BACHOK – Seorang buruh tidak menyedari dia adalah mangsa tembak walaupun dua das tembakan dilepaskan ke arahnya ketika dia sedang menikmati sarapan di sebuah warung di Kampung Gong Batu, berdekatan Pantai Kemayang kira- kira jam 8 pagi semalam.
Mangsa, Azmi Ismail, 38, hanya menyedari dirinya ditembak selepas mendapati darah mengalir di anggota badannya dan terus rebah sebelum dihantar ke hospital.
Pemilik warung tersebut, Idayu Mustafa,30, berkata, ketika kejadian, suspek menaiki sebuah motosikal Yamaha LC dan berkeliaran di sekitar warungnya sebelum berhenti melepaskan tembakan.
"Ketika itu ada empat pelanggan di warung saya termasuk mangsa. Kami tak sangka dia datang untuk tembak orang sebab pakaiannya hanya berkain batik dan baju kemeja. Sebelum lepaskan tembakan, suspek ada kata pada mangsa, 'mu ni meto telajok'.
"Lepas tu seorang pelanggan menyergah suspek dan dia terus larikan diri. Ketika itu kami masih bertanya sama sendiri adakah suspek benar- benar tembak guna pistol sebenar sebab mangsa masih tak perasan dia yang ditembak. Lepas dia tengok darah pada tangannya, barulah dia kata rupanya dia yang ditembak dan terus rebah," katanya kepada pemberita dekat sini semalam.
Idayu berkata, mangsa yang cedera pada lutut dan bahagian kanan belakang badannya dibawa ke hospital selepas seorang penduduk menghubungi ambulan.
Katanya, mangsa yang tinggal di Kampung Pantai Senak singgah ke warungnya hampir setiap hari untuk bersarapan.
"Saya tak tahu dia bermusuh dengan siapa tetapi sepanjang dia datang bersarapan di sini, gayanya tak nampak macam jenis orang yang kasar atau kurang ajar.
"Saya amat terkejut dengan kejadian itu. Lepas mangsa rebah, saya terus bawa anak kecil yang berusia setahun lebih ke rumah kakak kerana bimbang suspek berpatah semula ke warung. Bila saya datang semula ke warung, orang ramai dah penuh kerumuni mangsa," katanya.
Manakala, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan, Ab Rahim Che Ghani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.
Katanya, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu dan dalam keadaan stabil.
"Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk membunuh. Siasatan masih diteruskan bagi memberkas suspek," katanya.
Ini adalah kes tembakan kedua di daerah Bachok tahun ini dan semalam genap tiga bulan selepas kes pertama yang berlaku di Kampung Kemasin pada 15 Februari lalu.
Dalam kes 15 Februari lalu, seorang lelaki, Sauti Muda, 57, tidak sempat menghabiskan sarapannya apabila ditembak dua lelaki bermotosikal di sebuah warung.
Mangsa yang ditembak dan ditetak mati di tempat kejadian. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan