PASIR MAS - Desas-desus mengatakan semua jawatan tertinggi Umno Bahagian Pasir Mas bakal dipertandingkan pada Mesyuarat Agung Umno, Oktober ini bukan omong kosong apabila calon-calon yang menawar diri bertanding mula turun ke peringkat bawah dengan mengadakan pertemuan bersama pemimpin akar umbi.
Sebelum ini terdapat perkhabaran bahawa jawatan-jawatan seperti Ketua Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bakal direbut dan ia menjadi bualan hangat dalam kalangan perwakilan cawangan.
Kejutan jawatan Ketua Bahagian.
Sebelum ini, ramai perwakilan meramalkan jawatan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas yang disandang Datuk Hanafi Mamat tidak akan dicabar selepas beliau mengumumkan bersedia mempertahankan jawatan itu.
Namun jawatan itu dikatakan bakal dicabar oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas sekarang ini, Johan Che Pa yang dikhabarkan mendapat sokongan padu 'orang kuat' Pasir Mas.
Johan dijangka mengumumkan keputusan sama ada akan bertanding atau tidak pada saat akhir, iaitu sebelum tarikh akhir penyerahan borang pencalonan dan tindakannya dilihat memberi tamparan hebat kepada Hanafi dalam usahanya untuk terus kekal menerajui kepimpinan Umno Bahagian Pasir Mas.
Kredibiliti kedua-dua calon tidak perlu dipertikaikan kerana masing-masing mempunyai peluang seimbang pada pemilihan parti itu nanti.
Bagaimanapun, Hanafi dilihat mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan jawatannya kerana tindakan Johan menarik diri dari bertanding pada PRU13 bagi memberi laluan kepada Datuk Ibrahim Ali dilihat sedikit menjejaskan reputasinya.
Tindakan beliau (Johan) dilihat seperti 'mengkhianati' kepercayaan penyokong Umno yang ingin melihat parti itu menawan semula Parlimen Pasir Mas.
Penyandang jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Pasir Mas, Rita Sarbanon Ismail telah mengumumkan akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan kali ini.
Bagaimanapun, beliau dikatakan bakal dicabar oleh isteri kepada seorang kenamaan yang turut berminat untuk merebut jawatan berkenaan, untuk berkhidmat di Parlimen Pasir Mas.
Seandainya benar, Rita Sarbanon dijangka berdepan saingan sengit daripada calon yang bergelar 'datin' itu dan kedua-duanya perlu bekerja keras dalam usaha memastikan kemenangan pada pemilihan berkenaan.
Pertandingan empat penjuru
Sementara itu, persaingan empat penjuru bagi merebut jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Mas menjadi isu hangat dalam kalangan perwakilan setelah penyandangnya, Najib Rasdan Abdul Rahman tidak mempertahankan jawatan itu berikutan faktor had umur.
Antara nama-nam yang menyatakan kesediaan merebut jawatan itu adalah Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Mas, Mohamed Fareez Nor Amran dan tiga muka baru, iaitu ahli perniagaan, Noor Hariri Mohamed Noor; guru merangkap Pengerusi Gerakan Belia 4B Pasir Mas, Rizduan Ibrahim dan Nor Azmawi Ab Rahman.
Noor Hariri dilihat paling aktif turun ke peringkat akar umbi melalui pelbagai program yang dirangka untuk mendekatkan diri dengan pemuda di Pasir Mas dan kredibiliti pemimpin muda yang mesra dengan panggilan 'abe' itu memberi kelebihan kepadanya.
Bagaimanapun, Noor Hariri dijangka tetap menerima tentangan sengit daripada Mohamed Fareez yang berpengalaman luas dalam pergerakan pemuda dan Nor Azmawi sebagai anak saudara kepada Ketua Umno Bahagian Pasir Mas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan