Rabu, 20 Jun 2012

03 di pulau melaka - Google Blog Search

03 di pulau melaka - Google Blog Search


Uthaya Sankar SB: Ada apa dengan Kelantan?

Posted: 14 Jun 2012 04:00 PM PDT

[Ketokohan Nik Abdul Aziz turut menjadi formula kejayaan di Negeri Serambi Mekah.]
Reaksi yang saya terima berikutan penyiaran beberapa makalah berdasarkan pengalaman saya di Kota Bharu, Kelantan sejak tiga minggu lalu adalah amat memberangsangkan.
Cuma, seorang individu bernama 'Zana Zanzaly' (mungkin nama samaran) yang ternyata terlalu obses dengan kontroversi novel Interlok Edisi Murid, lalu tampil memberikan komen bahawa catatan pengalaman itu "jauh lebih empok dan sangat elok daripada terkinja-kinja menyucuh karak Interlok."
Individu itu – atau pasangannya yang mungkin juga warga India, Bangladesh atau Pakistan – turut berkata "Bohot acha hey mere dhost" yang entah apa makna dalam bahasa ibundanya.
Sementara itu, graduan Universiti Malaya, Mohd Sallehuddin dari Johor melihat sisi positif pada pelbagai perkara mengenai Kelantan yang disajikan menerusi tulisan-tulisan saya.
"Saya lahir di Johor, namun pernah tinggal di Kota Bharu. Saya mengakui kebenaran perkara-perkara yang dinyatakan dalam tulisan (makalah) itu," katanya menerusi komen di Facebook.
Walaupun ramai belia Kelantan yang belajar di luar, hal ini tidak bermakna negeri itu "miskin" dengan pusat pengajian tinggi. Pelbagai kolej dan universiti membuka cawangan di sana. Semuanya nampak jelas di depan mata jika kita pergi untuk melihat sendiri realiti di negeri berkenaan.
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) berjaya merealisasikan impian menjadikan Kelantan sebagai "pusat penyebaran, perkembangan dan pembudayaan ilmu dan syiar Islam yang tersohor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa".
Terdapat juga Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat di Pulau Chondong yang mengkhusus dalam bidang pengajian al-Quran Wal-Qiraat, Bahasa Arab dan akademik. Maahad Tahfiz Saind pula berjaya melahirkan para hafiz yang pakar dalam bidang sains dan teknologi.
Tidak ketinggalan penubuhan Kolej Pondok Darul Naim di Pasir Tumbuh bagi lepasan sekolah pondok yang mahu melanjutkan pengajian tinggi di dalam dan luar negara.
Bagi remaja yang meminati bidang pengajian teknologi, khususnya animasi, terdapat Darul Digital di KB Bazar. Namun, pasti sahaja segala maklumat kemajuan pendidikan ini kurang diketahui penduduk di negeri-negeri lain.
Apabila memperkatakan segala kejayaan dalam segala bidang di Kelantan, tidak dapat tidak, ketokohan dan kepimpinan Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) sebagai Menteri Besar tidak dapat dinafikan.
Beliau ternyata "menyumbang" kepada rakyat; bukan sebaliknya. Antara yang paling nyata, Tok Guru masih tinggal di rumah sendiri di Kampung Pulau Melaka sejak menjadi Menteri Besar pada Oktober 1990. Elaun perumahan sebanyak RM3,000 yang diperuntukkan untuknya dikembalikan kepada kerajaan negeri untuk digunakan bagi projek kebajikan rakyat.
(Awas! Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang semakin hampir, pasti akan muncul politikus – "Badut Paul Lathic" – yang tiba-tiba membuat gimik mahu "mendermakan" peruntukan, elaun, dana itu dan dana ini kepada rakyat. Namun, rakyat pasti hanya tertawa dan bertepuk melihat aksi lucu badut-badut berkenaan.)
Berbalik pada sikap Tok Guru, tentu tidak ramai yang tahu bahawa 45 peratus daripada gaji bulanan beliau sebagai MB dipotong atas permintaan beliau sendiri; 40 peratus digunakan bagi parti dan 5 peratus untuk kerajaan negeri.
Cuba bayangkan jika ketua kerajaan di negeri-negeri lain sanggup berbuat demikian. Barulah benar omongan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".
Namun, tentulah terlalu drastik untuk mana-mana Menteri Besar, Ketua Menteri atau Yang Dipertua Negeri membuat pengumuman sedemikian pada masa sekarang. Akan tetapi, tidak salah untuk rakyat mengharapkan ia menjadi janji mana-mana pihak yang memegang tampuk kuasa kerajaan negeri di negeri-negeri lain selepas PRU-13.
Berapa kerapkah anda berpeluang bertemu MB/KM di negeri anda? Di Kelantan, nampaknya Tok Guru meluangkan masa sekitar sejam pada setiap Jumaat – selepas solat subuh – untuk bertemu orang ramai yang datang ke masjid di sebelah rumahnya.
Ramai ibu bapa yang datang dari jauh dan dekat untuk meminta Tok Guru melakukan upacara mencukur rambut dan membelah mulut bayi mereka. Suasana pasti seperti apa yang berlaku apabila Mahatma Gandhi dikerumuni orang ramai di India suatu masa dahulu!
"Saya beragama Hindu tetapi saya tetap mengatakan bahawa Tok Guru adalah contoh terbaik pemimpin yang benar-benar prihatin terhadap rakyat. Memang sukar mendapat seorang pemimpin sejati seperti beliau.
"Saya menyokong sesiapa sahaja yang layak, amanah dan ikhlas dalam berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik; kerana kita semua adalah rakyat Malaysia," kata Katie Roa yang kini berada di London tetapi setia mengikuti perkembangan di Malaysia.
Tidak hairanlah Nawawee Mohammad sebagai seorang rakyat yang mempunyai hak mengundi pula membandingkan sikap Tok Guru dengan MB di negeri-negeri lain.
"Saya berasa amat bertuah dapat bertemu dan bersalam dengan Tok Guru kerana dalam hidup saya, hanya MB Kelantan yang pernah saya salam; manakala MB lain di negara ini, nak tengok muka mereka pun susah," kata Nawawee yang suka membaca dan menulis sajak.
Seorang lagi individu yang memberi komen secara ikhlas ialah Subramaniam Govindaraju. Katanya, Tok Guru seorang individu dan pemimpin yang hebat serta wajar dicontohi oleh semua pemimpin lain di negara ini tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
Aliran tunai paling besar juga dicatatkan di Kelantan dan hal ini adalah kerana penduduk membeli-belah menggunakan wang tunai; bukan kad kredit seperti di kebanyakan tempat lain.
Pasti ada pihak yang mengatakan penduduk Kelantan "miskin" kerana tidak memiliki rumah besar, kereta besar, barang kemas dan alat solek. Akan tetapi, kalaulah perkara itu benar, mengapa begitu banyak pasar raya dan perniagaan besar membuka cawangan di negeri berkenaan?
"Penduduk Kelantan mewah. Cuma tidak pandai bergaya seperti kebanyakan orang di pantai barat," kata Izan Ali, seorang novelis yang turut kagum dengan begitu banyak pusat beli-belah dan perniagaan yang dimiliki orang Melayu di Kelantan.
Saya sendiri perhatikan bagaimana orang Kelantan suka berniaga dan mengusahakan perniagaan – kecil mahu pun besar. Sebutlah apa sahaja perniagaan yang halal dan beretika, saya percaya orang Kelantan – Melayu, Cina, India, Siam, Orang Asli – sudah dan mampu mengusahakannya.
Ravi Chandran, seorang doktor dari Kuala Lumpur turut mengirim reaksi dan menceritakan bahawa dia sudah dua tahun tinggal di Kelantan.
"Tempat ini sudah menjadi rumah kedua saya sekarang. Tidak ada apa-apa masalah seperti yang digembar-gemburkan pihak tertentu," katanya yang kini menetap di Kampung Chicha, Kubang Kerian.
Demikianlah hebatnya realiti dan penduduk sebuah negeri yang selama ini dimomokkan sebagai "miskin" dan "mundur" oleh pihak tertentu yang terbukti hanya meludah ke langit.
Kalau ada sesiapa yang masih tidak percaya, silalah pergi untuk melihat, menikmati dan mengalami sendiri suasana sebenar di sana.
"Pakat maghi rame-rame jenguk Kelate," kata Abdul Mutalib Awang, pemuda yang menjadi pemandu pelancong sepanjang saya di sana pada 11-14 Mac 2012.
Memang sesuai! Tambahan pula, tahun ini adalah Tahun Melawat Kelantan.
(© Uthaya Sankar SB. Catatan ini ditulis pada 10 April 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 23 April 2012. Sila baca juga beberapa tulisan terdahulu berkaitan Kelantan.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads