatan Tendong yang menghubungkan Tendong di Pasir Mas dan Wakaf Che Yeh di Kota Baharu serta Jambatan Salor yang menghubungkan Salor-Pasir Mas juga merupakan sumbangan kerajaan pusat kepada rakyat Kelantan bagi memudahkan urusan harian mereka.

Selain itu, kerajaan pusat sedang menaik taraf Jalan Kubang Kerian-Sabak dengan kos RM27 juta, yang sekarang dilihat tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah.

Mustapa berkata di Bandar Baru Tunjung dekat sini, kerajaan pusat menempatkan beberapa jabatannya yang akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di situ dan kawasan sekitarnya.

Bangunan kerajaan pusat terlibat ialah Terminal Agrobisnes Negara (TEMAN) berharga RM85.7 juta, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan (RM20 juta), Wisma Audit Negeri Kelantan (RM18 juta) dan Pejabat  Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Negeri Kelantan (RM8.76 juta), Kompleks Mahkamah Syariah (RM22.1 juta) dan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (RM33.1 juta).

Mustapa berkata: "Tunjung tidak akan ada apa-apa jika tidak ada bangunan yang diwujudkan oleh kerajaan pusat. Bandar Baru Tunjung mungkin inisiatif kerajaan negeri tetapi memenuhkan bangunan di situ, semuanya bangunan kerajaan pusat.

"Kalau ada pembangunan sekitarnya, ia hasil daripada jabatan kerajaan yang ditempatkan di situ. Rakyat harus melihat sumbangan kerajaan pusat."

Mustapa berkata kerajaan pusat juga membelanjakan RM40 juta untuk memanjang dan melebarkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, bagi membolehkan pesawat lebih besar mendarat dan berlepas dengan selamat.

"Kalau kita pergi ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian di sini, boleh dilihat kerajaan pusat sedang memperbesar dan menambah baik kemudahan dengan kos RM127 juta, begitu juga di Hospital Raja Perempuan Zainab II, yang melibatkan kos RM182.17 juta," katanya.

Menteri itu berkata kerajaan juga sedang membina dewan bedah baru berharga RM9 juta di Hospital Kuala Krai untuk kemudahan penduduk daerah tersebut.

Sehubungan itu, Mustapa berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan pihak tertentu yang semata-mata ingin meraih sokongan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, mandat baru rakyat kepada kerajaan BN untuk kembali memerintah Kelantan akan membolehkan lebih banyak kebajikan serta pembangunan terus dilaksanakan di negeri ini.

"Kelantan banyak mendapat pembelaan dan rakyat boleh melihat dan merasai kemajuan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat di negeri ini.

"Bukan itu sahaja, kerajaan pusat menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kebajikan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Baucer Buku 1Malaysia bernilai RM200 dan RM100 untuk setiap murid sekolah," tambahnya. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads