03 di gaal kelantan - Google Blog Search |
Bakat Baru Orang Kurang Upaya | Detik Perubahan Posted: 19 Feb 2013 12:47 AM PST PASIR MAS – Sebaik melangkah masuk ke dewan terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Hamid 2 di sini, keletah yang ditunjukkan oleh orang kurang upaya (OKU) ketika membuat persembahan ternyata menghiburkan penonton yang hadir menyaksikan pertandingan Bakat Istimewa Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Piala Perdana Menteri 2013 peringkat negeri baru-baru ini. Meskipun OKU, namun bakat yang dimiliki oleh mereka cukup istimewa, malah setanding dengan manusia norma yang lain ketika membuat persembahan di atas pentas. Situasi tersebut bukan sahaja mengundang rasa kagum dalam kalangan pengadil pertandingan, tetapi hadirin turut terpegun dengan bakat yang dimiliki oleh insan istimewa berkenaan. Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Md. Noor Chik berkata, program yang diinspirasikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor itu bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan OKU di PDK. Menurutnya, melalui program ini juga pihaknya dapat memupuk kesedaran orang ramai bahawa golongan OKU mempunyai hak sama rata untuk terlibat dalam kesenian dan kebudayaan. "Pertandingan ini merupakan medium terbaik untuk menunjukkan bakat yang apa pada diri mereka. Secara tidak langsung mampu memberikan gambaran positif kepada masyarakat bahawa OKU boleh berjaya sekiranya diberikan peluang. "Pertandingan ini juga secara tidak langsung mampu memberikan keyakinan kepada mereka untuk berhadapan dengan orang ramai," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam pertandingan Bakat Istimewa Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Piala Perdana Menteri 2013 peringkat negeri, di sini baru-baru ini. Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengerusi Persatuan Penawar Kelantan, Datin Tuan Aminah Tuan Yusof yang menyampaikan hadiah kepada pemenang. Md. Noor memberitahu, pertandingan itu juga merupakan salah satu bentuk terapi yang digunakan pihaknya bagi merawat golongan berkenaan menerusi muzik. "Muzik merupakan salah satu elemen yang digunakan sebagai terapi untuk golongan OKU. Seni ini boleh memberi mereka semangat dalam melakukan sesuatu pekerjaan. "Antara kategori yang dipertandingkan ialah nyanyian solo, duet, tarian berkumpulan, kraf tangan dan produk jualan," katanya. Tambahnya, semua peserta yang muncul juara akan mewakili negeri ke pertandingan peringkat kebangsaan yang bakal berlangsung pada Mac ini di Putrajaya. Pada pertandingan tersebut, pasangan adik-beradik OKU, Mohd. Faizal Abdullah, 22, dan adiknya, Siti Nabila Abdullah, 19, dari Kampung Saring, Pasir Puteh dinobatkan selaku johan bagi pertandingan duet, manakala Mohd. Rozi Abdul Rahman merangkul kategori solo. Selain itu, kumpulan Tunas Warisan Pasir Puteh muncul juara kategori tarian berkumpulan. Sementara itu, Mohd. Faizal ketika ditemui berkata, pertandingan itu memberikan peluang kepadanya untuk mempamerkan bakat terpendam yang dimilikinya. "Selain itu, ini memberi keyakinan kepada saya untuk terus berjaya dalam setiap bidang yang diceburi walaupun keadaan fizikal membataskan pergerakan diri ini," katanya. Mengulas kejayaannya, Mohd. Faizal berkata, dia sama sekali tidak menyangka dinobatkan sebagai juara memandangkan saingan dalam kalangan peserta cukup sengit. Menurutnya, dia dan adiknya hanya sempat menjalani latihan lima hari di bawah kendalian guru yang bertugas di PDK Gaal, Jeram, Pasir Puteh. "Kejayaan ini bukan milik kami berdua semata-mata, kami tujukan kemenangan ini kepada keluarga dan guru yang banyak membantu memberikan tunjuk ajar. "Kemenangan ini menguatkan lagi semangat saya dan adik untuk terus berusaha dengan lebih kuat. Saya akui pertandingan peringkat kebangsaan pasti sengit, persiapan untuk menghadapinya perlu dilakukan sebaik mungkin. "Saya akan memberikan yang terbaik dalam pertandingan tersebut bagi mengharumkan nama negeri dan PDK di peringkat kebangsaan nanti," katanya. – UTUSAN |
You are subscribed to email updates from di gaal kelantan - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan