Ahad, 30 September 2012

03 di gua musang - Google Blog Search

03 di gua musang - Google Blog Search


Sejarah Hitam <b>Gua Musang</b> | Detik Perubahan

Posted: 02 Sep 2012 10:59 PM PDT

GUA MUSANG – Sebelum negara mencatat sejarah kemerdekaan 31 Ogos 1957, pelbagai rintangan dan cabaran getir dihadapi rakyat ketika itu kerana berdepan dengan keganasan komunis hingga ada yang mati dibunuh dengan kejam.

Kebanyakan mereka juga tidak boleh tinggal setempat dan kerap berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari perlindungan dengan berjalan kaki dalam hutan berikutan tidak tahan dengan serangan komunis.

Sejarah hitam serangan komunis juga pernah berlaku di Gua Musang pada 4 Januari 1943, apabila ramai orang Melayu ketika itu mati dibunuh dan hanya seorang pengawal, Allahyarham Nik Jaafar Nik Soh yang berjaya melepaskan diri dari kepungan komunis.

Beliau lari seorang diri untuk meminta perlindungan di Balai Polis Bertam kerana kebanyakan rumah penduduk termasuk kuarters kereta api dan balai polis di Gua Musang dibakar komunis yang mengganas dan merosakkan semua harta benda penduduk.

Berpandukan perjalanan hidup ditulis penggawa terbabit, yang masih disimpan seorang anaknya, adik perempuannya sendiri yang sarat mengandung lapan bulan adalah antara 26 orang Melayu yang dibunuh dalam serangan komunis itu.

Kubur arwah Nik Mah Nik Soh yang mati dibunuh dengan kejam oleh komunis, masih menjadi kenangan sejarah kerana kini berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh di bandar ini dan mungkin ramai yang tidak tahu mengenainya.

Hanya jenazah arwah seorang yang sempat ditanam di kawasan masjid tersebut dalam keadaan darurat berikutan kumpulan komunis terus menyerang kawasan Gua Musang yang mana kebanyakan penduduk sudah lari untuk berlindung di Kampung Batu Papan.

Allahyarham Nik Mah yang tidak sempat melarikan diri kerana sarat mengandung, hanya melindung diri dalam longkang besar jalan menghala ke masjid sebelum sekumpulan komunis ternampak lalu menembak hingga mati.

Pembunuhan kejam itu menyebabkan jenazahnya tidak boleh dibawa keluar dari kawasan Gua Musang untuk dikebumikan kerana sentiasa dikawal komunis dan jenazahnya pada ketika itu sempat ditanam di tepi tangga belakang masjid tersebut.

Oleh kerana masjid itu diubah suai dan dibesarkan, berikutan jemaah bertambah ramai menyebabkan kubur Allahyarham Nik Mah berada di tengah-tengah masjid hadapan mimbar hingga timbul tanya tanda kebanyakan jemaah yang datang dari luar daerah ini.

Walaupun Gua Musang telah lama wujud, tetapi bilangan penduduk Orang Melayu tidak ramai dan tumpuan utama komunis berkampung di Kampung Pulai yang selalu memeras ugut orang Melayu termasuk makanan.

Pendapatan utama penduduk ketika itu, hanya mengharapkan kepada hasil tanaman dan kerap meminta bantuan kerajaan menerusi pejabat daerah yang terletak di Kuala Krai.

Selain itu, berlaku juga pertempuran hendap antara askar 3RAMD dengan komunis di Sungai Semor dekat Kampung Pulai tahun 1948 yang meragut 16 nyawa anggota tentera dan mencederakan seorang pegawai berpangkat Leftenan Muda.

Seramai 29 orang Pasukan Komunis Malaya (PKM) turut maut sebelum keadaan di Sungai Semor kembali reda dan kini kawasan tersebut menjadi tempat kenangan serta kajian sejarah peperangan zaman darurat dahulu.

Bekas Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Gua Musang, Abu Bakar Jusoh berkata, Gua Musang penuh dengan sejarah hitam berikutan berlaku peperangan menentang komunis yang harus bagi generasi baru menghargai perjuangan orang zaman dahulu.

Beliau berkata, mereka harus mengetahui sejarah asal wujudnya Gua Musang supaya tidak mudah menerima hasutan yang boleh berlaku kejadian tidak ingini dan menggadai maruah negara yang sekian lama dalam suasana aman.

"Saya sebagai bekas tentera, tidak pernah lupa peristiwa pahit menentang komunis walaupun ketika zaman itu bertugas di merata tempat sebelum menetap di Gua Musang," katanya.

Mat Zain Hassan, 62, pula berkata, walaupun pejuang kemerdekaan negara menentang komunis semakin ramai dimamah usia dan meninggal dunia, tetapi kenangan pahit harus dipahatkan dalam jiwa generasi sekarang.

Katanya, semangat patriotik menyemarakkan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang perlu disemai di kalangan mereka kerana dengan cara itu dapat mengenang kesusahan walaupun mereka lahir selepas merdeka.

"Sekurang-kurangnya kita dapat mengingati kembali kesusahan tentera pada ketika itu yang menentang komunis dan ramai penduduk yang tidak berdosa menjadi mangsa pembunuhan kejam," katanya. – Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads