03 di kota bharu - Google Blog Search |
Uthaya Sankar SB: Meraikan Kepelbagaian <b>di Kota Bharu</b> Posted: 10 May 2012 04:00 PM PDT Kunjungan saya ke Kota Bharu, Kelantan pada 11-14 Mac 2012 memberi peluang untuk mendapatkan maklumat, gambaran dan fakta sebenar berhubung pelbagai perkara. Hal ini amat penting kerana orang ramai selalu disuapkan dengan maklumat yang tidak benar dan berniat jahat mengenai apa-apa perkara yang berlaku di Kelantan. Atas dasar itulah juga sebenarnya saya ke sana; iaitu untuk melihat sendiri keadaan di Kota Bharu dan menulis beberapa artikel berdasarkan apa yang saya lihat, baca, dengar dan alami sendiri. Sebaik bas ekspres yang saya naiki masuk ke sempadan Kelantan menerusi Gua Musang, saya asyik memandang keluar tingkap bas untuk melihat apakah benar negeri itu "mundur" dan "miskin" sebagaimana dilaung-laungkan pihak tertentu. Anehnya, sepanjang perjalanan dari Gua Musang ke Kota Bharu, kehijauan, kemajuan, pembangunan serta persekitaran yang saya perhatikan sama sahaja seperti yang biasa saya lihat di Ipoh, Taiping, Shah Alam, Klang, Seremban, Johor Bahru dan mana-mana tempat lain. Gambaran yang selalu dimomokkan adalah bahawa Kelantan bukan sebuah negeri yang sesuai bagi penduduk pelbagai kaum, adat, budaya dan agama. Kononnya pentadbiran berteraskan Islam yang menjadi amalan Kerajaan Negeri "menindas" penduduk kaum dan agama lain. Saya pernah ke Kota Bharu pada 1995 dan kini kali kedua saya ke sana. Saya pernah bertemu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1995 bersama-sama sekumpulan penulis dan kini kali kedua saya berpeluang bertemu tokoh itu. Ada pelbagai perkara menarik yang saya perhatikan dan alami di Kota Bharu. Misalnya, saya tidak sendirian dalam perjalanan mengelilingi bandar ini. Rohani Deraman dari Johor Bahru, Zainab Ngah dari Terengganu, Roshidayu Che Mat dan suaminya dari Shah Alam, serta Nur Hidayah dan Abdul Mutalib Awang dari Kota Bharu sentiasa bersama-sama saya dalam mengunjungi pelbagai tempat. Begitu juga, apabila sekumpulan penulis di Kelantan mendapat tahu – menerusi Facebook – mengenai kedatangan kami, mereka turut mengatur pertemuan-pertemuan kecil untuk berkongsi pengalaman dan cerita. Saya akan menceritakan secara lebih khusus mengenai pelbagai perkara di Kelantan dalam artikel akan datang. Bahagian pertama ini pula semacam pengenalan umum berdasarkan pengalaman saya di Kota Bharu selama empat hari. Kalau ada sesiapa mengatakan bahawa penduduk Bukan Melayu dan Bukan Islam di Kelantan tidak diberi layanan baik, kata-kata itu adalah dusta. Hasil pengalaman saya di sini – serta pertemuan dengan orang ramai – kepelbagaian kaum, adat, budaya dan agama sebenarnya "diraikan" di Kelantan. Selepas Sarawak dan Sabah, konsep sebenar perpaduan, persefahaman dan hormat-menghormati antara kaum/agama jelas kelihatan di Kelantan. Hakikat ini pasti sahaja jauh berbeza dengan gambaran buruk yang selalu diberikan pihak tertentu mengenai suasana di Kelantan. Nasihat saya amat mudah: jangan percaya kata orang, sebaliknya pergi sendiri ke Kelantan untuk mengetahui perkara sebenar. Malah, itulah juga nasihat yang diberikan rakan-rakan di Facebook apabila saya melahirkan keinginan untuk mengunjungi Kota Bharu pada akhir Februari lalu. Walaupun saya pergi tanpa sebarang perancangan dan jadual aktiviti, ternyata jadual saya menjadi amat padat sebaik tiba di Kota Bharu. Pertemuan bersama golongan penulis yang dikenali serta baru dikenali, peluang berbual bersama pihak berkuasa tempatan dan ahli politik, perkongsian maklumat bersama pegawai kerajaan negeri, berkongsi cerita bersama pemandu pelancong ... Agak menarik juga bahawa beberapa penulis di Kelantan secara khusus meminta saya menjelaskan isu sebenar berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid. Saya sangka isu itu selesai berikutan keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia menggantikan novel itu dengan novel Konserto Terakhir. Namun, siapa sangka bahawa ada pihak yang cuba memutar-belit kisah sebenar dengan memberi gambaran bahawa saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mahu novel Interlok (edisi asal) diharamkan. Pada masa sama, saya tidak terkejut kerana memang ada puak tertentu yang sedang bergerak secara "underground" di Lembah Klang dengan menyebarkan fitnah bahawa saya dan Kavyan adalah golongan "pelampau" dan "anti-Melayu" serta kami dan karya kami perlu dipulaukan. Maka, kunjungan saya ke Kota Bharu juga membuka ruang dan peluang secara tidak dirancang untuk memberikan maklumat tepat mengenai keseluruhan isu berkaitan novel Interlok Edisi Murid serta fitnah yang disebarkan puak tertentu. (Tentu sahaja Tokoh Lidah Bercabang, Encik Limau, Raja Serigala Bahasa, Penerima Anugerah Laut, Timah Wangi dan rakan-rakan mereka tidak menyangka saya akan ke Kelantan serta berpeluang mendedahkan perkara sebenar berhubung perkara tersebut.) Dari segi makanan, saya tidak menghadapi sebarang masalah. Malah, nampaknya penduduk Kelantan lebih sensitif mengenai apa yang tidak boleh dimakan oleh orang lain. Kalau di Kuala Lumpur, sering kali ada pihak yang menghidangkan daging lembu dan memberi alasan bahawa mereka tidak tahu kaum India beragama Hindu tidak makan daging itu. Sebaliknya, selama empat hari saya di Kota Bharu, saya tidak berhadapan dengan sikap seperti itu. Kunjungan ke Kota Bharu juga membuka ruang pertemuan bersama Rohani Deraman dan Amy Suzani Mohd Ainuddin yang menjadi mangsa royalti teks Komsas. Kami sempat juga berkongsi maklumat dan pandangan bersama-sama peguambela dan peguamcara, Mohammad Faizal Che Yusof. Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa perancangan kunjungan ini serta perjalanan saya selama empat hari di Kota Bharu membuktikan semangat perpaduan sebenar dalam kalangan semua individu yang terlibat. Sesungguhnya, kami meraikan kepelbagaian yang wujud. Ternyata saya amat beruntung kerana berpeluang berkunjung ke Kota Bharu untuk merasai sendiri suasana sebenar di sana. Banyak pengalaman yang ditimba dan banyak juga sesi perkongsian maklumat. Semuanya akan saya gunakan untuk menulis beberapa artikel agar orang ramai mampu mendapatkan gambaran sebenar mengenai Kelantan amnya dan Kota Bharu khasnya. Sekurang-kurangnya kita tidak akan terus "tertipu" dengan dakyah palsu yang disebarkan pihak tertentu. |
You are subscribed to email updates from di kota bharu - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan