03 di pasir mas - Google Blog Search |
Hijrah <b>Di Pasir Mas</b>, Kelantan 1/2 | Tinta Insyirah Posted: 02 Nov 2012 11:01 AM PDT Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang Salam kebahagiaan buat sahabat yang sudi membaca blog ini. Alhamdulillah pada 28 Oktober 2012 hingga 1 November 2012 saya berkesempatan ke Pasir Mas, Kelantan bercuti di rumah keluarga sahabat berniqab di samping menghantar sahabat berniqab menyambung pelajaran di sekolah pondok di sana. Kami berempat bertolak dengan kereta daripada Gombak pada pukul 5.30 petang oleh sebab mereka menunggu saya pulang daripada program pada hari itu. Allahu akbar, rasa bersalah hanya kerana saya, mereka melambatkan perjalanan. Semoga Allah merahmati mereka aamiin. Sedekah Menjemput Perlindungan Allah Sepanjang perjalanan kami, kelihatan jalan ke arah Kuala Lumpur sarat dengan pelbagai jenis kenderaan sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas. Saya teringat perkongsian oleh Tuan Latif Hilmi di group Magnet Duit (Psikilogi Duit);
Dalam perjalanan kami, pelbagai kejadian yang saya temui. Antaranya kemalangan, dan kereta rosak di tepi jalan. Impaknya, kesesakan lalulintas yang teruk di belakang tempat kejadian kemalangan dan kereta rosak itu. Walaupun ikut logik, sememangnya arah ke Kuala Lumpur akan mengalami kesesakan lalulintas sebab ramai orang pulang ke rumah sendiri untuk mulakan kerja, tetapi saya pasti, tidak mustahil jalan yang saya lalui mengalami perkara yang sama. Saya yakin sedekah juga menjadi insurans terbaik yang menjemput jaminan perlindungan daripada Allah meskipun Allah Maha Pelindung. Kerana insurans kereta adalah jaminan daripada manusia tetapi sedekah adalah jaminan daripada Yang Maha Berkuasa. Alhamdulillah perjalanan kami lancar sepanjang perjalanan cuma ada sementara sahaja Allah letakkan kami dalam kesesakan lalulintas. Antara yang saya amalkan adalah berkomunikasi dengan Allah. Berdialog secara ringkas dengan Allah. Saya niat dalam hati, "ya Allah aku mohon, laluan VIP, perjalanan kami lancar dan selamat ke destinasi" Sekitar pukul 10 malam, alhamdulillah kami sampai di R&R Gua Musang, ramai orang sedang berehat di situ. Kami berehat sebentar untuk makan malam di samping memberi ruang untuk pemandu utama berehat. Saya mencari tempat duduk di bahagian tepi bagi menjaga privacy sahabat berniqab saya untuk makan. Sememangnya apabila saya mula bersahabat dengan muslimah berniqab, saya mula belajar untuk memahami keperluan mereka dalam rutin seharian di samping saya ingin belajar cara makan apabila sudah berniqab suatu hari nanti insyaAllah. — Alhamdulillah sekitar pukul 1.30 pagi, kami sudah berada di Pasir Mas dan mula mencari lorong tempat tinggal sahabat. Oleh sebab gelap, kami sukar mencari lorong tempat tinggalnya. Puas kami keliling bandar dan melihat petanda yang dapat membantu kami namun begitu, masih tidak jumpa. Alhamdulillah masih ada orang berjaga di kala awal pagi itu. Kami dapat bertanya orang tempatan di situ di sebuah kedai makan, setelah puas bertanya beberapa orang alhamdulillah kami jumpa lorong tempat tinggal sahabat. Hati rasa sangat gembira apabila nampak wajah salah seorang daripada sahabat berniqab saya. Saya mengenali mereka bertiga sekaligus yang merupakan adik beradik. Mereka terkejut dengan kehadiran saya dan turut gembira saya ada bersama yang sebelumnya saya dianggarkan tidak dapat menyertai lawatan itu. Rasa bagaikan mereka lebih cantik daripada perjumpaan sebelum ini, subhanallah. Terlerai rindu pada mereka yang dipendam selama berminggu-minggu. Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Hari Pertama, 29 Oktober 2012 Pada 29 Oktober 2012, di awal pagi, saya mengambil masa untuk mengenali ahli keluarga muslimat sahabat saya. Dapat berkenalan dengan Mak (mak sahabat saya), terus panggil Mak dan rasa lebih mesra dengan panggilan itu. Saya juga mula mengenali adik beradik perempuan yang lain. Yang saya belum kenal ketika itu, hanya 3 orang. Terharu mereka buatkan kek coklat untuk kami, makanan yang sangat saya gemari tambahan lagi sangat sedap rasanya. Topping coklat yang melimpah di sekeliling kek. Subhanallah sedapnya. Hari itu kami luangkan masa dengan melawat pondok di sekitar Pasir Mas. Kami sempat berkunjung ke dua buah pondok iaitu Pondok Lubok Tupah dan Pondok Gelang Emas. Melalui pertolongan kenalan Mak, kami dapat melawat pondok itu walaupun ketika itu pondok sedang cuti Hari Raya Aidiladha. Mak juga turut bersama kami melawat pondok itu. Semasa melawat pondok itu, saya mengambil peluang untuk mengenali sahabat berniqab saya dengan lebih rapat, sangat senang hati saya dapat meluangkan masa dengan mereka. Masih segar di ingatan saya, bergelak ketawa dengan mereka ketika melawat pondok itu. Suatu kenangan yang sangat menggembirakan dan mula rindu pada kenangan itu. Hari Kedua 30 Oktober 2012 Pagi itu Mak buat laksa. Subhanallah, makanan kegemaran saya! Ada kuah Pulau Pinang dan Kelantan. Kedua-duanya sedap, tiada beza tambahan lagi sesuatu yang disukai saya. Makan sahaja, asalkan halal dan kenyang alhamdulillah. Alhamdulillah ketika itu saya sudah mula mengenali adik beradik perempuan sahabat saya. Yang saya kagum, semua ahli keluarga muslimat memakai niqab. Keluarga mereka sangat mementingkan syariat. Semua anak-anak, belajar sekolah pondok, anak perempuan mula pakai niqab setelah berumur 10 tahun. Hari itu saya ambil masa tengok kambing di belakang rumah bersama sahabat yang datang bersama daripada Kuala Lumpur. Keluarga yang mengamalkan sunnah Rasulullah yang mengembala kambing. Ada hampir 10 ekor kambing. Teringat kata-kata sahabat;
Selain itu, ruang tamu muslimat dan muslimin juga turut diasingkan. Ada tempat khas seperti surau kecil untuk solat jemaah bagi seisi keluarga. Keluarganya mempunyai 12 orang jumlah ksemuanya dengan 10 adik beradik. Rumahnya tiada tv yang merupakan perkara yang saya kagum oleh sebab tv adalah perkara asas dalam sebuah keluarga. Di situlah tersirat rahsia refleksi hafiz dan hafizah dalam keluarga itu. Mereka sangat menjaga input (perkara yang diterima) kerana ia akan memberi impak pada output (perkara yang diluahkan). Tidak hairan mereka mampu menjadi penghafal Al Quran oleh sebab kurangnya hiburan dalam kelaurga mereka. Hanya ada 2 orang lelaki yang tinggal dalam rumah itu iaitu Ayah (ayah sahabat saya), dan salah seorang adik beradik lelaki, bang Min yang jarang ada di rumah. Mereka banyak menghabiskan masa di luar. Ayah sibuk di kebun dan bang Min di pondok. Keluarga mereka sangat menjaga pergaulan. Kami tidak pernah berkongsi meja makan untuk makan bersama Ayah dan bang Min. Kami akan berganti masa untuk makan di meja makan. Hanya ada ayah dan abang Min serta Mak atau hanya kami dan Mak. Bilik anak perempuan terletak sebelum dapur dan ada langsir yang menjadi rujukan sama ada lelaki ada di rumah atau tiada. Jika langsir itu dijatuhkan bermaksud, ada lelaki di bahagian luar langsir, dan jika langsir diikat tepi bermaksud ada kemungkin lelaki ada dan tiada, sebaiknya muslimat yang bukan ahli keluarga perlu menutup aurat dengan sempurna. Hari itu kami luangkan masa ke KB Mall di samping turut melawat Muzium Diraja Kelantan di Kota Bharu. Sekadar meluangkan masa untuk melihat suasana di sana di samping ingin membeli tiket saya pulang ke Seremban. Puas kami mencari tiket bas untuk saya pulang pada 31 Oktober 2012 di Pasir Mas dan Kota Bharu namun begitu, rancangan Allah menentukan saya pulang pada 1 November 2012. Sebelum itu kami meluangkan masa melawat ke suatu tempat di Kota Bharu yang mempunyai restoran feri terapung di tepi sungai yang besar (kurang pasti apa nama tempat itu). Kami sempat mengambil brochure tentang pakej mengadakan program makan-makan di situ. InsyaAllah ada rezeki tempah satu tempat itu untuk sambut majlis bersama-sama. Tambahan lagi, tempat itu diuruskan oleh orang Melayu walau pemiliknya orang Cina. InsyaAllah bersambung di bahagian Hijrah Di Pasir Mas, Kelantan 2/2 Related posts: |
Hijrah <b>Di Pasir Mas</b>, Kelantan 2/2 | Tinta Insyirah Posted: 03 Nov 2012 07:45 AM PDT Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang Salam kebahagiaan buat sahabat yang sudi membaca blog ini. Alhamdulillah pada 28 Oktober 2012 hingga 1 November 2012 saya berkesempatan ke Pasir Mas, Kelantan bercuti di rumah keluarga sahabat berniqab di samping menghantar sahabat berniqab menyambung pelajaran di sekolah pondok di sana. Post ini adalah sambungan daripada Hijrah Di Pasir Mas, Kelantan 1/2. Hari Ketiga, 31 Oktober 2012 Oleh sebab baru selesai Hari Raya Aidiladha, sepanjang minggu itu, Mak masak masakan berdaging. Sup daging, dan daging masak kicap. Saya suka masakan sahabat ubi kentang ala-ala wedges dihias dengan kubis, dan tomato dicicah sos, mayonis dan sos berlada hitam. Memang sedap, alhamdulillah. Mak juga hidangkan kami dengan susu kambing, oh saya suka susu kambing! Keluarga mereka juga turut membekalkan susu kambing secara kecil-kecilan ke pekan. Sedikit sebanyak membantu ekonomi keluarga. Saya suka hidup keluarga mereka yang bersederhana, paling saya suka tanpa berhutang. Kadang-kala saya terfikir, bagaimana mereka boleh merancang kewangan keluarga begitu baik sehingga mampu bela hampir 10 ekor kambing, ada tanah sebagai aset yang ditanam dengan tanaman-tanaman sayur tanpa perlu membeli sayur di pasar serta dapat membina rumah yang direka sendiri tanpa perlu membuat pinjaman, subhanallah. Such inspiring Muslim family. Pada hari itu, kami berenam pergi ke Rantau Panjang untuk melihat apa perkara yang menarik di sana. Kami mula bertolak sekitar pukul 11.30 pagi. Bagi melaksanakan solat Zuhur, sahabat berniqab saya yang tinggal di Kelantan itu menyarankan kami ke Masjid Beijing. Sejujurnya sudah lama saya tidak ke Rantau Panjang. Seingat saya, keluarga saya pergi ke sana sewaktu saya masih kecil. Alhamdulillah sekitar 2.30 petang kami sampai ke sana. Ketika itu alhamdulillah hujan hanya renyai dan permudah kami untuk bersiar-siar ke sana. Kebanyakkan barang di situ sesuai untuk suri rumah kerana banyak barang-barang dapur seperti periuk, bantal, toto, bantal bertilam versi Thailand pun ada juga dijual di situ. Makanan yang menarik Apa yang menarik bagi saya di situ adalah Ice Cream Baba. Aiskrim itu dijual dalam cup bersaiz sederhana dengan campuran pulut, ceri, kacang dan bahan-bahan lain. Rasanya sedap dan merupakan aiskrim yang sangat jarang didapati di tempat lain. Harganya hanya RM2. Tempatnya di tengah-tengah lorong antara kedai. Selain itu makanan menarik di situ adalah makanan seperti yong taufu (hotdog, sotong gulung) yang dibakar secara langsung di situ. Pelanggan hanya perlu pilih makanan bercucukkan batang satay dan boleh lihat sendiri bagaimana penjual bakar makanan itu di atas tempat bakar BBQ. Rasanya tidak kurang sedapnya. Keropok lekor bercucuk juga tidak terkecuali dijual di situ tetapi tidak dibakar. Setelah itu makanan itu dimasukkan dalam plastik dan disertakan sos yang agak manis. Kami turut membeli air cendol untuk menghilangkan dahaga. Petang itu juga alhamdulillah kami dapat merasa pulut ayam. Kalau pulut biasa berwarna kuning tetapi pulut ayam ini berwarna putih beserta ayam goreng biasa dan sos. Sangat sedap. Pertama kali saya mencubanya. Petang itu, Mak ajak kami melawat ke rumah kenalan Mak yang baru melahirkan anak dalam masa terdekat. Sekitar pukul 3.45 petang, kami bertolak ke Tumpat. Mak pergi dengan keluarga abang sahabat berniqab saya dengan adik beradik perempuan yang lain, kami bertemu di suatu kawasan di Tumpat dan bergerak bersama ke rumah kenalan Mak itu. Setelah melawat kenalan Mak, kami berpeluang pergi ke pasar malam di Tumpat yang ada menjual Nasi Komok. Makanan yang pertama kali saya rasa dan sedap rasanya. Alhamdulillah. Kemudian kami meluangkan masa ke rumah abang sahabat berniqab saya berdekatan dengan rumah Mak untuk makan bersama. Setelah selesai solat Maghrib, kami makan bersama. Mak makan awal bersama abangnya oleh sebab selepas itu abangnya akan pergi solat di luar bagi menghormati muslimat yang ramai di situ oleh sebab keluarga mereka sangat menjaga pergaulan. Memerhati amalan keluarga sahabat berniqab Jadi saya makan bersama sahabat lain. Sempat saya mengerling Mak yang sudah solat Maghrib. Kelihatan Mak membaca sebuah kitab kecil. Saya pasti itu adalah antara amalan yang Mak amalkan. Ingin bertanya tetapi masih belum ada kesempatan kerana dahulu saya pernah berniat, saya ingin melihat amalan muslimah berniqab. Alhamdulillah apabila bersama mereka, saya dapat melihat sedikit sebanyak amalan mereka. Yang saya ingat selepas solat Maghrib, mereka akan ulang bacaan Al Quran oleh sebab mereka adalah hafizah yang sedang dan sudah menghafal Al Quran. Mereka tidak baca kuat tetapi boleh dapat didengar pada bisikan ayat Al Quran yang saya dapat dengar. Ada juga amalan yang mereka baca di kala selepas Maghrib cuma masih belum berkesempatan untuk tanya. Begitu juga sebelum tidur, mereka turut membaca surah mungkin Surah Al Mulk oleh sebab mereka sudah menghafal jadi tidak perlu buka Al Quran. Beramah mesra dengan adik bongsunya Selesai makan kami mengemas untuk pulang ke rumah Mak, tinggal isteri abang sahabat berniqab saya bersama anaknya. Ketika itu, saya dihampiri oleh adik perempuan bongsu sahabat berniqab saya. Agak kelakar apabila dia kata, dia ingin berkawan dengan saya. Kami menemu duga antara satu sama lain. Ada juga saya bertanya kenapa dia suka dan ingin berkawan dengan saya, katanya sebab saya menarik. Allahu akbar, segala puji bagi Allah. Entah mana menariknya. Dia baru sahaja berumur 13 tahun tetapi sudah memakai niqab dan mula menghafal beberapa juzuk Al Quran. Subhanallah. Rasa kerdil diri jika dibandingkan dengan dia. Di kala itu saya mengambil masa untuk berkenalan dengan adik bongsunya. Suka saya melihat wajahnya. Subhanallah comel. Rasa rugi kami tidak meluangkan masa bersama bagi hari sebelumnya. Setelah pulang, saya merehatkan diri sebentar. Adik bongsu sahabat saya mencari saya untuk berborak. Setelah membersihkan diri, saya mengajaknya berbual di ruang tamu namun apa yang dirancang, lain yang jadi. Ada Mak di ruang tamu, Ayah sudah berada di bilik atas. Jadi saya dan adik bongsu duduk di ruang tamu. Hajat hati nak berbual dengan adik bongsu sahabat berniqab saya tetapi saya terbual pula dengan Mak sehinggakan adik bongsu mengantuk menuggu saya berbual dengan Mak. Kesian dia. Saya juga turut hampa sebab tidak dapat meluangkan masa dengan adik bongsunya. Tips hidup tanpa hutang dan mendidik anak-anak oleh Mak Kesempatan dan waktu terakhir pada malam itu sebelum saya bertolak pada esok paginya, saya ambil peluang untuk tanya Mak tips-tips hidup dalam keadaan tidak berhutang dan cara mendidik anak-anak. Antara yang Mak kongsi, simpan duit, pelbagaikan sumber pendapatan. Mak berkongsi Ayah turut terlibat dengan projek tender untuk masjid bagi saham Akhirat. Ayah hanya ambil tender berkaitan masjid kerana ingin menjana pahala untuk saham Akhirat. Mak juga turut berkongsi agar kumpul duit beli kambing secara sedikit demi sedikit di samping ada tanah agar kita tidak bergantungan pada satu sumber pendapatan sahaja. Bagi tips mendidik anak-anak, kata Mak, apabila kita perbaiki diri, kita juga secara langsung akan mudah mendidik anak-anak. Mak juga menekankan apabila kita hidup bersyariat, ikut dan amalkan amalan yang telah ditetapkan oleh Islam seperti asingkan tempat tidur lelaki dan perempuan, belajar agama, insyaAllah mudah mendidik anak-anak. Hanya ikut apa yang Islam tetapkan. Nasihat sebagai seorang ibu Pada malam itu juga, Mak berbual dengan saya sebagai seorang ibu. Mak nasihatkan saya agar kurangkan pakai seluar oleh sebab saya bukanlah muslimah feminin yang suka pakai jubah dan seluar sebenarnya menampakkan susuk kaki. Mendengar nasihat Mak buat saya tersentap dan menyedari bahawa masih banyak perlu diperbaiki tambahan lagi saya dalam proses tekad untuk berniqab. Jadi perkara seperti itu sangat perlu saya ambil serius. Saya bersyukur ditegur Mak, yang sangat mudah saya hadam kerana Mak nasihat dalam nada yang lembut dan menyenangkan hati saya. Hari Keempat, Terakhir 1 November 2012 Seawal 6.30 pagi saya sudah bersiap untuk menaiki bas pada pukul 9 pagi. Berat rasa hati hanya Allah yang tahu walau tak terefleksi melalui pancaran wajah. Mak, sahabat berniqab saya, adik bongsunya, susu kambing, kambing, dan segala kenangan pasti akan terpahat di hati dan minda buat selamanya. Paling akan saya rindu, perbualan saya dengan Mak. Sungguh hati ini impikan Mak sepertinya, keluarga seperti itu, rumah seperti itu yang sangat menekankan syariat dalam segenap kehidupan. Saya sangat berharap generasi yang akan lahir daripada keluarga saya suatu hari nanti hidup dalam kehidupan sebuah keluarga Islam. Walau nampak ketinggalan zaman tetapi biarlah hidup dalam keadaan aman, damai dan bahagia tanpa hutang, ada kediaman yang menenangkan. Kata Mak, Membela kambing yang mendidik diri menjadi orang yang sabar, pendapatan yang sentiasa memberikan untung bersih yang sentiasa meningkat daripada pelbagai jenis sumber pendapatan/perniagaan, anak perempuan dan lelaki yang belajar di pondok menjadi hafiz dan hafizah. Kediaman yang mengasingkan kawasan perempuan dan lelaki yang akan membuatkan keluarga sahabat berniqab saya selesa untuk datang ke rumah saya. Terima kasih Allah atas nikmat yang tak ternilai ini, saya sangat menghargai dan gembira berpeluang ke rumah mereka. Sebelum ini saya pernah berniat datang ke rumah sahabat yang juga kakak yang sangat saya sayang. Ingin sekali berkenalan rapat dengan keluarganya namun Allah sebenarnya menetapkan sesuatu yang lebih baik, saya dapat mengenali dan merasai hidup dalam keluarga yang sangat menekankan syariat Islam dalam segenap kehidupan. Subhanallah. Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah. InsyaAllah pada masa akan datang saya akan kembali sebagai Insyirah yang lebih bahagia, kaya dan berjaya serta yang paling menggembirakan saya sudah berniqab. Aamiin. Kalau dulu agak kerap memikirkan jodoh tetapi kini visi saya berubah kepada perbaiki diri, perbetulkan penutupan aurat yang mengikut syariat. Perbanyak pakai jubah yang gelap berbanding seluar. Setelah itu mula berniqab secara sedikit demi sedikit. Di samping itu saya ingin mengusahakan bisnes saya menjadi RM300/bulan, RM3000/bulan sehingga RM30 000/bulan agar dapat berzakat dan membantu sekolah-sekolah pondok yang perlukan penaja. Itulah visi saya sebelum saya graduate agar apabila saya graduate ketika itu saya sudah menjadi usahawan wanita yang lebih bahagia, kaya dan berjaya dengan izin Allah. Aamiin. Related posts: |
You are subscribed to email updates from di pasir mas - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan