03 di galas kelantan - Google Blog Search |
Politik Ayam Serama Mursyidul Am PAS — Ummatan Wasatan Posted: 06 Nov 2011 04:42 AM PST Ayam serama merupakan spesies burung yang amat digemari oleh rakyat Kelantan. Tubuhnya yang mungil dipenuhi dengan bulu berwarna dengan badannya yang melentik dan ekor tercongek menjadi daya penarik sehingga ada pihak sanggup membelinya walaupun dengan harga mahal. Selain bentuknya yang menarik, ayam serama merupakan sejenis burung yang tidak tahu mengeramkan telurnya sehingga menetas. Oleh kerana itulah para penternak ayam serama akan menggunakan kaedah tertentu untuk mengeramkan telur tersebut sama ada kaedah elektrik atau menumpang dengan jenis-jenis ayam yang lain. Disebabkan ayam serama tidak pandai mengeram sehingga telur menetas, hubungan ibu dan anak dalam generasi spesies itu tidaklah seakrab hubungan ibu dan anak dalam kelompok ayam-ayam yang lain. Pantang ada yang cuba mendekati anak-anaknya, ibu ayam akan cuba menghalang sedaya upaya, termasuk mematuknya. Hal ini tidak berlaku kepada ayam serama. Melihat kepada gelagat ayam serama dengan tabiatnya itu, dapatlah dirumuskan bahawa budaya politik PAS sebenarnya tidak jauh daripada analogi ayam serama. Kalau ayam serama tidak dapat mengeramkan telurnya sehingga menetas, PAS juga mengalami keadaan yang sama apabila tidak mampu menyediakan peluang perlindungan yang baik untuk para pengundinya. Berdasarkan Laporan Audit 2010 yang dibahaskan di Dewan Rakyat beberapa hari sebelum Aidiladha, jelas memperlihatkan kerajaan PAS Kelantan tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dalam menyediakan kemudahan asas, terutamanya rumah-rumah mampu milik sedangkan ramai yang amat memerlukan. Mengikut dakwaan pemimpin PAS, kegagalan itu berpunca kerana tidak adanya peruntukan kerajaan pusat, maka kerajaan negeri memang tak mampu. Kalau dilihat dari perspektif politik dan janji-janji yang pernah dibuat oleh pemimpin mereka, maka tidak ada sebab untuk mendesak kerajaan pusat agar menyediakan peruntukan untuk tujuan tersebut. Kuasa meluluskan pembinaan rumah adalah bidang kuasa kerajaan tempatan, yakni kerajaan negeri termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan yang diuruskan oleh Syarikat Menteri Besar (yang diperbadankan), sepatutnya organisasi tersebutlah memainkan peranan utama untuk memenuhi tuntutan rakyat. Rakyat Kelantan juga tidak disediakan peluang pekerjaan sehingga menyebabkan ramai di antara mereka terpaksa berhijrah mencari peluang di lain-lain negeri sehingga memperlihatkan ke mana sahaja seseorang itu pergi, kita akan bertemu dengan anak-anak Kelantan. Mereka melakukan apa sahaja kerja dari peringkat buruh hingga pegawai tinggi kerajaan. Pernah suatu ketika, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir menjelaskan hampir semua bidang pekerjaan ada anak Kelantan sehingga amat sukar untuknya mencari anak-anak Kedah. Gambaran itu membuktikan demi survival, anak-anak Kelantan sanggup melihat "hujan emas di negeri orang" dengan meninggalkan "hujan batu di Kelantan." "Hujan batu" sebenarnya sudah lama berlaku di Kelantan, kerana Kelantan merupakan negeri yang terlalu kuat politikingnya hinggakan hampir setiap masa dan ketika orang bercakap mengenai politik, dari kedai kopi hinggalah ke Pasar Siti Khadijah, termasuk penjual nasi kerabu dengan memberikan andaian bahawa Tok Guru "memang baik", "orang alim", "mentadbir cara Islam", tapi di lain ketika mengatakan Tok Guru hanya "orang tua yang hampir luput tarikh" dan "tidak juga nak berhenti jadi Menteri Besar." Tapi, bila Tok Guru mengembangkan sayap seramanya, maka ramailah yang memberikan reaksi "orang berilmu, cakapnya ada hikmah" tidaklah mengarut seperti orang-orang politik lain. Tok Guru memang disayangi oleh rakyat Kelantan, kerana telah menjadikan Kelantan sebuah negeri menarik, berbudaya dan sesak apabila musim cuti dan Kota Bahru "tidak boleh masuk" dan "talian telefon bimbit seolah-olah tersedak." Yang ramainya ialah anak-anak Kelantan yang mengambil peluang balik kampong pada musim cuti, dan sebahagian besarnya adalah kakitangan kerajaan pusat, yakni guru-guru yang mengajar di serata tempat termasuk Sabah dan Sarawak. Kenapa terlalu ramai anak-anak Kelantan bekerja dalam perkhidmatan awam? Jawabnya mudah, kerana ramai anak-anak Kelantan berusaha melanjutkan pelajaran dengan cara masing-masing.Mereka sanggup berhutang bergadai kerana amat perit mencari kerja di Kelantan. Kalau gagal di sekolah kerajaan, mereka boleh masuk belajar di sekolah-sekolah swasta dan kalau tidak boleh masuk institut pengajian tinggi awam (IPTA), mereka masuk institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dengan menggunakan dana Perbadanan Pinjaman Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana Kelantan memangnya tidak mempunyai banyak kemudahan pembiayaan. Kerajaan Kelantan hanya mencanangkan bahawa pelajar tajaannya telah berjaya menamatkan pengajian di IPTA ataupun luar negeri. Kalau kita tanya berapa orang yang mampu dibiayainya, kalau di Timur Tengah, bilangannya boleh dikira dengan jari. Selebihnya, mereka dibiayai oleh kaum keluarga dan badan-badan tertentu di peringkat pusat. Seperti tabiat ayam serama, kerana kehidupannya terkurung dalam kelompoknya sahaja dan kadangkala diasingkan, maka ramailah anak-anak Kelantan setibanya dibandar-bandar besar mengalami kejutan budaya yang besar. Ayam serama jika dilepaskan dalam kawasan yang lebih luas, akan merasakan keluasan saujana memandang itu sebagai sesuatu yang perlu diharungi walaupun dengan apa cara sekalipun demi survival. Pada mulanya terasa kekok dan janggal, kerana semasa di kampong dipaksakan memakai pakaian yang sopan, bertelekung dan berbaju kurung. Bila dah sampai di Kuala Lumpur, sebulan dua boleh menahan gelojak jiwa muda, setelah memasuki semester kedua, sudah mula berpakaian seluar pendek, jeans ketat sampai menampakkan punggung, t-shirt singkat sehingga menampakkan pusat, tapi masih bertudung. Tudung hanya menjadi fesyen, bukan lagi sebagai penutup aurat, kerana itulah tudung yang labuh diikat pendek dan dilipat sehingga menampakkan bahagian dada yang seksi. Duduk di Kuala Lumpur, kena mengadaptasi budaya bandar kerana orang Kuala Lumpur tidak banyak songeh sebagaimana masyarakat kampong yang banyak ambil peduli. Sesekali, bila terdengar cerita-cerita yang menggoda pada malam minggu, maka nak juga dicuba, maka "clubbing" mula menjadi bahan cerita yang menarik dan mendebarkan. Mengingatkan hal ini, maka kadangkala kita bertanya ke manakah generasi muda Kelantan akan pergi dan apakah ini bermakna "membangun bersama Islam" yang didoktrinkan oleh PAS telah gagal secara total? Jika diukur daripada perspektif itu, nyatalah PAS sebenarnya amat berkesan untuk menslogankan pentadbirannya dalam kalangan generasi tua yang menjadi penyokong tegar mereka sehingga sanggup berlapikkan bendera parti di bawah bantal. Hasratnya mudah, kerana yakin jika meninggal dunia ketika tidur, ia mendapat jaminan akan masuk syurga kerana pemimpin PAS kata begitu, PAS itu Islam dan menolak PAS bererti menolak Islam. Hal ini menjadi semakin jelas apabila berucap di Majlis Penghayatan Hari Wukuf, Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), sehari sebelum Aidiladha, Mursyidul Am PAS kata begitu. Tok Guru yang sudah lama terkenal banyak mengelirukan umat Islam menerusi pendapat dan ulasannya, menyalahkan UMNO kerana "membuang perkataan Islam" termasuk menghalang parti itu menggunakan lambang "bulan dan bintang." Lambang "bulan dan bintang" merupakan lambang yang menggambarkan masjid, dan kerana itu, dengan mengharamkan penggunaan lambang itu, bermakna "UMNO telah membuang Islam." Inilah lojik ayam serama yang berterus-terang dari seorang pemimpin yang "sudah luput tarikh" tetapi masih terasa dirinya dihiasi dengan bulu-bulu yang berkilat dan berwarna, sedangkan ekornya semakin sehari semakin jarang bulu-bulu yang cantik, yang tinggal hanyalah bulu-bulu ari dan tidak lagi mampu berhadapan dengan perubahan persekitaran. Kalau hujan akan kesejukan, kalau panas, menggeliat seperti cacing kehilangan rerumahnya.Tapi, kerana lagaknya, ia tetap ayam serama, ekor terus "bercongek" meskipun kalau diukur dalam standard biasa, ia adalah sesuatu yang amat lucu dan berkohong. Biar kita uji cirr-ciri yang dikatakan sebagai parti yang memperjuangkan Islam, kerana masih banyak tanda soal yang masih belum terjawab sejak Tok Guru jadi Menteri Besar pada tahun 1990, hingga kini belum selesai dan belum ada nokhtah apa yang pernah Tok Guru katakan. Benarkah hanya "syurga" dikhususkan kepada penyokong dan pengundi PAS? Bukankah "syurga" itu hak mutlak Allah SWT dan Dialah yang akan menentukan siapakah yang akan diberikan peluang menghuninya? Kalau hanya dengan "menyokong PAS, masuk syurga", maka istilah syurga itu sebenarnya baru tercipta ketika PAS ditubuhkan, dari Parti Islam se-Tanah Melayu dan kemudiannya bertukar menjadi Parti Islam se-Malaysia, yakni pada tahun 1951. Slogan itu terus berkumandang di Manek Urai yang menyaksikan kemenangan PAS hanyalah sekadar "nyawa ikan." Sebelum itu tanyalah orang lain, perkataan syurga itu sudah ada sebelum PAS ditubuhkan. Saya kadangkala menjadi malu mengaku bahawa Tok Guru sebenarnya seorang ulamak, kerana berpendirian "PAS membawa ke syurga", maknanya, Tok Guru menolak sebuah hadis yang telah diriwayatkan bahawa, syurga seorang anak adalah di telapak kaki ibu, syurga seorang isteri di telapak kaki suami. Maka, kerana "PAS membawa ke syurga" lojiknya keterlaluan dengan menyuruh si isteri meminta cerai kerana tidak menyokong PAS, seorang anak dikeluarkan dari senarai sedarah sedaging kerana tidak sokong PAS manakala saudara mara putus silaturrahim kerana menyokong UMNO. Inilah yang dilakukan oleh PAS atas inisiatif politiknya, kempen kreatif yang membahayakan sehingga berlaku perpecahan dalam masyarakat Melayu-Islam. Hal ini terus berlaku hingga kini, dan semasa pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, salah seorang pemimpin PAS yang berpendidikan hingga ke peringkat kedoktoran membuat gesaan supaya isteri meminta cerai, anak jauhkan diri dengan keluarga yang tidak menyokong PAS.Itulah syarat untuk ke syurga yang ditentukan oleh PAS. PAS begitu kemaruk untuk berkuasa dan nak kalahkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan. Oleh kerana niatnya jahat dan tidak ikhlas, maka PAS terus kecundang dan tidak mampu bangkit mempamerkan ekor seramanya, kalah di DUN Tenang (Johor), DUN Kerdau (Pahang), DUN Galas (Kelantan) dan tersungkur teruk di semua lima DUN Sarawak. Setelah terjerumus dengan jeratan sekularisma yang dipeloporkan oleh PKR dan DAP , PAS menjadi serba-salah atas kesilapannya membentuk perjuangan baru melaksanakan"negara berkebajikan" apabila menang pilihan raya umum nanti. Jika diukur dari keupayaan, PAS memang tidak akan mampu memerintah, kerana hanya memohon untuk bertanding di 60 kerusi Dewan Rakyat. Maknanya, membiarkan DAP dan PKR bertanding di 162 kerusi lagi. Belum tentu 60 kerusi yang bakal dipertandingkan itu boleh menang sepenuhnya. Bahkan, belum tentu PAS tidak akan berhadapan dengan tentangan dari DAP, kerana parti itu sedang mencari calon keturunan Melayu bagi memecahkan majoriti undi Melayu. Ia bukan bermakna nak membantu PAS, tetapi mewujudkan persaingan berdarah. Ini belm diambil kira percaturan yang bakal dibuat oleh PKR, kerana Anwar sebenarnya mahukan kemenangan bagi membolehkan beliau membalas dendam untuk jadi Perdana Menteri. Nampaknya strategi satu lawan satu sebagaimana terjadi dalam pilihan raya umum ke-12 tidak lagi dikekalkan. DAP sedang menyusun strateginya sendiri untuk memperkuatkan kedudukan, kerana parti itu tetap menganggap PAS bukanlah kawannya yang sebenar. Kedua buah parti itu hanya boleh berkawan dalam keadaan terpaksa, dan apabila merasakan diri kuat, DAP akan menelan PAS hidup-hidup.PKR akan jadikan PAS seperti "anjing kurap." Ini telah pun berlaku apabila Lim Guan Eng dengan lantangnya meminta Presiden PAS, Haji Hadi Awang agar memberikan penjelasan mengenai "kerajaan perpaduan" kerana ia tidak pernah diputuskan oleh Majlis Pemuafakatan Pembangkang dan "memaksa PAS memberikan maklumat" setelah Husam Musa terperangkap dengan asakan hujah Khairy Jamaludin semasa berdebat mengenai pembentukan sebuah negara Islam yang berpaksikan syariat. Semuanya ini tidak boleh diseludup di bawah karpet lagi, semua orang ingat bagaimana cantiknya PAS berkata tetapi lemah bila berbincang dengan Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim. Haji Hadi semacam terkena pukau oleh kelicikan strategi politik Anwar dan kekebalan sosialisme demokratik Lim Guang yang cuba mempraktikan gaya pengurusan Khalifah Umar Abdul Aziz, yang menjadi model sebuah pemerintahan yang adil, saksama dan mendekati permasalahan rakyat secara berkesan. Sebenarnya, sejak memerintah Pulau Pinang, DAP juga ternyata banyak gagal dan kontroversi sehinggakan Laporan Audit turut membuat teguran tidak menggunakan peruntukan sebaik mungkin dan sebahagian besarnya dimasukkan ke dalam akaun negeri sebagai simpanan. Tidak mempedulikan pembangunan untuk rakyat, termasuk membina rumah-rumah mampu milik sehinggakan semakin ramai rakyat Pulau Pinang berkeriau. Yang banyak dibangunkan ialah rumah-rumah berharga mahal, yang hanya boleh dibeli oleh rakyat asing (misalnya Singapura) manakala kawasan yang dihuni oleh orang Melayu semakin kecil. Bahkan Balik Pulau sudah diwajahkan dengan gambaran dibuka oleh orang Cina, walhal sejarah itu sebenarnya diterbalikkan mengikut keperluan politik DAP. Pendedahan terbaru yang dibangkitkan oleh Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon membongkarkan niat sebenar Lim Guan Eng yang terdesak untuk mengukuhkan kedudukannya di Pulau Pinang. Lim Guan Eng sedar kedudukannya semakin terancam kerana semakin ramai tidak lagi yakin dengan kepimpinannya kerana amat mudah menyalahkan Barisan Nasional apabila berhadapan dengan kemelut. Pakatan sulitnya turut terbongkar, berunding dengan pihak pemaju untuk membangunkan sebuah pusat konvensyen antarabangsa di bawah tanah, tetapi kerajaan negeri tak mampu, mohon swasta laksanakan dengan kaedah "kontra." Bila orang muda berkumpul menuntut dibina sebuah litar motosikal, dituduhnya UMNO menjadi dalang; bila ada orang berhimpun marahkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang merobohkan gerai peniaga Bumiputera, dituduh UMNO berada dibelakang; dan, apabila mendapat kek berwarna tahi lembu, seluar dalam berwarna hitam, Lim Guan Eng tidak dapat berselindung lagi, kemarahan penduduk sudah sampai ke tahap kritikal, maka pada pilihan raya umum nanti perlu cari kaedah selamat kalau pun tidak mahu "balik ke Melaka." Politik ayam serama PAS akan terus berkembang selagi parti itu menganggap dirinya sahaja yang betul dan memperjuangkan Islam walaupun secara lojiknya, Mursyidul Am PAS hanya tahu bercakap, seperti ayam serama tahu bertelur dan tidak tahu mengeram sehingga menetas, kerana memang itulah perangai pemimpin yang semakin luput tarikh, setiap kali pandangannya disamakan seperti ketentuan dasar sedangkan itu adalah pandangan peribadi, PAS mempunyai struktur kuasanya di mana Presidenlah yang boleh menentukan haluan parti dan bukan kuasa autonomi Nik Aziz, kerana Mursyidul Am PAS akan tetap merasakan dia sahaja yang terbaik, kerana mampu mengekalkan pemerintahan selama lebih dua puluh satu tahun sedangkan Haji Hadi hanya sepenggal. Budaya ayam serama sudah sinonim dengan PAS selagi Nik Aziz masih diberikan peluang untuk mewakili parti itu, dan seterusnya melihat jawatan Menteri Besar sebagai jawatan seumur hidup. Nik Aziz tidak akan berhenti kerana dia sebenarnya mahu jadi Menteri Besar seumur hidup. Tidak ada orang yang mampu memberikan nasihat, berhentilah Tok Guru, walaupun pernah mencabar Dr Mahathir supaya meletakkan jawatan kerana rakyat sudah memberikan signal. Dr Mahathir sudah pun meletakkan jawatan, kerana beliau sedar "akan berhenti makan sebelum kenyang" tapi Nik Aziz sudah lama makan, masih lagi belum kenyang. Ayam serama memang makan sepanjang masa, tetapi kerana kerangkanya tetap kecil, maka ia tetap tidak boleh menjadi ayam jantan atau ayam belanda. Itulah yang seharusnya menjadi iktibar oleh Nik Aziz, kalau rakyat dah marah, maka suatu hari Tok Guru akan "jatuh bujang" dan ketika itu, seluruh kebaikan dan kepandiran politik akan luntur semuanya seperti nasib yang dialami oleh Muammar Gadafi (Libya), Hosni Mubarak (Mesir), Zainal Abidin Ali (Tunisia) dan kini sedang menanti ialah Ali Abdullah Salleh (Yaman) dan Bashar al-Assad. Ingatlah, semakin "membangun bersama Islam" semakin meningkat kes HIV/AIDS di Kelantan. Itupun Tok Guru nak nafikan, gejala maksiat dan jenayah bahkan zina dalam kalangan rakyatnya dengan wanita negara jiran, kerana UMNO membuang perkataan Islam, walhal PAS sebenarnya tahu bercakap mengenai Islam, tetapi tidak melaksanakan Islam dengan betul dan berkesan. PAS sentiasa menggunakan politik untuk kepentingan mengekalkan kuasa, sama seperti ayam serama sentiasa mengangkat ekornya untuk menunjukkan kesombongan dan kehebatannya, sedangkan di situlah najis bertaburan di merata-rata. Monosin Sobri |
You are subscribed to email updates from di galas kelantan - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan