khabar nama Timbalan Naib Censelor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Junaidi Abu Bakar disebut-sebut sebagai calon parlimen kerusi Kuala Krai. Benarkah ataupun ia satu propaganda semata-mata? Khabarnya nama Junaidi sudah direstui oleh Najib Razak? Beberapa pemimpin Umno juga turut mengiyakan desas desus ini. Manakala Junaidi sendiri juga sudah membuat persiapan terakhir dan konfiden benar yang dia akan menjadi calon. Hari ini berjalan dan berbual dengan orang, Junaidi sudah merasakan dia sebagai calon.
Apakah Umno khasnya Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan yang merekmenkan nama Junaidi itu atau ianya pandai-pandai orang Kuala Lumpur saja? Logiknya tentu nama Junaidi itu disebut dari Kelantan dulu bukan Kuala Lumpur.
Umum tahu sebelum ini Junaidi dibawa turun ke Kuala Krai adalah untuk menguji sejauh mana kekuatan dan penerimaan orang Umno Kuala Krai kepadanya. Memang ada maksud Mustapa Mohamed atau mungkin atas arahan orang Kuala Lumpur untuk melakukan testimoni ke atas Junaidi. Testimoni bukan bererti sudah terjamin akan menjadi calon.
Mungkin Mustapa kurang 'jelira' dengan Ramzi kerana dia tidak pernah bekerja di luar negara atau memiliki Doktorat. Tetapi jangan perkecilkan jasa dan peranan Ramzi serta hubungan beliau dengan akar umbi di bawah. Ramzi pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik perdana menteri. Beliau juga bekas Adun Dabong (2004 - 2008). Beliau kini juga masih Pengerusi Kesedar di mana pengaruh Kesedar dalam menentukan kalah menang di Kualai Krai dan Gua Musang adalah besar.'Sedebek-debek' Ramzi pun kalau dia tidak menguasai 100 peratus pengundi Kesedar tetapi separuh tentu berada di dalam tangannya. Begitu juga dengan pimpinan peringkat cawangan. Bagi saya plan membawa masuk Junaidi dengan membelakangkan Ketua Bahagian satu penghinaan yang tidak patut berlaku.
Implikasinya bila tidak diberitahu tiba-tiba Junaidi masuk 'meranya' di dalam Kuala Krai ia menimbulkan persoalan dan rasa marah serta pelik di kalangan pimpinan Umno Kuala Krai. Tidak salah kalau Umno Kuala Krai menganggap kemasukan Junaidi itu hatta untuk membantu Umno tetapi dia sebenarnya sebagai pengecau.
Ada baiknya kalau ura-ura untuk meletakkan Junaidi di kerusi Kuala Krai difikir kembali semasak-masaknya. Mustapa dan pengkaji politik Umno Kelantan harus membuat servey mendalam mengenai hal ini. Beliau tidak boleh mendengar setengah pihak sahaja, apa lagi pihak yang sudah menelan joran yang disangkut umpan oleh Junaidi. Dalam hal ini konsensus Umno bahagian diperlukan. Lakukan secara jujur dan telus, panggil pimpinan bahagian dan nyatakan sikap dan pendirian. Mustapa jangan mencemarkan integritinya sebagai pemimpin berjurus dan 'mudah basa', 'sene berkira' itu.
Sekiranya Umno hanya menggunakan kuasa veto di Kuala Lumpur yang inginkan kepada Junaidi ia tidak akan memberi apa-apa erti, kerana kekalahan sudah tergenggam ditangan kalau Junaidi dicalonkan. Dr Hatta Ramli boleh goyang kaki. Kalah bukan kerana PAS Kuala Krai kuat tetapi kerana Umno akan berpecah.
Sekiranya Mustapa benar-benar ingin membawa Junaidi menerjun ke lembah politik kemudian diharap menjadi salah seorang pemimpin dimasakan depan, - sebagai penggantinya, beliau boleh lakukan kaedah lain. Misalnya apa yang dilalui sendiri oleh beliau boleh dijadikan sumber atau pun formula. Mustapa diawal penglibatannya dalam politik, dibawa masuk bukan terus diletakkan bertanding di Jeli. Beliau terlebih dahulu diasuh dengan menjadi Setiausaha Politik, dilantik menjadi Senator dan timbalan menteri dan sebagainya. Ertinya beliau dilatih secukupnya secara insentif.
Nah, kaedah dan formula itu juga boleh dilakukan ke atas Junaidi. Lantik beliau menjadi senator kemudian menjadi timbalan menteri sebagai training. Dengan jawatan politik itu beliau boleh membina rangkaian dan kekuatan. Sesudah susuh di kaki sudah mulai tumbuh dan jambul sudah meleret di kepala, barulah dia diletak bertanding baik dalam pilihan raya atau pun di dalam Umno.
Yang penting juga serapkan Junaidi ke dalam Umno bahagian dulu, lantikan sebagai pemeriksa kira-kira atau biro pendidikan sudah memadai. Ini dengan tangan kosong, tanpa track record di Kuala Krai tiba-tiba hendak atau dicadang dia bertanding di Kuala Krai. Cara itu tidak ubah seperti sengaja mahu melemparkan Junaidi ke dalam sungai Krai.
Sejarah dilalui oleh beberapa tokoh profesional yang dibawa bertanding di Kelantan kononnya untuk menunjukkan fleksibleliti Umno di mana semuanya tenggelam dan hanyut patut dijadikan iktibar dan bahan renungan dan perbandingan. Usah beriya-iya untuk mencalonkan Junaidi di kerusi Kuala Krai kalau Umno sayangkan dia. Kekalahan, iya memang memberi pengalaman, tetapi kekalahan akan disebut sebagai kegagalan.
Sebenarnya juga rakyat Kuala Krai merasa bertuah dengan orang seperti Junaidi berada di dalam politik, jadi hormati dan sayangnya 'tuah' ini. Jangan bunuh beliau sebelum dia 'megawas'.
Masa bagi Junaidi masih banyak dan perjuangan masih panjang lagi. Kenaikan pangkat dalam politik bukan kerana atas dasar baik dan tahu membodek bos, tetapi perkara wajibnya disukai dan diterima rakyat. [wm.kl.11:11 am 07/03/13]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan