Seolah-olah musibah itu diterima begitu saja tanpa direnung muslihat dan hikmat disebalik apa yang berlaku. Jauh sekali untuk 'salualanabi' berkerjasama demi memantap parti.
Dua jawatan didalam kepimpinan Pas Pasir Puteh akan berlaku pertembungan. Kenapa harus berlawan dalam masa parti baru mengalami kekalahan? Jawatan yang dikatakan akan berlaku perlawanan ialah kerusi Timbalan Yang diPertua Pas dan Ketua Muslimat.
Rohani Mamat ketua dewan muslimat Pas akan ditentang oleh isteri kepada pimpinan Pas Pasir Puteh. Khabarnya pelan sudah diatur untuk memastikan Rohani tumbang. Manakala Adun Gaal, Tuan Mazlan pula dihala agar menentang Yuganus Yunus untuk kerusi timbalan YDP. Apakah untung yang diperolehi Pas kawasan Pasir Puteh dengan perkembangan ini.
Rohani seorang yang dilihat berani mengeluarkan idea dan membuat kritikan ke dalam (muhasabah). Dia sering menegur dan mengkritik ke dalam tanpa menyebut mana-mana nama pemimpin dalam Pasir Puteh. Apakah kerana itu maka beliau harus dilenyapkan dan digantikan dengan wanita yang boleh mendiamkan diri?Begitu juga dengan Yuganu. Apalah dosa guru ini maka beliau harus ditentang. Apakah kerana dalam mesyurat dua tahun lepas dia telah menumbangkan Drs Zainuddin Awang Hamat, maka kemenangan beliau itu harus dibalas? Begitukah?
Apakah Zainuddin emas tembaga pusaka di Pasir Puteh yang tidak boleh dileburkan untuk dijadikan perhiasan? Saya rasa Yuganus sudah banyak disakiti di Pasir Puteh. Dia dinafikan menjadi calon dan tidak dilantik megenag apa-apa jawatan lantikkan politik. Ini satu ketidakadilan.
Hak Yuganus sebagai ahli dan pemegang jawatan itu tidak boleh dinafikan. Dia dipilih didalam muktamar lepas dan beliau ada pengikutnya sendiri. Suara ahli yang memilihnya hendak dihormati.
Semangat yang perlu dibawa di Pasir Puteh ialah persaudaraan demi mengukuhkan parti. Nik Mazian Nik Mohamad sebagai ketua, Drs Zainduddin sebagai bekas timbalan dan juga wakil rakyat harus menjadi orang tua mendamaikan puak-puak yang sengketa. Drs Zainuddin terutamanya sepatutnya dia menjadi juara untuk menyatukan ahli atau memastikan tidak ada pertandingan berlaku berdasarkan puak dan nafsu. Ilmu hakikat dan makrifat yang ada kepadanya beliau boleh menjadi ulama besar di dalam Pas di Pasir Puteh.
Tidak dapat tidak bila berlaku perlawanan apa lagi kalau ia bertolak dari dendam perbalahan akan terjadi. Perpecahan tidak dapat dielakkan. Selama mana sangat seseorang yang dianiaya boleh bertahan dan sabar. Inilah yang perlu dielakkan. Apabila masing-masing sudah hilang sabar menyebabkan segalanya akan jadi 'berkucar wakyah'. Yang perlu diingat ialah PRU 14 dan masa depan parti. Paling afdal lagi Pas patut menjadi lebih baik dari Umno.
Adalah elok kalau semua pihak merenung kembali apa yang berlaku sekarang ini. Sikap kerana hendak membuang seseorang kerana nafsu adalah perbuatan yang tidak baik. Alasan pertandingan dibenarkan adalah tidak tepat apa lagi kalau menjatuhkan atas niat dendam dan sentimen assobiyah. [wm.kl.7:48 pm 13/09/13]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan