TUMPAT – "Sebelum suami turun memancing, dia ada berpesan kepada saya bahawa dia akan pulang pada jam 3 petang pada hari Jumaat kerana perlu menghadiri kenduri," kata Nor Syakirah Mustapa, 30, isteri kepada Mohd Osman Mohamad, 36, salah seorang pemancing yang hilang di laut sejak Jumaat lalu.
Bagaimanapun katanya, hatinya mula gelisah apabila lewat petang suaminya tidak muncul, lalu dia cuba menelefon menghubunginya.
"Saya terus menghubungi suami, tetapi hampa kerana telefon bimbitnya berada di luar kawasan.
"Beberapa kali saya cuba menghubungi, tetapi gagal dan situasi ini amat meresahkan saya khuatir sesuatu yang buruk menimpa suami saya itu," katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Dalam Rhu, di sini.
Mohd Osman antara empat pemancing yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing di laut sejak Jumaat lalu.
Selain Mohd Osman, mereka yang hilang ialah dua sepupunya yang juga pasangan adik beradik Mohd Fadzuan Suhaimi, 25 dan adiknya, Mohd Firdaus Suhaimi, 18 serta pemandu bot, Mohd Masdi Che Hassan, 39.
Dalam keadaan cemas itu, Nor Syakirah terus menghubungi keluarga sepupunya bertanya khabar kerana Mohd Osman turun ke laut bersama dua sepupunya, Mohd Fadzuan dan Mohd Firdaus.
Katanya, keluarga sepupunya juga tidak dapat menghubungi mereka lalu satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat pada jam 12 malam berhubung kehilangan mereka itu.
"Saya berharap suami saya dapat dijumpai dengan selamat, kepulangannya dinantikan kami sekeluarga," katanya yang mempunyai dua anak, Nur Fatin Afifah, 8 dan Nur Fatin Afina, dua bulan.
Tiga sepupu dan rakannya dilaporkan hilang selepas keluar memancing di laut sejak Jumaat lalu.
Mereka dilaporkan hilang selepas berlepas dari jeti Kampung Dalam Rhu menaiki bot jenis fiber kira-kira jam 2 pagi.
Empat kaki pancing tersebut yang dilaporkan hilang itu ialah Mohd Fadzuan Suhaimi, 25 dan adiknya, Mohd Firdaus Suhaimi, 18, sepupu mereka, Mohd Osman Mohamad, 36 dan pemandu bot, Mohd Masdi Che Hassan, 39.
Sementara itu, abang Mohd Fadzuan, Mohd Fadzli, 27 berkata, dia tidak menyangka kegembiraan mereka bertiga turun ke laut untuk mencandat sotong menjadi satu penantian yang menyeksakan untuknya sekeluarga.
"Saya amat risau keselamatan mereka, khuatir bekalan makanan yang dibawanya tidak mencukupi.
"Hari ini sudah masuk hari kedua kehilangan mereka, tetapi mereka masih belum dapat dijejaki lagi.
"Saya berharap pihak Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dapat menemui mereka dengan segera," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip berkata, mereka dilaporkan hilang selepas berlepas dari jeti Kampung Dalam Rhu menaiki bot jenis fiber kira-kira jam 2 pagi.
"Sehingga kini empat pemancing tersebut gagal ditemui, operasi mencari dilakukan oleh Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya.
Mohd Fadzuan dan Mohd Firdaus berasal dari Kampung Dalam Rhu, Mohd Osman dari Kampung Morak manakala Mohd Masdi dari Kampung Kutan, di sini.
Sementara itu, Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superitendan Wan Ismail Wan Mamat berkata, gerakan mencari mangsa yang dilaporkan hilang dilakukan sejak jam 8.30 pagi hari ini (semalam) di perairan negeri ini.
"Operasi mencari diteruskan sekitar 12 batu nautika dari Kuala Besar bersama dua bot APPM dan satu bot PPM.
"Sehingga tengah hari ini (semalam) empat lelaki tersebut masih belum ditemui," katanya. - Sinar Harian
TUMPAT – "Saya yakin adik dan abang saya masih hidup…..semalam saya bermimpi adik meminta saya tambahkan kredit telefonnya," kata Nurfazuani Suhaimi, 24, kakak kepada Mohd Firdaus, 18 yang hilang di laut sejak tiga hari lalu.
Nurfazuani berkata, mimpi itu memberi petunjuk bahawa adik dan abangnya, Mohd Fadzuan, 25 masih hidup dan tidak menolak kemungkinan bot mereka memasuki perairan Thailand selepas hilang di laut ketika keluar mencandat sotong.
"Bila saya sedar dari mimpi jam 3.30 pagi, saya terus tambah kredit RM5 kepada telefon adik saya itu.
"Saya terus menghubunginya tetapi panggilan itu dijawab oleh operator Thailand," katanya ketika ditemui di Jeti Kampung Dalam Rhu, semalam.
Menurutnya, dia terus memaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) perkembangan terbaru itu untuk menjejaki adik dan abangnya yang hilang di laut.
Semalam dilaporkan empat pemancing hilang di laut ialah Mohd Fadzuan Suhaimi, 25 dan adiknya, Mohd Firdaus Suhaimi, 18, dari Kampung Dalam Rhu, sepupu mereka, Mohd Osman Mohamad, 36 dari Kampung Morak dan pemandu bot, Mohd Masdi Che Hassan, 39, dari Kampung Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.
Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka dikesan turut bersama kumpulan pemancing yang hilang tersebut dikenali Mazlan Mohamad, 44, dari Kampung Wakaf Che Yeh.
Mereka menaiki bot fiber mencandat sotong di perairan ini dilaporkan hilang selepas berlepas dari jeti Kampung Dalam Rhu kira-kira jam 2 pagi, Jumaat lalu.
Sementara itu, isteri Mazlan, Norlida Abdul Aziz, 46, berkata dia membuat laporan polis pada petang Sabtu di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat selepas dua hari suaminya tidak pulang dari mencandat sotong.
"Biasanya setiap kali suami saya keluar memancing di laut, dia akan balik hari, tetapi kali ini tidak. "Apabila dua hari dia tidak pulang saya terus membuat laporan polis, lebih merisaukan saya apabila telefonnya tidak dapat dihubungi selepas tiga jam dia keluar memancing," katanya.
Kehilangan lima pemancing tersebut turut merisaukan abang Mohd Masdi, Che Ibrahim Che Hassan, 42, kerana sudah tiga hari mereka berada di tengah laut tanpa sebarang berita.
Che Ibrahim berkata, Mohd Masdi memang kaki pancing kerana setiap minggu dia akan turun ke laut memancing.
"Saya mendapat tahu adik saya hilang di laut selepas isterinya, Rohayu Ishak menelefon memberitahu Mohd Masdi tidak pulang selepas keluar memancing di laut.
"Saya terus datang ke rumah keluarga Mohd Fadzuan di sini bertanya khabar dan mereka juga dalam keadaan risau kerana tidak dapat menghubungi mereka," katanya.
Menurutnya, dia berharap adiknya bersama empat lagi rakannya ditemui dalam keadaan selamat oleh anggota penyelamat.
Sementara itu, APMM menumpukan usaha mencari lima pemancing yang dilaporkan hilang tiga hari lalu sehingga lebih 100 batu nautika persegi dari Kuala Takbai, Pengkalan Kubor hingga ke Kuala Besar, di Kota Bharu.
Ketua Penguatkuasaan Maritim Kelantan, Kepten Maritim, Wan Burhanudin Yusof berkata, usaha mencari juga ditumpukan di tukun Shaari iaitu 25 batu nautika dari Tumpat merupakan lokasi tumpuan pemancing mencandat sotong.
"Bagaimanapun pemancing yang dilaporkan hilang tidak ditemui di kawasan tersebut walau pun usaha mencari turut dilakukan 10 batu nautika sekitar tukun tersebut.
"Malah nelayan yang turun ke laut tidak terserempak dengan bot yang dinaiki pemancing tersebut di sekitar kawasan itu," katanya pada sidang media di Jeti Kampung Dalm Rhu, di sini, semalam.
Wan Burhanudin berkata, operasi mencari lima pemancing tersebut diteruskan apabila APPM meminta bantuan Polis Marin Diraja Thailand dikhuatiri mangsa memasuki perairan Thailand.
"Operasi mencari diteruskan dengan bantuan sebuah bot Polis Marin Diraja Thailand, sebuah bot Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor, tiga bot APMM dan sebuah pesawat udara (bombardier).
"Operasi mencari pemancing yang hilang juga turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya. - Sinar Harian
Berita 28.5.2013:
PASIR PUTEH - Lima lelaki yang dilaporkan hilang di perairan Tumpat, Kelantan ketika keluar ke laut untuk memancing dan mencandat sotong pada Jumaat lalu diselamatkan oleh nelayan Thailand setelah bot yang mereka naiki kehabisan minyak dan hanyut hingga ke sempadan perairan negara jiran.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kapten Wan Burhanuddin Jusoh berkata, bot itu ditemui di sebuah lokasi 63 kilometer dari pantai Tok Bali di sini.
Menurut beliau, pihaknya mendapat maklumat mengenai lima lelaki tersebut melalui Polis Marin Diraja Thailand yang dihubungi oleh tekong bot nelayan berkenaan untuk memaklumkan mengenai penemuan kelima-lima pemancing malang itu.
"Saya dimaklumkan mengenai penemuan mangsa oleh Polis Marin Diraja Thailand kira-kira pukul 11 malam tadi (kelmarin) dan kita terus menghantar tiga buah bot, Kilat 17 dan Kilat 28, serta bot penyelamat untuk memberikan bantuan.
"Maklumat yang diberikan adalah tepat dan ini memudahkan pihak kami menjejaki mangsa," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar semalam.
Kelima-lima pemancing yang berjaya diselamatkan itu ialah Mohd. Firdaus Suhaimi, 18, abangnya, Mohd. Fadzuan, 25, dari Kampung Dalam Rhu; Mohd. Osman Mohamad, 36, dari Kampung Morak; Mazlan Mohamad, 44, dari Wakaf Che Yeh, dan pemandu bot, Mohd. Masdi Che Hassan, 39, dari Kampung Pantai Cahaya Bulan.
Wan Burhanuddin memberitahu, sebaik pihaknya tiba di lokasi bot nelayan berkenaan, kesemua mangsa didapati berada dalam keadaan lemah dan diberikan rawatan awal sebelum membawa empat daripada mereka pulang selain menunda bot fiber yang dinaiki mangsa ke pangkalan APMM di Tok Bali. - Kosmo! Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan