TANAH MERAH satu daerah yang sinonim tercatat dalam buku-buku sejarah yang lokasinya terletak di Kelantan. Daerah ini sungguh terkenal semenjak ianya dikaitkan dengan satu nama dalam catatan China Purba iaitu Chih Tu.Ramai antara kita terus mengia dan percaya begitu sahaja tanpa membuat semakan. Sebenarnya, kita tidak boleh salahkan audien kerana hal ini tiada tercatat dalam mana-mana catatan dari Bangsa Melayu. Ia hanya dijumpai setelah pengkaji dari Barat membuka catatan-catatan kuno dari China.
Selain dari Chih Tu, masih ada beberapa nama China yang merujuk kepada kerajaan-kerajaan kuno yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu seperti Fo lo an (Terengganu), Lang Chia Su (Langkasuka), Chieh Cha (Kedah) dan beberapa nama lagi. Fokus kini hanya pada The Red Earth Land seperti mana tercatat dalam Chih Tu Kuo Chi. Rekod kuno China ini telah diterjemahkan oleh Professor Paul Wheatly dalam Bahasa Inggeris yang dibukukan dalam The Golden Khersonese dan kami cuba terjemahkan ke Bahasa Melayu mengikut kefahaman kami yang terhad.
Berikut adalah terjemahan dari Bahasa Inggeris mengenai Chih Tu dari teks Bahasa Cina kuno:
Kerajaan Chih Tu adalah sebahagian dari Funan, ianya terletak di Lautan Selatan. Melalui jalan laut ianya dapat dicapai lebih dari 100 hari. Tanahnya berwarna merah dan dari rupa tanah inilah kerajaan ini mendapat namanya. Di timur ianya berjiran dengan Kerajaan Po Lo La, di arah barat terletak Po Lo So, dan di sebelah selatan adanya Ho Lo Tan manakala di sebelah utaranya adalah lautan. Jarak negara ini beberapa li. Chu Tan adalah nama keluarga bagi Raja dan nama peribadinya adalah Li fu to se. Beliau tidak mengetahui apa-apa tentang negara-negara jauh. Bapanya memberi kuasa kepadanya untuk menyebarkan ajaran Budha dan Li fu to se meneruskan amanat bapanya itu. Beliau telah memerintah selama enam belas tahun dan mempunyai tiga orang isteri dari kalangan anak-anak raja yang berjiran dengannya.
Takhtanya terletak di kota Seng-chih. Kota ini mempunyai tiga pintu gerbang yang mempunyai beberapa ratus lapis. Setiap pintu gerbang diwarnakan dengan dengan warna yang berkilauan, patung-patung disusun dan ia dihiasi dengan bunga emas serta loceng suci. Wanita-wanita memainkan alat muzik dan memegang bunga emas serta bau-bauan. Empat orang lelaki memakai pakaian adat chin-kang di sebelah pagoda Budha sebagai pengawalnya. Mereka mengawal diluar pintu gerbang dengan dilengkapkan peralatan perang, ada juga bertugas di dalam kota dengan memakai pakaian putih sepanjang jalan di dalam kota dan mengumpul bunga dalam bakul putih. Semua bangunan dalam istana mempunyai tiang yang banyak dengan pintu terletak di sebelah utara. Rajanya bersemayam di atas singgahsana bertingkat menghadap arah utara dengan memakai pakaian berwarna merah-ros dengan mahkota emas berlarik serta memakai rantai yang berhias pelbagi permata. Empat orang hamba di sebelah kiri dan kanannya dan ratusan askar berkawal disekitar istana. Di atas singgahsana raja terdapat ukiran kayu berkilauan dengan dilapisi emas, perak dan lima jenis kayu wangi dan dibelakang singgahsana tersebut digantung lampu yang berkilauan. Di tepi singgahsana terpacak dua cermin logam dan sekeliling singgahsana penuh dengan peralatan dan perhiasan yang kebanyakkannya diperbuat daripada emas dan dihiasi dengan batu permata. Beberapa ratus orang brahman duduk berhadapan di kedudukan antara timur dan barat. Pegawainya terdiri daripada: seorang Sa t'o chia lo, dua orangT'o na ta yu, tiga orang Chia li mi chia untuk menguruskan hal berkenaan hubungan politik; seorang Chu lo mo ti mentadbir undang-undang jenayah. Setiap bandar melantik Na ya chia dan sepuluh orang Po ti.
Botak dan bersubang menjadi kewajiban bagi semua orang lelaki. Perayaan yang mereka sambut tidaklah dijelaskan. Badan mereka dilumur dengan minyak. Menjadi budaya menyembah Budha tetapi penghormatan tidak terhingga diberi kepada Brahman. Orang perempuan pula memintal rambut dan dililit pada leher mereka. Pakaian lelaki dan wanita diperbuat daripada ros dan bahan berwarna yang biasa. Sedangkan keluarga kaya mempunyai banyak kelonggaran, mereka hanya boleh memiliki loket emas dengan kebenaran raja. Untuk perkahwinan, hari-hari bertuah akan dipilih. Lima hari sebelum perkahwinan, keluarga pengantin akan mengadakan kenduri. Kemudian, ayah kepada pengantin perempuan akan menghantar anaknya itu ke tangan menantunya. Pada hari ketujuh upacara perkahwinan itu pun selesai dan pasangan itu secara sah disatukan. Selepas perkahwinan, harta akan dibahagikan dan rumah akan dibina, tetapi anak lelaki yang bongsu harus tinggal dengan ayahnya. Semasa upacara kematian, ahli keluarga si mati akan berkabung dengan memakai pakaian biasa. Mayat si mati akan di letakan atas rumah rakit yang diperbuat dari buluh dan dihanyutkan kemudian, ianya dipungut kembali dan dibakar dalam satu upcara yang suci. Kemudian, abu si mati akan diisi dalam balang emas dan disimpan di kuil.
Ia sentiasa hangat walaupun di waktu musim sejuk. Ianya selalu hujan dan panas beberapa hari. Ia tiada musim khusus untuk bercucuk tanam. Cuaca sebegini sesuai untuk penanaman padi,chi, kacang putih dan sayur-sayuran. Barangan lain dikumpul untuk dihantar ke China. Arak dihasilkan daripada campuran gula dan akar kayu ungu. Ia berwarna kuning kemerahan dengan rasa yang manis. Ia juga dikenali sebagai arak kelapa.
Setelah Yang Ti menaiki takhta, beliau telah melantik beberapa orang pegawai yang mempunyai pengetahuan tentang negara-negara asing untuk mengadakan hubungan diplomatik. Pada tahun ketiga Ta-yeh (607M) Chang Chun, menteri pertahanan dan Wang Chun Cheng, menteri sumber bahan mentah, telah memohon untuk menjadi duta ke Chih tu. Maharaja amat bersetuju dan telah mengirimkan 100 gulung sutera berserta pakaian mengikut musim dan ditambah 5000 jenis hadiah Raja Chih Tu. Dalam bulan sepuluh (november atau awal disember), Chang Chun belayar dari pelabuhan Nan Hai (Canton). Selama 24 hari belayar siang dan malam dengan angin yang baik (monsun tenggara) mereka telah sampai di gunung Chiao shih. Mereka meneruskan pelayaran kearah timur laut dan sampai di pulau Ling chieh po pa to yang mengadap ke arah Lin yi (Campa) pada arah barat dan pulau ini mempunyai kuil di atas puncaknya. Kemudian belayar ke arah selatan dan tiba di Shih tzu Shih (Pulau Batu Singa) tambahan di sekitarnya terdapat rantaian pulau besar dan kecil. Selepas dua atau tiga hari pelayaran mereka nampak gunung negara Lang ya shu. Kemudian mereka terus belayar ke arah selatan ke pulau Chi lung (Sangkar Helang) dan mereka tiba di sempadan Chih Tu dan mereka telah dijemput oleh Brahman Chiu mo lo dengan tiga puluh jong yang dihantar oleh raja. Tetuang ditiup, gendang dipalu untuk meraikan delegasi dari Sui dan kapal Chang Chun telah ditambat dengan rantai besi. Ia mengambil masa sebulan untuk tiba ke ibu negeri.
Na ya chia, putera raja dihantar untuk menyambut Chang Chun dengan upacara sambutan yang sesuai. Mula-mula ia menghantar lelaki untuk mempersembahkan dulang emas yang mengandungi bunga-bunga wangi, cermin dan sudu emas, dua bekas minyak wangi; lapan pasu air suci, dan empat kaki kain putih dan pakaian berlipat untuk setiap orang dalam delagasi gunakan untuk mandi. Hari yang sama pada waktu Wei (pukul satu hingga tiga petang), putera raja sekali lagi menghantar dua ekor gajah yang dilengkapi khemah diperbuat daripada bulu merak untuk mengalu-alukan kedatangan duta dari China serta dulang emas yang dihiasi bunga yang wangi untuk diletakan dikri. Seratus orang lelaki dan wanita membunyikan loceng dan memukul gendang dan dua orang Brahman mengiringi delegasi ke tempat di raja. Chang Chun mempersembahkan penghormatannya dalam balairong di hadapan raja. Apabila ikrar sudah dibacakan oleh Chang Chun, semua rombonganya dijemput untuk duduk dan musik india dimainkan. Apabila upacara ini hendak berakhir, Chang Chun dan ahli rombongan memohon diri untuk kembali ke tempat penginapan mereka, Brahman telah dihantar untuk meberikan mereka makanan. Daun sebesar sepuluh kaki telah digunakan sebagai pinggan. Brahman yang melayan Chang Chun telah berkata: "kami sekarang adalah penduduk Negara Berdaulat, dan kami bukan lagi penduduk Chih tu. Makanlah makanan yang kami hidangkan demi negara kamu yang gagah. Beberapa hari kemudian Chang Chun dan ahli rombongannya telah dijemput menghadiri satu perayaan. Upacaranya sama seperti sambutan perayaan pada pertemuan mereka yang pertama dengan pengawal mengiringi mereka. Di hadapan raja disediakan dua buah meja yang penuh dengan hidangan makan yang terdiri daripada pelbagai kuih muih, daging dan buah-buahan. Chang Chun telah dijemput duduk di meja yang disediakan manakala pengikutnya duduk di atas tanah. Semua orang mengambil gelas emas yang berisi arak manakala pelayan memainkan muzik secara bergilir-gilir dan mereka diberi hadiah yang berharga. Dalam masa yang sama Nan ya chia menawarkan barangan tempatan sebagai penghargaan yang berupa emas, mahkota berbentuk kubis dan kapur barus serta kepingan emas yang mengandungi dikri dan ditutup dengan bekas emas. Brahman diarahkan mengiringi delegasi dengan menyiram minyak wangi serta memainkan loceng dan gendang.
Dalam pelayaran pulang semasa tiba di kuala, mereka melihat sekawan ikan berwarna hijau terbang di permukaan air. Selepas belayar di laut lebih dari sepuluh hari ke arah tenggara, mereka telah nampak kawasan pergunungan Lin i dan menerusi selat seluas seribu bahagian yang udaranya kering dan berwarna kekuningan. Suasana sebegini dikatakan akibat hembusan nafas dari ikan besar. Menerusi pesisir pantai utara, mereka telah sampai di Chio Chih. Pada musim bunga tahun ke enam Ta Yeh, Chang Chun bersama-sama Na ya chia telah mengadap Maharaja di Hung nung. Chang Chung telah dianugerahkan pangkat Ping i wei (pegawai keadilan). Na ya chia dan pengikutnya pula telah dianugerahkan pangkat dan hadiah mengikut darjat mereka.
Dari terjemahan ini kita dapat gambarkan bahawa Chih Tu bukan sembarangan negara walaupun ianya adalah sebuah negara di bawah naungan Funan. Namun dari rekod China juga menunjukkan kunjungan Chang Chun, duta dari China ke Chih Tu sebagai satu simbolik pengiktirafan China kepada Chih Tu sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka dari Funan. Hal ini dibuktikan dengan Maharaja Sui ketika itu juga telah mengurniakan pangkat kepada putera Chih Tu iaitu Na Ya Chia dan secara tidak langsung meletakan Chih Tu di bawah naungan China.
Seperti negara-negara kuno yang lain, Chih Tu juga tenggelam di telan masa. Pengkaji Barat yang pertama mengkaji tentang Chih Tu adalah Abel Remusat (1829), de Rosny & Schlegal (1898), Aymonier (1903), Hirth and Rockhil, Peliot (1903) dan Le May (1938). Pada tahun 1829, Abel Remusat mentafsirkan Chih Tu terletak di perairan Siam seperti mana yang dicatatkan oleh sarjana dari China dan pernyataan ini dipersetujui oleh pengkaji seterusnya.
Namun, pengkaji-pengkaji seterusnya menolak siam sebagai tapak Chih Tu termasuklah seorang pengkaji dari Barat iaitu Kern yang menyatakan bahawa Chih tu ini terletak di Semenanjung Tanah Melayu. pada tahun 1919, Ferrand menyatakan Chih Tu terletak di Segenting Kra, kemudian Moen dan Coedes menyatakan Chih Tu terletak di Patalung tetapi dibangkang olehBriggs yang menyatakan bahawa ianya terletak di Patani dan ianya disokong oleh Luce,manakala Wales dengan penuh yakin menyatakan ianya terletak di Kedah.
Pengkaji Bangsa Asia juga tidak ketinggalan dalam mengkaji tentang Chih Tu. Khun Ciri Vadhana Anadra dan Takakuwa Komakichi (1925) menyatakan bahawa Chih Tu ini terletak di utara Semenanjung Tanah Melayu. selain dari itu, pengkaji Jepun di bawah Sekolah Sejarah Geografi pada tahun 1920-50an giat mengkaji tentang lokasi kerajaan-kerajaan kuno dan dalam hal ini mereka lebih fokus kepada selatan Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Sumatera. Contohnya, Kuwata Rokuro (1919) menyatakan Palembang sebagai Chih Tu, Miyaki Ichisada (1950) menyatakan Jambi, manakala Adachi Kiroku & Yamamoto Tatsuro (1951) menyatakan Selatan Semenanjung Tanah Melayu.
Terdapat juga pengkaji dari China sendiri iaitu Feng Cheng Chun dan Hsu Yun Tsio. Feng Cheng Chun menyatakan Chih Tu Terletak di tengah-tengah Semenanjung Tanah Melayu manakala Prof. Hsu menyatakan ianya terletak di Singgora. Dr. Kern mengaitkan Chih Tu ini denganRaktamrittika yang bermaksud Tanah Merah dalam Inskripsi sanskrit dari Kedah dan ditambah dengan terdapatnya nama TANAH MERAH dalam peta topografi Malaysia pada masa ini.
Apa yang menarik disini adalah mengenai lokasi Ibu Negeri Chih Tu yang bernama Seng Chih(Kota Singa). Catatan dari Chih Tu Kuo Chi menyatakan seperti berikut:
"Takhtanya terletak di kota Seng-chih. Kota ini mempunyai tiga pintu gerbang yang mempunyai beberapa ratus lapis."
"Kemudian mereka terus belayar ke arah selatan ke pulau Chi lung (Sangkar Helang) dan mereka tiba di sempadan Chih Tu dan mereka telah dijemput oleh Brahman Chiu mo lo dengan tiga puluh jong yang dihantar oleh raja. Tetuang ditiup, gendang dipalu untuk meraikan delegasi dari Sui dan kapal Chang Chun telah ditambat dengan rantai besi. Ia mengambil masa sebulan untuk tiba ke ibu negeri."
Sebulan perjalanan daripada pelabuhan, dan ini bermakna ianya terletak di pedalaman kawasan semenanjung dan sudah semestinya kota ini terletak di tengah-tengah Semenanjung Tanah Melayu yang kini merupakan kawasan hutan tebal. Paul Wheatly menyatakan ianya terletak sama ada di Ulu Kelantan atau Ulu Pahang. Dapatan kajian tempatan menyatakan bahawa di Hulu Kelantan wujud pusat pemerintahan Cik Siti Wan Kembang iaitu di Gunung Chintawangsa dan di Ulu Pahang yakni di Merapoh dalam daerah Kuala Lipis yang juga wujud tapak kota kuno.
Ini menunjukkan bahawa Chih Tu ini adalah sebuah negara yang besar di Semenanjung Tanah Melayu suatu masa dahulu. Merangkumi Kelantan, hulu Pahang dan hulu Terengganu dan ianya mendapat pengiktirafan daripada Mahajara China. Nama sanskritnya adalah Raktamrittika dan menurut pengkaji sejarah tempatan dari Kelantan iaitu Nakula, Raktamrittika ini telah mengisytiharkan kemerdekaan daripada Funan dan menamakan negara mereka sebagai Sriwijaya Mala.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan