Rabu, 21 November 2012

03 di kelaboran - Google Blog Search

03 di kelaboran - Google Blog Search


MOHD ZAIN MAHMOOD: Isu hancur UMNO

Posted: 20 Nov 2012 06:15 AM PST

Reaksi dari media arus perdana sama ada media cetak atau letronik serta berbagai pihak berhubung bacaan doa di Majlis Himpunan Rakyat di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat 16/11/2012, amat menarik untuk renungan, demi mencari sebuah realiti berasaskan jaminan hak kebebasan bersuara. Sungguhpun, bahagian besar dari pandangan dan ulasan adalah lebih bersifat berpihak, sama ada komentar negatif atau positif.
Dari petikan media cetak, ianya tidaklah memberi gambaran yang jelas, kerana bahasa tulisan tidaklah seberkesan bahasa lisan. Media eletronik di negara kita belum sampai ke tahap menyiarkan secara langsung atau lintas langsung, majlis yang dihadiri puluhan ribu orang, demi memberi keadilan sebaran am, supaya semua penonton atau khalayak boleh membuat ulasan atau keluarkan pandangan secara adil, dan tidak berpihak. Sama ada majlis anjuran rasmi atau tidak, asalkan dapat menghimpunkan khalayak yang ramai, perlu bagi khalayak masyarakat mendapat maklumat segera, memerlukan lintas langsung atau secara langsung, bukan  kutipan cebisan yang diedit., sesuai keperluan kedewasaan negara kita bebas dari belenggu penjajahan, melebihi separuh abad.  Mentaliti Dunia Ketiga masih tebal dalam benak pemikiran politik pihak berkuasa, menyebabkan khalayak masyarakat gagal dapat maklumat yang tepat, telus dan terus terang. Budaya pergantungan kepada sumber yang pro-pemerintah, merencatkan erti kemerdekaan.

Berasaskan sumber cetakan, butiran doa tersebut tidak menyebut manusia atau individu tertentu, cuma ditujukan kepada organisasi. Ianya melontarkan harapan semoga organisasi lawan politiknya ditumpaskan. Secara langsung menumpaskan organisasi lawan membawa kepada maksud menghilangkan keupayaan organisasi lawan untuk berlawan di masa akan datang: melumpuh berakhir dengan menguburkan. Doa itu secara lateralnya, memohon pertolongan Allah, agar organisasi musuh dapat ditumpaskan dengan izinNya.

Melumpuhkan organisasi musuh tidaklah bermakna mendatangkan azab, sengsara dan musibah kepada manusia atau individu tertentu dalam organisasi itu. Maksudnya, lumpuhnya organisasi, individu atau kelompok yang mendokonginya akan mencari alternatif atau organisasi lain untuk meneruskan cita-cita dan idealisme politik masing-masing. Ruang terbuka, organisasi saja yang akan berubah bentuk, yang mungkin lebih baik dari organisasi asal.

Terkuburnya UMNO, dalam tahun 1988, tidaklah mendatangkan mudarat dari segi fizikal kepada anggotanya, tetapi ada sedikit kesan dari sudut roh dan semangat juang. Hancurnya UMNO, membolehkan beberapa pihak di kalangan bekas ahli untuk menubuhkan organ baru untuk menggantikannya. Satu kumpulan berusaha menubuhkan sebuah parti baru, UMNO 46. Satu lagi usaha dilakukan untuk menubuhkan UMNO Malaysia. Kedua-duanya gagal, kerana konon namanya menyerupai nama parti asal, yang diharamkan oleh mahkamah. 

Akhirnya, yang berjaya ditubuhkan ialah sebuah parti baru, UMNO (Baru). Penguburan UMNO diganti dengan UMNO (Baru) ada positifnya. Sesuatu yang baru untuk mengganti yang lama, lazimnya lebih baik dari yang asal. Menyesuaikan diri dengan realiti nasional, UMNO (Baru) memperluaskan ahlinya kepada bukan Melayu dan bukan Islam. Membolehkan secara legalnya kaum peribumi seperti Orang Asli, Thai dan kaum Bumiputera di Sabah (Islam dan non-Muslim) menjadi ahli yang sah. Ini menyebarluaskan keanggotaan parti kepada segmen yang lebih luas seluruh negara, berbanding UMNO yang dikuburkan, terhap keahliannya kepada orang Melayu sahaja.

Penguburan UMNO mempertingkatkan keahlian, kerana tidak lagi terbatas kepada komuniti Melayu di Semenanjung sahaja. Ini menjadikan UMNO (Baru) sebuah parti nasional bukan parti regional dan bersifat kedaerahan, sesuai dengan kedudukannya mengepalai kerajaan Persekutuan. 

Parti Semangat 46, yang ditubuhkan pada 5 Mei 1989, oleh bekas ahli UMNO, yang disekat untuk menyertai UMNO (Baru), kemudiannya ditukar nama kepada Parti Melayu Semangat 46 , pada 10 Februari 1994, untuk menjadi alternatif kepada orang Melayu menyaingi UMNO (Baru). Dalam Pilihan Raya Umum ke 9 (PRU 1990) Parti Semangat 46 yang diketuai oleh bekas Naib Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, mengadakan kerjasama pilihan raya bersama Pas, Berjasa dan Hamim di kawasan luar bandar Semenanjung, di bawah Angkatan Perpaduan Ummah, dan kerjasama di bawah Gagasan Malaysia dengan DAP, PSRM, IPF dan PBS di kawasan bandar serta Sabah. Rata-ratanya kepimpinan Semangat 46, adalah bekas Team B semasa pertandingan pemilihan UMNO tahun 1987.

Semangat 46 membarisi 3 bekas menteri Persekutuan termasuk Tengku Razaleigh, Dato' Abdul Manan Othman dan Dato' Rais Yatim, bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Harun Idris, bekas timbalan menteri Persekutuan: Datin Rahmah Othman, Dato' Zakaria Abd Rahman, Dato' Zainal Abidin Zain, Idris Abdul Rauf dan Haji Suhaimi Kamaruddin. Ini disertai beberapa wakil rakyat Parlimen dan ADUN seperti Ibrahim Ali (Pasir Mas), Wan Omar Wan Majid(Pasir Puteh), Baharom Bakar(Padang Terap), Dato' Zainal Abidin Johari(Jerai), Hashim Endut(Ulu Muda), Ibrahim Azmi Hassan(Kuala Nerus), Dato' Saidin Mat Piah(Tasik Chenderoh), Dato' Sanad Said(ADUN Kapar), Hj Maon Omar (ADUN Kota Tinggi) dan Dato' Abdul Rahman Mahmud (ADUN Jorak). 

Cuma 8 orang sahaja menang di kerusi Parlimen, iaitu semua calon di Kelantan dan satu kerusi di Kuala Terengganu menerusi Dato' Manan. Di peringkat Dun, semua 12 calon Semangat 46 menang di Kelantan, dan 5 kerusi Dun di negeri lain: Terengganu 2, dan masing-masing satu kerusi dalam Dun Johor, Selangor dan Pahang.

Dalam PRU10 (PRU 1995), bilangan kerusi yang dimenangi semakin kurang, walaupun sebahagian tokoh-tokoh di atas bertanding semula. Dalam bulan Mei 1996, Semangat 46 dibubarkan, dengan kata lain menguburkan sendiri parti. Penguburan Semangat 46, tidaklah mengazabkan, ancaman fizikal dan merosakkan reputasi penyokong. Anggota di peringkat kepimpinan, bahagian besarnya menyertai UMNO (Baru), sementara di peringkat bawahan berpecah dua: masuk UMNO (Baru) dan Pas.

2 ADUN Kelantan dari Semangat 46, Nordin Yaakub (Kelaboran) dan Hussien Ahmad (Tendong) menyertai Pas. Kedua-keduanya pernah menjawat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu. Dalam PRU11 (PRU 1999), Nordin Yaakub diberi penghormatan oleh Pas untuk pertahankan kerusinya di Kelaboran. Seorang lagi pemimpin Semangat 46, Hussien Awang dipilih bertanding sebagai calon Pas di Semerak. Kedua-duanya berjaya memenangi kerusi masing-masing.

Tengku Razaleigh yang masuk UMNO (Baru) dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dan mengekalkan kerusi Parlimen Gua Musang hingga hari ini. Rais Yatim bekas Timbalan Presiden, yang kalah sebagai calon Semangat 46 dalam PRU 1990 dan PRU 1995, masuk UMNO (Baru) walaupun pernah berjanji dalam tahun 1990, beliau sudah membakar jambatan, dipilih bertanding di Jelebu bermula PRU 1999, dan kekal dalam kabinet hingga hari ini. Radzi Tan Sri Sheikh Ahmad diberi peluang bertanding di Kangar, kemudiannya jadi menteri. Zainal Abidin Zain, diberi peluang jadi calon UMNO (Baru) di Bagan Serai, dan menang dalam PRU 2004.

Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, yang kalah sebagai calon Semangat 46 di Temerloh dalam PRU 1995, bertanding sebagai calon UMNO (Baru) di Jerantut, dalam PRU 2004, dan pernah dilantik timbalan menteri. Ahmad Shabery Cheek, calon Semangat 46 di Kemaman (1990) dan Kuala Lipis (1995), bekas Ketua Penerangan Semangat 46 ini, kini seorang menteri, setelah memenangi kerusi Kemaman dalam PRU 2004 dan PRU 2008.

Nikmat dari penguburan Semangat 46 dapat dikecapi oleh beberapa contoh individu di atas. Itu cuma sekadar beberapa contoh yang menunjukkan apalah masalahnya bila sesebuah organisasi itu dihancurkan atau sengaja dikuburkan. Ada hikmatnya. Semuanya adalah ketentuan dan rezeki yang telah ditetapkan dan dianugerahkan oleh Yang Maha Berkuasa.

Parti Hizbul Muslimin (Hamim), sebuah parti yang ditubuhkan oleh Dato' Asri Haji Muda, bekas Yang Dipertua Agung Pas, bersama rakan-rakannya yang keluar Pas dalam tahun 1983, pernah cuba dikuburkan oleh kepimpinan sendiri dalam tahun 1988. Cubaan ini gagal dalam muktamar tahunannya kerana tidak cukup kurom pembubaran. Kumpulan Dato' Asri bersama pasukannya; Wan Ismail Hj Ibrahim, Zahari Awang, Dato' Ishak Lotpi, Wan Sulaiman Hj Ibrahim, Mohd Zain Abdullah, Hassan Mohamad, keluar parti dan masuk UMNO (Baru).

Kumpulan pimpinan Dato' Sudin Wahab (bekas ADUN Kedah) dan Dato' Nik Man Nik Mohamad (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan), meneruskan perjuangan parti. Hamim menyertai Angkatan Perpaduan Ummah dalam PRU 1990, membolehkan Timbalan Presidennya, Dato' Nik Man memenangi kerusi Dun Geting (sekarang Pengkalan Kubor).

Penguburan UMNO dalam tahun 1988, telah membuka ruang pemimpin-peminpin baru, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh yang menyertai Semangat 46. Begitu juga, hancurnya Semangat 46 bikinan sendiri, membolehkan beberapa tokoh memegang jawatan penting dalam kerajaan. Justeru itu, kehancuran dan terkuburnya sesebuah organ politik, lebih menampakkan keuntungan, bukan setakat merit individu tetapi demi kehendak dan realiti politik semasa, yang berbentuk dinamik, sentiasa berubah ikut iklim sosio-politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads