Publisiti Awal Rancangan Kawasan Khas (RKK) Rantau Panjang telah diadakan pada 4 September 2013 bersamaan 28 Syawal 1434H bertempat di Bazar Siti Fatimah, Rantau Panjang. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang DiPertua Majlis Daerah Pasir Mas, Tn. Haji Adnan Bin Hussin dan turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Hajjah Puan Siti Zailah Bt Mohd Yusoff dan Pengarah Pejabat Projek Zon Timur, Pn. Alimah Bt Mohd Suri. Seramai 95 orang telah hadir ke program tersebut yang terdiri daripada wakil-wakil agensi kerajaan, pihak swasta, persatuan peniaga serta penduduk setempat. Taklimat program telah disampaikan oleh Pengurus Projek Unit Rancangan Pembangunan Kota Bharu, Tn. Haji Hassan Bin Yaakob.
Kajian RKK Rantau Panjang merangkumi kawasan seluas 234.0* hektar ini disediakan di bawah peruntukan Subseksyen 16B Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172) dan Kaedah-Kaedah Rancangan Kawasan Khas Negeri Kelantan 2010. Amnya, Rantau Panjang adalah merupakan pintu keluar masuk utama ke negara Thailand melalui bandar Sg. Golok dan telah dizonkan sebagai bandar bebas cukai. Ia berada kira-kira 35km dari bandar Kota Bharu dan 14km dari Bandar Pasir Mas.
Menerusi program publisiti awal yang telah diadakan, pelbagai input dan isu-isu serta potensi pembangunan kawasan Rantau Panjang telah dikemukakan oleh peserta program termasuklah dari Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Hjh. Puan Siti Zailah Mohd Yusoff. Beliau memaklumkan beberapa elemen utama yang perlu diberi penekanan iaitu keperluan hotel dan penginapan yang lebih selesa bagi kemudahan pelancong, perancangan kawasan rekreasi dan riadah, projek tebatan banjir dan perancangan semula Bandar Rantau Panjang khususnya perletakkan lokasi kawasan perniagaan dan pejabat-pejabat kerajaan sedia ada.
Program tersebut diakhiri dengan sesi lawatan tapak pasukan kajian bersama pihak Majlis Daerah Pasir Mas dan Ahli Parlimen Rantau Panjang ke beberapa lokasi seperti stesen KTM Rantau Panjang (yang tidak lagi digunakan) dan juga sekitar kawasan kajian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan