Selasa, 30 April 2013

03 di demit kelantan - Google Blog Search

03 di demit kelantan - Google Blog Search


BLOG KELANTAN: 03 <b>di demit kelantan</b> - Google Blog Search

Posted: 21 Mar 2013 11:14 AM PDT

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
URL Sumber Asal :-

Jengka 19: Harian Metro: Hati

Posted: 18 Mar 2013 08:12 PM PDT


Uji ketangkasan peserta berkumpulan

Posted:

Bunyinya seperti aktiviti mencari harta karun yang biasa dilakukan pada hujung minggu. Bergerak dari satu stesen ke stesen lain selepas me­nyelesaikan cabaran atau misi yang disediakan.

Satu demi satu misi dilakukan hingga akhir­nya peserta yang tiba dulu di lokasi terakhir diangkat selaku juara.

Namun bagi peserta acara Running Hunt Malaysia yang diadakan sekitar ibu kota minggu lalu, bukan siapa yang tiba dulu jadi sasaran, tetapi tertumpu kepada siapa yang terakhir kekal di gelanggang permainan dengan tanda nama masih terlekat di belakang badan.

Bagi peminat program variasi Korea Selatan, Running Man, konsep pemainan 'mencabut tag nama' menjadi tarikan dan amat dinantikan peserta kerana itulah cabaran utamanya.

Foto

MEMBALING syiling dalam kuali leper menjadi misi pertama yang perlu diselesaikan peserta sebelum ke stesen berikutnya.

Foto

BEBERAPA kumpulan berlari menaiki tren LRT agar tidak diekori pasukan lain sejurus melakukan misi mereka.

Foto

ANTARA peserta Running Hunt Malaysia yang berjaya melaksanakan semua misi sebelum bergerak ke lokasi terakhir.


Biarpun sesebuah kumpulan atau individu berjaya mendahului misi sebelum itu, ia sekadar memberi kelebihan untuk bersembunyi dan menyusun strategi sebelum mencabut tag nama peserta yang tiba seterusnya.


Misi pertama dimulakan di stesen KL Sentral, di mana setiap pasukan seramai enam peserta diberikan kad klu untuk misi seterusnya. Semuanya menerima klu yang sama iaitu perlu membeli tiket tren LRT dari lokasi permulaan sehingga ke stesen KLCC.

Bagaimanapun, setiap pasukan perlu turun di setiap stesen sebelum lokasi terakhir bagi menyempurnakan misi. Di stesen Pasar Seni, peserta perlu membaling duit syiling dalam kuali leper ­dengan diberikan peluang sehingga tiga kali cubaan setiap seorang.

Jika gagal dalam cabaran ini atau mana-mana misi berikutnya, penalti dua tren dikenakan pada pasukan terbabit. Bermakna, kumpulan berkenaan perlu melepaskan dua perjalanan tren LRT sebelum boleh meloncat masuk ke tren ketiga untuk menyambung misi.

Misi diteruskan ke stesen berikutnya dan misi Cham Cham Cham ini memerlukan peserta berpaling ke arah bertentangan daripada ­'tangan kuning' yang diletakkan di depan, contohnya jika tangan menuding ke kanan, muka perlu berpaling ke kiri dan sebaliknya.

Misi ini menjurus kepada daya tumpuan penglihatan peserta, selain fokus kepada bunyi Cham Cham Cham yang dilakukan kru.

Meneka 10 perkataan atau ayat seperti yang dilakonkan (Riddles for Seconds) ­dalam tempoh dua minit pula menjadi cabaran di hentian seterusnya. Apa yang diperlukan ialah kemahiran ­salah seorang ahli kumpulan ­dalam menyampaikan ayat kepada rakannya, sama ada dalam cara lakonan, gerak tubuh atau memberikan klu berkaitan secara lisan.

Misi Twist or Twisted kemudiannya membuatkan pergerakan beberapa pasukan tergendala kerana peserta diminta menyebut sepotong ayat yang bunyinya hampir sama dalam tempoh 30 saat.

Kemuncaknya di stesen akhir apabila setiap pasukan perlu mencari kru berdasarkan klu yang diberi sebelum bergerak ke taman berhampiran Jalan Ampang untuk misi kelangsungan tag nama.

Seperti apa yang berlaku dalam program popular dibarisi nama besar Korea antaranya Yu Jae-suk, Ji Suk-jin, Kim Jong-kook, Ha-ha, Lee Kwang-su, Gary dan Song Ji-hyo itu, adegan terakhir iaitu mencabut tag nama sememangnya menakutkan.

Kala setiap peserta Running Hunt Malaysia menerima kemeja-T velcro yang mempunyai tanda nama Running Man dalam tulisan Korea di belakangnya selepas pendaftaran, masing-masing asyik cuba mengoyakkannya sesama sendiri.

Menjadi peserta pertama yang dicabut tag namanya juga amat menggerunkan dan ia sememangnya saat paling diingati penulis ­sehingga ke hari ini.

Kisahnya, peserta diminta mencari seberapa banyak bola bertanda 'R' dalam tempoh ditetapkan dan pasukan penulis (Harian Metro) me­ngambil keputusan berpecah kepada tiga bagi memudahkan carian.

Kurang lima minit kami bergerak, penulis bersama seorang ahli pasukan berjaya menjumpai sebiji bola tapi disebabkan kami ralit mencari bola lain di sekitar pokok berhampiran, sekumpulan gadis bertudung mula menghampiri kami.

Semuanya menuju ke arah penulis dan seperti apa yang dilakukan dalam Running Man, penulis sedaya upaya mengelak daripada menjadi mangsa tag nama.

Beberapa kali cuba membolosi mereka, tetapi tidak berjaya hingga penulis mengambil keputusan berbaring di lantai bagi melindungi tag nama.

Dengan rakus dua gadis terus memegang kaki, dua lagi di kedua belah tangan sementara seorang gadis gempal (yang mungkin ketuanya) terus menolak tubuh penulis supaya tangannya berjaya mencangkuk leher penulis. Dengan pantas dia mencabut tag nama ­sehingga koyak kemeja-T yang dipakai lalu menampakkan sebahagian besar belakang tubuh penulis.

Mujur ia berlaku berhampiran pusat beli-belah dan kru penganjur banyak membantu kala penulis bergegas membeli kemeja-T baru.

Misi mencari bola 'R' itu bagaimanapun diubah pada saat akhir atas beberapa masalah, lalu penganjur terus membawa peserta ke tanah lapang untuk acara paling dinantikan tag nama.

Setiap pasukan boleh menurunkan seberapa ramai ahli tapi mengikut jumlah bola yang berjaya dikumpul pasukan terbabit. Seorang demi seorang tersingkir ­hinggalah berakhir dengan pertarungan sengit antara wanita dan lelaki.

Sememangnya ia pengalaman baru bagi kami. Selalunya, insiden menakutkan ini cuma dapat ditonton dalam Running Man tanpa ada perasaan takut atau bimbang kerana penonton terhibur dengan aksi serta gelagat lucu mereka.

Erik Sim Ziheng, 17, yang mewakili pasukan Race In muncul juara selepas berjaya menarik tag nama Teh Shuyi, 21, daripada pasukan Powerpuff Girl, sekali gus membolehkan kumpulannya membawa pulang hadiah utama wang RM300.

Menurut penganjur ­Running Hunt Malaysia, Cheong Wei Ling, aktiviti ini diada­kan sebagai tanda sokongan peminat Running Man di Malaysia serta memberi peluang peminat merasai pengalaman menyelesaikan misi seperti dalam program televisyen popular itu.

"Kami menganjurkannya kerana ia belum pernah diada­kan lagi meskipun Running Man mempunyai ribuan peminat di Malaysia. Penyertaan yang kami terima amat menggalakkan ­hingga perlu dipecahkan kepada dua sesi, tujuh di sebelah pagi manakala lapan pasukan pada sesi petang.

"Dengan adanya Running Hunt Malaysia ini diharap­kan peserta dapat menimba pengalaman baru dan saling menjalin hubungan baik ­sesama peminat Running Man.

"Pada masa sama, kami juga harap ia dapat menarik perhatian produksi Running Man untuk mengadakan rakaman program mereka di Malaysia selepas Thailand, China, Hong Kong, Macau dan Vietnam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Berkorban demi cintakan al-Quran

Posted:

Melahirkan golongan hafiz profesional yang komited menerajui kepentingan agama, bangsa dan negara bukanlah satu tugas mudah kerana ia memerlukan sokongan dan perhatian semua pihak.

Bersandarkan kepada pepatah Melayu yang berbunyi 'jika tidak dipecah­kan ruyung, manakan dapat sagunya', sekumpulan guru yang bertugas di kelas pengajian pondok moden Darul Halim di Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang wajar dipuji kerana mengadakan pelbagai usaha untuk menambah golo­ngan cerdik pandai dalam bidang agama.

Walaupun pelajar di sekolah pondok berkenaan tidak mengharungi sesi persekolahan biasa, mereka tetap diasuh mengikut jadual yang ditetapkan setiap hari bermula waktu Subuh sehinggalah waktu tidur pada jam 11 malam.

Acuan hidup mereka sudah ditetapkan dan mereka melakukannya dengan penuh kerelaan termasuk membersihkan kawasan rumah, memasak dan mengemas serta melakukan kerja khidmat ma­syarakat di komuniti setempat di samping tugas hakiki mereka menghafaz al-Quran dan mendalami ilmu agama.


Peluang bersua muka dengan beberapa penghuni yang berusia antara 13 hingga 21 tahun itu membuktikan keazaman dan kesunggu­han pengurusan sekolah pondok moden itu dalam melahirkan 'pewaris' zaman kegemilangan tamadun Islam suatu ketika dulu.


Pelajar paling dewasa, Ahmad Husaini Ibrahim, 21, berkata, kepentingan ilmu akhirat membuatkannya nekad berpisah sementara dengan keluarga di Kampung Demit, Kubang Kerian, Kelantan.

Menurutnya, walaupun mengalami kesukaran untuk bergerak kerana tergolong dalam orang kelainan upaya (OKU), dia tetap berusaha untuk berdikari dan melakukan yang terbaik mencapai cita-citanya menjadi seorang hafiz satu hari nanti.

Ahmad Husaini tidak menafikan cabaran yang perlu dihadapi setiap hari dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar 'pondok' yang menjurus kepada usaha menghafal al-Quran sepanjang masa.

"Rutin kami bermula selepas Subuh, mengemas bilik, bersarapan dan melakukan aktiviti bebas seperti membersihkan kawasan rumah dan membasuh pakaian.

"Kelas hafazan bermula selepas Zuhur hingga Asar. Di sini, kami menghafaz secara berkumpulan dan teguran dibuat jika berlaku kesilapan ketika menghafaz," katanya.

Bekas pelajar Maahad Tok Kenali, Kota Bharu itu berkata, walaupun menghadapi kesukaran turun naik tangga kerana bilik tidurnya terletak di tingkat atas manakala kelas al-Quran di tingkat bawah, faktor itu tidak pernah menjadi penghalang untuknya bersama rakan lain dalam setiap aktiviti yang diadakan.

"Memang susah sikit tetapi saya tidak kisah selagi dapat beriadah, makan minum dan membaca al-Quran di tingkat bawah rumah dua tingkat ini," kata anak ketujuh daripada sembilan beradik itu.

Ahmad Hafizuddin Abdul Mubin, 16, berkata, walaupun pernah belajar di dua sekolah aliran agama yang turut menyediakan akademik bagi menyeimbangkan pendidikan dunia dan akhirat, anak bongsu daripada lapan beradik itu mengambil keputusan untuk berhenti dan sambung belajar di Darul Halim.

"Saya tahu tanpa kelulusan dalam bidang akademik, penghuni di sini agak sukar mendapatkan pekerjaan tetapi saya percaya rezeki di tangan Tuhan dan Dia sudah menetapkan segala-galanya untuk kita," katanya yang berasal dari FELDA Jengka 2.

Bekas pelajar Maahad Tahfiz Darul Hijrah, Jengka itu berkata, kejayaan dua abangnya, Ahmad Kamri, 28, dan Ahmad Fariduddin, 24, yang menjejakkan kaki ke Universiti al-Azhar, Mesir dan Universiti Islam Medan, Indonesia mendorong­nya belajar di Darul Halim.

"Saya bukan menolak ilmu akademik tetapi amat menyayangi bidang hafazan ini kerana mahu mendalami ilmu agama. Kami bukan saja menghafaz tetapi juga cuba memahami isi kandungan al-Quran itu sendiri.

"Tinggal sepenuh masa di sini juga mengajar kami erti kehidupan berkeluarga. Kami menguruskan keperluan sendiri, memasak, bermain dan bersukan malah turut membantu membersih­kan kawasan persekitaran rumah jiran secara sukarela," katanya yang ditugaskan menyediakan makanan kepada penghuni di situ.

Menurutnya, naskhah al-Quran mempunyai nilai yang sangat tinggi malah diabadikan sebagai khazanah terulung dalam dunia Islam dan menjadi tinggalan Nabi Muhammad SAW yang paling agung.

"Apabila kita cinta kepada al-Quran, ia akan memberi kekuatan untuk menghafalnya. Seronok belajar di sini kerana dunia kami di sini dikelilingi kitab suci al-Quran dan jiwa sentiasa dibasuhi ayat al-Quran dan menjadi pendinding dan penenang jiwa," katanya.

Bagi dua penghuni berasal dari Kemboja, Zakaria Abdullah, 17, dan Mohd Razali Zakaria, 16, kehadiran mereka di Darul Halim secara tidak langsung membantu mereka mendalami ilmu agama.

Bagi Zakaria, peluang belajar al-Quran saat paling indah dalam hidupnya kerana dapat mengetahui kandu­ngan kitab suci itu dengan lebih terperinci.

"Kami bukan setakat menghafal tetapi juga mencari maksudnya dan saya dapat membayangkan betapa indahnya menjalani kehidupan sebagai seorang Islam jika kita mengetahui isi kandungan al-Quran itu sepenuhnya.

"Walaupun baru empat bulan di sini, saya gembira dapat belajar dan melakukan aktiviti secara bersama. Secara tidak langsung dapat melupakan kerinduan kepada keluarga buat sementara waktu," kata anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Walaupun berasal dari Phnom Penh, keluarga Zakaria sudah lama menetap di Ulu Tiram, Johor dan kehadirannya di Darul Halim secara sukarela kerana mahu menjadi seorang hafiz dan berhasrat kembali ke Kemboja untuk mengajar al-Quran satu hari nanti.

"Saya gembira di sini kerana mempunyai rakan yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain dan saling membantu jika berhadapan masalah dalam apa juga perkara," katanya.

Mohd Razali pula berkata, kehadirannya di Darul Halim berlaku secara tidak langsung apabila seorang guru agama di kampungnya, Kampung Cham mempelawanya ke Malaysia dan belajar agama.

"Saya terus bersetuju kerana tidak mahu menyusahkan keluarga yang sememangnya hidup dalam kemiskinan di sana. Saya masih belajar menyesuaikan diri dengan rakan di sini kerana kurang fasih berbahasa Melayu tetapi ia sama sekali tidak menjejaskan saya untuk menghafal al-Quran," katanya yang dibantu Zakaria menterjemahkan apa yang dikatakan.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu bernasib baik kerana tidak dipinggirkan rakan lain kerana kesukarannya bertutur dalam bahasa Melayu dan kini giat melatih diri untuk berbuat demikian.

"Walaupun kadangkala terbit rasa rindu dan ingin kembali ke pangkuan keluarga, saya terpaksa kuatkan semangat demi membela nasib keluarga dan berhasrat untuk bekerja sebagai guru agama apabila pulang ke kampung," kata­nya.

Pegawai Darul Halim, Mohd Farid Othman, 44, berkata, seramai 16 pelajar sedang mengikuti kelas hafazan di bawah pengawasan Ustaz Abdul Halim Mahmud, 43, yang juga seorang penghafaz al-Quran berpe­ngalaman bermula September lalu.

"Kami hanya menerima pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 21 tahun. Di sinilah tempat tinggal mereka dan belajar setiap hari mendalami ilmu al-Quran dan menghafaz sehingga bersedia bergelar seorang hafiz.

"Kejujuran, keikhlasan dan ketekunan mereka menghafal al-Quran setiap hari secara tidak langsung dapat mendidik dan membersihkan hati nurani mereka, sekali gus dapat menghindarkan mereka daripada terbabit dengan gejala salah laku yang semakin menular dalam kalangan remaja mutakhir ini," katanya.

Menurutnya, bukan mudah untuk menarik minat golongan remaja mencintai kitab suci al-Quran dan menjadikannya sebagai 'teman setia' sepanjang hari.

"Justeru, saya hormati dan menghargai semangat juang mereka datang ke sini untuk belajar al-Quran, sekali gus membasahi bibir mereka dengan ayat al-Quran setiap hari demi merealisasikan impian menjadi penghafaz al-Quran," katanya.

Menurutnya, pihak­nya tidak meletakkan syarat tertentu tetapi pelajar yang datang ke Darul Halim mestilah benar-benar ikhlas dan mahu belajar menjadi seorang hafiz al-Quran.

"Walaupun kami me­ngenakan yuran pendaftaran dan pengajian, bagi keluarga yang tidak mampu, kami tidak memaksa mereka menjelaskannya, sebaliknya menyumbang sekadar termampu saja," katanya.

Mohd Farid berkata, Darul Halim yang membawa maksud 'Yang Maha Lemah Lembut' ditubuhkan bagi memenuhi hasrat arwah bapanya, Othman Ibrahim iaitu pengasas Yayasan Othman Ibrahim yang ditubuhkan pada 1985 dengan memberi fokus kepada pembangunan pendidikan Islam.

"Semoga hasrat arwah bapa untuk melahirkan ramai penghafaz al-Quran akan terlaksana dengan kewujudan Darul Halim ini dan mewarnai dunia cendekiawan Islam Pahang satu hari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads