03 di demit kelantan - Google Blog Search |
CINTA ITU MENGASYIKKAN 1: JENAYAH NI MULA2 KECIL TAPI <b>...</b> Posted: 20 Sep 2012 09:38 AM PDT Pencuri komputer Tengku Amalin dijelKOTA BHARU – Tindakan berani seorang pengawal istana mencuri komputer riba milik puteri raja Kelantan, Tengku Amalin A'ishah Putri di ruang tamu Istana Mahkota Kubang Kerian di sini bulan lalu mengundang padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam. Tengku Amalin, 29, merupakan adinda kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mahadi Mahamad, 35, setelah lelaki itu mengaku bersalah mencuri komputer riba jenama Apple Macbook bernilai RM7,500. "Mahkamah melihat bukan sahaja kepada barang yang kamu curi tetapi keberanian kamu menceroboh kawasan larangan untuk mencuri barang tersebut. Kamu sepatutnya menerima hukuman yang berat," kata Mohd. Fazaly Ali. Mohd. Fazaly Ali mengarahkan Mahadi menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 15 September lalu. Mahadi dari Jalan Telipot di sini didakwa mencuri komputer riba berwarna putih itu dan satu alat pengecas milik Tengku Amalin yang berada dalam jagaan sepupunya, Tengku Noremilina Tengku Iskandar, 27, di istana tersebut. Kejadian itu berlaku antara pukul 12 tengah hari 29 Ogos lalu hingga pukul 2 pagi 30 Ogos lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan. Menurut fakta kes, pada 13 September lalu, Tengku Noremilina membuat laporan polis selepas mendapati komputer riba milik Tengku Amalin yang diamanahkan kepadanya untuk dijaga dan diletakkan di bilik ruang tamu istana hilang. Pada pukul 6 petang 15 September lalu, polis menangkap empat suspek termasuk tertuduh yang kemudian mengaku mencuri barangan tersebut. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Tengku Amalin pernah menjawat jawatan majistret di Mahkamah Majistret Kota Bharu antara tahun 2006 hingga 2009. Bagaimanapun, beliau melepaskan jawatan itu kerana melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Universiti Melbourne, Australia dalam jurusan undang-undang. Doktor pakar disamunKOTA BHARU – Seorang doktor pakar mengalami detik cemas apabila bukan sahaja kenderaan pelbagai guna jenis Nissan Grand Livina miliknya lesap malah, dia cedera di beberapa anggota badan akibat disamun di Kampung Demit di sini kelmarin. Kejadian pukul 7 pagi itu berlaku ketika Dr. Ida Zarina Zaini, 38, yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) berada dalam kenderaan tersebut di depan rumah sementara menunggu tiga anaknya masuk untuk dihantar ke sekolah. Mengimbau semula kejadian itu, Ida Zarina memberitahu, tanpa disangka, seorang lelaki berwajah bengis tiba-tiba membuka pintu pemandu menyebabkan dia tersentak dan menjerit. "Saya kemudian tergesa-gesa ke kerusi penumpang depan sebelum suspek terus mengundurkan kenderaan dengan laju. Tanpa berfikir panjang, saya terus membuka pintu dan terjun sebelum tercampak menyebabkan saya cedera di kepala, lengan dan kaki. "Suspek kemudian terus memecut kereta," ceritanya ketika ditemui di HUSM di sini semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, pihaknya telah mengambil langkah awal dengan melakukan Ops Tutup sebaik menerima maklumat mengenai kejadian tersebut. "Kita sedang mengesan penjenayah berusia lingkungan 30-an tersebut berdasarkan beberapa maklumat yang kita peroleh daripada saksi kejadian. "Suspek dipercayai datang dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira hitam bersama seorang rakan sejenayahnya," katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Ekoran kejadian itu, mangsa dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM80,000 dan tiada barangan berharga lain berada di dalam kenderaan tersebut. 'Tugas terakhir saya untuk Hui Yee'BATU PAHAT - Koordinator Transplan Institut Jantung Negara (IJN), Syarifah Noraida Syed Dom melaksanakan tugas terakhirnya menjaga penerima organ jantung, Tee Hui Yee dengan melawat jenazah mendiang di Bangunan Persatuan Koon Yew di Jalan Fatimah di sini semalam. Berita kematian Hui Yee, 19, meninggalkan kesan mendalam kepada Sharifah Noraida kerana beliau adalah antara staf terawal IJN yang diberi tanggungjawab menjaga mendiang sewaktu dirawat di institut itu. "Saya sudah menjaga mendiang Hui Yee sejak tahun 2006. Pemergiannya amat menyedihkan kami di IJN. Ini adalah tugas terakhir saya untuk dia," katanya ketika ditemui semalam. Syarifah Noraida berkata, buat masa ini, terdapat kira-kira lapan pesakit yang masih menunggu untuk melakukan pemindahan jantung di IJN. Hui Yee meninggal dunia secara mengejut di rumah keluarganya di Kampung Parit Besar di sini pukul 10.02 pagi kelmarin. Kesengsaraan hidup mendiang yang sebelum ini menggunakan jantung mekanikal selama setahun disangka berakhir apabila Hui Yee berjaya menempuh pembedahan pemindahan organ jantung milik seorang penderma yang telah meninggal dunia, Chin Yoon Kiong pada tahun 2007. Dalam pada itu, Mong Soon Peng yang juga ibu Yoon Kiong berkata, mereka sekeluarga bersedih sebab jantung anak mereka itu hanya dapat memberikan kehidupan normal selama lima tahun sahaja kepada Hui Yee. "Memang saya sangat sedih sebab jantung itu anak saya punya, tak sangka dapat bertahan lima tahun sahaja," katanya ketika ditemui sewaktu menziarah mendiang Hui Yee bersama suaminya, Chin Pak Siong. Pak Siong turut memohon agar pihak berkuasa dapat menerangkan dengan jelas punca kematian Hui Yee. Mereka terkejut kerana gadis itu sebelum ini sihat, malah mendiang juga baru sahaja menjalani rawatan susulan rutin di IJN. "Walaupun kami jarang bertemu, saya dan Hui Yee sering menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) untuk bertanya khabar. "Kali terakhir dia (Hui Yee) menghantar SMS ialah pada bulan lalu dengan memberitahu dia dalam keadaan sihat," katanya. Jenazah mendiang akan dibakar di Pagoh hari ini. Rogol, samun gadis terdesakKUALA LUMPUR – Seorang lelaki bertindak licik apabila menjadikan sebuah bilik hotel bajet di Taman Segar, Cheras di sini kononnya sebagai tempat temu duga namun sebaliknya merogol dan menyamun seorang gadis yang merupakan siswazah sebuah kolej swasta Khamis lalu. Mangsa berusia 22 tahun tersebut dikatakan terpedaya dengan helah suspek selepas terpengaruh dengan tawaran gaji lumayan sebagai jurujual yang dikatakan mampu memperoleh pendapatan RM400 sehari selepas melayari sebuah laman web. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, mangsa diarahkan datang ke bilik hotel bernombor 207 oleh suspek bergelar Faye, 30-an, selepas berhubung melalui e-mel. Suspek mengaku sebagai orang yang akan menemu duga mangsa. Katanya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian pergi ke bilik itu pada pukul 7.03 petang bersendirian dengan membawa dokumen berkaitan. "Sebaik sahaja mangsa masuk ke bilik itu, suspek terus menarik tangannya dan merogol mangsa. Bukan itu sahaja, suspek turut menyamun telefon bimbit dan jam tangan mangsa. "Identiti suspek masih belum diperolehi kerana dia tidak mendaftar di situ. Ogos lalu, terdapat kes serupa berlaku ke atas wanita berusia 23 tahun melibatkan modus operandi dan suspek yang sama," katanya pada sidang akhbar di sini. Bagaimanapun tambahnya, wanita itu mendapat maklumat daripada laman web berlainan dan pekerjaan sebagai jurujual ditawarkan dengan gaji RM200 sehari. Sehubungan itu, Khairi semalam mengedarkan fotofit suspek tersebut berdasarkan maklumat yang diberi oleh dua mangsa bagi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya tampil kepada polis. "Graduan, terutamanya gadis yang terdesak untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat belajar, dinasihatkan supaya berhati-hati dengan tawaran yang tidak masuk akal bagi mengelakkan kejadian sama berulang," katanya. Banduan tendang muka polisKUANTAN - "Banduan yang saya bawa tiba-tiba menendang muka saya dua kali menyebabkan saya gagal mengawal kereta sebelum kenderaan tersebut terbabas melanggar lori di tepi jalan. "Dalam keadaan separuh sedar, saya nampak dua rakan saya bergelut dengan banduan itu." Demikian cerita Konstabel Filyx Lansaver a/l Jinol, 25, yang patah paha kanan selepas kereta polis dipandunya merempuh belakang sebuah lori di bahu jalan di Jalan Kuantan-By Pass dekat sini pada pukul 11.45 pagi kelmarin. Selepas kemalangan itu, Filyx memberitahu, dia pengsan dan tidak mengetahui apa yang berlaku ke atas rakannya, Koperal Abd. Rashid Ahmad, 51, (penumpang hadapan) serta Koperal Zulhairi Ramli, 24, serta seorang banduan yang dibawanya. Filyx yang bujang dan berasal dari Sarawak memberitahu, dia tidak menyangka banduan itu sanggup bertindak agresif kerana mahu melarikan diri dan ini merupakan pengalaman pertama dia ditendang penjenayah sejak berkhidmat dalam polis tiga tahun lalu. "Tendangan pertama mengenai pipi dan diikuti tendangan penuh ke muka saya sebaik saya menoleh ke belakang untuk melihat banduan terbabit," kata anggota polis itu ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di sini semalam. Sementara itu, Norliyati Abdul Rahman, 43, isteri kepada Abd. Rashid berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan suaminya terlibat dengan kemalangan. "Bila saya sampai ke hospital saya bersyukur kerana suami hanya cedera di muka, tangan dan pinggul sahaja," kata wanita itu. Zulhairi pula cedera di leher dan masih dirawat di HTAA. Filyx, Abd. Rashid dan Zulhairi merupakan tiga anggota polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Berang, Terengganu, Semasa kejadian, ketiga-tiga anggota polis berkenaan dalam perjalanan membawa banduan yang baru dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas kesalahan mengikut Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1953 dari IPD Kuala Berang, menuju ke Penjara Penor. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, banduan itu, Roslan Ismail, 32, sudah ditangkap semula pada pukul 11 malam hari yang sama di Taman Dato Rashid. "Banduan itu ditangkap di kawasan perumahan untuk meminta air dan makanan selain merayu supaya gari di tangannya dibuka oleh penduduk di situ," kata beliau ketika melawat tiga anggota polis yang dirawat di HTAA. Menurut beliau, banduan terbabit sudah dihantar ke Penjara Penor petang semalam atas kesalahan dadah manakala dakwaan menyerang anggota polis akan dilakukan dalam tempoh terdekat mengikut Seksyen 224/333 Kanun Keseksaan. Islam bolehkan pemindahan rahim wanitaIPOH - Pemindahan rahim seorang wanita kepada wanita lain menerusi pendermaan organ dibolehkan dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, walaupun ketiadaan organ peranakan itu tidak menjejaskan nyawa seseorang, hukum menderma rahim adalah harus. "Bagaimanapun, dengan syarat rahim tersebut adalah daripada wanita yang sudah meninggal dunia dan penerima organ pula merupakan wanita mandul. "Pemindahan rahim juga bertujuan untuk mendapat zuriat sesuai dengan perintah Allah di dalam al-Quran," katanya sewaktu menjawab soalan seorang peserta pada Forum Pendermaan Organ di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam. Selain Harussani, turut menjadi panel pada program anjuran Unit Pendermaan Organ HRPB ialah Ketua Pengurus Perolehan Transplan Kebangsaan, Datin Dr. Fadzilah Zowiyah Lela Yasmin Mansor dan Pengurus Klinikal Transplan Kebangsan, Dr. Mohamed Anis Abd. Wahab. Pembedahan pemindahan rahim pertama berjaya dilakukan Dr. Omer Ozkan di Hospital Universiti Akdeniz di Antalya, Turki pada 9 Ogos tahun lalu melibatkan seorang isteri muda, Derya Sert, 22, yang dilahirkan tanpa organ peranakan. Dalam perkembangan sama, Harussani memberitahu, tiga syarat lain menderma organ dalam Islam adalah penderma mesti disahkan telah meninggal dunia, mendapat kebenaran keluarga penderma dan tidak melibatkan urusan jual beli. Beliau berkata, kebenaran ahli keluarga amat penting kerana dari segi syarak, mereka berhak terhadap jenazah bakal penderma biarpun individu terbabit telah menandatangani akujanji pemindahan organ semasa hayatnya. Fadzilah Zowiyah pula memberitahu, berdasarkan pengalamannya, kes halangan daripada ahli keluarga dalam isu pendermaan organ berlaku kerana mereka tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu sewaktu hayat bakal penderma. "Jarang ahli keluarga membantah sekiranya mengetahui lebih awal hasrat si mati untuk menderma organ. "Oleh itu, saya sarankan individu yang berhasrat untuk terlibat dalam program tersebut agar menghebahkannya terutama kepada ahli keluarga terdekat," katanya. Majalah Perancis siar karikatur hina nabiPARIS - Sebuah majalah Perancis menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad semalam sekali gus memburukkan lagi ketegangan global berhubung filem Innocence of Muslims yang memperlekehkan agama Islam. Perkembangan tersebut menyebabkan Perancis meningkatkan kawalan keselamatan di semua kedutaan negara itu. Karikatur biadap itu disiarkan majalah mingguan tempatan, Charlie Hebdo, beberapa hari selepas bantahan ganas tercetus dari Benua Asia hingga ke Afrika kerana memprotes filem Innocence of Muslims. Setakat ini, lokasi pemerintah Amerika Syarikat (AS) terutama kedutaan negara kuasa besar itu menjadi sasaran penunjuk perasaan. Keganasan berkaitan filem amatur tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh di tujuh buah negara termasuk Duta AS yang maut di Libya. AS turut menutup sementara konsulatnya di Jakarta ekoran demonstrasi serupa, manakala beratus-ratus penunjuk perasaan membakar patung Presiden Barack Obama di ibu negara Sri Lanka, Colombo. Kementerian Luar Perancis mengeluarkan amaran perjalanan semalam dengan menggesa rakyatnya yang berada di dunia Islam supaya berwaspada dan mengelakkan perhimpunan awam dan mengunjungi "bangunan sensitif" seperti bangunan keagamaan dan kedutaan Barat. Mengulas berhubung tindakan majalah Charlie Hebdo, Perdana Menteri Jean-Marc Ayrault berkata, kebebasan bersuara adalah terjamin di Perancis tetapi menegaskan kebebasan tersebut perlu disertakan dengan rasa tanggungjawab dan hormat kepada bangsa dan agama lain. Menteri Luar, Laurent Fabius pula mengeluarkan komen lebih keras apabila menyifatkan tindakan Charlie Hebdo menyiarkan karikatur tersebut umpama mencurahkan minyak ke dalam api. Dalam perkembangan berkaitan, pasukan polis pencegah rusuhan berkawal di luar beberapa pejabat majalah berkenaan. Tahun lalu, pejabat majalah itu dibaling dengan bom api selepas ia menerbitkan edisi memperlekehkan gerakan radikal Islam. Ketua Editor Charlie Hebdo yang dikenali sebagai Charb diletakkan di bawah perlindungan polis selama setahun selepas insiden tersebut. Ditanya berhubung kontroversi terbaharu majalah berkenaan, Charb mempertahankan keputusan untuk menyiarkan karikatur biadap tersebut. "Nabi Muhammad bukan suci buat saya," katanya dalam satu temu bual di sebuah pejabat majalah berkenaan di sini. "Saya tidak menyalahkan orang Islam kerana tidak tertawa melihat kartun kami. Saya hidup di bawah undang-undang Perancis dan bukan undang-undang al-Quran," tambahnya. Menurut ketua editor berkenaan, dia tidak menyesal dan tidak berasa bertanggungjawab berhubung sebarang keganasan yang bakal tercetus ekoran penerbitan tersebut. "Saya bukan orang yang keluar ke jalan-jalan raya sambil membawa batu dan raifal automatik Kalashnikov," ujarnya. - AP Korea Selatan haramkan novel lucah PerancisSEOUL - Korea Selatan mengharamkan penjualan sebuah novel lucah hasil nukilan penulis dan bangsawan Perancis abad ke-18, Marquis de Sade (gambar) kerana mengandungi kelucahan keterlaluan, kata seorang pegawai semalam. Pegawai Kanan Suruhanjaya Etika Penerbitan Korea, Jang Tag-Hwan berkata, pihaknya meminta penerbit novel The 120 Days of Sodom menarik balik bahan bacaan itu daripada pasaran. Beliau juga mengarahkan semua salinan novel tersebut dimusnahkan. Novel itu mengisahkan tentang pesta seks liar oleh empat individu kaki perempuan kaya yang merogol, menyiksa dan membunuh kebanyakan mangsa remaja. Bahan bacaan tersebut mula dijual di sini bulan lalu. "Sebahagian besar kandungan novel itu amat lucah dan kejam. Ia melibatkan penderaan seksual, sumbang mahram, perbuatan kebinatangan dan tarikan seksual terhadap mayat. "Paparan secara meluas tentang aksi seksual melibatkan individu bawah umur membuktikan ia sebahagian daripada penerbitan berbahaya," kata Tag-Hwan. Tambah Tag-Hwan, ini merupakan tindakan pertama pihaknya mengharamkan sebuah novel yang tidak termasuk dalam bahan bacaan kartun sejak tahun 2008. Bagaimanapun, pihak penerbit berikrar untuk merayu dan merancang membawa kes itu ke mahkamah jika rayuan ditolak. "Novel ini bukan mempromosikan bahan lucah dan keganasan. Ia mempersenda dan mengkritik sisi gelap sifat manusia di sebalik perbuatan seperti itu," kata Editor Kanan Dongsuh Press, Lee Yoong. Jelasnya, novel berkenaan boleh didapati secara meluas di kebanyakan negara termasuklah Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jepun. "Banyak novel lucah boleh didapati di mana-mana sahaja. Saya tidak faham kenapa novel ini yang sesuai untuk penyelidikan akademik oleh pakar psikiatri atau pakar sastera harus menerima layanan berbeza," kata Yoong. Novel The 120 Days of Sodom berada di pasaran ketika pengharamannya masih dalam peringkat rayuan. - AFP Pembedahan pertama pemindahan rahim ibu kepada anak di duniaSTOCKHOLM - Sepasukan doktor di Sweden berjaya melakukan pembedahan pemindahan rahim daripada ibu kepada anak perempuan yang pertama di dunia, kata satu pasukan perubatan kelmarin. Universiti Gothenburg menyatakan, dua wanita tempatan berusia dalam lingkungan 30-an menerima rahim daripada ibu mereka dalam pembedahan di Hospital Sahlgrenska, barat Sweden pada hujung minggu lalu. Identiti mereka tidak didedahkan. "Lebih sepuluh orang doktor bedah yang berlatih bersama untuk prosedur tersebut selama beberapa tahun mengambil bahagian dalam pembedahan sukar ini," kata ketua pasukan pakar bedah berkenaan, Mats Brannstrom. Beliau merupakan seorang profesor Obstetrik dan Ginekologi di Universiti Gothenburg. Menurutnya, rahim seorang wanita itu telah dibuang bertahun-tahun lalu akibat kanser servik. Sementara wanita kedua pula dilahirkan tanpa rahim. " Kedua-dua pesakit yang menerima rahim baharu berada dalam keadaan baik tetapi penat selepas menjalani pembedahan. Ibu mereka sudah boleh berjalan dan akan dibenarkan keluar dari hospital beberapa hari lagi," jelas Brannstrom. Pihak universiti berkenaan memberitahu, dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 wanita di Sweden tidak dapat mengandung kerana ketiadaan rahim. Pasukan perubatan tersebut memberitahu, kualiti rahim dikawal oleh ovari dan hormon di dalam badan manusia. Berdasarkan teori tersebut, mereka menjelaskan, rahim wanita yang sudah mengalami menopaus boleh menampung kehamilan. Seorang penerima rahim tersebut yang dikenali sebagai Anna berkata, dia memilih untuk menjalani pembedahan tersebut bagi memulihkan semula fungsi badannya seperti wanita lain. "Satu perasaan hebat kerana dapat merasai pengalaman ini (mempunyai rahim)," katanya dalam komen yang disiarkan di laman web Hospital Sahlgrenska. Menurutnya, tiada jaminan dia dan teman lelakinya akan dapat menimang cahaya mata selepas prosedur tersebut. "Namun, kami ada peluang yang baik. Jika saya hamil, ia adalah bonus buat kami," katanya. - Reuters Jerman larang penggunaan Internet ExplorerFRANKFURT - Pihak berkuasa Jerman kelmarin menggesa orang ramai supaya berhenti melayari internet menggunakan pelayar web Internet Explorer milik Microsoft Corp.Gesaan itu dibuat berikutan penemuan satu lagi virus dalam pelayar web tersebut yang menyebabkan komputer peribadi terdedah kepada serangan penggodam. Masalah yang menjejaskan beratus-ratus juta pengguna Internet Explorer di seluruh dunia itu dikatakan timbul pada pada hujung minggu lalu. Menurut Microsoft, penggodam boleh mengeksploitasi virus untuk menggodam komputer seseorang yang melayari satu laman web yang mengandungi virus, sebelum mengambil alih komputer mangsanya. Pejabat Persekutuan Keselamatan Maklumat Jerman (BSI) menyatakan bahawa pihaknya sedar mengenai sasaran serangan tersebut. "Virus yang tersebar dengan pantas itu amat membimbangkan," kata pihak berkuasa Jerman dalam satu kenyataan. BSI menasihati semua pengguna Internet Explorer supaya menggunakan pelayar web alternatif sehingga Microsoft Corp. mengeluarkan satu perkembangan mengenai keselamatannya. - Reuters Parlimen Australia tolak perkahwinan sejenisSYDNEY - Parlimen Australia semalam mengundi sebulat suara menolak perkahwinan gay, selepas beberapa hari berlangsungnya perdebatan hangat yang menyaksikan seorang senator meletak jawatan selepas mengaitkan kesatuan seks sejenis dengan sifat kebinatangan.Dewan Rakyat membatalkan rang undang-undang bagi menghalalkan perkahwinan pasangan sejenis apabila memperoleh 98 undi menentang dan 42 undi menyokong. Perdana Menteri, Julia Gillard dan pemimpin pembangkang konservatif, Tony Abbott kedua-duanya mengundi untuk menentang rang undang-undang terbabit. Gillard telah membenarkan kesemua ahli Parlimen Parti Buruh mengundi mengikut suara hati terhadap isu itu dan bukan berdasarkan kepada polisi parti. Anggota utama Parlimen Parti Buruh, Anthony Albanese yang mengundi untuk pembaharuan berkata, walaupun rang undang-undang itu gagal, namun angka undian menggalakkan. "Angka itu menunjukkan bahawa terdapat sokongan majoriti masyarakat mengenai isu ini. Saya fikir pada masa akan datang, Parlimen akan seiring dengan pendapat komuniti," kata Albanese. - AFP |
You are subscribed to email updates from di demit kelantan - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan