Selasa, 9 April 2013

03 di bachok - Google Blog Search

03 di bachok - Google Blog Search


HIKMAH IV <b>di</b> Kandis, <b>Bachok</b> - Pembukaan yang mendebarkan

Posted: 19 Mar 2013 08:53 AM PDT

Bismillahirrohmanirrohim. Pada artikel Akademi Nik Rashiddin sedia untuk menyambut tetamu HIKMAH IV hari Sabtu yang dibuat 4 hari lalu telah ditunjukkan sedikit sebanyak persiapan yang dibuat untuk acara keempat HIKMAH. Selepas menjayakan acara di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok hari Sabtu esoknya saya membawa keluarga singgah di Masjid Brunei, Danau Tok Uban dan Cameron Highlands. lewat malam semalam baru kembali ke rumah. Sekarang, setelah terasa sedikit lapang dan cukup rehat biar dimulakan penceritaan tentang acara...
Pagi Sabtu 16 Mac, selepas bersiap di homestay berdekatan saya, keluarga dan seorang kawan (kira adik sebenarnya) pun pergi ke ANR untuk HIKMAH IV.
Kami sampai sebelum 8.30. Menurut jadual, pendaftaran peserta harus berjalan dari 8-9.

Tengok-tengok tak da orang pun datang kecuali kami dan beberapa orang.
Berapa lama kemudian barulah kelihatan peserta mula meramaikan majlis.

Ketika gambar ini diambil sudah hampir jam 10. Masih banyak tempat kosong sedangkan mengikut jadual, pada jam 9-9.45 harus sudah ada dua persembahan silat dan satu persembahan teater nasyid. Pada jam 9.45 pula patut ada selawat pembukaan yang menandakan acara secara rasminya akan bermula. Sebaliknya kumpulan pelajar sekolah di bawah Persatuan Silat Gayung Kelantan yang katanya berminat untuk membuat persembahan tak muncul lagi, begitu juga kumpulan Silat Minangkabau negeri ini yang katanya akan membuat persembahan berdasarkan tarian Randai. Melihat realiti keadaan hati saya berdebar-debar. Saya cuma boleh berharap terdapat cukup peserta untuk memeriahkan. 
Memikirkan bahawa HIKMAH adalah kumpulan sukarela yang tidak memiliki dana, tidak dapat membayar apa-apa kepada sesiapa, tidak dapat menanggung kos minyak kereta pembentang, pembuat persembahan dan sebagainya saya sedia akur jika orang tidak dapat muncul. Walaupun HIKMAH telah menjayakan tiga acara yang agak besar iaitu di Shah Alam 4 November 2012 diikuti Melaka 25 November dan Lumut 27 Januari 2013 kami sentiasa sedar siapalah kami mahu mengharapkan agar orang datang menyokong kami sentiasa? Jangankan orang yang baru berurusan, kawan-kawan yang sudah setia bersama HIKMAH selama ini termasuk yang  sudah hadir ke ketiga-tiga acara HIKMAH sebelumnya pun ramai tak dapat muncul kali ini. Dalam hati berdebar-debar melihat kekurangan saya harus akur dengan keadaan.
Ada beberapa sebab ramai yang biasa dengan kami tidak dapat muncul. Satu sebabnya adalah pada petang hari Sabtu itu akan bermula majlis hol Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Masjid Besi, Putrajaya yang biasanya dihadiri beribu hingga berpuluh ribu orang. Saya sendiri akan memilih untuk ke situ kalau tahu lebih awal kerana pernah pergi ke edisi-edisi sebelumnya. Saya memang suka suasananya dengan majlis dipimpin ramai ulamak-ulamak besar Ahlul Bait dari seluruh dunia, jauh sungguh bezanya dengan majlis kami yang tak seberapa. Tapi apa boleh buat? Setelah sudah diatur segalanya untuk mengadakan HIKMAH IV di ANR 16 Mac baru saya dapat tahu tentang majlis hol tersebut. Kemudian esoknya hari Ahad, satu seminar anjuran seorang kawan mahu diadakan di Shah Alam. Tentu lebih mudah bagi kawan-kawan lain di Lembah Klang menghadiri majlis tersebut berbanding berpenat-lelah berkejar ke Kelantan mengeluarkan belanja sendiri untuk minyak kenderaan, makan minum dan penginapan.
Satu lagi keadaan yang menghalang pernyertaan adalah para pelajar sekolah di seluruh Kelantan harus bersekolah hari itu untuk menggantikan cuti yang diberikan semasa perayaan hari raya Cina. Maka anak muda yang masih bersekolah tidak dapat datang, begitu juga mereka yang bertugas sebagai guru malah ibu bapa yang harus mengambil dan menghantar anak ke sekolah juga jadi terhalang. Selain itu muncul sejumlah cabaran dan dugaan yang seolah menjadi lumrah bagi HIKMAH. Sahabat kami Din Mahidin, seorang guru silat yang biasa menyertai pertandingan antarabangsa bercadang mahu membawa sejumlah pemanah untuk membuat demonstrasi memanah dari atas kuda tetapi beliau dikhabarkan kematian ibu mertua pagi Jumaat. Apabila Din tidak dapat pergi begitu juga halnya kawan-kawan yang biasa datang sekali dengannya. Tun Farul yang pernah membentang kertas kerja tentang busana tradisional pada HIKMAH II dan membaca sajak pada HIKMAH III pula kemalangan motosikal seminggu sebelum acara. Selepas 5 hari di hospital baru beliau keluar, itupun kata beliau tetap akan datang ke Kelantan. Kemudian tengah hari Jumaat beliau memberitahu tangannya kembali bengkak lalu tidak dapat bergerak jauh. Saya cakap rehat sahaja di Lembah Klang.
Petang Jumaat saya mendapat satu lagi perkhabaran yang mendukacitakan. Sahabat lama saya Amirul Haji Mohamad yang telah membuat pembentangan tentang dinar dan dirham pada ketiga-tiga acara HIKMAH sebelum ini harus menarik diri. Menurut beliau segala persiapan telah dibuat malah Amirul telah mula memandu ke Kelantan tetapi harus berpatah balik apabila mendapat perkhabaran kurang enak. Malamnya baru saya dapat tahu beliau kematian seorang ahli keluarga. Namun Amirul memberi jaminan seorang kawannya akan datang dari Pulau Pinang mengambil tempat.
Sungguh, setiap acara HIKMAH ada sahaja cabarannya. Beberapa hari sebelum HIKMAH I diadakan di Shah Alam pensyarah dari UiTM yang mahu menjadi MC tiba-tiba diserang penyakit angin ahmar hingga lumpuh sebelah badan. Ketika itu HIKMAH I telah beberapa kali bertukar lokasi, sehingga penggunaan dewan yang dijamin mahu diberikan sebuah universiti terkemuka tempatan boleh dibatalkan 5 hari sebelum acara. Selepas itu sahabat baik kami dari golongan seni, pelakon veteran Maimon Muttallib terseliuh ketika turun tangga meninggalkan acara lalu mendapati badannya terasa lain macam, mata terkedip-kedip tanpa dapat dikawal. Setelah itu Kak Mon didapati menghidap penyakit barah peringkat ketiga lalu tidak dapat menyertai HIKMAH II di Melaka. Tetapi beliau masih sempat mengatur penajaan makanan untuk semua.
Beberapa hari sebelum HIKMAH III di Lumut berlangsung kuda kesayangan seorang penternak di Teluk Inta mati diracun lalu beliau tidak jadi membawa kuda-kuda yang masih hidup ke majlis. Pakaian khas yang mahu ditempah untuk saya pula tak menjadi kerana tukang jahit tiba-tiba diserang demam dan jarum asyik patah. Selepas acara timbul bermacam fitnah yang melaga-lagakan kawan-kawan. Seolah ada semacam kuasa ghaib mahu menghalang kami dari terus menjayakan acara.
Seperti pada acara-acara sebelum ini, HIKMAH IV juga menghadapi masalah menyiapkan sistem audio-visual pada masa yang ditetapkan. Walaupun pada malamnya saya dan seorang dua kawan tidur lewat untuk memastikan kelancaran bila sampai masanya ada sahaja perkara tak kena. Sistem harus disimpan di tempat selamat selepas diuji pada malamnya, pagi nanti mahu dipasang balik. Tengok-tengok kawan kami yang menyediakan alatan, kawan dari Kota Bahru harus berpatah balik setelah sampai ke Bachok akibat tertinggal tikar yang mahu digunakan. Saya setakat dapat menghidupkan projektor agar sekurang-kurangnya dapat dipancarkan sesuatu, nak pasang sistem bunyi saya tak berapa reti.

Ketika gambar ini diambil jam 10.23 kami sudah cukup peserta. Tetapi bagaimana mahu memulakan acara tanpa sistem bunyi?
Nasib baik ada satu kumpulan sanggup membuat inisiatif memulakan sesuatu dengan peralatan sendiri.

Dengan adanya mereka sekurang-kurangnya terisilah masa buat peserta yang ada.

Mereka adalah Persatuan Teater Ruhul Islam (PETRI) dari Kota Bahru di Kelantan. Diketuai saudara Zareer atau lebih dikenali sebagai Zareer Masterchef kerana pernah menyertai program Masterchef di rangkaian televisyen Astro ia menampilkan persembahan tarian simbolik perjuangan berlatarbelakangkan lagu nasyid oleh sejumlah pelajar sekolah maahad.

Terus terang cakap ketika mereka memulakan persembahan saya masih tak tahu lagi bagaimana hendak membuka acara lantaran dua lagi kumpulan yang katanya mahu membuat persembahan masih tak muncul-muncul.

Sudah disebut tadi, kalau ikutkan sesi persembahan harus bermula jam 9 sedangkan kedatangan orang ramai mula kelihatan nyata mengisi ruang selepas jam 10.

Kumpulan PETRI ini sendiri sampai sekitar 9.40 pagi kalau tak salah ingatan. Ketika saya masih terpinga-pinga bagaimana mahu memulakan acara mereka memulakannya sendiri sekitar 10.20.
Mereka malah membawa sistem audio sendiri dan memasangnya di kala saya sedang sibuk mengatur perkara di kawasan lantai bawah rumah yang akan dijadikan tempat pembentangan kertas kerja. Tengok tu... siap ada asap. Siap bawa alat pembuat kabus untuk melengkapkan cerita...


Pujian harus diberikan kepada kumpulan ini yang menawarkan perkhidmatan tanpa bayaran sejak 3 minggu sebelum acara bermula kalau tak salah ingatan. Selepas itu saya cuma ada berkata setuju dengan tawaran mereka untuk mengadakan persembahan, tidak ada follow-up. Tetapi mereka tetap muncul memegang janji.

Oh. Pujian juga harus diberikan kepada dua orang anak muda yang membawa gendang sendiri untuk membuat persembahan selawat di bawah rumah lebih awal lagi iaitu sekitar jam 9. Persembahan mereka tiada dalam jadual atur cara. Nampaknya mereka Allah hantar untuk menunjukkan HIKMAH IV tetap akan berjaya. Ini kerana apabila mendapati seperti tidak ada orang mahu datang awal pagi saya bukan sahaja berdebar-debar malah risau, apakah kali ini acara kami akan dipinggirkan? Maklumlah kami bukan siapa-siapa. Kalau di HIKMAH I kami boleh mengharapkan kehadiran kawan-kawan dari Lembah Klang kerana ia tempat kami, kalau di HIKMAH II di Melaka kami ada kumpulan lain sebagai penganjur bersama. Pada HIKMAH III pula kami mendapat penajaan besar oleh pihak sana yang memiliki dana. Tapi untuk HIKMAH IV kami kembali kepada penganjuran kecil yang agak dhaif, antaranya supaya kami sentiasa ingat asal-usul kami yang kecil-kecilan dan agar tidak ditohmah menjadi alat mana-mana parti politik atau kumpulan berduit.
Kalau diikutkan pada kemajuan HIKMAH bergerak sejak ia diasaskan 12 Oktober 2012 kami sudah ada kemampuan untuk mendapatkan penajaan dan dana besar. Tapi kami tidak mahu terikat dengan syarat-syarat yang biasanya muncul apabila menerima pertolongan sebegitu. Pada saya cukuplah pihak ANR dan pengarah serta pemilik premis, Puan Rosnawati sudi menyediakan ruang yang amat cantik diikuti pertolongan sukarelawan tenaga empat kerat dan sedikit sumbangan wang dari sahabat-sahabat yang menyokong HIKMAH terutama Kelab Pencinta Sejarah Kelantan. Antara nama utama yang memberikan pertolongan dari Kelantan harus disebut adalah saudara Che Helmi atau nama Facebooknya PD Naim juga saudara Nuri dan Ustaz Halim Bashah.
Berbalik pada dua anak muda yang membawa gendang untuk berselawat. Sayang, saya terlupa mengambil gambar. Mereka datang dari Perlis dan dari cara berpakaian mereka saya percaya mereka adalah ahli kumpulan Tariqat Naqsyabandiah-Haqqani pimpinan Sheikh Nazim dari Cyprus, kumpulan yang khalifahnya Sheikh Raja Asman Shah ibni Sultan Azlan Shah telah kembali ke rahmatullah tahun lepas. Ketika menulis ayat tadi isteri saya ada di sebelah lalu memberitahu persembahan gendang dan selawat itu ada direkodkan dalam video, insyaallah akan dikongsikan nanti. Untuk artikel ini cukuplah diberitahu bahawa kemudian akan datang lagi satu kumpulan membuat persembahan tanpa saya duga, tentunya tidak ada dalam atur cara.
Sesungguhnya bukan senang untuk membuat satu acara boleh tahan besar seperti diadakan HIKMAH tanpa sokongan jentera kerajaan/parti politik/dana besar/kumpulan-kumpulan established dan perkara-perkara serupa apa lagi berturut-turut dalam masa yang singkat. Tanpa pertolongan dari Allah melalui pelbagai cara samada nampak atau tak nampak, nyata mahupun ghaib mustahil HIKMAH dapat mengadakan acara pertamanya HIKMAH I dengan jayanya pada 4 Nov iaitu setelah ia baru 3 minggu diasaskan... tiga minggu kemudian dapat pula mengadakan HIKMAH II yang telah diisytiharkan sebagai salah satu program kerajaan negeri Melaka. Siapa sangka sebulan setengah selepas itu pula dapat mengadakan acara lebih besar di Lumut?
Pada mereka yang menyangkakan kalau saya yang tidak seberapa ini boleh membuat acara-acara sebegini tentunya mereka boleh buat yang lebih baik tetapi ternyata tak menjadi juga saya sarankan muhasabahlah diri dan keadaan. Dalam hal kedudukan bagaimanakah pertolongan Allah dari arah tak disangka boleh sampai? Bagaimanakah sesuatu yang kita rancang begini boleh berubah jadi begitu tetapi tetap menimbulkan kebaikan? Sesungguhnya dokongan yang saya dapat untuk menjayakan HIKMAH bukan baru muncul setahun dua tetapi adalah hasil mujahadah seumur hidup terutama dari pelbagai pengembaraan mencari sejarah dan salasilah yang mula dilakukan secara aktif dan sepenuh masa penghujung 2001. Itulah HIKMAH. Setiap sesuatu yang berlaku ada HIKMAHnya. Kepada Engkau ya Allah kami berserah. Nanti hari lain saya sambung bicara...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads